RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Tuesday, January 1, 2008

Giliran Haniah pula..

Serangan ganas terhadap penduduk Palestin, sama ada di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat terus berlanjutan tanpa henti. Keganasan rejim Israel bagaikan di’rasuk’ aura hitam menandakan mereka bukan mahukan keamanan sepertimana agenda mereka di dalam rundingan dan perjanjian damai.

Rundingan dan perjanjian damai hanyalah adaptasi daripada rancangan yang tidak berperikemanusiaan. Slogan damai dan aman yang mereka laungkan sebelum ini ternyata membuka pekung di dada, bukan damai dan aman tetapi ganas dan ancam itulah peribadi mereka.

Saban tahun, setiap pemimpin Palestin yang tidak tunduk atas kemahuan mereka pasti menjadi buruan. Kekacauan yang mereka lakukan bukan sahaja di sudut luaran dengan senjata tetapi juga merangkumi sudut dalaman dengan menggagalkan sesebuah kerajaan.

Ismail Haniah merupakan pemimpin tertinggi HAMAS, kini tiba gilirannya apabila Israel telah menyatakan ‘dialah sasaran kita sekarang’ setelah Syeikh Ahmad Yaasin, Dr. Abd Aziz Al-Rantisi dan pejuang yang lain telah menemui syahid.

Haniah yang terkenal dengan ketegasan dan merupakan pemimpin sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Peribadinya tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel melambangkan prinsip dan keteguhan jiwa seorang pejuang adalah antara penyebab timbulnya kegerunan di kalangan musuh terhadapnya.

Beliau(HAMAS) telah memenangi pilihanraya umum Palestin pada 2006 secara bersih dan menjadi tonggak utama dalam usaha memerdekakan Palestin dari cengkaman dan belenggu zionis Israel. Ketika HAMAS memenangi pilihanraya tersebut, prinsip demokrasi berjalan dengan baik sepertimana yang dituntut oleh barat. Tetapi sebaik sahaja kerajaan berpihak kepada HAMAS, keadaan berubah. HAMAS tidak diberi hak sepenuhnya mentadbir Palestin. Kekacauan dan pemboikotan sepenuhnya yang dilakukan Amerika Syarikat dan sekutunya telah merubah demokrasi kepada hipokrasi, semuanya menjadi ucapan retorik semata.

Saat dan masa ini, rejim Israel telah merancang pembunuhan ke atas Ismail Haniah.

Hal ini seperti yang dilaporkan dalam Palestin-info 29/12/07, dewan keamanan Israel telah meluluskan operasi pembunuhan Ismail Haniah secepat yang mungkin. Pastinya, Ehud Barak, menteri pertahanan Israel yang mendrafkan cadangan ini kerana beralasan Haniah mengarahkan serangan roket ke atas beberapa buah bandar Israel dan sepatutnya dibunuh demi keamanan penduduk Israel.

Draf tersebut telah dipersetujui Bush yang kelihatan bersungguh. Operasi tersebut telah bermula dari sekarang sama ada sebelum atau selepas lawatan Bush ke Israel. Jika Liga Arab, OIC dan kesemua pemimpin negara arab dan negara Islam diam serta kaku hanya menongkat dagu..siapakah yang akan membantu Ismail Haniah dan pejuang Palestin untuk mempertahankan tanah-tanah, dan maruah umat Islam di sana?
[May Allah Help Us On His Straight Path]

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?.. Meskipun penduduk Palestin juga berbangsa arab, tetapi hakikatnya negara jiran yang berbangsa arab juga tidak mampu untuk memberikan pertolongan yang sewajarnya. Di manakah dasar kemanusiaan? Ke mana konsep demokrasi yang dilaungkan sebenarnya? Mana ungkapan bangsa arab yang diwar-warkan sebelum ini?

Mesir, negara arab yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, Palestin amat tidak bertanggungjawab apabila sebilangan besar jemaah haji yang mahu pulang ke Gaza tidak diberi hak yang sewajarnya. Al-Jazeerah, 28/12/07 melaporkan Mesir menghalang 1700-2400 orang jemaah haji Gaza yang mahu pulang ke Semenanjung Gaza. Bagaimanapun, jika mahu pulang mesti mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu memasuki Gaza melalui sempadan Karem Abu Salem yang dikawal ketat oleh tentera Israel. Syarat ini ternyata ditolak mentah oleh jemaah haji Gaza kerana apabila melalui sempadan tersebut, mereka akan berhadapan dengan keganasan rejim Israel. Sebaliknya mereka meminta agar dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Sangkaan jemaah haji Gaza tepat kerana memang berlaku keganasan. Palestin-info, 31/12/07 melaporkan kematian seorang wanita(hajjah) dan 4 orang bersamanya turut cedera apabila rejim Israel bertindak melepaskan tembakan setelah mereka melalui sempadan Irez, Beit Hanoun(dikawal Israel) untuk pulang ke Gaza kerana kerajaan Mesir tidak membuka sempadan Rafah. Dalam masa yang sama, kedapatan daripada jemaah haji Gaza melancarkan tunjuk perasaan untuk menuntut mereka dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Hormatilah para jemaah haji baitullah, inilah antara slogan ketika berlakunya tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh jemaah haji Gaza.

Siapa yang patut dipertanggungjawabkan? Kerajaan Mesir? Rejim Israel?, penulis berkeyakinan seandainya Mesir menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah untuk membawa para jemaah haji Gaza pulang dengan selamat ke Semenanjung Gaza, peristiwa ganas ini tidak akan berlaku. Tetapi, kerana desakan dan tekanan Israel yang sememangnya kejam..begitulah keadaannya. Dalam hal ini, Mesir sewajibnya melindungi dan menjaga nasib penduduk Palestin yang berbangsa arab bukannya membiarkan mereka tersembam di hadapan kasut but pengganas Israel.

Amat menyedihkan apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Penerangan Palestin, Riyadh Maliki amat menyentap perasaan dan jiwa ummah.

Al-Jazeerah 31/12/07, “Kerajaan akan membenarkan para jemaah haji Gaza pulang melalui sempadan Rafah setelah mendapat persetujuan daripada pemerintah Israel“, ujar menteri tersebut.

Ketika artikel ditulis, jemaah haji Gaza masih belum mendapat kebenaran untuk melalui sempadan Rafah.

Liga Arab, OIC dan semua umat Islam..tolonglah beri bantuan dengan penuh amanah kepada saudara seaqidah ini. Mereka juga perlukan perhatian bukannya kesengsaraan.