Kenyataa Media MAPIM
23 September 2012
Saya yang turut bersama untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika mengenai penghinaan keatas Nabi menegaskan bahawa tindakan Kedutaan yang hanya menghantar Ketua Keselamatan bernama Chris adalah suatu tindakan biadab.
Jelas Amerika tidak menghormati sentimen masyarakat Islam dan rakyat ini di seluruh negara kerana melihat reaksi yang sangat jelas pada demonstrasi yang ditunjukkan oleh ribuan rakyat Malaysia.
Amerika perlu diajar untuk menghormati perasaan rakyat dengan menerima memorandum ini oleh Duta Amerika sendiri. Isu yang sudah menjadi isu dunia akibat penerbitan filem yang menghina Nabi bukan isu kecil malah akan mempengaruhi hubungan dunia Barat dan Islam.
Saya menegaskan bahawa Kedutaan Amerika perlu ingat akibat dari keangkuhannya ia bakal mencetuskan kebencian umat Islam yang lebih meningkat lataran umat Islam sudah mempunyai persepsi buruk terhadap negara tersebut dalam banyak isu yang berkaitan dengan Islam.
Jika benar Amerika mahu menunjukkan sikap terbukanya, kami menegaskan mereka mesti menghormati tindakan rakyat untuk menghantar memorandum dan memberi respon yang sewajarnya terhadap tuntutan yang ada dalam memorandum tersebut.
Rakyat Malaysia tidak akan terperangkap dengan strategi dan gimik komunikasi diplomatik yang cuba ditunjukkan oleh pegawai keselamatan itu malah menuntut supaya mereka bertindak menyatakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya.
Sehingga ini jelas tidak ada maklumbalas dari pihak Amerika terhadap bantahan keras umat Islam.
Kami menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berhenti dengan demonstrasi semata-mata. Malah tindakan memboikot semua perkhidmatan dan produk yang berkaitan dengan Amerika seharusnya cuba dilaksanakan. Boikot ekonomi dan budaya hendaklah menjadi senjata berkesan kepada Rakyat untuk menundukkan keangkuhan Amerika.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM