Tuesday, January 22, 2008

Kerana Gaza rakyat bangkit, pemimpin lena?


GAZA KENA CEKIK, hanya menanti saat dan waktu untuk dikambus. Begitu sadis dan sedih apabila mengenangkan keadaan yang berlaku di Semenanjung Gaza. Saat dan masa ini adakah mereka telah ’bersarapan pagi?’, atau semalamnya mereka telah ’menikmati hidangan malam?’. Saat malam mereka gerhana, di pihak yang lain masihkah terjaga atau tidur lena atau turut merasai derita yang mereka alami?.

Timur Tengah kini dibungkam krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Bukannya berlaku secara kebetulan tetapi ia dirancang sebagai usaha untuk mengekang serangan roket kononnya menggugat kestabilan keamanan persempadanan. Krisis yang berlaku di Gaza bukanlah kali pertama, malahan operasi yang berkesinambungan dari semasa ke semasa. Hanya bentuk dan taktik perlaksanaannya yang membezakan krisis itu dianggap kecil atau berupa krisis yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ternyata, tindakan rejim Israel kali ini telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa apabila Gaza diperlakukan seumpama penduduknya tiada hak untuk hidup. Hanya penduduk Israel yang berhak dan menikmati keamanan sekitar. Dalam masa yang sama, pihak pentabiran Palestin di Ramallah mengatakan hanya dengan jalan rundingan, kesepakatan keamanan akan tercapai sambil disokong rejim Israel. Tetapi, hakikatnya tidak. Kesannya juga tidak seperti yang diwar-warkan. Hal inilah yang mendorong pejuang Palestin sama ada dari HAMAS mahupun barisan pejuang yang lain nekad dengan melancarkan serangan roket ke Israel, di samping tentangan bersenjata untuk menghalang kezaliman dan pencerobohan Israel.

Krisis yang berlaku di Gaza akibat kepungan dan kawalan Israel benar-benar melanggar dasar kemanusiaan.

Laporan berita Al-Jazeerah, 20/1/2008 ’penjana utama yang membekalkan elektrik di Gaza telah diberhentikan operasinya’.

Mengikut sumber berita, akibat penjana utama ini dihentikan telah memberi kesan 150 stesen yang lain juga terpaksa ditutup. Bahkan, penjana elektrik yang kedua juga ditutup selang beberapa jam selepas itu. Laporan berita menyatakan penduduk Palestin pada malamnya hidup dalam kegelapan, bukan sahaja rumah-rumah menghadapi masalah malahan hospital, kilang perindustrian dan tugas seharian juga tergendala.

Amat menyedihkan, Berita Al-Jazeerah melaporkan ketika meninjau ke sebuah hospital mendapati pesakit-pesakit kebanyakannya di tahap kronik dan memerlukan rawatan lengkap secepat mungkin kerana terputus bekalan elektrik. Bukan sahaja bekalan elektrik terputus, sempadan yang melingkungi Gaza juga ditutup.

Laporan Akhbar harian Al-Ahram juga menyebutkan bahawa Israel memang menutup kesemua persempadan yang menghubungkan Gaza. Lebih terkilan, sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir sampai sekarang tidak dibuka, meskipun didesak oleh Khalid Mash’al dan Ismail Haniah(HAMAS).


Dalam kenyataan akhbar, Ismail Haniah Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan yang dibubar menyatakan rasa bimbang dengan krisis kemanusiaan yang pasti meragut nyawa penduduk. Beliau mendesak kerajaan Mesir supaya membuka sempadan Rafah bagi tujuan bantuan rawatan dan makanan. Namun, jawapan rasmi selepas diadakan persidangan tergempar wakil-wakil Liga Arab yang dijadualkan pada hari ini, isnin 21/01/08.

Selain elektrik dan penutupan sempadan, bekalan bahan bakar, bekalan air dan gas juga terputus yang mengakibatkan segala faktor di Gaza terhenti. Lebih-lebih lagi sektor pertanian dan ekonomi yang berhadapan dengan kerugian besar. Namun, dalam masa yang sama, penduduk Palestin menghadapi tentangan dan serangan Israel yang berterusan.

Jurucakap HAMAS, dalam kenyataan akhbarnya seperti yang dilaporkan akhbar harian Misril Youm, isnin 21/01/08 membidas kenyataan Salam Fayadh (Perdana Menteri Kerajaan Tasyir A’mal Palestin) di Ramallah yang menghujum serangan roket pejuang adalah punca Israel mengenakan tekanan, kawalan dan pengepungan ke atas Gaza.

HAMAS menyifatkan kenyataan Salam Fayadh tidak kena dengan keadaan, bagaimanapun barisan pejuang yang lain turut mencemuh kenyataan Salam Fayadh. Pejuang-pejuang Palestin juga menghujum tindakan Salam Fayadh yang memilih jalan rundingan kerana dilihat sekarang ini hanyalah sia-sia kerana dalam rundingan berjalan Palestin-Israel pun, tentera Israel tetap mengganas membunuh, menyerang dan menangkap penduduk Palestin.

Badan Hak Asasi Manusia, Amerika Syarikat turut mempertikaikan tindakan Israel yang jelas melanggar hak-hak asasi manusia. Namun, di pihak pentabiran Washington pendirian yang berbeza kerana memang telah jelas mempertahankan tindakan Israel. Akhbar harian Al-Ahram, ahad 20/01/08 melaporkan pihak Washington, Kerajaan Amerika Syarikat membidas sebarang kritikan daripada mana-mana pihak terhadap Israel kerana serangan Israel pada masa ini, adalah tindakan untuk mempertahankan diri dari serangan roket pejuang Palestin. Begitu juga, kenyataan John Home selaku wakil pengerusi umum sumber kemanusiaan dan bantuan kecemasan, mengatakan ’memang hak Israel untuk mempertahankan diri’ tetapi beliau mencemuh tindakan Israel yang menghukum penduduk Gaza sedemikian rupa sungguh tidak munasabah.

John Home turut menyelar tindakan Israel yang menutup sempadan dari kemasukan sebarang bantuan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi. Beliau menyifatkan tindakan Israel ini tidak boleh diterima dari sudut insani.

Krisis tidak berperikemanusiaan ini telah menjangkau beberapa hari lamanya masih tidak mendapat reaksi dan respon dari mana-mana pemimpin arab secara serius. Apatah lagi, desakan berani yang mengancam tindakan Israel supaya menghentikan serangan.

Al-Jazeerah, ahad 20/01/08 dalam tinjauannya ke beberapa buah negara arab mendapat respon dan reaksi yang bersungguh terhadap krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Kedapatan rakyat-rakyat dan penduduk amat sensitif dengan tentangan Israel terhadap saudara mereka di Palestin. Gaza dan penduduknya seolah-olah terasing dan sengaja di asingkan, maka benar ungkapan Israel terhadap Gaza iaitu’wilayah musuh’.

Di jalanan negara Jordan, Lubnan, Sudan, Maghribi dan lain-lainnya(malam ahad, 20/01/08) memperlihatkan sensitiviti rakyat-rakyat yang turun di jalanan mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan terhadap kawalan dan kepungan Israel terhadap Gaza. Masing-masing berseloroh menyatakan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin di Gaza adalah tindakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan, perlunya kepada tindakan segera bagi menyelamatkan penduduk Palestin di Gaza. Tunjuk perasaan bukan sahaja di kalangan dewasa, malahan kanak-kanak juga bersama dan mereka telah mula memahami keadaan bagi menuntut keadilan dan keamanan.

Bangkitnya rakyat-rakyat di negara yang disebutkan bukanlah ketika rejim Israel mula memutuskan bekalan elektrik, air, gas dan menutup kesemua sempadan akan tetapi semenjak dikhabarkan berkenaan lawatan Bush (09/01/08, destinasi utama Israel) ke Timur Tengah dan Negara-negara Teluk. Bagaimanapun rakyat dan penduduk Negara tersebut telah memahami keadaan dan menghidu bau busuk keadaan yang bakal berlaku apabila Bush sampai dan setelah Bush pulang.

Desakan dan suara rakyat di negara tersebut menandakan rakyatnya peka dengan keadaan yang berlaku, tetapi ke manakah pula suara kerajaan dan pemimpin-pemimpin arab untuk membantu penduduk Palestin di Gaza. Ketika rakyat berdemonstari aman pada malam hari kerana tidak kesenangan mengetahui kesengsaraan saudara mereka di Gaza, bagaimana dengan pemimpin arab, bersama rakyatnya atau masih lena?