Sunday, May 20, 2007

Israel mengganas di Ghaza


Keganasan rejim haram Israel menuju kemuncak yang cukup dahsyat, tidak cukup dengan merampas tanah Palestin mereka turut membedil dan memusnahkan segala prasarana Palestin. Perancangan ganas mereka terhadap Palestin cukup jelas, andai nyawa pun mereka tidak endah apatahlagi segala prasarana terbina di Palestin turut mereka musnahkan.

Catatan tarikh 17 Mei 2007 menjadi kronologi sejarah berikutan kesinambungan kezaliman dan keganasan Israel, kelibat rejim haram Israel seperti 'drunken-master' menyerang beberapa perkampungan di Ghaza menggemparkan seluruh dunia arab apabila serangan darat dan udara mereka kuasai dengan penuh rakus. Tidak kurang pula dengan senjata berat yang digunakan memaksa penduduk di perkampungan tersebut menyembah mereka. Sejumlah besar tentera Israel turut dikerahkan berhimpun di sempadan timur Ghaza dalam usaha meluaskan kawasan penempatan untuk kepentingan bangsa mereka yang kononnya dianggap mulia.

Laporan berita Al-Jazeerah semalam (18 Mei) membongkar sikap Bush dan Blair yang tidak ada rasa tanggungjawab dengan pencerobohan rejim Israel ke Ghaza. Bush dan Blair hanya mampu mengatakan 'bimbang' dengan kekacauan yang berlaku di Ghaza. Apa yang mereka bimbang sebenarnya? Mereka ada kuasa untuk menghalang Israel dari terus mengganas, tetapi kenapa tiada tindakan untuk menghalang?

Mungkin kebimbangan yang Bush dan Blair rasai, bagaimana sekiranya Israel tidak mampu bertindak dengan bebas dan kejam merampas segala kepentingan di Palestin untuk mereka. Ataupun bagaimana pula jika Kerajaan Campuran yang diketuai HAMAS berjaya menggagalkan usaha dan perancangan Israel.

Berikutan kenyataan Washington menyatakan pengeboman dan serangan Israel ke atas Ghaza adalah sebagai langkah "mempertahankan diri" cukup dangkal. Mana mungkin, untuk mempertahankan diri sanggup pula membunuh penduduk Palestin dengan penuh kejam. Tindakan Israel yang mengerahkan 20 jentera perang Israel merempuh penempatan 'Qaryah Kafr Dan' di barat Jenin, beberapa buah Kereta kebal Israel turut menyerang timur Ghaza, dan jet-jet pejuang mengebom Ghaza mengakibatkan kehilangan nyawa dengan bangunan-bangunan turut musnah..adakah ini langkah pertahankan diri? Jika dinilai dengan akal yang sihat ini adalah bentuk kekejaman yang dilakukan secara halus meskipun nyawa penduduk Palestin menjadi taruhan. Tindakan rejim haram Israel yang mengganas sebegini bukan kali pertama!

Tidak cukup dengan hamburan kenyataan sedemikian, Washington turut menyalahkan HAMAS dan pergerakan bersenjata yang lain kerana dikatakan sebagai punca dan penyebab meletusnya serangan tersebut. Kenyataan yang tidak masuk akal ini merupakan jarum halus bertujuan memecahbelahkan umat Islam Palestin, malahan dunia arab yang lain turut terkesan.

Amat menyedihkan inilah realiti sebenar yang melanda Palestin, pihak keamanan Kerajaan Campuran Palestin tidak ada kekuatan secanggih teknologi senjata Israel tetapi mereka dipandang seperti 'pengganas'.

Ketika artikel ini ditulis, penulis merasai kesedihan yang amat kerana Ghaza bersendirian merasai kepedihan tanpa dipedulikan umat Islam disekelilingnya. Liga Arab, OIC dan seumpamanya menjadi harapan supaya nasib umat Islam Palestin terbela tetapi hipokrit semata-mata. Negara umat Islam yang berjiran juga tidak mengendahkan Ghaza, apatahlagi Palestin yang kian hari dicerai-beraikan tanah-tanahnya. Cukup licik perancangan musuh kerana lemahnya umat Islam.

Usaha Kerajaan Campuran Palestin untuk bangkit menjuarai ruang biarpun bergerak dalam kurang kelengkapan yang sewajarnya, namun mereka juga tidak terlepas tohmahan dan hujuman masyarakat sekeliling. Ghaza yang diceroboh Israel bukanlah menjadi 'buah mulut' segolongan pihak tetapi yang dipertikaikan adalah Kerajaan Campuran Palestin yang diketuai HAMAS yang dikatakan tidak sistematik. Apakan daya Kerajaan Campuran Palestin, mereka amat memerlukan sokongan dan dokongan umat-umat Islam seluruh dunia. Penulis merasa bangga dengan prinsip Kerajaan Campuran Palestin, biarpun nampak lemah tetapi pendirian tetap akan teguh 'tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel' seperti yang dilafazkan Ismail Haniah.

Sepatutnya kita umat Islam merasa bangga dengan adanya Kerajaan Campuran Palestin menjadi contoh kerana berjaya melalui proses pilihanraya terbersih di Timur Tengah yang lalu, biarpun dikatakan lemah tetapi nasib Palestin dan penduduknya berada di bawah tanggungjawab mereka. Semoga Allah Ta'ala membantu seiring keihklasan mereka yang bercita-cita meninggikan kalimah Allah.

Sekian.