Saturday, January 14, 2012

Jenguk ketamadunan ilmu di Dar Al-Farouq

Kitab di sebelah kiri untuk mengetahui
sejarah pembinaan Masjid Nabawi.
DAR AL-FAROUQ(website)
"Ohh Malizi, saya Nadir, buatlah seperti pejabat kamu sendiri," sapa Encik Nadir selaku pengurus pemasaran dan jualan di peringkat antarabangsa Al-Farouq ketika melihat penulis berada dalam pejabatnya sewaktu berbicara dengan Encik Muhammad Morsey, timbalan kepada Encik Nadir.

Encik Morsey di sisi koleksi
pameran buku yang diedar
Pertama kali, penulis tiba di Syarikat Al-Farouq yang terletak hanya 300 meter dari tangga turun ke stesen keretapi ringan(METRO) bawah tanah di El-Dokki untuk mendapatkan sedikit sebanyak nilai ketamadunan ilmu masyarakat Mesir yang berada di situ. Saya memulakan bicara dengan Encik Morsey berhubung projek Al-Farouq khususnya untuk pengedaran buku-buku terbitan syarikatnya. Sebenarnya pada asal, keberadaan penulis di syarikat ini adalah berkaitan pameran buku antarabangsa di Kuala Lumpur pada masa akan datang. Topik ini disuarakan oleh Encik Morsey yang berhasrat menyertai pameran buku di Malaysia, lebih-lebih lagi, inilah bidang tugasnya untuk membawa nama syarikat dan mempromosikan nilai-nilai ketamadunan masyarakat Mesir ke serata ceruk tempat yang mampu pergi. Tidak dinafikan, sememangnya Mesir menjadi kiblat ilmu kepada mereka yang amat mendamba ilmu-ilmu agama, thurathi mahupun kontemporari. Di persada sejarah, nama Mesir terus unggul masakan Mesir merupakan destinasi tumpuan persinggahan para pelancong dari negara Arab, barat, asia dan seluruh dunia.
Sebahagian dari buku-buku yang diedar oleh Dar Al-Farouq
Encik Morsey memberitahu syarikat Al-Farouq banyak mengedarkan buku-buku agama, sejarah termasuk penulisan buku berbahasa english. Sehingga kini, aturan jadual pameran buku antarabangsa yang telah kemas tersusun meliputi Mesir sendiri pada 23 Januari ini, disusuli Maghribi, Yaman bergantung kepada keadaan, dan beberapa buah lagi negara Arab. Tidak ketinggalan, Dar Al-Farouq berhasrat untuk pergi ke Malaysia.

Sepanjang dialog bersama Encik Morsey di tingkat lima yang menempatkan Syarikat Al-Farouq, penulis juga menanyakan tentang penulis Mesir yang terkenal dari sudut sejarah dan isu seputar politik, juga yang mendalami peredaran masyarakat Mesir. Beliau hanya menyebut nama Mohamad Hasanein Haikal, seorang tokoh cendekiawan Mesir yang kerap muncul di stesen televisyen Al-JAZEERAH serta membuat ulasan dalam akhbar-akhbar harian Mesir.

Encik Morsey di ruang pejabatnya
Menyentuh kepada penubuhan syarikat, Encik Morsey yang baru sahaja tiga tahun bersama Al-Farouq menceritakan syarikat ini telah berdiri sejak 12 tahun yang lalu. Pada hari ini, syarikat Al-Farouq mampu mengukir senyuman yang ceria setelahmana mempunyai puluhan kakitangan dan infrastruktur ruang pejabat yang memuaskan, apatahlagi dengan kemampuan tersebut mampu menerbit dan mengedarkan ratusan jenis buku mengikut cita rasa pembaca.


Penulis turut mencelah mengenai keperibadian(شخصيات) orang Arab Mesir, seperti gelaran 'ibnu nuktah' dan 'pahlawi'. Beliau membalas dengan kuntuman senyum dan mengangguk tanda setuju.
Penulis bersama Encik Muhammad Morsey
di salah satu ruang syarikat Dar Al-Farouq
"Memang orang Mesir terkenal dengan sifat suka bergurau," ujar Encik Morsey berhubung gelaran ibnu nuktah. Seraya itu, beliau menunjukkan sebuah buku berkisar orang Arab Mesir semasa zaman Firaun dan mencadangkan beberapa buah lagi judul buku mengenai masyarakat Mesir.

Sengaja penulis membangkitkan sedemikian(keperibadian orang Mesir) kepada Encik Morsey tujuan untuk melihat responnya mengenai pembinaan persefahaman hal-ehwal dua buah masyarakat, Mesir dan Malaysia. Hal sedemikian mengingatkan penulis kepada seorang kawan berbangsa Arab keturunan Mesir yang kini sedang bekerja di Qatar. Impiannya amat tinggi iaitu mahu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat Mesir dan Malaysia. Mungkin inilah salah satu inisiatif agar kedua-dua masyarakat dapat memahami sosio-budaya antara satu sama lain. Seterusnya, menjadi pemudah untuk mengeratkan hubungan antara Arab dan Melayu. Di samping itu, ketamadunan ilmu yang diperolehi dapat membangunkan masyarakat sejajar dengan tuntutan agama Islam. Tambahan pula, ledakan revolusi 25 Januari telah membuka seluas-luasnya ruang kepada politik Islam menampilkan mekanisme dan mengaplikasikan saranan-saranan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat serta kenegaraan malahan tidak terkecuali setiap aspek kehidupan. Inipun setelah pemerintahan diktator berjaya ditumbangkan hasil kesedaran umat.


Ternyata, penulis berasa sangat gembira dapat menjenguk dan beramah mesra dengan pegawai pemasaran di Dar Al-Farouq.


'Sungguh merasai betapa diri ini teramat kerdil dan hanya mampu meniti di tepian pantai ketika air surut, seandainya air pasang atau ombak bergelora, pasti tidak mampu membentengi arus'.