Thursday, August 22, 2013

SEDAR ATAU TIDAK MEMANG BERLAKU

Pasca kudeta kelihatan wujud bibit pertembungan sesama ejen yang berganding bahu merampas kuasa dari Presiden pilihan rakyat.

Selepas 3 Julai, kumpulan pemuda 6 April bergaduh dengan gerakan pemuda Tamarrud hingga merosakkan harta awam.

Penunjuk perasaan aman yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai di Raba'ah dan An-Nahdhah juga menimbulkan impak negatif apabila penggerak utama Barisan Penyelamat Tanahair, ElBaradei melepaskan jawatan dari Timbalan Presiden hingga mendorong Tamarrud mempertahankan agar ElBaradei jangan berundur kerana dilihat seperti melepaskan diri. Lalu, sumber berita melaporkan ElBaradei telah membawa diri ke Vienna hingga 23 Ogos, pada waktu yang sama pihak di Mesir membuat dakwaan ke atas ElBaradei atas tuduhan 'mengkhianati amanah'. Perbicaraan tersebut akan diperdengarkan pada 19 September akan datang. 

Disusuli lagi, penyokong tegar mantan Presiden yang digulingkan semasa Revolusi 25 Januari telah menghujum keras ke atas Tamarrud kerana Tamarrud enggan bersetuju pembebasan Mubarak sehinggalah berlaku ungkitan tentang himpunan 30 Jun.

Parti An-Nur selepas perpecahan kepada tiga parti kecil juga menghadapi perkara yang sama apabila berlaku percanggahan dalam pindaan perlembagaan terkini.

Terbaru, Khaled Daud bekas jurucakap Barisan Penyelamat Tanahair dalam kenyataannya berkata, 'saya boleh merasa dan menghidu individu-individu rejim Mubarak sudah kembali untuk membalas dendam terhadap Ikhwan Al-Muslimin'.

Mustahil Khaled tidak menyedari semasa himpunan 30 Jun, padahal waktu himpunan di Tahrir Square mahupun di sekitar Istana Ithadiyah kelihatan jelas potret-potret mantan Presiden Mesir seperti Mubarak, Anwar Sadat, dan Jamal Abdul Naseer. Bukankah waktu itu, petanda mereka sudah menunjukkan wajah? Mana mungkin tak sedar lagi bentuk kezaliman ke atas penunjuk perasaan aman? Apa yang perlu sedar, Tamarrud dan 6 April serta Barisan Penyelamat Tanahair bukan lagi entiti yang berpengaruh. Rentak telah berubah, jalan bukan lagi sepertimana sebelum 30 Jun.