Tuesday, July 30, 2013

GERAKAN TAMARRUD MAGHRIBI PULA MUNCUL

Seperti yang telah berlaku di Mesir, ternyata perancangan tamarrud (pemberontakan/rebel) semakin ganas apabila muncul di Maghribi dengan menggunakan nama 'tamarrud'. Mereka menyeru rakyat Maghrib turun ke demonstrasi bantahan terhadap kerajaan Abdelilah Benkirane pada 18 Ogos akan datang.
Keratan akhbar Al-Hurra
Pada pemerhatian saya, Tamarrud sedang bertindak untuk memerangi gerakan Islam sehinggakan di Semenanjung Gaza juga muncul kempen ini.

Rujuk:
Web berita Alhurra

Monday, July 29, 2013

SERANGAN DI BALAI POLIS DAN KELAB POLIS EL-ARISH

Laporan biasa punyai rahsia.

Seorang pegawai polis dan seorang anggota polis mengalami kecederaan sebelum waktu berbuka puasa semalam ekoran serangan bersenjata ke atas balai polis El-Arish dan kelab polis El-Arish, utara Sinai, demikian laporan berita web berita SHOROUK, 28/07/2013.

Sumber dari wakil keamanan berkata, militia-militia pengganas menyerang kelab polis sebelum berbuka puasa lalu melepaskan tembakan. Lantas mengakibatkan seorang anggota polis cedera di bahagian kaki. Diikuti selepas berbuka puasa, balai polis El-Arish pula diserang. Kejadian itu mengakibatkan seorang pegawai polis cedera parah akibat terkena tembakan di bahagian dada.

Ulasan penulis [Di sebalik ketidakstabilan utara Sinai]

Keamanan di utara Sinai tidak stabil malah terus menjadi-jadi hingga ke hari ini selepas rampasan kuasa yang berlaku ke atas Presiden yang sah. Setiap hari pasti ada berita mengenai serangan-serangan ke atas checkpoint tentera, balai polis, dan milikan pihak keamanan. Demikian itu, sejak akhir-akhir ini polis dan tentera mengambil langkah mengetatkan kawalan di utara Sinai termasuk memusnahkan terowong-terowong bawah tanah yang menghubungkan antara tanah Mesir dengan Palestin di selatan Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, serangan-serangan yang dikatakan militia pengganas menimbulkan tanda tanya.

Menukil laporan dari agensi berita SINAI yang turut disiarkan dalam fan page WEKLAKS, kata seorang anggota tentera yang lari tugas di Syeikh Zuweid, "saya sumpah dengan nama Allah..anggota-anggota perisikan Mesir yang membuat serangan-serangan di Sinai, mereka paksa kami lepaskan tembakan membuta-tuli sepanjang malam, kawan-kawan saya rasa takut gentar kerana bila-bila masa mereka boleh mati."

Tentera terbabit yang melarikan diri dari tugas telah berlindung dalam sebuah keluarga di Syeikh Zuweid. Dia menerangkan bahawa salah seorang pegawai mengarahkan mereka meletupkan kereta perisai di checkpoint As-Safa pada malam yang lepas, kemudian diarah lepaskan tembakan membuta-tuli ke setiap arah.
Dia tidak boleh melakukan sedemikian, lalu mengambil tindakan lari tugas kerana tidak sanggup melepaskan tembakan ke atas rakyat Mesir sepertinya. Dia mengharap bila melarikan diri dari tugas dapat kembali ke pangkuan keluarga yang berada di salah sebuah negeri dalam kawasan delta(seperti Kaherah, Al-Buhairah, Al-Daqahliah, Al-Gharbiah, As-Sharqiyah, Al-Menoufiyah dan lain-lain lagi). Jelasnya, dia telah menghubungi keluarganya tetapi dia bimbang sekiranya ditangkap apabila melintasi Terusan Suez dengan menaiki feri Al-Qantarah. Tambahan pula, Jambatan As-Salam telah ditutup tidak lebih dari 10 hari kerana alasan berlaku tembakan di checkpoint pintu masuk ke jambatan yang merupakan laluan utama melintasi dari tanah Sinai ke Ismailiyah.

Sebelum ini, laporan berita FJP menyiarkan tentang penangkapan ke atas anggota perisikan yang menyerang balai polis di Syeikh Zuweid. Pengakuan seorang penduduk yang menangkap anggota perisikan tersebut seperti dalam klip di bawah.
Apakah pengumuman Jeneral Abdul Fattah As-Sisi yang menyeru rakyat Mesir keluar pada hari Jumaat baru-baru ini sebagai memberi mandat penuh kepadanya untuk memerangi anasir keganasan ada hubung kait dengan kejadian ini? Jika benar, siapakah sebenarnya pihak yang dikatakan pengganas? Penculikan 7 orang tentera pada beberapa bulan yang lalu dikaitkan dengan 'sentuhan' pihak tertentu dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertujuan melemparkan tohmahan kepada Presiden Muhammad Mursi yang disifatkan seolah-olah lemah menjaga keamanan. Begitu juga, pembunuhan belasan orang tentera Mesir pada Ramadhan tahun 2012 di checkpoint Al-Masurah tidak jauh dari sempadan Rafah. Hingga ke hari ini, kes seperti ini tidak didedahkan siapa dalang malah tidak ada tangkapan, padahal perisikan Mesir seperti dimaklumi amat tangkas dalam kerja-kerja siasatan.

PEMUDA MESIR MENGASASKAN PEMBERONTAKAN GLOBAL

Mahmud Badar, pemimpin Gerakan Pemberontakan di Mesir
[Ringkasan] Sekumpulan pemuda Mesir dari pemuda revolusi telah mengasaskan sebuah gerakan baru yang dinamakan 'Pemberontakan Global'(تمرد –عالمي) bagi menentang keganasan di seluruh dunia serta menentang Negara-negara yang menaja pertubuhan pengganas dan pihak yang membiayai keganasan.

Kata kenyataan gerakan ini, ianya tiada hubungan dengan Gerakan Pemberontak yang berpusat di Mesir tetapi ianya adalah sebuah gerakan baru yang muncul selepas 30 Jun dan menanti sokongan positif dari rakyat Mesir, masyarakat Arab serta masyarakat yang memperjuangkan kemanusiaan.

Salah seorang yang memimpin gerakan ini bernama Muhammad Majdi selaku ketua urusetia gerakan. - Web berita Dostor, 28/07/2013

Ulasan saya, biarpun mereka mendakwa tiada hubungan tetapi saya menganggap ianya adalah klon Gerakan Pemberontakan yang telah wujud di Mesir.

Mungkinkah gerakan ini juga mempunyai kaitan dengan kumpulan Black-Bloc? atau ianya wajah baru yang berselindung di sebalik topeng yang menimbulkan huru-hara sebelum penggulingan kuasa.

Monday, July 22, 2013

TUNJUK PERASAAN SELURUH MESIR


Laporan AL-JAZEERAH yang menggegarkan dunia dengan memaparkan tunjuk perasaan yang berlangsung di seluruh Mesir semalam.

Demikian itu, tunjuk perasaan ini ekoran dari JUMAAT PATAHKAN RAMPASAN baru-baru ini.

Sumber:
Youtube Al-Jazeerah

AKU SAYANG HAMPA SEMUA

Ketika waktu tengahari terik, saya menaiki teksi menuju ke Said Nawi. Apalah sangat kepanasan yang saya rasa jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong pemerintah yang sah, mereka sanggup meredah kepanasan di jalanan demi sebuah keadilan dan maruah diri rakyat Mesir yang telah di'cabul' oleh perampas; geng kereta kebal serta sekutunya. Bertambah lagi ujian apabila reaksi sebahagian besar media massa Mesir seperti pontianak lagaknya yang tidak henti-henti membuat fitnah penyokong pemerintah yang sah.

Berbalik kepada teksi yang saya naiki. Kebetulan di kerusi hadapan, seorang rakyat tempatan galak berbicara dengan pemanduk teksi. Tidak semena-mena dia mengipas kain pengelap kerana lalat banyak di bahagian depan sambil memandang ke belakang menjeling ke arah saya. Lalu, dia bertutur kepada orang Arab di sebelah, "laki belakang ni naik ja teksi terus lalat banyak". Sambil bergelak ketawa dengan Arab di sebelah, dia tanya kepada saya, "di Malaysia lalat banyak dak?."

"Lalat ada ja di Malaysia," balas saya. Dia ketawa lagi sambil mengipas kain. Saya sambung cakap, "3mmu (pakcik)..tapi tengok kepada tempat juga, kalau kotor..lalat memang banyak hurung."

Dia henti ketawa seakan-akan marah lalu membalas, "teksi aku kotor sangatka?." Saya cuma cakap, "tu lalat".

Tiba-tiba dia meninggikan suara, "enta bittahibuh Mursi wa la eh?(hang suka Mursi ka apa)".

"Siapa yang tak suka Presiden sendiri?," jawab saya.

Suaranya masih garang, "habis tuh apa dia..jawab elok-elok?". Saya jawab lagi, "aku sayang hampa semua".

Pemandu dan Arab di sebelahnya sama-sama membalas jawapan saya, "entum tayyibin".

Saya tidak dapat mengagak dengan baik tentang sikap pemandu ini dan orang sebelahnya terhadap Presiden pilihan rakyat Dr.Mursi tetapi inilah soalan yang kerap ditanya oleh rakyat tempatan kepada orang luar khususnya pelajar Malaysia. Apapun, lain orang lain bicara..silap orang mungkin binasa.

Friday, July 19, 2013

DI SEBALIK KATA-KATA PIHAK YANG LEBIH DEMOKRASI

30 Jun yang lalu merupakan hari pemberontakan (Rebel/تمرد) ke atas Presiden Dr. Muhammad Morsi dan kesannya dapat dilihat dengan jelas situasi yang berlaku saat ini. Fokus saya, sejak ledakan Revolusi 25 Januari hingga saat ini memang tidak lekang dari seorang tokoh yang kononnya jiwa demokrasi malah penerima Nobel Keamanan tahun 2005 dan individu ini bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed El Baradei

Sekarang, El Baradei Presiden Parti Ad-Doustur di Mesir. Juga, individu penting dalam penubuhan Barisan Penyelamat Mesir (جبهة الانقاذ المصري/National Salvation Front) yang terdiri daripada 35 buah parti-parti politik, gerakan politik dan revolusi (aliran liberal, haluan kiri, sosialis, sekular, demokratik dan saki-baki rejim Mubarak). Selain El Baradei, anggota tertinggi dalam barisan ini adalah calon-calon Presiden yang tewas dalam pilihan Presiden seperti Hamdain Sobahi dan Amru Moussa. Rebel yang berlaku baru-baru ini, El Baradeilah yang menggesa pihak pembangkang terutamanya Barisan Penyelamat Mesir dan Gerakan Pemberontak turun ke demonstrasi besar-besaran bagi mendesak Presiden Morsi berundur dan menyeru kepada pilihanraya Presiden terlebih awal.

ElBaradei
Apa yang menarik bagi saya, El Baradei pernah menyeru kepada rakyat Mesir agar memboikot pilihanraya parlimen (selepas parlimen yang pertama selepas Revolusi 25 Januari dibubarkan), demikian itu alasan El Baradei kerana ianya menyingkap demokrasi palsu pemerintahan Jamaah Ikhwan Al-Muslimin. Padahal, pilihanraya parlimen yang diadakan sebelum ini menunjukkan ianya berlangsung secara telus tanpa penyelewengan.

Di bawah adalah respon dan jawab El Baradei berhubung apa yang berlaku di Mesir selepas rampasan kuasa berlaku ke atas Dr. Muhammad Morsi.

1. Kewajaran penyingkiran Dr.Morsi dari Presiden

"Semasa tentera menyingkirkan Morsi pada hari itu, dia (El Baradei) kerap menghubungi Menteri Luar Amerika Syarikt, John Kerry dan Catherine Ashton selaku pihak tertinggi Polisi keselamatan dan Hubungan Luar Kesatuan Eropah bagi memujuk kedua-duanya betapa perlu menyingkirkan Morsi dengan tujuan untuk memulakan langkah baru mengubah Mesir kepada pemerintahan yang demokratik," kata El Baradei.

2. Kewajaran menutup siaran-siaran satelit dan berita yang cenderung kepada pro Islamiyyin

El Baradei menjelaskan dari wakil keamanan bahawa siaran-siaran satelit Islamiah yang ditutup kerana ianya mengalakkan kepada keganasan dan memprovokasi (hasutan) melakukan jenayah serta pembunuhan, lalu ianya mesti ditutup buat sementara waktu. Kata El Baradei, sebahagian dari stesen-stesen satelit yang digeledah turut ditemui senjata.

3. Kewajaran tidak percaya kepada Dr. Morsi

El Baradei berkata, "bukannya sesuatu yang mudah bagi kami mengambil langkah dari perundangan untuk menggugurkan kepercayaan (seperti undi tidak percaya) tetapi rakyat yang mendesak sedemikian apabila mereka berbondong-bondong ke Dataran Tahrir. Pada hemat saya, tidak boleh lagi kami menanti sekalipun ditambah satu minggu."

Tambah El Baradei, "kita baru sahaja kerugian 2 tahun setengah", sebagaimana perumpamaan Yogi Berra, "It's deja vu all over again" tetapi kita harap dapat bertindak ke arah yang betul kali ini.

Bersesuaian kata-kata Yogi Berra yang dinukil oleh ElBaradei, penulis membawakan sebaris kata dari bekas Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin Delano Roosevelt, "In politics, nothing happens by accident. If it happens, you can bet it was planned that way".

Tidak nakal penulis persoalkan, apakah senjata dalam stesen-stesen satelit jenis pemusnah besar-besaran (WMD) yang pernah ditemui di Iraq?

Sumber:
Portal berita AL-SHARQ ALAWSAT, DOSTOR, dan AL-ARABIYA

Sumber asal:
Penulis - DAVID D. KIRKPATRICK

Thursday, July 18, 2013

PENDAKWA TENTERA MENANGIS SEWAKTU MENYOAL SIASAT DR.MURSI


Merujuk portal berita AL-NAHAR, Presiden yang telah disingkirkan Dr.Muhammad Mursi ada bersama pendakwa  tentera dan semalam (16/07/2013) beliau telah mula disoal-siasat berhubung beberapa kes, di antaranya kes risikan dan melarikan diri dari penjara Wadi El-Natrun. Bagaimanapun yang terbaru pada 17 Julai, ketika disoal-siasat oleh pendakwa tentera, beliau berkata kepada mereka, "Allah akan menanyakan kamu semua di hari akhirat nanti..kamu telah meletakkan hambaNya Muhammad Mursi di tempat pertuduhan sedangkan kamu yakin dia telah dizalimi, doa orang yang dizalimi tidak ada hijab (dinding/penutup) di antaranya dengan Allah," lalu ungkapan itu membuatkan sebilangan dari anggota-anggota badan pendakwa tentera menangis.

Sumber:
(Laporan jam 05:58 petang)
Portal berita Al-Nahar, 17 Julai 2013

'Semoga Allah melindungi saya dari menerima dan 
menyampaikan berita yang tidak betul'

حسبى الله ونعم الوكيل

Wednesday, July 17, 2013

KEKAL DUA MENTERI BERKAT KRISIS

Kemuncak kemarahan sebilangan rakyat Mesir dan parti-parti politik yang tidak dominan dalam parlimen dan senat ekoran munculnya krisis eletrik, minyak, dan keamanan yang tidak stabil. Berdasarkan krisis-krisis tersebut, 'mereka'(termasuk Jabhah Inqaz, Tamarrud, parti aliran sosialis, liberal, sekular dan lain-lain lagi) mendesak dan memberontak agar Presiden yang sah digulingkan.

Namun, selepas kerajaan rampasan dibentuk oleh Dr.Hazem Al-Bablawi selaku Perdana Menteri, timbul pula persoalan dan menguatkan lagi dakwaan bahawa krisis-krisis tersebut memang sengaja diwujudkan demi menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kabinet menteri Dr.Hisham Qandil, Perdana Menteri yang sah dipilih oleh Dr.Muhammad Mursi.

Ringkas cerita, dua menteri terbabit dari kerajaan yang sah iaitu 'Menteri Dalam Negeri', Jeneral Muhammad Ibrahim yang mempunyai autoriti menjaga keamanan dalaman Mesir dan 'Menteri Tenaga Eletrik', Ir Ahmad Imam yang bertanggungjawab ke atas pengaliran eletrik Mesir masih dikekalkan dalam kabinet Dr.Hazem Al-Bablawi meskipun krisis-krisis itu berlaku di tangan dua menteri yang disebutkan. Pada waktu yang sama, krisis ini menjadi hujah asas 'puak mereka dan sesiapa sahaja yang terikut' bahawa Presiden yang sah mesti berundur.

Minda kosong juga merasakan mungkin ini keberkatan krisis-krisis yang telah berlaku, maka dua menteri itu wajar dikekalkan. Agar tidak terikut 'buta', cubalah mengikuti dari awal plot cerita.

Tuesday, July 16, 2013

ELBARADEI HUBUNGI PERTUBUHAN YAHUDI UNTUK SOKONGAN RAMPASAN KUASA

Sebuah artikel yang ditulis oleh Franklin Lamb bertajuk - EGYPT AFTER THE COUP: IS OBAMA BACKING ELBARADEI? - sepertimana yang telah disiarkan oleh portal berita media SCOOP dari New Zealand pada 08 Julai 2013 memaparkan bagaimana meraih sokongan merampas kuasa.
Keratan artikel SCOOP
Berdasarkan sumber Amerika, wakil Dr.Muhammad ElBaradei (Naib Presiden sementara bagi hubungan luar antarabangsa) menghubungi Majlis Presiden Pertubuhan Yahudi Amerika yang mewakili 52 buah kumpulan Yahudi Amerika bagi memujuk mereka agar menyokong rampasan kuasa yang telah berlaku ke atas Presiden yang sah.

Demikian itu, wakil-wakil ElBaradei mengemukakan pujukannya kepada Rumah Putih demi mendapatkan sokongan Amerika, terutamanya:

Mematuhi semua elemen yang termaktub dalam Perjanjian Camp David.
> Mengambil pendirian keras menentang program nuklear Iran.
> Mengukuhkan kerjasama keamanan antara Mesir dan Israel.

Rujukan dan selanjutnya:
Media Scoop

Monday, July 15, 2013

IKHWAN BARISAN PERTAHANAN TERAKHIR REVOLUSI?

Sebagaimana ungkapan kata-kata Dr.Abdullah Al-Ash'al bekas calon Presiden, "Ikhwan Muslimin adalah barisan pertahanan terakhir kepada survival Revolusi 25 Januari yang telah berjaya menggulingkan Mubarak."

Pada ketika itu, calon-calon Presiden paling menonjol adalah sekutu kepada El-Baradei iaitu Hamdain Sobahi dan Amru Moussa. Manakala wajah bekas pemerintahan Mubarak adalah Ahmad Shafiq.

Apabila dilihat situasi sekarang, ungkapan Dr.Abdullah itu seolah-olah tepat kerana:

1. ElBaradei, Amru Moussa, dan Hamdain Sobahi berada dalam sebuah kelompok ataupun 'team' yang turut dianggotai bekas-bekas pemerintahan Mubarak malah mereka seiringan bersama menghentam dan mencabuli demokrasi. Apa lagi boleh diharapkan jika beginilah sikap mereka?

2. Pemuda-pemuda yang kononnya ditonjolkan membawa watak 'revolusioner' juga seangkatan dengan 'team' ElBaradei. Pada ketika itu mereka bersabung nyawa mengerahkan kempen 'KAAZEBOON' sebagai menempelak tindakan tentera yang menyerang penunjuk perasaan. Namun hari ini, apabila timbulnya pembunuhan beramai-ramai di hadapan HQ Pengawal Republik, mereka diam membisu tanpa menentang. Begitukah prinsip 'revolusioner' jika dapat duduk di hadapan Presiden sementara yang dilantik secara merampas kuasa, mereka diam membisu?