Tuesday, October 13, 2009

Realiti : Seorang lelaki cina mahu bayar zakat

Dua minggu sebelum menyambut aidilfitri, amil-amil zakat yang bertugas di kaunter zakat fitrah dikerumuni masyarakat yang beragama Islam bagi tujuan pembayaran/pengeluaran zakat fitrah yang wajib bagi setiap umat Islam. Sempena dengan bulan zakat fitrah, penulis turut diberi peluang menjaga kaunter zakat di sebuah pusat beli belah, iaitu TESCO, Mergong, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Bersama dengan beberapa sahabat yang lain, jadual tugasan kami disusun baik dan fleksibel bagi memudahkan kutipan zakat ini berjalan lancar. Jika diselak cerita (bukan membawa cerita) ketika menjaga kaunter zakat, banyak pengalaman dan pengajaran yang diperolehi memandangkan zakat juga termasuk di dalam fiqh ibadah.

Sebagaimana kebiasaan pada satu ketika, kaunter zakat menerima kebanjiran umat Islam yang rata-ratanya datang membeli-belah di Tesco, namun sedikit sahaja yang datang ke Tesco semata-mata untuk menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat. Tanpa disedari, selesai seorang demi seorang di kaunter zakat, seorang lelaki cina dalam lingkungan umur 50-an tanpa segan silu duduk di kerusi dan kami berjabat tangan. Lantas lelaki itu berkata, 'saya mahu bayar zakat'. Saya terpaku seketika kerana kurang yakin dengan status keislamannya. Kerisauan membayangi diri penulis kerana khuatir jika mulut terpacul kata-kata yang menyentuh atau menimbulkan sensitif, lagipun situasi ini adalah yang pertama baru dilalui. Namun Allah mengatur segalanya.

Penulis merasa lega apabila lelaki cina itu menunjukkan kad pengenalannya tanpa diminta berbuat demikian, sekaligus jawapan tentang status itu terus diketahui, lelaki cina itu belum lagi menemui keislamannya.

Rentetan dari niat lelaki cina itu, penulis menceritakan tentang zakat fitrah kepadanya dengan harapan lelaki cina itu dapat memahami dengan baik tentang zakat dan fungsinya mahupun peranan zakat itu sendiri. Apabila diteliti syarat pengeluaran zakat, status keislaman adalah yang utama bagi menerima pembayaran zakat. Jika lelaki cina itu mahu mengeluarkan zakat sedangkan dia masih belum menyatakan keislamannya, apakah pembayaran itu boleh dikategorikan zakat? Penulis hanya menjelaskan kepada lelaki itu, pembayaran dia adalah sedekah atau derma untuk kebajikan kerana dia belum Islam. Lelaki cina itu kelihatan kurang senang dengan jawapan penulis, mungkin juga mahu mempertahankan tindakannya yang murni lalu dia membalas, 'saya bayar zakat ini ikhlas'. Setelah itu, penulis menerima pembayaran sebanyak RM14 (nilai 2 orang membayar zakat) dari lelaki cina itu. Alhamdulillah selesai urusan tersebut, di akhiri dengan doa yang turut di'ameen'kan oleh lelaki cina itu mengikut kebiasaan selepas masyarakat Islam mengeluarkan zakat. Penulis amat merasa tenang hati sebaik sahaja melalui situasi tersebut.

Kesimpulan dari realiti yang berlaku ini, faktor yang mendorong kempen dan promosi yang agak meluas mengenai zakat telah mendapat perhatian di kalangan masyarakat cina. Bagaimanapun, usaha yang selanjutnya ataupun tindakan susulan sebagai follow-up adalah penting agar majoriti besar masyarakat cina mahupun india dan sebagainya memahami dan meyakini fungsi dan peranan zakat dengan lebih mendalam. Dalam masa yang sama mereka dapat melihat secara direct tentang ajaran Islam. Penulis tidak menolak, bahawa apa yang berlaku ini mungkin permulaan hidayah yang telah diaturkan oleh Allah Taa'la untuk Malaysia. Wallahua'lam