Monday, June 1, 2015

ARAB SPIN MENGUJI HALUAN?

Angin-angin pertembungan antara 'team Shafiq' dengan 'team yang menyokong Jeneral Abdul Fattah As Sisi' sedang bertiup kencang. Sebelum berlaku tragedi rampasan kuasa, penulis hanya mengandaikan bahawa 'team Shafiq' iaitu saki-baki Mubarak bakal bangkit semula dalam arena politik Mesir 3-4 tahun selepas tercetusnya Revolusi 25 Januari 2011(Arab Spring) berdasarkan kenyataan-kenyataan bekas anggota Hizbul Watani dan pergerakan politik di Mesir.

Hizbul Watani(Al-Ḥizb Al-Waṭanī Ad-Dīmūqrāṭī) yang dipimpin oleh Hosni Mubarak terbubar, lalu berpecah kepada beberapa buah parti. Istilah-istilah seperti "satu kerajaan dalam kerajaan", "Arab Spin"(ثورة المضادة) telahpun muncul ketikamana Dr Muhammad Morsi berada di kerusi Presiden. Masakan tidak, puluhan tahun mereka berada di persada itu. Segala kemungkinan boleh berlaku dan terjadi tanpa disedari oleh rakyat marhaen mahupun ahli-ahli politik yang mendabik dada kononnya berasa lega ekoran Revolusi 25 Januari sudah tercapai. Pun begitu, Mesir dikejutkan dengan rampasan 3 Julai 2013. Sebahagian ahli politik yang lain pula mendakwa Dr Mursi diturunkan bertujuan memperbetulkan haluan Revolusi 25 Januari.

Revolusi 25 Januari tidak berlaku dengan hanya sekali laungan sahaja bahkan beberapa tahun sebelum itu sudah wujud usaha-usaha untuk memercikkan api agar berlaku kebangkitan rakyat. Jika ditanyakan kenapakah pihak tentera seakan-akan berpeluk tubuh tanpa bertindak terlalu kasar ke atas demonstran sewaktu ledakan Revolusi 25 Januari sebagaimana sekarang? Begitu mudah Mubarak diundurkan tanpa sokongan penuh dari pihak tentera?

Pertanyaan di atas ada kaitan dengan pertembungan dua "team" terbabit dan penulis merumuskan seperti di bawah:

1. Kemuncak ledakan di Mesir disebabkan tekanan yang dirasai oleh rakyat marhaen dalam setiap faktor dan aspek malah didorong kemunculan Arab Spring melibatkan beberapa buah negara Arab yang lain. Rata-rata masyarakat menyalahkan keperibadian pemimpin tertinggi dan pemimpin -pemimpin berkaitan penyelewengan serta korupsi. Dalam hal ini khususnya di Mesir, tentera tidak menunjukkan watak bengis. Sebaliknya, tenteralah bersama rakyat dan tentera jugalah melindungi rakyat.

2. Jika diamati, Ikhwan Muslimin mempunyai perimbangan kuasa politik dalam parlimen yang boleh menggugat Hizbul Watani ketika itu. Jika wujud kebebasan yang luas, sudah pasti Ikhwan akan lebih menonjol dan ianya telah terbukti dalam pilihanraya tahun 2005. Pilihan sama ada Ikhwan atau Hizbul Watani, di antara keduanya pula mana lebih nampak ke arah ketenteraan. Sudah pasti, Hizbul Watani kerana dipimpin oleh Mubarak yang merupakan Panglima Tentera Mesir. Mengikut adat setempat, tenteralah yang mesti dijadikan ketua. Pada masa yang sama, gelagat Ikhwan juga dikekang dan kemaraannya juga dihadang.

3. Mustahil waktu itu, Ikhwan boleh menduduki kerusi Presiden dengan selesa kerana Mubaraklah ketua tentera. Namun, timbul desas-desus Mubarak akan digantikan dengan anaknya Jamal Mubarak. Jamal bukan tokoh ketenteraan tetapi beliau boleh dijadikan ikon politik dan inspirasi anak muda. Walaubagaimanapun, ikon tersebut bertentangan dengan kehendak tentera. Sememangnya, individu yang boleh menggantikan Mubarak mestilah sepenuhnya berlatarbelakangkan ketenteraan. Inilah noktah rumusan yang menjawab pertanyaan di atas.

Jelasnya di sini, 'team Shafiq' penyokong kepada bekas calon Presiden Ahmad Shafiq tahun lalu muncul menuntut kembali keadaan sebelum Revolusi 25 Januari setelahmana karakter Ikhwan Muslimin berjaya dibunuh. Sekadar menguji ataupun sedang merancang agenda yang lain, hakikatnya, kedua-dua 'team' tersebut pernah berada dalam gerabak yang sama.

تحيا مصر
Abu Obaidah
Tanahair Malaysia 
31 Mei 2015