Saturday, June 2, 2012

Perhimpunan Sejuta Belia Membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan


Kenyataan Media MAPIM

31 Mei 2012

Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini mengesahkan bahawa pihak PM dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Hiburan dengan wanita separuh bogel dalam acara perhimpunan tersebut adalah lambang kebudayaan di negara ini yang telah mengganti nilai agama dan moral yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Jelas yang berlaku adalah suatu penghinaan kepada kebudayaan negara dan PM  menjadi Ketua Liberalis Malaysia bila membenarkan budaya lucah dipentaskan bersama kehadiran beliau.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal dan mengutuk budaya liberal yang diterjemahkan dalam bentuk acara hiburan yang sangat anti akhlak  yang disahkan oleh PM bersama penari separuh bogel dalam perhimpunan tersebut.

Jika ada pihak yang mengangkat isu wujudnya gerakan liberal di Negara ini, maka kami berpendapat PM membayangkan bahawa beliau adalah ketua kepada budaya dan pemikiran liberal di Malaysia .

Dengan membenarkan wanita berpakaian tidak senonoh mengadakan pementasan yang direstu oleh PM dan Menteri yang berkenaan, manakala Menteri Agama di JPM serta para Mufti tidak pula bersuara, mengesahkan aliran liberalisme dan pluralisme sudahpun diabsahkan sebagai budaya dan aliran pemikiran yang dibenarkan oleh konsep wassatiyah yang ditaja oleh PM.

MAPIM mempersoalkan kemana pergi konsep akhlak dan jatidiri yang sering disuarakan oleh PM dalam ucapannya? Pada satu sisi beliau bercakap soal pemikran liberal dan plural mesti ditolak, beliau jugalah yang membenarkan hiburan lucah berpaksikan faham liberal ditonjolkan dalam acara perhimpunan belia.

Kebudayaan Kebangsaan yang beteraskan budaya Islam dan Melayu di Negara ini jelas tidak membawa sebarang erti kepada PM. Melihat belia berhimpun untuk menyaksikan pesta hiburan dengan penampilan wanita yang berpakaian lucah tidak menjadi masalah kepada PM dan Menteri Kebudayaan serta Menteri Agama Islam.

Asalkan dapat dihimpunkan belia dan mewujudkan suasana serba bebas dan tidak menghormati kebudayaan kebangsaan, PM sanggup menggadai akhlak generasi muda hanya untuk propaganda PRU 13.

MAPIM mendapati memperalatkan belia dengan memancing mereka berhimpun dengan acara hiburan liar adalah suatu fenomena yang sudah sedemikian lama diguna oleh pihak kerajaan.

Di satu hal budaya politik samseng dibiarkan berleluasa, ditambah lagi hiburan liar juga diguna untuk melekakan belia dari berfikir mengenai pelbagai isu negara yang akan menentukan nasib dan masa depan agama dan bangsa.

MAPIM tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh kerajaan yang mengguna peruntukkan dari wang rakyat dengan memaparkan budaya liar dan tidak senonoh. Jika ini yang dibawa, apa guna peraturan dan garispanduan yang kononnya wujud untuk mengawal sebarang bentuk acara hiburan yang dipentaskan kepada umum?    

Mapim menuntut Kementerian Belia dan Sukan mendedahkan berapa jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut. Menteri berkenaan mesti bertanggungjawab terhadap semua acara yang membawa implikasi buruk kepada imej Negara dalam perhimpunan tersebut.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM