Showing posts with label Tanta. Show all posts
Showing posts with label Tanta. Show all posts

Sunday, August 25, 2013

EVAKUASI DAN DEMONSTRASI MALAYSIA BERI TEKANAN KEPADA RAKYAT MESIR?

Pagi tadi saya berada di Dewan Pelajar Tanta (DPT) lokasi pengumpulan mahasiswa Malaysia. Semasa saya beredar, bas telah tiba untuk membawa mahasiswa-mahasiswi Malaysia ke Kaherah sebelum diterbangkan ke Malaysia pada hari berikut.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini, sebilangan rakyat tempatan melihat evakuasi dengan persepsi yang negatif. Tambahan lagi demonstrasi-demonstrasi di Malaysia kesemuanya menunjukkan simbol Rabiah, angka empat.

"Kamu tak balik Malaysia? ramai sangat balik kenapa? Kerajaan Malaysia mesti sokong Ikhwan kan?," tanya seorang 'ammu (tauke kedai) kepada saya sewaktu hendak membayar jumlah suratkhabar.

"Erm..saya ada exam lagi memang saya tak pulang, manalah saya tahu ramai yang balik tu..keputusan dari kerajaan, tak ada kaitan dengan Ikhwan pun," saya menjawab. Sambil itu, arab yang lain mencelah tanya kepada 'ammu tadi, kerajaan Mesirkah buat keputusan begitu?. Tanpa mempedulikan perbualan mereka, saya terus beredar risau jika kehabisan ikan di kedai yang lain.

Nasib tak selalunya manis, ikan kegemaran saya memang sudah habis. Tak mengapalah, saya 'usha' ikan yang lain pula. Secara tiba-tiba, pemuda dari kedai ayam sebelah menegur saya.

"Aku tengok dalam televisyen di Malaysia buat tunjuk perasaan mengangkat simbol Rabi'ah..mana boleh macam tu, tak boleh la campurtangan," kata pemuda itu.

Saya hanya mendengar tanpa membalas kerana emosi dia kurang baik berlainan dengan tuan rumah (baba). Beberapa hari yang lalu, saya bertemu dengan baba ketika dia duduk di tangga, saya duduk di sebelahnya bersembang-sembang tujuan menjernihkan kembali keadaan di antara kami, dia pernah menengking saya apabila saya mempertahankan Dr Mursi, dia pernah menghempas pintu rumahnya tanda marah kepada saya kerana saya juga meninggikan suara. 

Dia mengeluh kerana demonstrasi di Malaysia sokong Raba'ah Al-Adawiyah, lalu dia menyuarakan kebimbangan jika kerajaan Malaysia putuskan hubungan dengan Mesir.

Perbualan kami diselangi ketawa dan gurau senda, pada waktu itu ada pemungut sampah sedang cuci tangga. Kata baba, "pintu dekat sutuh dan ruang tangga banyak sangat debu..hampa tak cuci ka? aku sembelih hampa semua baru tau." Baba ketawa, saya pun ketawa..mood baba memang cukup baik. Lalu saya jawab, "baba tau kan Mesir ni camana, debu banyak sangat-sangat..kami pulak ramai dah yang balik cuti," sambil bergelak, saya ambil kesempatan dengan menampar-nampar belakang dan paha baba..inilah melawak cara arab, dia tak marah.

Lalu, pemungut sampah turun dari tanggas atas membawa sebekas debu. Dia merungut banyak sangat. Saya balas, "pakcik..ni baru pangsapuri kami banyak tu dah, kalau Tanta pulak banyak mana? kalau seluruh Mesir lagi banyak..biasalah tu pakcik."

Baba ternyata riang. Saya menambahkan lagi masa bersembang dengan baba dan cerita tentang politik di Malaysia serta pengurusan negara khususnya sikap tentang sampah dan pembangkang dalam kerajaan pusat kita. 

Saya harap baba faham maksud saya. Apa yang penting, walaupun ada khilaf dari segi pemikiran, kefahaman, dan kecenderungan politik ia bukannya penyebab saling bermusuh.

Monday, July 22, 2013

AKU SAYANG HAMPA SEMUA

Ketika waktu tengahari terik, saya menaiki teksi menuju ke Said Nawi. Apalah sangat kepanasan yang saya rasa jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong pemerintah yang sah, mereka sanggup meredah kepanasan di jalanan demi sebuah keadilan dan maruah diri rakyat Mesir yang telah di'cabul' oleh perampas; geng kereta kebal serta sekutunya. Bertambah lagi ujian apabila reaksi sebahagian besar media massa Mesir seperti pontianak lagaknya yang tidak henti-henti membuat fitnah penyokong pemerintah yang sah.

Berbalik kepada teksi yang saya naiki. Kebetulan di kerusi hadapan, seorang rakyat tempatan galak berbicara dengan pemanduk teksi. Tidak semena-mena dia mengipas kain pengelap kerana lalat banyak di bahagian depan sambil memandang ke belakang menjeling ke arah saya. Lalu, dia bertutur kepada orang Arab di sebelah, "laki belakang ni naik ja teksi terus lalat banyak". Sambil bergelak ketawa dengan Arab di sebelah, dia tanya kepada saya, "di Malaysia lalat banyak dak?."

"Lalat ada ja di Malaysia," balas saya. Dia ketawa lagi sambil mengipas kain. Saya sambung cakap, "3mmu (pakcik)..tapi tengok kepada tempat juga, kalau kotor..lalat memang banyak hurung."

Dia henti ketawa seakan-akan marah lalu membalas, "teksi aku kotor sangatka?." Saya cuma cakap, "tu lalat".

Tiba-tiba dia meninggikan suara, "enta bittahibuh Mursi wa la eh?(hang suka Mursi ka apa)".

"Siapa yang tak suka Presiden sendiri?," jawab saya.

Suaranya masih garang, "habis tuh apa dia..jawab elok-elok?". Saya jawab lagi, "aku sayang hampa semua".

Pemandu dan Arab di sebelahnya sama-sama membalas jawapan saya, "entum tayyibin".

Saya tidak dapat mengagak dengan baik tentang sikap pemandu ini dan orang sebelahnya terhadap Presiden pilihan rakyat Dr.Mursi tetapi inilah soalan yang kerap ditanya oleh rakyat tempatan kepada orang luar khususnya pelajar Malaysia. Apapun, lain orang lain bicara..silap orang mungkin binasa.

Sunday, January 15, 2012

Samseng curi enam 'router' HUMMER

TANTA, 15 Disember - Syarikat pembekal internet 'HUMMER' tidak putus-putus menerima aduan dari pelanggannya disebabkan bekalan internet di lorong salam tergendala. 

Merujuk kepada daftar pelanggan HUMMER, mahasiswa-mahasiswi Malaysia antara pelanggan internet di lorong salam berada di bahagian deretan rumah-rumah yang menempatkan pejabat PCT dan restoran HAITA.

Kejadian terbabit, Mohamad As-Sokari, salah seorang rakan kongsi HUMMER berkata, bekalan internet yang terputus ini diketahui selepas para pelanggan tidak putus-putus menghubunginya.

Kata Mohamad yang ditemui wartawan DHH semalam(14/01/2012), "saya letihlah, samseng curi enam router HUMMER di lorong salam(أنا تعبان .. ده بلطجي يسرق ست روتر بتعنا من شارع السلام)".

Router, sekadar gambar hiasan.




*router: penghala

Mohamad dalam keadaan sugul menceritakan, kumpulan samseng mencuri enam router yang menghubungkan kabel-kabel internet milik syarikatnya yang dipasang pada setiap elektrik lorong salam. Jelas Mohamad, kejadian ini berlaku sekitar jam 8 - 9 malam pada 13 Januari.

"Baru sebentar tadi, jam 07:55 malam, saya jumpa dengan kumpulan samseng tu di lorong salam, memang mereka mengaku curi..mereka cakap akan pulangkan semula router kepada saya tetapi sampai sekarang pun belum bagi lagi," ujar Mohamad.

Sebelum ini, kumpulan samseng berkenaan telah memberi amaran kepada HUMMER agar tidak lagi membekalkan internet di lorong sebelah(Bait Izzah, Selera Tanta dan rumah-rumah siswa-siswi Malaysia) sehingga ke awal shouber tetapi di lorong salam, samseng telah memberitahu HUMMER bahawa mereka hanya mahu membekalkan internet di deretan rumah-rumah yang berjiranan dengan restoran U-Cafe di sepanjang lorong tanpa menyentuh deretan rumah yang berada di kedudukan setentang. HUMMER turut diancam jika samseng ternampak kabel internet HUMMER berada di deretan U-Cafe dan sepanjang lorong.

"Mereka ni pening kot ambil ubat apa-apa, dulu cakap lain, tak mau ganggu deretan sebelah ni(yang menempatkan pejabat PCT, HAITA dan rumah-rumah siswa siswi Malaysia) tapi sekarang ni lain pulak yang berlaku," getus Mohamad.

Tuesday, January 3, 2012

[Kemaskini] Samseng sabotaj kabel internet HUMMER

TANTA, 03 Januari - Setelah kejadian mengugut HUMMER dari sebuah kumpulan samseng 'Arab' selepas Asar, 31/12/2011, kumpulan samseng berkenaan mensabotaj pula kabel internet HUMMER petang semalam, 02/01/2011 pada jam 03:47 petang(waktu Mesir).
Lagi berita:

Kerja sabotaj itu mengakibatkan bekalan internet kepada pengguna-pengguna HUMMER terputus buat sementara waktu. Tambahan pula, homepage HUMMER tertukar dengan sendirinya kepada homepage yang tertera nama Adil Mohamad Ad-Dasuqi berserta nombor telefon tangannya. Lihat paparan di bawah:

Homepage Adil Mohamad Ad-Dasuqi
Sebaik internet putus, wartawan DHH segera menghubungi Mohamad As-Sokari bagi mendapatkan penjelasan ekoran talian internet terputus. Diikuti seorang lagi dari pengguna internet turut mengadu internet tidak dapat diakses.

Ketika dihubungi, Mohamad menjelaskan bahawa internet yang terputus itu ada kaitan dengan kerja sabotaj dari kumpulan samseng yang mengugutnya beberapa hari yang lepas. 

Menjawab pertanyaan modus operandi samseng yang terbabit, Mohamad berkata, salah satu kabel utama(main switch) yang menghubungkan jaringan internet dari syarikat HUMMER kepada semua pengguna telah ditukar kepada jaringan internet milik syarikat yang lain, iaitu Adil Mohamad Ad-Dasuqi yang bekerja sebagai pengendali internet kepada kumpulan samseng.

Mangsa(Mohamad) terus bergegas ke lokasi tiang elektrik yang menempatkan sambungan kabel utama syarikat HUMMER. Ternyata, Adil berada di situ, lalu disergah dan menghujaninya dengan pertanyaan.

Lokasi kedudukan tiang itu tidaklah jauh dari syarikat HUMMER. Sebagaimana dimaklumkan, ianya terletak berhampiran jalan(awal lorong masuk ke Bait Izzah Tengah dan restoran selera Tanta serta beberapa buah rumah mahasiswa-mahasiswi jurusan perubatan) menembusi ke awal Shouber.


Selepas disergah dan Adil tidak mampu menepis pertanyaan, pekerja kepada kumpulan samseng itu hanya meminta maaf kepada Mohamad As-Sokari, rakan kongsi kepada Muktaz yang mengendalikan syarikat internet 'HUMMER'.

Pengguna-pengguna internet syarikat HUMMER  dinasihatkan tidak menghubungi nombor telefon tangan Adil Mohamad Ad-Dasuqi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Monday, January 2, 2012

[kemaskini] Kumpulan samseng ugut HUMMER

TANTA, 31 Disember - Kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku pada waktu petang Sabtu hari ini(31/12/2011) selepas waktu Asar apabila sebuah kumpulan samseng 'Arab' masuk secara tiba-tiba ke dalam syarikat HUMMER yang membekal internet dari rumah ke rumah(pra bayar bulanan).
Syarikat terbabit terletak di penghujung simpang jalan Al-Azhar menembusi ke jalan utama. Dikalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia, sama ada pengajian Islam mahupun perubatan, kawasan ini lebih popular dengan julukan nama Ma'radh.
Berbalik kepada kejadian, "Kumpulan samseng(البلطجية) ni dalam lingkungan dari empat ke lima orang, semua bekas banduan yang pernah meringkuk dalam penjara dari tiga hingga lima tahun," Kata Mohamad As-Sokari, salah seorang rakan kongsi syarikat.
Sewaktu menemui Mohamad, dia(mangsa) menerangkan, kumpulan samseng tersebut ketika bercakap menggunakan nada bahasa yang kasar dan wajah mereka juga sedikit mengerikan, mana tidaknya, wajah mereka kelihatan bercoreng parut. Tambahan lagi, mereka mengugut supaya bayaran bulanan khidmat internet yang diterima dari pengguna dibahagi dua, sejumlah kepada syarikat HUMMER sendiri dan sejumlah lagi kepada mereka.
"Nak bayar Le1,500(RM788.40, xe) sebulan kepada kami atau internet kawasan ini putus?," ugut salah seorang samseng kepada Mohamad sambil mengacukan pisau.
Mohamad hanya menjawab, "Internet kawasan ni adalah kawasan kami dan kami hanya bekal internet dari jambatan Ma'radh sehingga menemui lorong Salam, kalau nak buat juga bisnes ni, ambillah kawasan lain, dari lorong Salam ke Kafral-Asom."
Sebagaimana yang diketahui, lorong Salam tempat terletaknya pejabat PCT(Perubatan Cawangan Tanta), restoran U-Cafe, restoran Haita, kilang roti 'Eish dan beberapa buah rumah mahasiswa-mahasiswi yang kebanyakannya mengambil jurusan bidang perubatan.
 

Begitulah penyelesaian dari Mohamad yang berakhir tanpa mengakibatkan kejadian yang lebih buruk berlaku. Mangsa ugutan hanya berkata, saya lebih rela rugi Le1,500 sebulan dari menyerahkan wang tersebut kepada kumpulan samseng. 
"Jika mereka nak duit, kerjalah sendiri, buat apa saya pula yang mesti beri duit kepada mereka yang tak kerja, ini titik-peluh saya," getus Mohamad.
Menjawab soalan berhubung aduan kepada polis, Mohamad berkata, "polis mana ada sekarang, jikalau ada dan saya hubungi, belum tentu lagi pihak polis datang."
Berhubung kejadian ini, mahasiswa-mahasiswi Malaysia khususnya di Tanta diingatkan berjaga-jaga dan mengambil serius mengenai keselamatan. Lebih-lebih lagi, indeks kadar jenayah yang tertinggi adalah di kawasan Ma'radh sebagaimana makluman dari pegawai polis kepada Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta cawangan PMRAM, Saudara Ilyas Yusof sewaktu pertemuan kedua-dua pihak pada Oktober 2011 di Balai Polis, Seksyen 1, Medan Sa'ah, Tanta.