RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Friday, January 14, 2011

Pakatan yakin komitmen PAS

KUALA LUMPUR, 13 Jan: DAP dan PKR melahirkan rasa puas hati mereka dengan penjelasan yang diberikan oleh Presiden PAS ekoran pertemuan dua pemimpin tertinggi PAS dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin tertinggi Umno.

"Saya penuh yakin, PAS terus komited bersama Pakatan Rakyat walaupun telah bertemu dengan para pemimpin Umno itu," kata Lim Kit Siang dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.

Mesyuarat itu diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini.

Sebelum mesyuarat itu, Lim Kit Siang bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, Abdul Hadi juga telah memberikan penjelasan mengenai pertemuan itu kepada pimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar.

Abdul Hadi juga telah memberikan penjelasan kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini mengenai pertemuan itu.

Bagi Anwar, Umno terlalu terdesak sehingga membuat perancangan untuk bertemu pemimpin PAS sedemikian rupa.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, pertemuan yang diadakan di Istana Terenganu di Kuala Lumpur itu diadakan atas jemputan Yang Dipertuan Agung.

Ia dibuat menggunakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi sebagai 'posmen' semasa kunjungannya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Ekoran pertemuan itu timbul pelbagai spekulasi di dalam blog sehinggalah dijelaskan oleh Nik Aziz sebelum ini dan penjelasan Abdul Hadi dalam mesyuarat Pakatan hari ini.

Sumber: Harakahdaily

Tuesday, January 4, 2011

Hasil balak Kedah meningkat 205 peratus

Muhayat Jasmin
      
ALOR SETAR, 3 Jan: Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat(PR) telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh Barisan Nasional(BN) semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas mengenai pencapaian memberansangkan ini berkata, hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah PR berjaya memberi pulangan yang menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu. "Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

Sumber 03/01/2011 I Harakahdaily