Saturday, May 12, 2012

Mesej MAPIM peringati Nakbah Palestin


MESEJ MAPIM UNTUK PERINGATAN HARI NAKBAH PALESTIN 15 Mei 2012

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengimbau sekali lagi peristiwa hari tragedi kemanusiaan yang luar biasa iaitu hari Nakbah Palestin 64 tahun yang lalu bertepatan dengan pengistiharan tertegaknya negara haram Israel.

Pada 15 Mei 1948, rakyat Palestin menerima musibah paling menyiksakan iaitu apabila 700,000 di usir dari bumi asal mereka iaitu Palestin.

Sehingga ke saat ini lebih 5 juta rakyat Palestin menjadi pelarian di luar bumi Palestin sementara puluhan ribu maseh berada di kawasan yang ditakluki Israel. Kem pelarian Palestin kini masih wujud di Lebanon, Syria, dan Jordan. 

Sejak 64 tahun dunia menyaksikan kesengsaraan rakyat Palestin yang bertubi-tubi menghadapi tekanan pelbagai bentuk : ditangkap, ditahan tanpa bicara, disiksa, dibunuh, diperkosa, diusir dari kampung halaman, dirampas kebun dan tanah, dimusnahkan rumah kediaman, dinafi hak mendapat bantuan makanan dan perubatan, disekat dari mendapat bekalan air dan minyak, dibina tembok pemisah untuk mendera keluarga rakyat Palestin, dikenakan sekatan darat, laut dan udara di Gaza, di serang melalui bedilan bom dan serangan udara, dibeku aset bantuan luar, dan disekat aliran wang bantuan dari dunia.

Di atas kesengsaraan semua di atas, rakyat Palestin dinafikan hak yang paling asasi yang menjadi isu utama dalam konflik Israel-Palestin iaitu hak untuk kembali ke tanah air sendiri (Palestine right of return).

Semua ini berjaya dilakukan oleh Israel hanya  kerana satu faktor sahaja iaitu sokongan kepada Israel oleh US(Amerika Syarikat) dan konco-konconya di Barat dan di kalangan beberapa negara Arab. 

Lebih malang lagi ujud negara- negara Islam yang bersekongkol mengadakan perdagangan dengan Israel termasuk mengguna syarikat Israel sebagai perunding untuk membina imej pemimpin.

Kami mengingati hari Nakbah ini bukan sekadar suatu ulangan sejarah melontarkan retorika kata-kata kesat dan kecaman, tetapi adalah kerana komuniti dunia semacam lumpuh untuk menyelesaikan isu Palestin secara tuntas, pada hal isunya sangat jelas.

MAPIM kesal pemimpin- pemimpin negara umat Islam dalam kelompok Pertubuhan Kerjasama Islam(OIC) termasuk dari kalangan pemimpin negara Liga Arab ternyata tidak bersungguh memperjuangkan hak rakyat Palaestin. 

Peristiwa nakbah pada 1948 yang menyebabkan jutaan rakyat Palestin masih menjadi pelarian sepatutnya boleh diselesaikan jika seluruh negara umat Islam bersatu dan menekan Israel untuk menyerah kembali tanah Palestin yang dirampas pada 1967.

Namun pengkhianatan pemimpin-pemimpin Islam itulah yang menyebabkan nasib buruk pelarian Palestin sehingga hari ini maseh berterusan.

Isu pencerobohan penduduk Yahudi yang mendidirikan rumah kediaman di atas tanah penduduk Palestin secara haram maseh terus berlaku dan tidak dapat dibendung walaupun ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan.

MAPIM berpendirian bahawa seluruh organisasi Ngo Islam dan Hak Asasi Manusia serta badan dunia menetapkan tahun 2012 ini sebagai tahun pengistiharan negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Kami menuntut agar kerajaan Malaysia menjadikan hari peringatan Nakbah sebagai hari mengistiharkan tuntutan khusus mengembalikan hak rakyat Palestin untuk mendapatkan semula tanah dan harta mereka seperti sebelum 1967.

Sempena Hari Peringatan Nakbah 2012, MAPIM juga mengumumkan pelancaran kempen BDS Ke Atas Israel (Boycott, Divestment, Sanctions) iaitu kempen Boikot, Alih Pelaburan dan Sanksi ke atas Israel.

MAPIM
MAPIM akan mewujudkan kumpulan kerja Malaysia untuk kempen BDS disetiap negeri untuk menerangkan betapa penting rakyat Malaysia turut serta dalam kempen ini dan kenapa rakyat perlu menyokong perjuangan Palestin untuk dibebaskan dan didaulatkan.

Kempen ini yang telah dimulakan pada 2005 di persidangan di Brazil telah mengariskan tujuannya untuk membebaskan tanah Palestin yang dirampas sejak 1948 dan mengembalikan hak rakyat Palestin keatas tanah air mereka.

Kami juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menamatkan semua hubungan perdagangan yang diwujudkan antara syarikat Malaysia dan Israel. Kami mengecam dasar hipokrit yang menyatakan sokongan kepada Palestin tetapi dalam masa yang sama menjalin hubungan perdagangan dengan Israel.

MAPIM juga mendesak supaya diwujudkan sebuah Kaukus Palestin di Parlimen Malaysia agar ahli Parlimen Malaysia boleh mengusulkan sebarang sikap dan tindakan yang boleh dilaksanakan  oleh kerajaan Malaysia.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM