Wednesday, August 21, 2013

USAH TERLALU GHAIRAH DENGAN MUJAMALAH SEPERTI ITU

Rempuhan di Rabi'ah Al-Adawiyah
Maaf, saya kurang suka cakap orang itu bodoh atau orang ini bodoh tetapi jika kezaliman dan kejahatan memang telah berlaku secara terang-terangan tanpa berselindung, namun masih ada orang yang terpegun dengan ucapan terbaru as-sisi memang orang itu menunjukkan kebodohannya sebab cara 'mujamalah' arab memang begitulah bodoh.

Saya bercakap begini bukan semata-mata teringin sangat mengata orang tetapi untuk menyedarkan semua orang agar tidak terus hanyut dibuai kata-kata manis dan pujukan sehingga lupa apa itu kezaliman atau hilangnya rasa perikemanusiaan dan sudah tidak 'reti' lagi menilai. Bukalah mata hati agar lebih nampak.

1) Ratusan (sumber lain ribuan) penunjuk perasaan aman dibunuh secara 'membabi-buta' (jika ungkapan inipun tak faham, sila rujuk kamus dewan) demi meleraikan tunjuk perasaan aman sedangkan boleh mengelak dari berlaku pembunuhan besar-besaran seperti pihak tentera menghantar delegasi ke Raba'ah @ An-Nahdhah dan buat pemeriksaan jika wujudnya tuduhan di situ terdapat senjata. Penunjuk perasaan aman sudah menyuarakan perkara ini tetapi perampas tidak mengendahkan, sebaliknya tetap mahu merempuh.

2) Perkara ini telah menjadi isu kemanusiaan, kebebasasan hak, hak asasi manusia, dan nilai keadilan yang diketepikan.

3) Buka sekejap 'kejumudan' agar lihat sumber-sumber berita yang lain, jangan asyik terpegun dengan sumber-sumber yang menyokong rampasan kuasa. Jika orang lain pun masih boleh membaca isi AL-AHRAM, AL-JUMHURIYAH, AL-WATAN, MISRIL YOUM, YOUM 7, dan lain-lain lagi serta mendengar melihat berita AL-NIL, ONTV, DREAM, dan yang lain-lain, kenapa tidak berusaha melihat sumber alternatif dari AL-JAZEERAH, AL-QUDS, sumber FJP, sumber Ikhwan, RASSD, dan sealiran dengannya.

4) Terheret dengan dakwaan penunjuk perasaan memiliki senjata dan membakar masjid, gereja dan harta awam. Jika cerdik sudah pasti dapat membuat tanggapan yang betul. Seandainya penunjuk perasaan aman memiliki senjata, sudah pasti orang pertama yang akan dibunuh adalah 'sniper' kerana rakaman video dan berita jelas terpampang dan mudah menjadi target. Begitu juga anggota-anggota polis dan tentera juga pasti akan menjadi sasaran 'sniper' penunjuk perasaan aman sekiranya dirancang sedemikian, tetapi berlaku atau tidak? Perlu faham, samseng-samseng juga terlibat dalam situasi sebegini (saksi bukan dari Ikhwan cerita pada saya). Sebarang kemungkinan boleh berlaku.

5) Isu asal kepada krisis yang berlaku ini adalah 'rampasan kuasa' dari pemerintah yang dipilih oleh rakyat melalui peti undi pilihanraya Presiden, Parlimen, dan Shoura Council.