Tuesday, January 4, 2011

Hasil balak Kedah meningkat 205 peratus

Muhayat Jasmin
      
ALOR SETAR, 3 Jan: Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat(PR) telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh Barisan Nasional(BN) semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas mengenai pencapaian memberansangkan ini berkata, hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah PR berjaya memberi pulangan yang menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu. "Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

Sumber 03/01/2011 I Harakahdaily