Tuesday, June 26, 2012

6 April tidak berganjak sehingga tuntutan dipenuhi

Sambutan kemenangan Dr.Morsy yang dipilih sebagai Presiden Republik Arab Mesir masih diteruskan, para demonstran di Dataran Tahrir juga tidak berganjak melainkan selepas tuntutan mereka dipenuhi.

Logo Pemuda 6 April 
Gerakan Pemuda 6 April (شباب 6 أبريل) mengumumkan bahawa mereka tetap meneruskan mogok (tunjuk perasaan/demontrasi) sehinggalah dibatalkan 'perlembagaan lengkap' (الدستوري المكمل) yang diumumkan sebelum ini dan kuasa pemerintahan diserahkan kepada Presiden, Dr. Muhammad Morsy.

Sedemikian itu, Engy Hamdy, anggota Biro Politik Gerakan Pemuda 6 April mendesak supaya Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) menyerahkan kuasa kepada Presiden, Dr. Muhammad Morsy seperti yang dijanjikan pada 30 Jun ini.

"Agar dapat kita mulakan pembinaan sebenar negara dan agensi kerajaan serta menyusun perlembagaan, inilah asas pertempuran kami untuk membina sebuah negara demokrasi yang terkehadapan malah menghormati hak asasi manusia," ujar Engy.

Gerakan Pemuda 6 April turut meminta kepada Presiden baru agar membebaskan 12 ribu orang rakyat Mesir yang dibicarakan Mahkamah Tentera, dan memberikan keampunan kepada anggota tentera 8 April (21 orang tentera dari Angkatan Tentera Mesir yang menyertai demontrasi pada 08 April 2011, kemudian ditangkap kerana menyalahi etika tentera. 13 orang dari kalangan mereka telah dikurangkan hukuman, sementara yang berbaki masih menanti perbicaraan). Selain itu, gerakan ini meminta Presiden membatalkan kuasa 'الضبطية القضائية' yang diberikan kepada tentera dan membatalkan Majlis Pertahanan Kebangsaan(National Defence Council) yang baru ditubuhkan oleh SCAF.

Sumber:
(Laporan jam 05:47 petang, waktu Kaherah)
25/06/2012, web berita rassd.com dan berita Al-Jazeerah