RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Thursday, April 30, 2009

Sajak : ANDAI KU TAK KEMBALI


ANDAI KU TAK KEMBALI…

andai hari ini..
ada 'sesuatu' antara kita..
lantas memori menyimpan tawa dan duka
di hatimu
di hatiku
sebagai zikrayat terindah
keserasian tak tersangka..
maafkanlah aku
kerna tak bisa
memanjangkan waktu..
hidup ini tak pernah jadi milikku
malah tak bisa juga jadi milikmu
percaturan makhluk bukan penentu
kerna hikmahnya
Hanya al-Khalik Maha Tahu

Lalu..
andai esok
aku tak kembali..
kuduskanlah Qadarku
di kalungan maaf dan doa..
iqra' fatihahmu
harumi semadi pusara

kerna..
di pertama kali
ku selalu ingin menghargai
dan mengasihi
meski tak pernah ku akui
namun,
takkan mampu untukku nafi

hadirmu di hujung hayat berbaki
adalah pelangi, bulan, jua mentari
menyeka tangis di pipi,
melupus sendu di qalbi
jua...
memulih ibtisamku tega menghitung hari

dan suatu hari
andai aku tak kembali..
teruskanlah misi pewaris para nabi
berjuanglah demi deen Ilahi
hingga
dalam jasad bidadari
kan ku setia menanti
kedatangan syahidmu
di pintu Syurga Firdausi...


Dikirim oleh : Chaq's
2 p.m 27Apr till 3 a.m 28 Apr 2009




Tuesday, April 28, 2009

Selsema Babi


Mungkin dapat cegah selsema babi?


Dalam beberapa hari dunia dikejutkan dengan selsema babi. Setakat ini, jumlah nyawa yang melayang akibat jangkitan selsema babi hampir kepada 103 nyawa di Mexico. Malah beratus-ratus lagi penduduk di beberapa buah Negara telah disyaki dijangkiti selsema babi.

Antara Negara yang dicengkam selsema babi adalah Spain, New Zealand, Australia dan Perancis. Bagaimanapun, di Mesir sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan..bahawa Mesir bebas dari selsema babi biarpun ada laporan media hari ini, melaporkan beberapa kawasan di Kaherah dikelilingi kawasan ternakan babi.

Terkini (28/04/09), laporan akhbar menyatakan jumlah nyawa yang melayang akibat selsema babi di Mexico meningkat ke angka 150. Malah selsema babi ini telah mengancam timur tengah apabila seorang daripada penduduk Israel dipercayai dijangkiti selsema babi. Semalam Mesir, Israel, Palestin dan Jordan telah bersepakat bagi menangani bersama selsema babi dari merebak dan menular ke seluruh Negara di timur tengah.

Sumber berita ringkas :

1) 27/04/09, berita Al-Jazeerah (isu), (isu 2)
2) 27/04/09, suratkhabar Misril-Youm


Sumber lain bagi mengetahui selsema babi :

1) Info Kesihatan Anda (halaman utama), khusus selsema babi (isu)

Monday, April 27, 2009

Digantung kerana tegur iktiraf Israel

KULIM, 24 April: Kerana menegur aktiviti pelajar yang mengiktiraf negara haram Israel dan menggayakan pakaian sami, tujuh pensyarah dan kakitangan UniKL cawangan Kulim telah digantung tugas mereka.

Menurut sumber, pergantungan mereka berkuatkuasa 21 April hingga 4 Mei dan besar kemungkinan tiga dari mereka akan dibuang kerja.

Teguran itu mereka buat terhadap pelajar yang menyertai program menggayakan tarian keagamaan 20 negara di bawah naungan PBB.

Di antara negara yang dipilih adalah Amerika syarikat, United Kingdom, Thailand, Cambodia dan ISRAEL.

Teguran itu dibuat berdasarkan Israel adalah negara haram dan tidak diiktiraf Malaysia.

Mereka juga menegur aktiviti memperagakan pakaian sami yang tidak sesuai dibuat oleh orang Islam.




Tuesday, April 21, 2009

PMRAM : Kronologi dan sejarah

KRONOLOGI DAN PERISTIWA BERSEJARAH DALAM PMRAM

1930
Penubuhan Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS)

1932
Berusaha mendapatkan tanah bagi pembinaan rumah Melayu di Abbasiah

1940
Bersama dalam penubuhan Persatuan Pelajar Indonesia. Menyokong pelajar-pelajar Indonesia bagi menuntut kemerdekaan.

1950
Mengadakan tunjuk perasaan menghalau inggeris keluar dari bumi Mesir sebagai rasa simpati terhadap rakyat Mesir.

1952
Menukar nama daripada PPS kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan terus memperjuangkan usaha mendapat tanah untuk pembinaan asrama Melayu dengan melancarkan derma kepada jemaah haji di Mekah.

1954
Menghadiri kongres Pemuda Islam di Karachi.

1955
Mengirim kawat kepada Persidangan Afro-Asia supaya menyokong kemerdekaan Malaysia. Selain itu, Menganggotai Persatuan Pelajar-pelajar Kongres Islam yang berpusat di Kaherah.

Mendapat bantuan khas daripada Kerajaan Malaya sebanyak Le25 sebulan.

Penubuhan Badan Siswi sebagai medium organisasi mahasiswi.

1956
Mendaftarkan 65 orang anak Melayu untuk menjadi askar sukarela menentang pencerobohan Inggeris, Perancis dan Israel sebagai sokongan padu terhadap Kerajaan Mesir. Manakala pelajar puteri menjahit pakaian-pakaian tentera.

Menerima dua telegram khas daripada Presiden Jamal Abdul Nasir yang mengucapkan terima kasih atas pengorbanan anak Melayu di Mesir.

Menghantar surat ucapan tahniah atas perlantikan Jamal Abdul Nasir sebagai Presiden Mesir.

Menghadiahkan sepasang pakaian kebangsaan Melayu dan sebilah keris kepada Presiden Jamal Abdul Nasir sebagai lambang perjuangan bangsa Melayu.

1957
Mengemukakan resolusi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Menyambut kemerdekaan Tanah Melayu dan membuat sambutan bagi memperkenalkan Tanah Melayu kepada semua bangsa dan peringkat.

Dijemput (mendapat jemputan) untuk memperkenalkan adat istiadat bangsa Melayu dan pakaian kebangsaan kepada pelajar Sudan.

1958
PMM menjadi tumpuan bagi memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu kepada wakil-wakil persatuan asing, akhbar dan kedutaan asing.

Mendesak pihak berkuasa di tanahair untuk mewujudkan kedutaan di Mesir.

1959
Memperjuangkan sekeping tanah yang dijanjikan oleh Kerajaan Mesir seluas 2212 meter persegi.

Menguruskan pertukaran passport British kepada passport Persekutuan Tanah Melayu.

1963
Asrama Melayu siap dibina.

*ARMA


1965
Memperbaharui pendaftaran dan menukar nama kepada "Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu" (PMRAB).

1967
√ Bekerjasama menubuhkan Gabungan Asia Tenggara di Mesir.

1969
√ Melancarkan Minggu Pengetahuan bagi menggalakkan pembelajaran ahli(sekarang Majlis Pengetahuan dan Silaturrahim).

1970
√ Mengadakan Kongres Mahasiswa Timur Tengah.

1971
√ Nama PMRAB ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM).

√ Melancarkan kursus dakwah dan berjaya melahirkan 64 kader dakwah.

√ Menerima kunjungan rombongan pengkaji ijazah Timur Tengah yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tun Dr.Ismail.

1972
√ Mengirim kawat takziah di atas kematian Tun Dr.Ismail.

1973
√ Menderma sebanyak 500 pound Mesir di atas kemenangan Mesir di dalam perang 6 Oktober 1973 dan diserahkan melalui Syiekh Al-Azhar, Syeikh Abd Halim Mahmud.

1980
√ Pemulihan pendaftaran PMRAM.

√ Usaha penghayatan Islam dijalankan.

1982
√ Jabatan Penuntut Malaysia(JPM) ditubuhkan.

√ Asrama Puteri dirasmikan oleh Datuk Musa Hitam.

1983
√ Permohonan pembelian sebuah bas diluluskan.

√ Turut serta menyambut Perayaan 1000 tahun Al-Azhar di Dewan Asrama Melayu.

1991
√ Menguruskan penghantaran pertama pelajar siswi Malaysia ke cawangan Al-Azhar di Iskandariah seramai 18 orang dari segi penempatan dan urusan kuliah.

1992
√ Menguruskan penghantaran pelajar ke cawangan baru Al-Azhar di Damanhur, Tanta, Syibin El-Kom dan Mansurah serta menubuhkan empat Dewan Perwakilan Mahasiswa(DPM) sebagai cawangan PMRAM di muhafazah.

√ Memperkenalkan sukan badminton kepada Majlis Sukan Mesir.

√ Menyewa khas kapal terbang Sudan bagi membawa jemaah haji PMRAM seramai 150 orang ke Tanah suci.

√ Mengadakan demontrasi yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir bagi menuntut semula hak-hak PMRAM di hadapan Datuk Dr.Abd Hamid Othman.

1993
√ Menghantar seramai 450 daripada 500 peserta bagi Kursus Kesedaran dan Kepimpinan Pelajar Malaysia anjuran Jabatan Perdana Menteri dan membuat resolusi agar kerajaan berlaku adil terhadap pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

√ Mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan, Zamalek, Kaherah.

√ Mengadakan hubungan dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa.

√ Menghantar wakil ke Kursus Pentadbiran anjuran Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

1994
√ Membantu Pusat Islam memberi penerangan mengenai Jamaah Al-Arqam.

√ Menguruskan penghantaran pelajar ke cawangan baru Al-Azhar di Dumyat dan Zagaziq.

√ Mengadakan Hari Pengetahuan dan Persaudaraan dengan kerjasama JPM sebelum Asrama Melayu dibaik pulih.

1995
√ Keluar dari Rumah Melayu sementara pembinaan dijalankan.

√ Mendapat kebenaran dari Kementerian Kemasyarakatan Mesir untuk membuka pejabat sementara di Madinah Nasr.

1998
√ Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Krisis Ekonomi(JBKE) untuk menangani masalah kewangan ahli yang meruncing ekoran kegawatan ekonomi Malaysia.

1999
√ PMRAM menguruskan penghantaran mahasiswa ke muhafazah baru cawangan Al-Azhar di Tafahhana Asyraf, Dussuq dan Itai Barut.

√ Ijtimak Tergempar PMRAM menjadi saksi komitmen ahli bagi mendapatkan persetujuan terhadap undang-undang baru Syuun Ijtima'iah.

*Syuuan Ijtima'iah : Kementerian Kemasyarakatan Mesir

2000
√ PMRAM mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu Israel dan melancarkan tabung bantuan kemanusiaan dan umat Islam Palestin.

√ Menghantar beberapa kotak pakaian kepada penduduk Chechen hasil sumbangan ahli PMRAM.

2001
√ Mengadakan sambutan ulangtahun ke-70 PMRAM dengan sambutan yang menggalakkan daripada seluruh bekas pimpinan PMRAM serta ahli.

√ Pelancaran PMRAM Multimedia Centre (PMC).

2003
√ Ijtimak Tergempar PMRAM sebanyak dua kali menjadi saksi dan bukti komitmen ahli yang padu bagi mendapatkan persetujuan terhadap undang-undang baru Syuun Ijtima'iah.


Sumber : PMRAM, wadah perjuangan mahasiswa bumi Kinanah
Terbitan : Badan Penerangan dan Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Pautan Laman web PMRAM (
halaman utama)
Pautan Blog HEWI PMRAM (halaman utama)


Paparan maklumat di atas bukanlah untuk tujuan perniagaan atau mencari populariti. Hanya melahirkan rasa bertanggungjawab seorang ahli terhadap sebuah persatuan induk yang telah lama memberikan jasa, didikan, kebajikan dan seumpamanya kepada anak-anak Melayu di Mesir.


Sunday, April 19, 2009

Istilah yang mesti dan perlu difahami

18 April 2009
Sumber : Harakahdaily.net (halaman utama)


Beberapa istilah yang sempat dicatat

1. 'Standing Orders' bermaksud peraturan dewan. Penjelasan tersebut, seperti petikan di bawah.

Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.

Pautan rujukan di sini


2. 'Ultra vires' bermaksud luar biasa. Penjelasan bagi maksud tersebut seperti yang diungkap dalam petikan di bawah.

"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.

Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Pautan rujukan di sini


Sekian.

Friday, April 10, 2009

Teori dan praktikal : Garis Panduan Dakwah

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


MEMBANGUN BERSAMA ISLAM


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

[ klik salinan asal di web tok guru ]

Thursday, April 9, 2009

Kesan perang Gaza

Mampu bersama