Monday, October 22, 2007

Muslimah Hari Esok


Judul Buku : "Muslimah Hari Esok"
Penulis : Dr.Yusuf Qardhawi

Ulasan : sEnja^nan^mEraH


Sabda Rasulullah SAW : "Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah".
Melihat kepada sabda Rasulullah SAW yang telah disebutkan di atas, terlintas difikiran kita kaitannya dengan sebuah buku yang dikarang oleh Dr.Yusuf Al-Qardhawi yang berjudul "Muslimah Hari Esok". Beliau menekankan peri pentingnya keperibadian muslimah yang patuh, beriman, taat, sentiasa bertaubat dan kuat beribadat. Namun jawapan yang tepat kepada persoalan, mengapa dipilih tajuk "Muslimah Hari Esok", kerana muslimah hari ini tidak berperwatakan yang sewajarnya?. Walaupun ia sebagai gambaran umum seperti yang dinyatakan oleh penulis, tetapi inilah tumpuan yang bertujuan untuk melahirkan peribadi muslimah yang telah kita impikan sebelum ini, pada masa sekarang ataupun pada masa akan datang.

Di awal perbahasan, ia mengisarkan pemahaman ideologi yang terpesong dan pengamalan yang tidak menepati ajaran Islam terhadap muslimah kerana ada yang terlalu mengongkong kebebasan wanita dan ada pula yang terlalu memberi seluasnya kebebasan kepada wanita. Amat menyedihkan lagi, pasangan yang telah bertunang bebas dengan aktiviti berdua-duaan tanpa ada batasan..dengan alasan mereka keluar berdua adalah dengan keizinan ibu-bapa. Inilah ancaman-ancaman yang menggambarkan betapa rapuhnya pendirian kita dan juga pendirian seorang wanita.

Wanita merupakan elemen penting dalam Islam kerana apa jua yang berkaitan dengan kehidupannya adalah terjamin di bawah tanggungjawab lelaki. Jika ia anak, yang menanggungnya adalah ayahnya dan jika ia seorang isteri, yang menanggungnya adalah suaminya. Pun begitu, Islam juga memberi hak yang teristimewa kepada wanita. Contohnya dalam pembahagian harta, galakkan menuntut ilmu, isteri dalam masa yang sama juga sebagai ibu terbeban dengan dua tanggungjawab sekaligus dan berkarier. Justeru, dalam apa jua tindakan wanita diingatkan agar tidak cuba menandingi dan tidak cuba memusuhi kaum lelaki. Masakan, dengan keistimewaan yang Islam letakkan kepada wanita adalah sebagai pelengkap kepada kaum lelaki (suami isteri).

Dalam perbahasan yang seterusnya, penulis berpesan agar wanita atau muslimah tidak menjadikan wanita-wanita barat sebagai ikutan (role-model) yang mahukan sama taraf dengan kaum lelaki ataupun lebih dari itu, selagimana mereka berkemampuan untuk mengejar nilai material. Dalam hal ini, kaum lelaki turut diingatkan supaya kekal dengan kelelakiannya. Oleh kerana itu Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita supaya dapat menjaga fitrah kejadian mereka.

Tidak dinafikan, wanita mampu menjadi seorang pendorong semangat yang kuat, ini dapat dilihat sejarah perjuangan Rasulullah SAW ketika menerima amanah daripada Allah Taa’la memakmurkan bumi dengan ajaran Islam. Siti Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad SAW turut membantu misi perjuangan dalam melebarluaskan ajaran Islam.

Mungkin kita masih ingat kisah seorang ibu, Khansa’ yang telah mendidik anak-anaknya dengan semaian ajaran Islam. Ketika seruan jihad
berkumandang, suaranya juga menyeru agar anak-anaknya keluar berjihad : “Wahai pejuang Allah, tunggangilah kudamu!, wahai bala tentera Allah, maralah…!”. Inilah suara pengobar semangat yang membakar dalam jiwa anak-anaknya. Biarpun keempat anak-anaknya syahid tetapi keimanan dalam jiwanya dapat mengatasi kesedihan yang melanda. Malah Khansa’ mengucapkan : “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan kematian mereka dan menjadikan mereka pemberi syafaat bagiku di akhirat kelak”.
_____________________________
::Kempen Bi'ah Solehah PMRAM:: Salah satu usaha praktikal ilmu demi memastikan mahasiswa-mahasiswi Melayu di Mesir memanfaatkan ilmu yang dituntut menjadi landasan kehidupan yang tidak sunyi dari penangan hawa nafsu. Adakah ia berjaya membentuk muslim dan muslimah hari esok? Bagaimana pula dengan mahasiswa-mahasiswi kini?..
_________________________________________________________________________

Jika ibu-ibu yang ada pada hari ini juga sedemikian, pasti menjadi antara faktor yang menguatkan Islam dan kekuatan Islam terus terpahat kukuh. Lihatlah!! Palestin, Chechnya, Afghanistan, Iraq, Kosovo, dan lain-lain menerima tentangan yang sengit dari pihak musuh. Palestin telah dijajah selama 40 tahun, hingga kini tiada kesan dan perubahan malah keadaan di sana lebih buruk dari semasa ke semasa. Inilah juga yang kita mahukan para ibu-ibu pada masa akan datang mencapai tahap seperti Khansa', suaranya membakar semangat juang anak-anak. Seandainya, anak-anak masa ini dididik ibu seperti Khansa'..pasti pemuda-pemudi hari ini jiwa mereka adalah jiwa merdeka yang diseliputi semangat jihad. Dalam masa yang sama kebejatan gejala moral juga akan beransur pulih, tidak sebagaimana saat ini yang menimpa pemuda-pemudi Islam khususnya Malaysia kita. Jangan ada kalam retorik, malah tindakan kita. Jangan tunggu tibanya hari esok baru hendak menggegarkan jiwa pemuda-pemudi dengan laungan seperti Khansa' tetapi bertindaklah pada saat ini. Untuk ibu-ibu, bentuklah pemudimu supaya jiwa mereka tidak rapuh, supaya jiwa mereka tidak terlalu memandang keindahan fesyen masa kini sehingga menjauhkan minda mereka memikirkan apa yang telah ditunjukkan oleh Khansa'.

Muslimah hari esok yang kita impikan adalah muslimah yang tahu tentang agama mereka dengan lebih mendalam, jelas hala tujunya tanpa dipinggirkan dari kehidupan dan agama.

Akhirnya, kita mahukan muslimah hari esok kuat dengan pendirian dan jatidiri, wanita yang mampu menyempurnakan segala tanggungjawab yang lebih mementingkan suami, anak-anak dan rumahtangga, juga mahukan muslimah memiliki pekerti yang luhur, kefahaman yang utuh dan menggenggam risalah dakwah dengan kukuh. Lebih penting lagi, ciri-ciri muslimah yang diimpikan buat hari ini, esok dan akan datang adalah mereka yang menyemarakkan kebangkitan Islam yang hakiki dengan segala kemampuan, kekuatan, keyakinan dan keazaman mereka.

Sekian.