Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang tidak mahu membantu pelarian Rohingya dari Arakan yang sedang ditindas dengan zalim oleh regim Myanmar.
Kenyataan beliau yang mengatakan Bangladesh tidak bertanggungjawab untuk membantu pelarian itu adalah kenyataan yang tidak layak keluar dari seorang pemimpin Islam dari sebuah negara umat Islam.
Sementara kita tidak menafikan bahawa Bangladesh memang sebuah negara yang miskin, itu tidak bermakna keadaan yang genting seperti yang dihadapi oleh etnik Rohingya untuk menyelamatkan nyawa tidak boleh dibantu, padahal mereka yang sedang dizalimi adalah saudara seagama.
Lebih parah lagi Bangladesh pula tidak mahu bekerjasama untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian di sempadan yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang cedera.
Pendirian yang diambil oleh beliau dalam isu yang sudah mendapat perhatian dunia sewajarnya dikutuk kerana tindakannya sama dengan bekas Presiden Mesir Husni Mubarak yang menutup sempadan Rafah yang telah menyekat sebarang bantuan untuk dihantar ke Gaza.
Kini, pelarian yang terputus bekalan makanan bakal menghadapi kebuluran jika bantuan tidak segera dihantar. Laporan yang diterima keganasan ke atas Rohingya Muslim masih berterusan ekoran operasi tentera Myanmar dan esktremis Rakhine yang telah membunuh ribuan etnik Rohingya.
Nyawa kanak-kanak dan kaum wanita berada dalam keadaan yang sangat genting kerana pembunuhan tidak mengira umur sedang berlakukan secara sangat ganas dan brutal.
Bangladesh bertanggungjawab ke atas kematian begitu ramai orang Rohingya kerana menutup sempadan dalam keadaan dharurat yang sepatutnya difahami oleh Perdana Menteri Bangladesh.
Kami menegaskan bahawa seluruh pemimpin Islam dalam OIC dan gerakan Islam perlu segera bertindak untuk membela nasib umat Islam Rohingya yang sedang ditindas.
Tekanan kepada Myanmar dan Bangladesh hendaklah dilakukan sama ada menerusi saluran diplomasi mahupun saluran ketenteraan.
Usaha untuk masuk ke Arakan bagi mengekang pembunuhan etnik Rohingya yang masih berterusan serta menghantar bantuan kemanusiaan perlu dilaksanakan tanpa lengah-lengah lagi.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM
Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA