Showing posts with label Revolusi 25 Januari. Show all posts
Showing posts with label Revolusi 25 Januari. Show all posts

Monday, June 1, 2015

ARAB SPIN MENGUJI HALUAN?

Angin-angin pertembungan antara 'team Shafiq' dengan 'team yang menyokong Jeneral Abdul Fattah As Sisi' sedang bertiup kencang. Sebelum berlaku tragedi rampasan kuasa, penulis hanya mengandaikan bahawa 'team Shafiq' iaitu saki-baki Mubarak bakal bangkit semula dalam arena politik Mesir 3-4 tahun selepas tercetusnya Revolusi 25 Januari 2011(Arab Spring) berdasarkan kenyataan-kenyataan bekas anggota Hizbul Watani dan pergerakan politik di Mesir.

Hizbul Watani(Al-Ḥizb Al-Waṭanī Ad-Dīmūqrāṭī) yang dipimpin oleh Hosni Mubarak terbubar, lalu berpecah kepada beberapa buah parti. Istilah-istilah seperti "satu kerajaan dalam kerajaan", "Arab Spin"(ثورة المضادة) telahpun muncul ketikamana Dr Muhammad Morsi berada di kerusi Presiden. Masakan tidak, puluhan tahun mereka berada di persada itu. Segala kemungkinan boleh berlaku dan terjadi tanpa disedari oleh rakyat marhaen mahupun ahli-ahli politik yang mendabik dada kononnya berasa lega ekoran Revolusi 25 Januari sudah tercapai. Pun begitu, Mesir dikejutkan dengan rampasan 3 Julai 2013. Sebahagian ahli politik yang lain pula mendakwa Dr Mursi diturunkan bertujuan memperbetulkan haluan Revolusi 25 Januari.

Revolusi 25 Januari tidak berlaku dengan hanya sekali laungan sahaja bahkan beberapa tahun sebelum itu sudah wujud usaha-usaha untuk memercikkan api agar berlaku kebangkitan rakyat. Jika ditanyakan kenapakah pihak tentera seakan-akan berpeluk tubuh tanpa bertindak terlalu kasar ke atas demonstran sewaktu ledakan Revolusi 25 Januari sebagaimana sekarang? Begitu mudah Mubarak diundurkan tanpa sokongan penuh dari pihak tentera?

Pertanyaan di atas ada kaitan dengan pertembungan dua "team" terbabit dan penulis merumuskan seperti di bawah:

1. Kemuncak ledakan di Mesir disebabkan tekanan yang dirasai oleh rakyat marhaen dalam setiap faktor dan aspek malah didorong kemunculan Arab Spring melibatkan beberapa buah negara Arab yang lain. Rata-rata masyarakat menyalahkan keperibadian pemimpin tertinggi dan pemimpin -pemimpin berkaitan penyelewengan serta korupsi. Dalam hal ini khususnya di Mesir, tentera tidak menunjukkan watak bengis. Sebaliknya, tenteralah bersama rakyat dan tentera jugalah melindungi rakyat.

2. Jika diamati, Ikhwan Muslimin mempunyai perimbangan kuasa politik dalam parlimen yang boleh menggugat Hizbul Watani ketika itu. Jika wujud kebebasan yang luas, sudah pasti Ikhwan akan lebih menonjol dan ianya telah terbukti dalam pilihanraya tahun 2005. Pilihan sama ada Ikhwan atau Hizbul Watani, di antara keduanya pula mana lebih nampak ke arah ketenteraan. Sudah pasti, Hizbul Watani kerana dipimpin oleh Mubarak yang merupakan Panglima Tentera Mesir. Mengikut adat setempat, tenteralah yang mesti dijadikan ketua. Pada masa yang sama, gelagat Ikhwan juga dikekang dan kemaraannya juga dihadang.

3. Mustahil waktu itu, Ikhwan boleh menduduki kerusi Presiden dengan selesa kerana Mubaraklah ketua tentera. Namun, timbul desas-desus Mubarak akan digantikan dengan anaknya Jamal Mubarak. Jamal bukan tokoh ketenteraan tetapi beliau boleh dijadikan ikon politik dan inspirasi anak muda. Walaubagaimanapun, ikon tersebut bertentangan dengan kehendak tentera. Sememangnya, individu yang boleh menggantikan Mubarak mestilah sepenuhnya berlatarbelakangkan ketenteraan. Inilah noktah rumusan yang menjawab pertanyaan di atas.

Jelasnya di sini, 'team Shafiq' penyokong kepada bekas calon Presiden Ahmad Shafiq tahun lalu muncul menuntut kembali keadaan sebelum Revolusi 25 Januari setelahmana karakter Ikhwan Muslimin berjaya dibunuh. Sekadar menguji ataupun sedang merancang agenda yang lain, hakikatnya, kedua-dua 'team' tersebut pernah berada dalam gerabak yang sama.

تحيا مصر
Abu Obaidah
Tanahair Malaysia 
31 Mei 2015

Friday, July 19, 2013

DI SEBALIK KATA-KATA PIHAK YANG LEBIH DEMOKRASI

30 Jun yang lalu merupakan hari pemberontakan (Rebel/تمرد) ke atas Presiden Dr. Muhammad Morsi dan kesannya dapat dilihat dengan jelas situasi yang berlaku saat ini. Fokus saya, sejak ledakan Revolusi 25 Januari hingga saat ini memang tidak lekang dari seorang tokoh yang kononnya jiwa demokrasi malah penerima Nobel Keamanan tahun 2005 dan individu ini bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed El Baradei. 

Sekarang, El Baradei Presiden Parti Ad-Doustur di Mesir. Juga, individu penting dalam penubuhan Barisan Penyelamat Mesir (جبهة الانقاذ المصري/National Salvation Front) yang terdiri daripada 35 buah parti-parti politik, gerakan politik dan revolusi (aliran liberal, haluan kiri, sosialis, sekular, demokratik dan saki-baki rejim Mubarak). Selain El Baradei, anggota tertinggi dalam barisan ini adalah calon-calon Presiden yang tewas dalam pilihan Presiden seperti Hamdain Sobahi dan Amru Moussa. Rebel yang berlaku baru-baru ini, El Baradeilah yang menggesa pihak pembangkang terutamanya Barisan Penyelamat Mesir dan Gerakan Pemberontak turun ke demonstrasi besar-besaran bagi mendesak Presiden Morsi berundur dan menyeru kepada pilihanraya Presiden terlebih awal.

ElBaradei
Apa yang menarik bagi saya, El Baradei pernah menyeru kepada rakyat Mesir agar memboikot pilihanraya parlimen (selepas parlimen yang pertama selepas Revolusi 25 Januari dibubarkan), demikian itu alasan El Baradei kerana ianya menyingkap demokrasi palsu pemerintahan Jamaah Ikhwan Al-Muslimin. Padahal, pilihanraya parlimen yang diadakan sebelum ini menunjukkan ianya berlangsung secara telus tanpa penyelewengan.

Di bawah adalah respon dan jawab El Baradei berhubung apa yang berlaku di Mesir selepas rampasan kuasa berlaku ke atas Dr. Muhammad Morsi.

1. Kewajaran penyingkiran Dr.Morsi dari Presiden

"Semasa tentera menyingkirkan Morsi pada hari itu, dia (El Baradei) kerap menghubungi Menteri Luar Amerika Syarikt, John Kerry dan Catherine Ashton selaku pihak tertinggi Polisi keselamatan dan Hubungan Luar Kesatuan Eropah bagi memujuk kedua-duanya betapa perlu menyingkirkan Morsi dengan tujuan untuk memulakan langkah baru mengubah Mesir kepada pemerintahan yang demokratik," kata El Baradei.

2. Kewajaran menutup siaran-siaran satelit dan berita yang cenderung kepada pro Islamiyyin

El Baradei menjelaskan dari wakil keamanan bahawa siaran-siaran satelit Islamiah yang ditutup kerana ianya mengalakkan kepada keganasan dan memprovokasi (hasutan) melakukan jenayah serta pembunuhan, lalu ianya mesti ditutup buat sementara waktu. Kata El Baradei, sebahagian dari stesen-stesen satelit yang digeledah turut ditemui senjata.

3. Kewajaran tidak percaya kepada Dr. Morsi

El Baradei berkata, "bukannya sesuatu yang mudah bagi kami mengambil langkah dari perundangan untuk menggugurkan kepercayaan (seperti undi tidak percaya) tetapi rakyat yang mendesak sedemikian apabila mereka berbondong-bondong ke Dataran Tahrir. Pada hemat saya, tidak boleh lagi kami menanti sekalipun ditambah satu minggu."

Tambah El Baradei, "kita baru sahaja kerugian 2 tahun setengah", sebagaimana perumpamaan Yogi Berra, "It's deja vu all over again" tetapi kita harap dapat bertindak ke arah yang betul kali ini.

Bersesuaian kata-kata Yogi Berra yang dinukil oleh ElBaradei, penulis membawakan sebaris kata dari bekas Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin Delano Roosevelt, "In politics, nothing happens by accident. If it happens, you can bet it was planned that way".

Tidak nakal penulis persoalkan, apakah senjata dalam stesen-stesen satelit jenis pemusnah besar-besaran (WMD) yang pernah ditemui di Iraq?

Sumber:
Portal berita AL-SHARQ ALAWSAT, DOSTOR, dan AL-ARABIYA

Sumber asal:
Penulis - DAVID D. KIRKPATRICK

Wednesday, July 17, 2013

KEKAL DUA MENTERI BERKAT KRISIS

Kemuncak kemarahan sebilangan rakyat Mesir dan parti-parti politik yang tidak dominan dalam parlimen dan senat ekoran munculnya krisis eletrik, minyak, dan keamanan yang tidak stabil. Berdasarkan krisis-krisis tersebut, 'mereka'(termasuk Jabhah Inqaz, Tamarrud, parti aliran sosialis, liberal, sekular dan lain-lain lagi) mendesak dan memberontak agar Presiden yang sah digulingkan.

Namun, selepas kerajaan rampasan dibentuk oleh Dr.Hazem Al-Bablawi selaku Perdana Menteri, timbul pula persoalan dan menguatkan lagi dakwaan bahawa krisis-krisis tersebut memang sengaja diwujudkan demi menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kabinet menteri Dr.Hisham Qandil, Perdana Menteri yang sah dipilih oleh Dr.Muhammad Mursi.

Ringkas cerita, dua menteri terbabit dari kerajaan yang sah iaitu 'Menteri Dalam Negeri', Jeneral Muhammad Ibrahim yang mempunyai autoriti menjaga keamanan dalaman Mesir dan 'Menteri Tenaga Eletrik', Ir Ahmad Imam yang bertanggungjawab ke atas pengaliran eletrik Mesir masih dikekalkan dalam kabinet Dr.Hazem Al-Bablawi meskipun krisis-krisis itu berlaku di tangan dua menteri yang disebutkan. Pada waktu yang sama, krisis ini menjadi hujah asas 'puak mereka dan sesiapa sahaja yang terikut' bahawa Presiden yang sah mesti berundur.

Minda kosong juga merasakan mungkin ini keberkatan krisis-krisis yang telah berlaku, maka dua menteri itu wajar dikekalkan. Agar tidak terikut 'buta', cubalah mengikuti dari awal plot cerita.

Monday, July 15, 2013

IKHWAN BARISAN PERTAHANAN TERAKHIR REVOLUSI?

Sebagaimana ungkapan kata-kata Dr.Abdullah Al-Ash'al bekas calon Presiden, "Ikhwan Muslimin adalah barisan pertahanan terakhir kepada survival Revolusi 25 Januari yang telah berjaya menggulingkan Mubarak."

Pada ketika itu, calon-calon Presiden paling menonjol adalah sekutu kepada El-Baradei iaitu Hamdain Sobahi dan Amru Moussa. Manakala wajah bekas pemerintahan Mubarak adalah Ahmad Shafiq.

Apabila dilihat situasi sekarang, ungkapan Dr.Abdullah itu seolah-olah tepat kerana:

1. ElBaradei, Amru Moussa, dan Hamdain Sobahi berada dalam sebuah kelompok ataupun 'team' yang turut dianggotai bekas-bekas pemerintahan Mubarak malah mereka seiringan bersama menghentam dan mencabuli demokrasi. Apa lagi boleh diharapkan jika beginilah sikap mereka?

2. Pemuda-pemuda yang kononnya ditonjolkan membawa watak 'revolusioner' juga seangkatan dengan 'team' ElBaradei. Pada ketika itu mereka bersabung nyawa mengerahkan kempen 'KAAZEBOON' sebagai menempelak tindakan tentera yang menyerang penunjuk perasaan. Namun hari ini, apabila timbulnya pembunuhan beramai-ramai di hadapan HQ Pengawal Republik, mereka diam membisu tanpa menentang. Begitukah prinsip 'revolusioner' jika dapat duduk di hadapan Presiden sementara yang dilantik secara merampas kuasa, mereka diam membisu?