Tiap kali perbelanjaan Kerajaan disalahguna oleh pemimpin Negara, rakyat perlu bantah
Dengan kekesalan yang amat mendalam, Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) ingin menyatakan bahawa bila Jabatan Perdana Menteri(JPM) mengesahkan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak bercuti peribadi di Milan menggunakan pesawat eksekutif dan kos yang tinggi yang terpaksa dibiaya dari wang rakyat, maka seluruh keyakinan rakyat terhadap beliau sebagai pemimpin berslogan 'rakyat didahulukan' lesap samasekali.
Rakyat bertanggungjawab menegur dan mengkritik keras atas sebab apa pemimpin yang sudah bergaji lumayan, diserta segala kemudahan yang diperuntukkan, tiba-tiba masih dibenar berbelanja besar untuk bercuti dengan menggunakan wang rakyat.
Inikah tabiat pemimpin Negara yang dikehendakki rakyat? Inikah jenis urustadbir yang ingin ditunjukkan kepada dunia dengan slogan Islam wasotiyyah?
Baru-baru ini seorang Menteri dipersoal kenapa wang awam diguna hanya untuk membeli plat kereta, ada lagi sebelum ini yang menyambut hari kelahiran dan hari pertunangan anak dengan berbelanja mewah.
Berapa banyak lagi wang rakyat yang akan dihalalkan untuk diguna oleh pemimpin-pemimpin Negara?
Kami tidak dapat menerima alasan JPM bahawa hanya jumlah minimum pegawai-pegawai mengiringinya dalam percutian itu yang menelan belanja RM273,799.57 kerana yang jelas ia menggunakan wang pembayar cukai.
Kami persoalkan apakah alasan beliau mengguna pesawat rasmi untuk urusan peribadi? Perdana Menteri harus tahu bahawa implikasi mengambil kesempatan bercuti dengan pesawat eksekutif rasmi bermakna wang rakyat diguna untuk membiayai kos yang bukan sedikit.
Penjelasan Timbalan Menteri di JPM yang mengesahkan perbelanjaan PM bercuti mengguna wang rakyat tidak bersalahan dengan peraturan adalah bagaikan 'seorang anak dipaksa mempertahankan tindakan si bapak yang jelas mengkhianati amanah'.
Malah lebih jelas, bila PM sendiri adalah Menteri Kewangan, siapa dikalangan pegawai awam yang berani mempersoalkan penggunaan wang awam untuk urusan peribadi PM.
Inilah sebabnya kenapa, PM tidak sepatutnya menjadi Menteri Kewangan.
Jika peraturan menyatakan bahawa walaupun YAB Perdana Menteri sedang bercuti, ia tidak memutuskan tugas dan tanggungjawab jawatan beliau sebagai perdana Menteri Malaysia, kami ingin tahu adakah dengan itu semua perbelanjaan peribadi beliau harus ditanggung oleh wang rakyat?
Kami membantah pandangan Timbalan Menteri tersebut bahawa atas dasar keselamatan dan kepentingan negara, maka persoalan kelulusan kerajaan bagi YAB perdana menteri menggunakan pesawat eksekutif kerajaan semasa mengadakan lawatan peribadi tidak seharusnya timbul.
TERAS menegaskan sememangnya ia harus dipersoal. Mana mungkin penyalahgunaan wang rakyat, tidak perlu dipersoalkan. Walhal inilah antara aspek urustadbir yang paling perlu diawasi.
Soalnya, jika semua Menteri bertindak dan beralasankan seperti itu apakah ini menjadi amalan yang boleh disahkan oleh perbendaharan sebagai tatacara yang standard.
TERAS bependirian bahawa budaya pemimpin dalam kerajaan yang sedia ada tidak dapat dijadikan tauladan samasekali terutama dari segi kemewahan dan gaya hidup elitis para Menteri.
Bukan sahaja mereka jelas tidak menunjukkan etika dan integriti dalam kepimpinan malah tidak menunjukkan rasa bersalah mengguna wang rakyat yang diamanahkan.
Jika Perdana Menteri sendiri berbudaya seperti ini , tidak terkejut amalan ini menjadi amalan arus perdana dalam kerajaan dan parti yang memerintah sekarang.
TERAS mendesak wang perbelanjaan PM semasa bercuti tersebut yang melibatkan wang rakyat perlu segera dipulangkan semula kepada perbendaharan.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS