RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Tuesday, April 3, 2007

Realiti sejarah lampau pada hari ini

Artikel ini adalah hasil kajian seorang sahabat penulis pada tahun 2003 yang kini telah menyempurnakan M.A nya. Beliau banyak menulis tentang 'politik, ketenteraan, sejarah dan seumpamanya'. Sengaja penulis memasukkan dalam ruangan ini kerana ada kaitan dengan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kesannya pada masa akan datang. Hakikatnya, sebaik-baik perancang dan ketentuan adalah dari Allah Taa'la.

Perang Dunia Ketiga?
oleh: as-saeihun

KEBANGKITAN Amerika sebagai kuasa ketenteraan dunia setelah tamat perang dunia kedua masih berterusan sehingga kini. Kejatuhan Russia di akhir abad ke-20 telah menjadikan mereka satu-satunya kuasa tunggal dunia. Mereka cuba mengukuhkan kekuatan dengan pelbagai rekacipta terkini dan termoden bagi mengukuhkan kuasa tersebut. Kompleks ‘Pentagon’ yang dibina adalah lambang kekebalan dan kegerunan semua negara untuk mencabar kedudukan mereka. Siapa yang berani mencabar Amerika, maka bersedialah untuk menerima Amerika sebagai tetamu dengan hadiah kemusnahan negara keseluruhannya.


Tindakan-tidakan yang diambil Amerika dalam mencampuri urusan politik khususnya sering melahirkan rasa tidak puas hati dikalangan mereka yang dizalimi dan mereka yang nampak kezaliman tersebut. Tetapi mereka hanya mampu membisu dan tunduk kerana mereka menyedari padah yang bakal menimpa sekiranya terlajak kata. Namun, kita yakin kuasa ini tidak akan bertahan lantaran sikap angkuh dan sombong terhadap kekuasaan yang mereka peroleh. Satu persoalan, apakah kejatuhan Amerika satu hari terdekat ini berlangsung dengan suasana kemusnahan atau kedamaian?

Yang pasti, suasana politik dunia hari ini menjurus ke arah kemusnahan Amerika berlatarkan kemusnahan. Peristiwa 11 September lalu membuktikan bahawa wujud rasa tidak puas hati puak tertentu dengan Amerika. Masakan mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk mencapai matlamat yang diimpi. Walaupun ia masih satu misteri yang masih tiada bukti jelas perancangnya, musnahnya lambang ekonomi, ketenteraan itu telah melumpuhkan pemikiran masyarakat dunia terhadap kekebalan Amerika. Peristiwa ini juga seolah-olah menjadi satu kemuncak sebelum berlakunya satu siri peperangan abad baru yang diramalkan merosakkan semua sistem politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.

Setelah tamat perang dunia kedua, Jerman merupakan negara yang masih berdendam kuat dengan kekalahan tersebut. Biarpun dahulu Jerman merupakan satu kuasa kuat dunia di bawah pimpinan Hitler, namun hakikat kalah peperangan terpaksa diterima. Bayangkan wilayah Jerman yang menguasai sebahagian besar eropah dirampas satu persatu dengan kuasa Amerika dan Russia sehinggakan negara Jerman sendiri berpecah kepada bahagian timur dan barat. Kerugian yang mereka tanggung dengan kekalahan perang telah hampir menggadaikan tanah air. Mereka terpaksa bermula semula dari A untuk membangunkan semula negara yang telah musnah.

Sehingga kini, jika kita berpeluang melancong ke Jerman, kita akan dimarahi dan dikutuk sekiranya bercakap bahasa inggeris. Rakyatnya disemarakkan dengan semangat bencikan Amerika dan inggeris sehingga apa yang berkaitan dipulaukan. Biarlah kita bercakap bahasa melayu walaupun mereka tidak faham, tetapi yang pasti kita tidak akan dimarahi. Sehingga kini juga, kita masih tidak memperoleh maklumat yang banyak sejauh mana Jerman membangunkan ketenteraan kerana ia seolah satu perancangan Jerman untuk bersedia kembali membalas dendam terhadap kekalahan mereka yang lalu. Tambahan pula Amerika dan dunia tidak pula mempeduli sejarah ini kerana mungkin menganggap Jerman sudah tidak boleh lagi bangkit sebagai kuasa besar atas beberapa perjanjian yang dirasakan masih dituruti oleh Jerman..

Kejatuhan sistem komunis Russia tahun 1989 juga perlu diambil perhatian bersama. Walaupun Russia jatuh ekonominya, tetapi dari sudut kemajuan tentera dan aeroangkasa masih tidak boleh disaingi oleh Amerika. Pembangunan sektor nuklear sering menjadi igauan negara-negara di dunia termasuk Amerika. Justeru, kejatuhan Russia telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh Bush bagi mengadakan perjanjian gencatan senjata nuklear baru-baru ini selama sepuluh tahun. Bagi Amerika, mereka menggunakan kesempatan ini bagi memastikan sekurang-kurangnya mereka boleh bersaing dalam pembangunan sektor nuklear dan lebih baik sekiranya dapat mencedok teknologi tersebut untuk memusnahkan sepenuhnya kuasa Russia. Pun begitu, perjanjian gencatan senjata nuklear tersebut menjadi satu tanda tanya kepada kita, kenapakah begitu mudah Russia menerima perjanjian tersebut sedangkan mereka tahu Amerika sedang berusaha untuk menjatuhkan kuasa ketenteraan dan aeroangkasa milik mereka?

Kita yakin disitu ada satu muslihat Russia untuk mencapai sesuatu. Mungkin kejatuhan mereka juga diiringi dendam kesumat terhadap Amerika khususnya kerana setelah jatuhnya Russia, Amerika tidak habis-habis untuk menyerang Russia dari sudut politik dalaman dan secara tiba-tiba ingin mengadakan usahasama lebih-lebih lagi dalam konteks ketenteraan. Mungkin Russia menganalisis sesuatu bagi menguatkan semula kekuasaannya untuk menjadi kuasa besar dunia. Bacaan politik ini dapat dihidu kerana kedua-dua negara terlalu ‘baik’ dalam proses perjanjian gencatan tersebut yang berlangsung lebih seminggu. Hubungan yang disiarkan media antara Bush dan Rabin seolah menggimikkan sesuatu misteri yang aneh.

Bom atom yang gugur di Hiroshima dan Nagasaki sebenarnya menjadi pemangkin baru bagi Jepun untuk membangunkan negara. Bayangkan, Jepun hanya mengambil masa yang agak singkat untuk kembali membangunkan negara sehingga menjadi sebuah negara maju yang berdaya saing dan sering mengeluarkan produk-produk ekonomi yang terkini dan termoden. Kita yakin, Jepun tidak akan maju seperti sekarang sekiranya bom atom itu tidak digugurkan kerana Jepun tidak mungkin menerima satu anjakan kuat untuk maju dan bersaing.

Kekuatan ketenteraan Jepun juga menjadi satu tanda tanya kepada kita. Kita harus ingat, Jepun merupakan negara kelima tertinggi memperuntukkan perbelanjaan untuk ketenteraan selepas Amerika, Russia, China dan Israel.

Baru-baru ini, apabila kerajaan Jepun dipelawa untuk menghantar bantuan ketenteraan ke Afghanistan, Jepun menyatakan bahawa mereka tidak cukup peruntukkan untuk menghantar bantuan kerana hanya satu peratus dari KDK negara khusus buat ketenteraan. Kenyataan ini tidak mungkin meragukan sekiranya rakyat Jepun tidak menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan tersebut kepada kerajaan mereka. Justeru, bagaimanakah sebenarnya kekuatan ketenteraan Jepun ketika ini? Kita boleh meramalkan bahawa Jepun juga sedang membangunkan teknologi ketenteraan sebagaimana bangunnya teknologi dan industri perkilangan di sana. Jika produk mereka sudah dianggap terlalu kehadapan, adalah mustahil mereka melupakan untuk membangunkan teknologi ketenteraan bersama.

Tambahan pula, Amerika mungkin tidak dapat membuat sangkaan apa-apa kerana Amerika mempunyai sebuah pengkalan tentera luar negara terbesar di dunia di sana. Jepun pula tentunya mahu merahsiakan strategi ketenteraan tersebut bagi memastikan persedian rapi perlu dibuat sebelum kebangkitan mereka kali kedua. Tidak mustahil Jepun sedang membangunkan satu kekuatan untuk bangkit menguasai dunia dengan semangat ‘kamikaze’ yang masih terpahat kemas dalam peristiwa dan kemusnahan ‘Pearl Habour’. Mereka sanggup menggadai nyawa bagi melanggar kapal-kapal dan bangunan-bangunan dengan jet yang mereka pandu.

Justeru, kebangkitan Jepun boleh diramalkan berdasarkan faktor faktor ini.

Bagi negara-negara Arab, empat siri peperangan mereka di Palestin membuktikan mereka sebenarnya mempunyai kekuatan. Kemenangan Mesir dalam penaklukkan semula Semenanjung Sinai dari Israel pada 1973 telah membuktikan kekuatan tersebut. Tetapi, jelasnya negara Mesir dan arab yang lain tersilap melaksanakan percaturan dan muslihat dalam peperangan apabila Perjanjian Camp David setelah itu memberikan peluang seluas-luasnya bagi Israel untuk membangunkan ketenteraan. Sehingga kini lima satelit Ofeq yang dilancarkan Israel mendahului lain-lain negara arab dalam kemajuan ketenteraan. Kebijakan percaturan Israel dalam proses provokasi mendampingi Amerika jelas memberi faedah besar kepada Israel.

Israel juga kini adalah negara yang sedang giat membangunkan industri aeroangkasa. Tidak hairanlah mereka boleh maju dengan singkat kerana bantuan yang dihulurkan oleh Amerika. Persidangan negara-negara arab juga pernah membincangkan tentang teknologi ketenteraan dan aeroangkasa Israel. Peralihan Sharon dari Barak dalam tampuk pimpinan Israel telah me’radikal’kan lagi keganasan Israel dalam menguasai dunia. Faktor-faktor ini telah mencetuskan konflik yang masih tidak berakhir. Israel yang dikuasai zionis sebenarnya bermatlamatkan untuk membina sebuah negara Israel Raya yang negaranya itu antara Sungai Nil di afrika dan Sungai Furat di Iran. Justeru, matlamat ini tidak boleh tercapai melalui kaedah lain kecuali peperangan. Jelasnya, matlamat Israel Raya adalah termasuk menguasai tanah Hijaz di Arab Saudi yang terletaknya Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Tentulah disitu satu pertembungan besar bakal berlaku di kalangan umat Islam dan Israel.

Berbalik kepada negara Arab, pembangunan ketenteraan mereka juga tidak kurang hebatnya. Walaupun nampak mereka bergantung kepada Amerika, namun sebenarnya ketenteraan negara-negara arab khususnya Mesir masih ditahap yang mampu bersaing terutamanya dengan Israel. Keyakinan mereka mencapai kemenagan dalam peperangan 1973 walaupun serba kekurangan, adalah hasil kerjasama semua pihak. Sejarah membuktikan bahawa idea penggunaan pili air untuk memusnahkan kubu-kubu Israel di Semenanjung Sinai adalah hasil pandangan yang diberikan oleh para ulama dan kerahan semua rakyat (termasuk sebahagian rakyat Malaysia yang berada di Mesir ketika itu) untuk berjuang mempertahankan maruah umat Islam. Namun, kerakusan pemimpin ketika itu telah menyebabkan pada hakikatnya Mesir tewas walaupun menakluk semua Semenanjung Sinai. Sebahagian pemikir-pemikir arab Mesir menyatakan, sekiranya peperangan itu tidak terhenti dengan Perjanjian Camp David, nescaya Mesir sudah berjaya menguasai Tel Aviv sekarang.

Negara-negara arab lain juga nampak tidak kurang hebatnya. Kekalahan Iraq dalam perang teluk 1990 masih menimbulkan kesan dendam terhadap Amerika.

Sekatan ekonomi yang diterima menyebabkan Saddam Hussin terpaksa bertindak habis-habisan bagi mengelakkan ancaman-ancaman terhadap negaranya. Peluru berpandu Scud yang digunakan oleh Iraq dalam perang teluk didakwa sebagai satu senjata kecil dari ribuan senjata yang mereka bangunkan. Bandar bawah tanah yang masih dicari Amerika digambarkan menempatkan lebih sejuta manusia dalam usaha membangunkan teknologi ketenteraan. Dakwaan Iraq yang dikatakan membangunkan industri nuklear menakutkan Amerika dan Israel. Sebab itu dunia dimomokkan dengan keganasan Iraq bagi menyembunyikan ketakutan Amerika dan Israel. Justeru, Amerika lebih bimbang sekiranya rancangan mereka untuk memusnahkan Iraq selepas Afghanistan menyebabkan Iraq akan menyerang habis-habisan kepada Israel biarpun kalah sebagaimana dakwaan Saddam.

Kebangkitan revolusi Iran juga membimbangkan dunia. Walaupun kerajaan Iran dipegang oleh mereka yang berfahaman syiah, namun dunia yakin mereka tetap akan bangkit nanti bersatu bersama dengan umat Islam yang lain. Kekuatan Iran dalam melipatgandakan ekonomi selepas zaman revolusi menyebabkan Iran cepat bangkit dalam pembangunan ekonomi. Pembangunan ini juga seiring dengan pembangunan ketenteraan mereka. Walapun dunia dihalang oleh Amerika dalam memberi sebarang kerjasama (Contohnya Petronas pernah diberikan mandat untuk beberapa projek cari-gali minyak di Iran tetapi ia menjadi kontrovesi apabila Amerika campur tangan dalam usaha tersebut), namun Iran berani untuk terus bangun dengan kerjasama Russia. Kebijakkan Iran bekerjasama dengan Russia menyebabkan Amerika tidak dapat berbuat apa-apa kerana Russia masih mempunyai kekuatan. Amerika bimbang Russia akan campur tangan dalam pertelingkahan itu nanti. Tambahan pula, baru-baru ini Tehran dan Moscow telah memetrai perjanjian pembangunan sektor nuklear di beberapa kawasan di Iran untuk tujuan penjanaan kuasa. Apakah benar tujuan ini sekadar satu tirai pelindung kepada usaha Iran untuk memajukan lapangan senjata nuklear?

Bagi Pakistan dan India, konflik mereka masih gagal mencapai kata sepakat. Perebutan wilayah Kasymir yang masih berlarutan ditambah dengan pergaduhan umat Islam dengan Hindu menyebabkan ia makin tegang. Biarpun dari segi ketenteraan India mendahului sekali ganda dari pakistan, namun India tetap bimbang dengan kemajuan senjata nuklear Pakistan. Antaranya, senjata nuklear Hatf-5 Ghauri milik Pakistan yang dikatakan berkeupayaan mensasari 1500 kilometer. Pakistan membina senjata nuklear atas alasan berjaga-jaga kerana India memulakan usaha ke arah tersebut. Musyarraf pernah menyatakan ketegasannya membina senjata tersebut walaupun rakyatnya terpaksa makan rumput.

India pula sememangnya ditanam dengan kebencian kepada Islam. India menyatakan kemarahannya kepada Pakistan kerana menyalurkan bantuan pejuang-pejuang Islam kepada wilayah Kasymir untuk membebaskan Kasymir dari India manakala Pakistan menafikannya. Konflik ini sentiasa timbul atas perebutan Kasymir yang masih tiada hak sepenuhnya yang kini menyaksikan 45 peratus Kasymir dikuasai India, sepertiga dikuasai Pakistan dan bakinya hak China. India jelas pengkhianatannya kepada resolusi PBB terhadap wilayah Kasymir iaitu akan mengadakan pilihanraya penentuan wilayah Kasymir samada di bawah India atau Pakistan 10 tahun selepas India merdeka. Malangnya pilihanraya itu sehingga kini masih belum dijalankan. India pula menerima sokongan dan bantuan dari Israel. Israel menanamkan rasa benci kepada Pakistan yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Keterlibatan Israel dalam konflik ini juga telah menimbulkan lagi kemarahan umat Islam kepada Israel.

Pertembungan perang yang berlaku akhir-akhir ini semuanya berkait rapat dengan keagamaan. Peperangan di Ambon,Chechnya, selatan Sudan dan beberapa negara kecil lain membuktikan perkara ini. Dari sudut ekonomi, pakar kajibumi melaporkan bahawa sumber petroleum di muka bumi ini akan habis sepenuhnya kira-kira 40 tahun lagi. Perkara ini tentunya membimbangkan banyak pihak khususnya Amerika yang bergantung sepenuhnya kepada ArabSaudi sebagai negara yang mempunyai sumber petroleum terbanyak di dunia. Manakala usaha mencari alternatif masih menemui jalan buntu. Biarpun sawit dikatakan ganti baru kepada minyak petrol, namun usaha tersebut terpaksa ditangguh kerana kos pembikinan yang terlalu tinggi. Oleh kerana minyak sawit merupakan sumber utama bahan mentah dunia, maka kehabisan sumber ini akan menyebabkan perebutan terhadap wilayah-wilayah yang mempunyai sumber tersebut. Kini, media Amerika sedang memomokkan usaha mencari jalan bagi mencetuskan ketegangan antara Washington dan Riyadh sebagai satu alasan kepada Amerika mencetuskan peperangan dan menakluki semua telaga-telaga minyak yang terdapat di Arab Saudi.

Inilah senario umum terhadap apa yang berlaku di dunia hari ini. Paling terkini, Amerika sedah bersiap sedia menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam Hussin. Tentera Amerika sudahpun memasuki Jordan sebagai ancaman awal. Apakah dengan serangan terhadap Iraq ini akan mencetuskan perang dunia ketiga? Amerika dan sekutunya tentunya tidak mahu tewas. Britain tentunya akan bekerjasama. Anak emas Amerika, Israel pasti juga akan menyerang habis-habisan umat Islam di Palestin kerana mereka diancam negara Arab. Yang pasti, suasana ini sukar diramalkan. Cuma, sekiranya satu pihak memulakannya, tidak mustahil peperangan dunia ketiga akan tercetus dan meletus.

Sekian.

Mengulit Sejarah Secangkir Ingatan

Foto : al-Quds, Kelihatan Masjid al-Aqsa(kanan) dan Qubbah Sakhrah(kiri)


3 April 2007, sehingga kini deklarasi Mekah yang dimeterai bersama Hamas-Fatah tidak memberikan kesan ke atas kezaliman keganasan yang dianjurkan Israel. Hamas-Fatah bersama parti-parti yang lain telah berjaya membentuk kerajaan Campuran yang dipimpin Hamas, namun tindak-tanduk sebegini tidak menyenangkan Israel. Tambahan pula pendirian Hamas yang tidak akan mengiktiraf kewujudan Negara Israel.

Segala pergelutan, konflik tercetus angkara Us-Israel yang tidak senang dengan Hamas. Bantuan ekonomi turut disekat agar kerajaan Palestin yang dipimpin Hamas dilihat sebagai kerajaan yang tidak berdaya, malah kesempatan inilah yang digunakan Us-Israel untuk menjatuhkan Hamas.

'Lena tanpa diulik rindu mendatang namun Palestin dalam ingatanku'

-warsmanus-

Penguat semangat untuk menulis

2 April 2007, exercise jari-jari dengan menaip amat memenatkan tetapi seronok sekali apabila dapat menaip dengan pantas tanpa silap dan salah. Meskipun kelab penulis yang ku sertai 2 tahun lalu yang dianjurkan BPP PMRAM, tetapi saat ini baru muncul perasaan bersungguh-sungguh untuk menghidupkan jari dengan menulis. Terima kasih PMRAM dalam usaha meningkatkan keupayaan ahli!

Kelihatan di milenium ini, blog-blog begitu tersergam indah dengan gaya serta bahasa yang cukup mengkagumkan diriku. Pendorong utama bagiku adalah fasilitator yang membawa kumpulan yang ku ikuti setiap minggu suatu ketika dahulu.

Akhi masrawi, us.Hairul Nizam (mantan Presiden PMRAM), us.Izdihar..merekalah yang ku maksudkan (fasilitator) yang banyak memberi tunjuk ajar merentas kehidupan di bumi Tanta.

Walaupun dimamah usia yang mencapai 24 tahun, merasai kelemahan yang teramat dalam menulis. Namun menjadi cita-cita dengan kesalahan yang ada diperbaiki dari semasa ke semasa.

Blog ini yang baru ku lancarkan tanpa pengetahuan umum, dinamakan 'De Hambra Heighten' sempena nama Istana AlHambra di Sepanyol yang merupakan gedung ilmu dan empayar umat Islam suatu ketika masa dahulu, kini ku cuba adaptasikan secara maya, fantasi tetapi secara nyatanya adalah pengamalan dan penjelnamaan semula AlHambra.

-warsmanus-