RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Tuesday, July 31, 2012

KENYATAAN PERDANA MENTERI BANGLADESH AMAT DIKESALI

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang tidak mahu membantu pelarian Rohingya dari Arakan yang sedang ditindas dengan zalim oleh regim Myanmar.

Kenyataan beliau yang mengatakan Bangladesh tidak bertanggungjawab untuk membantu pelarian itu adalah kenyataan yang tidak layak keluar dari seorang pemimpin Islam dari sebuah negara umat Islam.

Sementara kita tidak menafikan bahawa Bangladesh memang sebuah negara yang miskin, itu tidak bermakna keadaan yang genting seperti yang dihadapi oleh etnik Rohingya untuk menyelamatkan nyawa tidak boleh dibantu, padahal mereka yang sedang dizalimi adalah saudara seagama.

Lebih parah lagi Bangladesh pula tidak mahu bekerjasama untuk menghulurkan bantuan  kemanusiaan kepada pelarian di sempadan yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang cedera. 

Pendirian yang diambil oleh beliau dalam isu yang sudah mendapat perhatian dunia sewajarnya dikutuk kerana tindakannya sama dengan bekas Presiden Mesir Husni Mubarak yang menutup sempadan Rafah yang telah menyekat sebarang bantuan untuk dihantar ke Gaza.

Kini, pelarian yang terputus bekalan makanan bakal menghadapi kebuluran jika bantuan tidak segera dihantar. Laporan yang diterima keganasan ke atas Rohingya Muslim masih berterusan ekoran operasi tentera Myanmar dan esktremis Rakhine yang telah membunuh ribuan etnik Rohingya.

Nyawa kanak-kanak dan kaum wanita berada dalam keadaan yang sangat genting kerana pembunuhan tidak mengira umur sedang berlakukan secara sangat ganas dan brutal.

Bangladesh bertanggungjawab ke atas kematian begitu ramai orang Rohingya kerana menutup sempadan dalam keadaan dharurat yang sepatutnya difahami oleh Perdana Menteri Bangladesh.

Kami menegaskan bahawa seluruh pemimpin Islam dalam OIC dan gerakan Islam perlu segera bertindak untuk membela nasib umat Islam Rohingya yang sedang ditindas.

Tekanan kepada Myanmar dan Bangladesh hendaklah dilakukan sama ada menerusi saluran diplomasi mahupun saluran ketenteraan.

Usaha untuk masuk ke Arakan bagi mengekang pembunuhan etnik Rohingya yang masih berterusan serta menghantar bantuan kemanusiaan perlu dilaksanakan tanpa lengah-lengah lagi.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM 

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA

Thursday, July 26, 2012

Al-Doustur siar lagi laporan fitnah Ikhwan


Suratkhabar Mesir 'Al-Doustur'(الدستور) edisi hari ini, 26/07/2012, Khamis menampilkan paparan utama di ruangan muka hadapan, RISALAH PENTING KEPADA RAKYAT MESIR.

Antara yang disebut:

- Tidak ada apa-apa yang penting kepada golongan Ikhwan melainkan hanya pemerintahan Negara .. selagi mereka terus memerintah ianya adalah bergantung kepada melaksanakan agenda Amerika-Israel untuk mengongkong tentera-tentera Mesir dan SCAF, demikian itu untuk menundukkan keseluruhan tanah Mesir di bawah cengkamannya.

- Amerika boleh sangat mengangkat Ikhwan ke pucuk pimpinan Negara dengan cara pemalsuan dan sogokan kewangan untuk melaksanakan perancangan-perancangan kotor Amerika-Zionis.

Al-Doustur memang tidak pernah serik meskipun paparannya yang lalu menyebarkan tentang perancangan dalaman Ikhwan dan parti Hurriyah Wal-Adalah serta mengaitkan Palestin(HAMAS) untuk menimbulkan huru-hara di Mesir telah pun dinafikan sekeras-kerasnya. Hurriyah Wal-Adalah telah memberi peringatan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghukum Al-Doustur, namun hari ini, Al-Doustur masih keras hati dan tidak mengambil sepenuhnya peluang bulan Ramadhan untuk menginsafi tulisan-tulisan berbaur fitnah malah menjijikkan.

Sepatutnya, Al-Doustur selaku pihak media cetak gunakan peluang yang baik di bulan mulia ini memaparkan kesengsaraan umat Islam di Burma dan menggodam(tulisan) pemerintah di sana yang jelas dan terang menjalankan dasar pembersihan etnik ke atas minoriti umat Islam Rohingya. Jika malas memikirkan hal umat Islam yang lain dan hanya mahu pentingkan rakyat Mesir, gunalah tulisan untuk mendidik rakyat Mesir, sekurang-kurangnya, rakyat Mesir pandai menjaga kebersihan.

Tuesday, July 24, 2012

MAPIM MOHON KETUA BUDDHA HANTAR MESEJ KEPADA KERAJAAN MYANMAR

Cikgu Azmi bersongkok menyerahkan surat kepada Ketua Sami
KEDAH, 24 Julai - Kezaliman yang menimpa minoriti umat Islam di wilayah Arakan, Myanmar terus menjadi perhatian dalam negara dan antarabangsa. 

Demikian itu, salinan kenyataan media yang diterima dari Setiausaha Agung MAPIM(Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Mohd Azmi Abdul Hamid menyebut pihaknya telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha di Alor Setar, Kedah semalam, 23/07/2012. 

Pertemuan ini dalam rangka memohon pemimpin agama Buddha mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Azmi yang diringi oleh beberapa wakil NGO Islam lain iatu ABIM(Angkatan Belia Islam Malaysia), TERAS(Teras Pengupayaan Melayu), dan Persatuan Ulama Kedah telah diterima dengan baik di wad tersebut. 

Encik Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi telah menyerahkan sepucuk surat khas kepada Ketua Pemimpin Buddha itu untuk dibincangkan dengan Ketua Buddha Malaysia yang berada di wad  Padang Sera, Kedah.

Dalam perbincangan semalam, Cikgu Azmi telah menjelaskan kepada ketua sami tersebut bahawa pemimpin-pemimpin Buddha di negara ini perlu bersuara di atas keganasan yang dilakukan oleh penganut agama Buddha yang ekstremis di Arakan, Myanmar. 

Beliau menyatakan bahawa jika penganut Buddha di negara ini dapat hidup aman bersama dengan pelbagai penganut agama yang lain, kenapa kerajaan Buddha Myanmar memilih untuk melihat umat Islam Rohingya sebagai musuh untuk ditindas dan dizalimi.

Ai Lap bersetuju untuk mengangkat isu pembunuhan umat Islam di Myanmar dalam mesyuaratnya dengan ketua-ketua penganut Buddha di Malaysia. Beliau akan memohon agar dipertimbangkan mesej dari Malaysia dihantar kepada Ketua Buddha di Myanmar agar pembunuhan dan penindasan segera dihentikan.

Azmi juga menyatakan bahawa suatu pertemuan khas antara agama akan diadakan bagi menyatakan sikap mereka terhadap kezaliman kerajaan Myanmar ke atas Rohingya Muslim.

Dalam pertemuan itu Ai Lap juga bersetuju supaya isu ini perlu di ambil berat kerana agama Buddha tidak mengajar untuk menzalimi dan menindas orang lain.
Tunjuk perasaan di hadapan bangunan PBB
Rentetan dari pertemuan dengan Ketua Wad Nikhotaram, NGO Malaysia, antaranya MAPIM telah mengadakan tunjuk perasaan hari ini di hadapan bangunan PBB, Kuala Lumpur dan menyerahkan memorandum bantahan. 

Thursday, July 12, 2012

Erdogan: Keputusan Tentera Tidak Hormati Kehendak Rakyat Mesir

Perdana Menteri Turki
ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan menyatakan bahawa 'perintah yang dikeluarkan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir (SCAF) dengan membubarkan parlimen di negara itu tidak menghormati kehendak rakyat'.


Menukil petikan dari agensi berita Turki الأناضول (ANADOLU AGENCY), kata beliau, 'ahli-ahli parlimen yang terpilih secara demokrasi tidak sesekali boleh menerima keputusan mahupun ketetapan seperti ini', demikian itu, beliau mengungkapkan bahawa SCAF menunjukkan sikap kurang menghormati kehendak rakyat melalui keputusan sedemikian rupa dan menganggap parlimen tidak lagi wujud.

Beliau berjanji Turki akan memberi sokongan berterusan kepada rakyat Mesir supaya pemerintahannya kukuh agar ketenteraman awam dan kemakmuran negara mereka tercapai.

Sumber:
11/07/2012, web berita Paltimes.net
Sumber asal:
11/07/2012, web berita Andolu

Monday, July 9, 2012

Speaker Jemput Parlimen Bersidang


Speaker Parlimen

Speaker parlimen, Dr. Saad Al-Katatni menjemput kesemua anggota parlimen untuk bersidang hari ini bagi melaksanakan dekri Presiden yang mengembalikan fungsi parlimen setelahmana Mahkamh Tinggi Perlembagaan memutuskan pembatalan 1/3 ahli parlimen pada bulan lepas, sekaligus parlimen dibubarkan.

Selain itu, sebilangan ahli parlimen dari aliran liberal dan bebas mengumumkan mereka tidak akan hadir dalam sebarang persidangan parlimen malah tidak bersetuju pengembalian fungsi parlimen, dan mereka menganggapnya melanggar undang-undang.

Pada waktu yang sama, Perhimpunan Agung Mahkamah Tinggi Perlembagaan yang diketuai hakim Maher Al-Buhairi mengadakan pertemuan tergempar hari ini bagi meneliti segenap sudut perspektif perlembagaan mengenai pelawaan untuk parlimen bersidang ekoran ketetapan (dekri) yang dikeluarkan oleh Presiden.

Sumber:
09/07/2012, web berita Al-Jazeerah dan web berita Paltimes

Pertembungan Presiden Dengan Tentera


Salah seorang anggota Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) berkata, keputusan Presiden telah menimbulkan pertembungan antara Presiden yang dipilih rakyat dengan tentera dan kehakiman.

Mamduh Shahin, anggota SCAF dalam perbualan telefon dengan salah sebuah stesen berita satelit menyebutkan bahawa ketetapan Presiden Muhammad Morsi telah menimbulkan pertembungan antara Presiden dengan tentera, kuasa perundangan dan kehakiman, tetapi hal ini(pertembungan) berlaku terlalu awal bahkan tidak dijangka, menurut petikan laporan PALTIMES.
Presiden Mesir, Dr. Muhammad Morsi
Sebaik sahaja Presiden mendekrikan(memerintahkan/ قرار جمهوري) penarikan ketetapan nombor 350 tahun 2012 yang menganggap parlimen telah bubar dengan mengembalikan semula fungsi parlimen yang dipilih rakyat untuk kembali bersidang dan menjalankan autoriti yang diperuntukkan kepadanya berdasarkan perkara 33 kanun perlembagaan yang dikeluarkan pada 30 Mac 2011, SCAF segera mengadakan perjumpaan tergempar semalam bagi membincangkan ligitasi dekri Presiden, namun kenyataan Shahin ini adalah ulasan awal dari anggota SCAF berhubung dekri mengembalikan fungsi parlimen.

Nas ketetapan Presiden juga menetapkan diadakan pilihanraya parlimen seawal dalam tempoh 60 hari selepas tarikh dari persetujuan perlembagaan baru dan berakhir dengan penetapan perlembagaan baru bagi parlimen.

Sumber:
09/07/2012, web berita Paltimes dan 08/07/2012 , web berita Al-Jazeerah

Glosari

*dekri: perintah(undang-undang dan lain-lain) yang dibuat oleh pihak berkuasa, raja, pemerintah dan lain-lain. Contoh, قرار تشريعي bermaksud dekri perundangan.
*ligitasi: proses pembicaraan undang-undang di mahkamah

Saturday, July 7, 2012

Bantahan Pembohongan Fitnah Media Dan Fulul

Sebilangan rangkaian sosial facebook menggesa rakyat Mesir sertai 'bantahan rakyat' di hadapan bandar produksi filem/media Mesir(Egyptian Media Production City) yang terletak di 6th October pada jam 06:00 petang ini. Demikian itu bagi mengecam apa yang ditimbulkan dari sebahagian rancangan-rancangan dan program televisyen 'Talk Show' serta akhbar-akhbar(media cetak/elektronik) yang mencetuskan provokasi dan dakyah-dakyah dengan tujuan menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat awam terhadap aliran islamiyyin di Mesir.



*fulul: Saki-baki/sisa-sisa pemerintahan Mubarak


EMPC
Di antara halaman facebook yang terkemuka, 'Gandingan Menentang Fitnah Media Fulul'(ايد واحد ضد اعلام الفتنة والفلول), pentadbirnya, Haisam Talhah menyatakan, bantahan yang akan diadakan ini adalah untuk melawan kempen yang digerakkan oleh sebahagian agensi media yang cenderung kepada pemerintahan yang disingkirkan rakyat (النظام المخلوع) kerana sengaja meniupkan provokasi dan pembohongan-pembohongan yang tidak berpijak di bumi nyata, tujuannya menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat malah menyebarkan sifat kepentingan individu dalam masyarakat.

Jelas Haisam, kempen tersebut dimainkan oleh pihak yang mempelopori الدولة العميقة yang mahu merosakkan ujian demokrasi, lebih-lebih lagi selepas Presiden yang dipilih dari kalangan rakyat awam.

"Kami menyeru keseluruhan rakyat Mesir, lelaki mahupun pemuda, dan wanita supaya hadir membantah dan sama-sama mengecam dengan apa yang telah mereka lakukan," ujar Haisam.

Sumber:
07/07/2012, suratkhabar Hurriyah Wal-Adalah

Thursday, July 5, 2012

Merangkak ke Tanah Palestin


Aura 'Revolusi Arab' @ 'Arab Spring' @ 'الثورات العربية' mula merangkak masuk ke tanah Palestin setelahmana bertahun-tahun Oslo mengikat 'intifadhah'. 

Gelombang yang sudah terbit .. 'Rakyat Mahu Gugurkan Oslo', dan laungan 'Kenapa ada kerjasama keselamatan'..'Bebaskan Tahanan Politik' serta 'Hukum Pembunuh Bukan Menyambut Sebagai Tetamu' juga telah mula meniup semangat pemuda-pemudi. Sebelum tanah-tanah ini dibebaskan sepenuhnya, catatan sejarah 2007 iaitu rampasan bersenjata(ambil alih pemerintahan) di Semenanjung Gaza(قطاع غزة) mungkin boleh menjadi 'kata kunci' bagaimana mahu menunjuk cara membebaskan tanah dan hak Palestin dari cengkaman rejim zionis. Kesannya, Semenanjung Gaza hari ini meskipun masih di bawah sekatan zalim Israel(حصار الاسرائيلي) tetapi mereka telah mewujudkan benteng kukuh menghadang kekejaman zionis selepas 'pembantu setia' zionis diterajang keluar, namun berlainan di Tebing Barat(West Bank) @ tanah-tanah jajahan tahun 1967, sudahlah ahli-ahli parlimen dan parlimen yang dipilih rakyat telah di'gari' malah pejuang-pejuangnya juga diserkap zionis dengan bantuan Palestin sendiri, apa lagi yang tinggal untuk mereka? perpaduan Palestin(المصالحة الفلسطينية)? Gula-gula Oslo Accord? Tebu yang dijanjikan Obama?. 

Tidak kasar, boleh jadi ada pihak yang mahu memakai gelaran saki-baki pemerintahan(فلول النظام). 

Tuesday, July 3, 2012

[Wallpaper] The Road To Jerusalem


Mereka bertiga telah melalui zon yang begitu rumit dan penuh sengsara bukannya zon yang 'selesa'. 

Minda 'beku' mungkin melihat kekejaman Mustafa At-Tarturk takkan mampu lagi mewujudkan era pemerintahan khilafah, namun dari rakyat Turki sendiri telah membina kekuatan sehingga hari ini menampilkan beberapa pendirian teguh dan berpengaruh. Begitu juga, Ghazzah Al-Izzah(غزة العزة), 'firasat dangkal' berpesta apabila algojo zionis menghentam penjuru tanah Palestin kononnya pejuang-pejuang di situ bakal terkubur, namun mereka bangkit dengan kemenangan, ini pun selepas setahun lebih pejuang-pejuang membalun 'kaki dan tangan' makhluk durjana yang menjadi ejen setan zionis. Langkah seterusnya, kekebalan simbol 'piramid' selepas puluhan tahun mencengkam tanah-tanah dan isi Mesir turut terhumban atas katil meskipun kebangkitan rakyat tidak bermain dengan kereta kebal, cukup sekadar laungan 'الشعب يريد اسقاط النظام' dan melepak di Tahrir Square, akhirnya muncul seorang Presiden yang menjadi 'pilihan' rakyat tanpa bekal set kalis peluru ditubuhnya meletakkan janji kepada Allah dan berjanji kepada rakyatnya .. agar selepas ini, wujud lagi ketumbukan kekuatan yang akan membela Islam keseluruhannya. 

Selagi rumit, selagi sengsara .. jalan dan lorong ke Al-Quds semakin terbuka, maka pada hari itu takkan sesiapa mampu menentang ketentuan Allah. Doa serta 'amal yang bersungguh-sungguh moga jalan ini dihuni oleh para pemuda dan pemudi hari ini.

الله اكبر ولله الحمد

Moussa Terpegun Dengan Morsi, Wanita Tahrir Kagum Isteri Presiden

Amr Moussa
KAHERAH, 02 Julai - Amr Moussa, bekas Setiausaha Agung Liga Arab dan bekas calon Presiden semasa pemilihan peringkat pertama berkata, ucapan yang disampaikan oleh Presiden Dr. Muhammad Morsi Isa Al-Ayyat di Universiti Kaherah amat penting dan menunjukkan ia tersedia dengan baik.

Jelas Moussa, antara isi penting yang disebutkan dalam ucapan Presiden mengenai keamanan negara Arab yang mempunyai hubungan dengan keamanan dalam negara Mesir. Berikutan itu, Presiden telah menyatakan pegangannya terhadap kesemua isu Mesir yang diperucapkan beberapa kali. Lebih positif, ucapan beliau menyentuh masa depan Mesir bukannya Mesir yang dahulu malah ucapannya adalah mengenai keseluruhan Mesir dan bukannya Mesir yang berpuak-puak.

Kata Moussa lagi, Presiden dalam ucapannya membicarakan tentang kedudukan masyarakat, lelaki, wanita, umat Islam, dan pengikut masehi dan hal ini menenangkan semua orang.

Presiden Morsi
"Saya terpegun dengan kesungguhannya menuturkan bahasa Arab yang betul(الفصحى) dan beliau akan mengulangi semula ungkapan apabila tersalah dari sudut nahu(tatabahasa)," ujar Moussa.

Respon celaan terhadap penampilan isteri Presiden

Berhubung penampilan isteri Presiden, Najla Ali Mahmoud, sebilangan pihak mencela beliau disebabkan cara pemakaian kononnya kata mereka, Puan Najla tidak boleh menjadi contoh Mesir di mata dunia. Bagaimanapun, sebilangan dari wanita-wanita Mesir yang berada di Dataran Tahrir(Tahrir Square) telah membantah celaan tersebut.

Kata Dalia Muhammad, 34 seorang surirumah, penampilan Puan Najla ini normal sebagai isteri Presiden yang bertudung dalam keadaan sebahagian besar masyarakat dari kalangan wanita memakai tudung tanpa membezakan peringkat kerana kami ini masyarakat yang beragama sejak lahir. 

Puan Dalia mengungkapkan bahawa isteri Presiden telah menunjukkan contoh sebenar kepada masyarakat Mesir, sambil mengkritik apa yang digembar-gemburkan oleh media semasa sebelum revolusi contoh penampilan sebenar wanita Mesir adalah sebaliknya tidak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Puan Najla.
Puan Najla Ali Mahmoud
Manakala, Reham Ahmad berusia 22 tahun turut mengkritik tohmahan terhadap penampilan isteri Presiden. Kata Reham, "dia(Puan Najla) adalah contoh ibu kepada para wanita Mesir dan juga mewakili sebahagian besar wanita Mesir."

Seorang doktor farmasi, Marwah Abdul Rahman berkata, isteri Presiden sepertimana ibu-ibu kami, begitulah yang kami harapkan daripada isteri Presiden.

Marwah turut memuji kenyataan Puan Najla yamg menyebut bahawa beliau bukan 'wanita pertama Mesir' (FLOE), akan tetapi beliau adalah pembantu kepada rakyat Mesir, sambil itu, Marwah mengakui ini adalah perkembangan yang baik dan meminta agar Puan Najla jauh dari politik dan menjalankan kerja membantu rakyat Mesir melalui bidang dan kepakarannya sebagaimana wanita-wanita Mesir yang lain.

Sumber:
02/07/2012, suratkhabar Al-Masryoon




Sunday, July 1, 2012

Percutian PM Guna Wang Rakyat - TERAS


Tiap kali perbelanjaan Kerajaan disalahguna oleh pemimpin Negara, rakyat perlu bantah


Dengan kekesalan yang amat mendalam, Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) ingin menyatakan bahawa bila Jabatan Perdana Menteri(JPM) mengesahkan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak bercuti peribadi di Milan menggunakan pesawat eksekutif dan kos yang tinggi yang terpaksa dibiaya dari wang rakyat, maka seluruh keyakinan rakyat terhadap beliau sebagai pemimpin berslogan 'rakyat didahulukan' lesap samasekali.

Rakyat bertanggungjawab menegur dan mengkritik keras atas sebab apa pemimpin yang sudah bergaji lumayan, diserta segala kemudahan yang diperuntukkan, tiba-tiba masih dibenar berbelanja besar untuk bercuti dengan menggunakan wang rakyat.

Inikah tabiat pemimpin Negara yang dikehendakki rakyat? Inikah jenis urustadbir yang ingin ditunjukkan kepada dunia dengan slogan Islam wasotiyyah?

Baru-baru ini seorang Menteri dipersoal kenapa wang awam diguna hanya untuk membeli plat kereta, ada lagi sebelum ini yang menyambut hari kelahiran dan hari pertunangan anak dengan berbelanja mewah.  

Berapa banyak lagi wang rakyat yang akan dihalalkan untuk diguna oleh pemimpin-pemimpin Negara?

Kami tidak dapat menerima alasan JPM bahawa hanya jumlah minimum pegawai-pegawai mengiringinya dalam percutian itu yang menelan belanja RM273,799.57 kerana yang jelas ia menggunakan wang pembayar cukai.

Kami persoalkan apakah alasan beliau mengguna pesawat rasmi untuk urusan peribadi? Perdana Menteri harus tahu bahawa implikasi mengambil kesempatan bercuti dengan pesawat eksekutif rasmi bermakna wang rakyat diguna untuk membiayai kos yang bukan sedikit.

Penjelasan Timbalan Menteri di JPM yang mengesahkan perbelanjaan PM bercuti mengguna wang rakyat tidak bersalahan dengan peraturan adalah bagaikan 'seorang anak dipaksa mempertahankan tindakan si bapak  yang jelas mengkhianati amanah'. 

Malah lebih jelas, bila PM sendiri adalah Menteri Kewangan, siapa dikalangan pegawai awam yang berani mempersoalkan penggunaan wang awam untuk urusan peribadi PM.

Inilah sebabnya kenapa, PM tidak sepatutnya menjadi Menteri Kewangan.

Jika peraturan menyatakan bahawa walaupun YAB Perdana Menteri sedang bercuti, ia tidak memutuskan tugas dan tanggungjawab jawatan beliau sebagai perdana Menteri Malaysia, kami ingin tahu adakah dengan itu semua perbelanjaan peribadi beliau harus ditanggung oleh wang rakyat?

Kami membantah pandangan Timbalan Menteri tersebut bahawa atas dasar keselamatan dan kepentingan negara, maka persoalan kelulusan kerajaan bagi YAB perdana menteri menggunakan pesawat eksekutif kerajaan semasa mengadakan lawatan peribadi tidak seharusnya timbul.

TERAS menegaskan sememangnya ia harus dipersoal. Mana mungkin penyalahgunaan wang rakyat, tidak perlu dipersoalkan. Walhal inilah antara aspek urustadbir yang paling perlu diawasi.

Soalnya, jika semua Menteri bertindak dan beralasankan seperti itu apakah ini menjadi amalan yang boleh disahkan oleh perbendaharan sebagai tatacara yang standard.

TERAS bependirian bahawa budaya pemimpin dalam kerajaan yang sedia ada tidak dapat dijadikan tauladan samasekali terutama dari segi kemewahan dan gaya hidup elitis para Menteri. 

Bukan sahaja mereka jelas tidak menunjukkan etika dan integriti dalam kepimpinan malah tidak menunjukkan rasa bersalah mengguna wang rakyat yang diamanahkan.

Jika Perdana Menteri sendiri berbudaya seperti ini , tidak terkejut amalan ini menjadi amalan arus perdana dalam kerajaan dan parti yang memerintah sekarang.

TERAS mendesak wang perbelanjaan PM semasa bercuti tersebut yang melibatkan wang rakyat perlu segera dipulangkan semula kepada perbendaharan.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS