RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Sunday, May 20, 2007

Israel mengganas di Ghaza


Keganasan rejim haram Israel menuju kemuncak yang cukup dahsyat, tidak cukup dengan merampas tanah Palestin mereka turut membedil dan memusnahkan segala prasarana Palestin. Perancangan ganas mereka terhadap Palestin cukup jelas, andai nyawa pun mereka tidak endah apatahlagi segala prasarana terbina di Palestin turut mereka musnahkan.

Catatan tarikh 17 Mei 2007 menjadi kronologi sejarah berikutan kesinambungan kezaliman dan keganasan Israel, kelibat rejim haram Israel seperti 'drunken-master' menyerang beberapa perkampungan di Ghaza menggemparkan seluruh dunia arab apabila serangan darat dan udara mereka kuasai dengan penuh rakus. Tidak kurang pula dengan senjata berat yang digunakan memaksa penduduk di perkampungan tersebut menyembah mereka. Sejumlah besar tentera Israel turut dikerahkan berhimpun di sempadan timur Ghaza dalam usaha meluaskan kawasan penempatan untuk kepentingan bangsa mereka yang kononnya dianggap mulia.

Laporan berita Al-Jazeerah semalam (18 Mei) membongkar sikap Bush dan Blair yang tidak ada rasa tanggungjawab dengan pencerobohan rejim Israel ke Ghaza. Bush dan Blair hanya mampu mengatakan 'bimbang' dengan kekacauan yang berlaku di Ghaza. Apa yang mereka bimbang sebenarnya? Mereka ada kuasa untuk menghalang Israel dari terus mengganas, tetapi kenapa tiada tindakan untuk menghalang?

Mungkin kebimbangan yang Bush dan Blair rasai, bagaimana sekiranya Israel tidak mampu bertindak dengan bebas dan kejam merampas segala kepentingan di Palestin untuk mereka. Ataupun bagaimana pula jika Kerajaan Campuran yang diketuai HAMAS berjaya menggagalkan usaha dan perancangan Israel.

Berikutan kenyataan Washington menyatakan pengeboman dan serangan Israel ke atas Ghaza adalah sebagai langkah "mempertahankan diri" cukup dangkal. Mana mungkin, untuk mempertahankan diri sanggup pula membunuh penduduk Palestin dengan penuh kejam. Tindakan Israel yang mengerahkan 20 jentera perang Israel merempuh penempatan 'Qaryah Kafr Dan' di barat Jenin, beberapa buah Kereta kebal Israel turut menyerang timur Ghaza, dan jet-jet pejuang mengebom Ghaza mengakibatkan kehilangan nyawa dengan bangunan-bangunan turut musnah..adakah ini langkah pertahankan diri? Jika dinilai dengan akal yang sihat ini adalah bentuk kekejaman yang dilakukan secara halus meskipun nyawa penduduk Palestin menjadi taruhan. Tindakan rejim haram Israel yang mengganas sebegini bukan kali pertama!

Tidak cukup dengan hamburan kenyataan sedemikian, Washington turut menyalahkan HAMAS dan pergerakan bersenjata yang lain kerana dikatakan sebagai punca dan penyebab meletusnya serangan tersebut. Kenyataan yang tidak masuk akal ini merupakan jarum halus bertujuan memecahbelahkan umat Islam Palestin, malahan dunia arab yang lain turut terkesan.

Amat menyedihkan inilah realiti sebenar yang melanda Palestin, pihak keamanan Kerajaan Campuran Palestin tidak ada kekuatan secanggih teknologi senjata Israel tetapi mereka dipandang seperti 'pengganas'.

Ketika artikel ini ditulis, penulis merasai kesedihan yang amat kerana Ghaza bersendirian merasai kepedihan tanpa dipedulikan umat Islam disekelilingnya. Liga Arab, OIC dan seumpamanya menjadi harapan supaya nasib umat Islam Palestin terbela tetapi hipokrit semata-mata. Negara umat Islam yang berjiran juga tidak mengendahkan Ghaza, apatahlagi Palestin yang kian hari dicerai-beraikan tanah-tanahnya. Cukup licik perancangan musuh kerana lemahnya umat Islam.

Usaha Kerajaan Campuran Palestin untuk bangkit menjuarai ruang biarpun bergerak dalam kurang kelengkapan yang sewajarnya, namun mereka juga tidak terlepas tohmahan dan hujuman masyarakat sekeliling. Ghaza yang diceroboh Israel bukanlah menjadi 'buah mulut' segolongan pihak tetapi yang dipertikaikan adalah Kerajaan Campuran Palestin yang diketuai HAMAS yang dikatakan tidak sistematik. Apakan daya Kerajaan Campuran Palestin, mereka amat memerlukan sokongan dan dokongan umat-umat Islam seluruh dunia. Penulis merasa bangga dengan prinsip Kerajaan Campuran Palestin, biarpun nampak lemah tetapi pendirian tetap akan teguh 'tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel' seperti yang dilafazkan Ismail Haniah.

Sepatutnya kita umat Islam merasa bangga dengan adanya Kerajaan Campuran Palestin menjadi contoh kerana berjaya melalui proses pilihanraya terbersih di Timur Tengah yang lalu, biarpun dikatakan lemah tetapi nasib Palestin dan penduduknya berada di bawah tanggungjawab mereka. Semoga Allah Ta'ala membantu seiring keihklasan mereka yang bercita-cita meninggikan kalimah Allah.

Sekian.

Wednesday, May 2, 2007

Palestin: Jualan langsung, dilelong tanpa sedar?

Peta gambarajah: Palestin tahun 1946
Peratus populasi penduduk di Palestin antara yahudi dan masyarakat Palestin.

Road Map @ pelan damai tajaan barat menjadi token berlangsungnya lelongan tanah Palestin. Rejim haram Israel serta sekutunya riang gembira apabila lelongan tanah di Palestin amat mudah, tanpa perlu menetap harga. Sikit demi sedikit bangunan-bangunan yang didiami masyarakat Palestin yang diibaratkan seperti bukit-bukau digondol dan ditarah tanpa halangan. Amat menyedihkan umat Islam di Palestin memerlukan segala prasarana untuk hidup seperti masyarakat di lain Negara, namun tiada bantuan yang mampu memenuhi keperluan mereka. Jika mahukan peluru dan bom amat mudah, rejim haram Israel tanpa segan-silu memberinya.

Kerajaan Campuran Palestin yang baru ditubuhkan tidak diperuntukkan bantuan kewangan yang sewajarnya biarpun penubuhan tersebut adalah mengikut sistem demokrasi yang 'bersih', namun pimpinan Kerajaan ini mengambil inisiatif supaya berusaha untuk menyelamatkan Palestin. Jika dibandingkan Kerajaan Palestin sebelum ini menerima peruntukan kewangan yang cukup tinggi berjumlah ratusan juta dolar tahunan tetapi tidak mampu memberikan keamanan di Palestin, malah tanah-tanah Palestin juga terhakis dengan mudah. Kenapa?

Dalam catatan ini, penulis tidak bercadang menghuraikan secara mendalam tentang perjanjian-perjanjian damai tajaan barat antara Israel-Palestin.

Secara ringkas peta yang tertera akan membantu pembaca memahami catatan ini.
Peta di sebelah menunjukkan peratusan pembahagian
kawasan yang dikuasai oleh setiap pihak di Palestin
pada tahun 1946

Antara perjanjian damai tajaan barat (Palestin-Israel)

1. Camp David Accords
2. Madrid Conference
3. Oslo Accords
4. Hebron Agreement
5. Wyve River Memorandum
6. Sharm e-l-Sheikh Memorandum
7. Camp David 2000 Summit
8. Taba Summit
9. Road Map for Peace

Kesan perjanjian tersebut telah mengubah topografi Palestin dan memudahkan lelongan tanah di Palestin, siapa yang bertanggungjawab mengembalikan semua ini kepada penduduk Palestin khususnya umat Islam.

Peta gambarajah: Perancangan pembahagian wilayah di Palestin
pada tahun 1947. Kawasan yang berwarna kuning masih dimiliki
masyarakat arab Palestin(majoriti umat Islam), manakala
yang berwarna jingga merupakan kawasan yang dikuasai yahudi-Israel
melalui rampasan, pembunuhan dan kekejaman. Tahun 2007, kawasan
berwarna kuning telah mengecil hasil perluasan kawasan secara kejam yang dilakukan yahudi-Israel.

Peta di atas adalah perancangan pembahagian pada tahun 1947 yang dilakukan oleh United Nation @ PBB supaya yahudi-Israel mendapat hak yang tidak sewajarnya. Tindakan seterusnya Israel akan memaksa HAMAS yang mengetuai Kerajaan Campuran Palestin supaya 'mengiktiraf kewujudan Negara Israel', bermakna sekarang proses Israel adalah mendapatkan geran tanah(istilah yang lebih mudah di fahami) secara mutlak iaitu matlamat menghalalkan cara dengan merampas tanah Palestin terlebih dahulu dan membunuh penduduk Palestin.

Pembinaan tembok pemisah antara kawasan juga merupakan tindakan yahudi-Israel yang tidak bermaruah, kebetulan U.S di Iraq juga meniru pembinaan tembok tersebut yang bertujuan mengekang keganasan. Siapa yang mengganas sebenarnya?

Bagaimana pendirian pembaca sekalian? Apakah tindakan kita untuk membantu selamatkan umat Islam dan Palestin dari cengkaman yahudi-Israel. Bila tuan tanah yang bersikap tiada pendirian berkata, 'jika kita bersendirian yang mempertahankan Palestin amat mustahil semua ini dapat diselamatkan tetapi kalau kita serah tanah ini secara terhormat, kita semua akan lebih selamat'. Tetapi lain pula tuan tanah yang berpendirian tegas mengikut tuntutan syariat Islam, dia akan berkata 'Kita tidak akan serahkan semua ini, kita akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir..ada dua harapan kita, sama ada menang atau syahid'.

Sekian.

'Merindui janjiNya,mengintai syahid'