Monday, April 26, 2010

Erti tabah, suka dalam derita

"Setiap jiwa pasti menghadapi saat kematian", realiti yang mesti diterima mana-mana insan yang mengaku beriman kepada Allah Ta'ala. Sebalik itu, sedih dan merasai dukacita tidak dapat dikesampingkan lantaran pemergian seseorang yang amat disayangi. Tambahan pula, ahli keluarga, adik kandung.

Penulis bercerita di sini bukanlah mahu mengisi kekosongan masa atau melayani perasaan tatkala sedih dan hiba dengan pemergian kak Jut, tetapi penulis mahu mengajak kawan-kawan termasuk adik-adik dan ahli keluarga yang lain supaya mengambil iktibar bahawa; kematian itu bila-bila masa sahaja akan menjemput dan mengerti sifat tabah ketika berada dalam suasana yang hiba dan duka.

Arwah(kak Jut) sebelum dijemput menemui Allah Ta'ala telah berhadapan dengan ujian yang cukup menguji iman dan sabar. Manakan tidak, dia telah berumahtangga pada 2009. Semestinya mahu mengecapi nikmat hidup bersama suami tercinta, membina mahligai dari taman syurga, namun Allah Ta'ala telah memilih kak Jut dan suaminya untuk membuktikan iman mereka, juga kami sekeluarga. Tempoh masa kak Jut berhadapan dengan ujian(sakit, menghidap kanser tulang) yang agak lama dan teramat perit.

Situasi tersebut membimbangkan emak(gambar bersebelahan dengan arwah, kelihatan wajah sayu mengenangkan anaknya sakit masa itu)dan abah. Semahunya, emak dan abah memikirkan pula adik-adik yang mendatang dengan pengajian dan kehidupan tetapi terpaksa menumpukan sepenuhnya kepada kak Jut yang sakit. Tambahan pula, penulis(sulung) masih belum selesai pengajian dan sewajarnya penulislah yang mesti berkorban segalanya demi keluarga saat ini tanpa memberatkan ma dan abah. Bagaimanapun, emak dan abah terus memberikan layanan kepada kak Jut dan menjaganya sambil disokong suami kak Jut, adik Shauqi.

Kesakitan yang dihadapi kak Jut tidak membungkam kehidupan kami sekeluarga, malah ada sahaja cerita-cerita yang menarik pasti menghiburkan. Walaupun adakalanya sedih memikirkan keperitan yang dilalui kak Jut, tetapi terubat dengan memahami bahawa semua ini adalah ujian dari Allah.

Semasa pertengahan tahun 2009, saya terdorong untuk pulang ke Malaysia melihat dan mengintai derita yang dihadapi kak Jut. Setiap kali call emak, pasti bertanya tentang pulang dan emak berserta abah berharap sedemikian. Ketika itu, kak Jut memang telah terlantar di katil akibat sakit yang dideritai. Awalnya tyroid yang membengkak di leher kemudian berjangkit ke seluruh tubuh, membuatkan sukar bernafas, tidak lalu makan, tak bermaya dan seumpamanya.

Cerita tentang rawatan pula, boleh menyusun daftar ubat dan senarai klinik serta hospital. Adik Shauqi yang bertungkus-lumus 'standby' semua itu juga tidak terlepas menerima ujian ini saat isterinya sakit, betapa Allah membimbinginya menjadi suami yang begitu tabah. Walaupun sibuk dengan kerjanya, guru tetapi masa dan tanggungjawabnya tak pernah lekang bahkan sentiasa kuat. Semasa tempoh pertunangan mereka, Shauqi meminta kepada abah supaya dipercepatkan hari pernikahan mereka. Pada mulanya abah membantah kerana kak Jut dah sakit, tetapi desakan dan kepercayaan kepada Shauqi..emak dan abah membenarkan hari bahagia mereka diadakan. Seperti yang emak cerita, sebelum abah beri kebenaran, Shauqi memberikan janjinya untuk jaga dan bantu sembuhkan kak Jut dengan sedaya-upayanya.

Ketika penulis pulang bercuti di Malaysia dari akhir Julai 2009 hingga akhir November 2009, segala suka-duka kami sekeluarga dikongsi bersama. Saat tiba di muka pintu rumah dari Lapangan Terbang, penulis terus mendapatkan kak Jut yang berada di katil, titisan air mata kak Jut turut menitis tika kami berpelukan. 

Gambar: Ketika bersama arwah di hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar. Giliran adik Yaseer(berkain pelikat) teman kak Jut. Sebelah kiri saya, adik bongsu. 

Walaupun kak Jut sakit, tetapi dia juga berusaha untuk menenangkan semua orang di rumah agar tidak terlalu memikirkan kesakitannya. Mungkinkah dia berlakon gembira meskipun sakit? Along rasa tidak, bahkan dengan cara itu kak Jut mampu merawat dirinya dan mahu menenangkan kami, terutamanya emak dan abah serta suaminya. Akibat terlampau sakit, kak Jut dibawa ke tempat rawatan; hospital Penang, hospital pakar Alor Setar, klinik di Sungai Petani dan tempat sedia merawat secara tetap adalah di hospital Sultanah Bahiyyah, Alor Setar memandangkan kemudahan yang lengkap dan selesa untuk kak Jut. Di samping itu, perubatan cara Islam turut dibarisi sebagai usaha mengubati penyakit yang dihadapi oleh kak Jut.

Sepanjang rawatan di hospital Sultanah Bahiyyah, emak selalu berada di sisi kak Jut..adapun kami yang lain saling bergilir menemani kak Jut di hospital. Penulis turut merasa lebih sayu kerana kak Jut cakap pada emak yang alongnya kurang melayaninya ketika sakit(Ya Allah, ampunkan dosa saya kepada arwah). Bagaimanapun, ketika emak berada di hospital, penulis mengambil alih kerja emak di kantin. Dalam kesibukan itu, penulis menjadi driver on-call ulang-alik bergilir dengan abah tiap-tiap hari dari rumah(Bt 16) ke hospital di Alor Setar. Kadang-kadang bersama abah, dan kadang-kadang bersama dengan adik-adik yang lain..pergi melihat, menjenguk, dan bersama kak Jut. Yang kerapnya emak kerana sifat keibuan yang Allah anugerahkan kepadanya langsung tidak rasa keletihan apatahlagi jemu, emak rela bersama kak Jut di hospital. Abah pula mengajar di sekolah dan menemani kami di rumah seharian. Adik-adik yang bersekolah rendah, Hakim dan adik(Khudhari) seakan faham dan tidak menunjukkan karenah. Jika bersama si kakak, Mawaddah..mereka sentiasa bergelak ketawa. Bagi mereka, lebih suka berada di hospital untuk bersama emak menemani kak Jut. Shifa', Saidah, Toyyib(driver on-call jugak, la ni dia la yang conquere) juga antara peneman setia kak Jut. Tambahan pula dengan kepulangan adik Yaseer(Yaman) ketika bercuti di Malaysia menambahkan ceria emak malah juga menemani kak Jut di hospital. Kadang-kala dia menjadi tukang masak di rumah. Adik yang seorang lagi, Huda..meskipun sibuk mengajar waktu itu tetapi tidak reti letih menjalankan tanggungjawabnya, dia peneman penulis ketika sibuk menjalankan bisnes di kantin dan memasak untuk kak Jut dan emak. Adapun adik Farhanah yang belajar di UKM, kerap mahu pulang ke rumah untuk bersama kami.

Aidilfitri 2009 perayaan yang besar bagi umat Islam, namun kami hanya mampu sambut dengan seadanya..pagi sibuk dengan sambutan aidilfitri, petang bergegas ke hospital untuk tukar giliran menemani kak Jut. Tambahan lagi, emak-emak dan ayah saudara, sepupu-sepupu, sanak saudara, kawan-kawan penulis, dan kawan-kawan kak Jut yang juga kerap menziarahi kak Jut.

Penulis juga tidak dapat melupakan saat-saat manis bersama arwah. Walaupun arwah terlantar di katil sepanjang masa, tetapi dia juga menjadi master-mind untuk rehlah seisi keluarga ke Pantai Merdeka pada 25-11-2009(kesilapan tarikh di gambar). Itulah kali terakhir, arwah(tudung purple berkerusi roda. Abah yang berkopiah putih duduk sambil membicarakan sesuatu pada emak, bertudung hitam) berkongsi kegembiraannya bersama kami sekeluarga..'sakit tetapi mahu juga menceriakan orang'.

Saya tiba di Mesir dalam keadaan agak lemah kerana memikirkan kak Jut, dan bagaimana emak dan abah bersendirian memikirkan semua ini. Mujur ada Mak Tam(kakak kepada abah) antara yang kuat memberi semangat kepada emak dan abah.

Sesekali membuat panggilan ke Malaysia, terubat dengan suara emak dan adik-adik..tetapi dengan kak Jut? Kali terakhir bercakap dengan kak Jut pada 29-11-2009. Selebihnya, hanya mengutus salam rindu dan sayang kepada kak Jut melalui emak.

Gambar: Arwah di kerusi malas, tengah adik bongsu, di kerusi roda, suami arwah yang cuba merasai nikmat duduk di kerusi roda.

Tanpa sedari lebih dari 5 bulan, penulis sentiasa dikejutkan dengan berita cemas tentang kak Jut..dua hari sebelum ini, mak cakap paru-paru kak Jut telah ditebuk untuk mengeluarkan air bagi memudahkan pernafasan dicampuri dengan darah yang turut mengalir keluar bersama air membuatkan oksigen ke kepalanya telah berkurangan. Pernafasannya disokong dengan oksigen. Saat-saat akhir, saya sendiri merasai letih tanpa buat apa-apa kerja yang berat, laporan kerja yang dijanjikan 'submit' turut terbengkalai..maafkan saya. Menurut mak, sebelum subuh pada 25-04-2010, tok wan(datuk) di Kuala Kedah merasai pelik berbanding hari lain..dia bingkas bangun dari tempat tidur seraya membaca al-Quran sambil merasai pelik, 'adik-beradik mana yang nak pergi dah ni? aku ka sapa?'.

Ternyata, Allah lebih menyayangi kak Jut. Allah Ta'ala hilangkan derita sakit yang dihadapinya dengan menghentikan nafasnya. Di sisi suami yang tabah, terukir senyuman terakhir isteri yang redha dengan ujian Ilahi. Emak yang berada di hospital menceritakan dari suami kak Jut bahawa saat akhir perpisahan itu..kak Jut menguntumkan senyuman kepada suaminya, bukti redha dengan sebuah cinta kerana Allah meskipun dapat hidup bersama pada waktu yang singkat, juga berterima kasih dengan pengorbanan yang cukup besar dari suaminya. Innalillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un..semoga arwah ditempatkan bersama orang yang beramal soleh. 

"Saya dah selesaikan tanggungjawab saya bantu mengubati arwah, sekarang along banyakkan membaca Al-Quran sebagai hadiah kepada arwah", ujar Shauqi ketika dihubungi.
Jam 9.00 pagi(waktu Malaysia), 25-04-2010

Saat lemah lenggangan tangan menaip dan beberapa pusingan lap(penulis), arwah telah selamat dikebumikan sekitar jam 4.00 petang(waktu Malaysia), 25-04-2010 di tanah perkuburan Islam, Guar Chempedak. Menurut maklumat di dalam facebook adik Huda, semua urusan pengebumian selesai pada jam 5.30 petang. Arwah dikebumikan berdekatan kubur wan dan nenek(Allahyarham Hj.Yahya Junid dan Hajjah Maryam Md Taib). Sekian.