Monday, August 13, 2012

Mursi Presiden sebenar hari ini - Abul Futuh

Dr. Abdul Mun'im

KAHERAH, 12 Ogos - "Hari ini, kuasa pemerintah memang betul-betul berpindah kepada Presiden yang dipilih rakyat," demikian ulasan Dr. Abdul Mun'im Abul Futuh, bekas calon pemilihan Presiden Republik Arab Mesir. 

Tambah beliau lagi menerusi jaringan sosial 'TWITTER', "kehendak revolusi sentiasa dituruti..dan pertempuran kami akan datang adalah dengan perlembagaan yang menjamin hak-hak rakyat ini meskipun sesiapa sahaja yang memerintah."

Beliau mengulas sedemikian setelahmana Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursi menetapkan keputusan memindahkan (memecat) Panglima Tentera, Muhammad Hussien Tantawi kepada pesara dan melantiknya sebagai penasihat Presiden. Begitu juga Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir, Al-Fariq Sami Anan juga dipindahkan kepada pesara, kemudian dilantik sebagai penasihat.
SHOROUK: Menteri Pertahanan Mesir yang baru mengangkat sumpah
Memetik dari halaman facebook penulis, hakim Mahmoud Mahmoud Muhammad Makki telah mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mesir setelah ditabalkan sebagai Naib Presiden Republik Arab Mesir. Begitu juga, Al-Fariq Al-Awwal Abdul Fattah Khalil As-Sisi mengangkat sumpah sebagai Panglima Umum Angkatan Tentera Mesir dan selaku Menteri Pertahanan Mesir bagi menggantikan Panglima Tentera Mesir, Hussien At-Tantawi. Manakala, jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir digantikan Al-Fariq Sidqi Sobhi.




Tambahan dari berita lain, Presiden Republik Arab Mesir, Dr. Muhammad Mursi telah mengeluarkan satu ketetapan bagi membatalkan pengumuman 'Perlembagaan Lengkap' yang dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tertinggi Tentera menjelang pilihanraya (pemilihan) Presiden peringkat ulangan baru-baru ini.


Seperti yang dimaklumi, Dr. Abdul Mun'im adalah bekas pimpinan Ikhwan Muslimin dan bekas salah seorang anggota Maktab Irshad Ikhwan. Namun beliau digugurkan keanggotaannya disebabkan beliau membuat pengumunan akan sertai pemilihan Presiden Mesir. Pada ketika itu, Ikhwan Muslimin tidak berhasrat untuk mengintai jawatan Presiden dan memutuskan mana-mana anggotanya yang bertindak mencalonkan diri ke dalam pemilihan Presiden akan dipecat. Dari sudut lain kerana ia melanggar keputusan 'syura' Ikhwan. Pun begitu, pencalonan Dr. Mursi adalah disebabkan faktor pergolakan politik yang tidak stabil ekoran ancaman sengit dari saki-baki pemerintah yang lalu (fulul) dan kuasa mahkamah yang menghadang kenaikan As-Shattir. 

Sumber utama:
12/08/2012, web berita Paltimes, web berita Shorouk dan pesanan ringkas Rnn

Wednesday, August 8, 2012

Tentera Mesir lancar operasi ketenteraan di Sinai


Sumber-sumber khas menjelaskan kepada media elektronik IRARAB (Al-Arab Al-An) yang memaparkan pada jam 03:11 pagi, waktu Kaherah pagi ini bahawa Angkatan Tentera Mesir (tentera, polis dan pasukan pencegah keganasan) telah melancarkan operasi besar-besaran buat pertama kali sejak puluhan tahun yang lalu. Operasi ini bertujuan memburu kumpulan bersenjata ekoran serangan yang membunuh 16 orang tentera Mesir pada 05/08/2012.

Berita berkait:
16 tentera Mesir maut, 7 lagi parah diserang kumpulan tidak dikenali
Az-Zayyat tidak menolak Israel terjebak dalam serangan ganas di Sinai


Menurut sumber, buat pertama kali, tentera Mesir menyerang pusat-pusat perkumpulan dan individu bersenjata yang dikehendaki di Bukit Al-Hilal, utara Sinai. Selain itu, El-Arish juga menjadi sasaran tumpuan tentera Mesir.

Serangan kali ini, tentera menggunakan pesawat perang. 

Sejam yang lalu, satu laporan lain menyatakan helikopter tentera Mesir menurunkan anggota-anggota skuad khas 'helang' (قوات الصاعقة) di puncak Bukit Al-Hilal.

Menurut media IRARAB, sekurang-kurangnya 30 individu bersenjata telah terbunuh di Bukit Al-Hilal, manakala dalam serangan dan diserang hendap serta operasi yang lain dari beberapa kawasan yang berlainan di Sinai, 30 lagi terbunuh.

Dalam operasi ini, dua individu bersenjata yang memiliki kewarganegaraan Kanada telah ditangkap.

Seorang penduduk tempatan berkata, Bukit Al-Hilal tempat persembunyian kumpulan bersenjata mempunyai keluasan kira-kira 25 kilometer persegi dan terdapat terowong-terowong bawah tanah yang melintasi ke Israel. 

Laporan terkini di El-Arish yang disahkan sumber keamanan dan perubatan, seorang tentera mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata yang cuba merempuh satu lokasi.

Kejadian lain, kedengaran letupan di bandar Rafah Mesir. 

Sebuah kawasan di Syeikh Zuweid pula dilaporkan kedengaran letupan hasil tembakan RPG dan peledak letupan, sambil itu, helikopter Apache tentera Mesir mengikuti rapat setiap pergerakan dan menjejaki buruan.

Sumber:
08/08/2012, web berita Irarab, pautan Ahram, dan halaman facebook Gaza Sekarang

Wednesday, August 1, 2012

RAKYAT PERLU CELIKKAN MATA DENGAN ISU 'GENOCIDE' ROHINGYA


Rakyat Malaysia digesa untuk mencelikkan mata melebarkan telinga terhadap isu 'genocide'(pembersihan/penghapusan etnik) yang melanda kaum Rohingya di Arakan. Sejak 3 Jun yang lalu selepas satu kontroversi gadis Burma yang dituduh dirogol oleh 3 lelaki Rohingya di Sittwe, Myanmar(Burma), walaupun tanpa bukti dan perbicaraan, puluhan ribu nyawa Rohingya telah melayang tanpa harga.

Mereka secara mendadak menerima lonjakan 'genocide' semula walaupun sebelumnya kelihatan mulai reda sejak sinar demokrasi dikatakan kian muncul di negeri Buddha tersebut. Mereka mengalami bentuk 'genocide' atau penghapusan jejak bangsa yang cukup dahsyat, dikepung, tiada muamalah jual beli dibenarkan, dibunuh oleh orang awam Buddha dengan lesen wewenang diberikan oleh tentera Burma serta aktiviti pemerkosaan yang cukup sadis.

Rakyat malaysia juga digesa menyokong tindakan pro-aktif  yang dijalankan oleh MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) yang akan ke Myanmar hari ini, 1 Ogos 2012, menurut artikel yang ditulis semalam.

Presiden Burma
Menurut Setiausaha Agung MAPIM, Cikgu Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, antara agenda pertemuan itu ialah untuk mendesak Presiden Thein Sein membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Myanmar untuk membantu pelarian Rohingya tanpa gangguan ala barbarian seperti misi Mavi Marmara suatu ketika dahulu ke Palestin.

Mereka  juga akan berjumpa dengan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi bagi membincangkan isu yang sama memandangkan ikon demokrasi itu telah berkempen sekian lama isu kemanusiaan dan kebebasan. Lebih bermakna, MAPIM akan membawa surat daripada para sami Buddha di Alor Setar yang menolak keganasan dan kezaliman kerana ia bercanggah dengan semangat ajaran Buddha. Sebelum ini MAPIM dan Persatuan Ulama’ Kedah telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha  di Alor Setar, Kedah dalam rangka memohon pemimpin agama itu mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Sebenarnya Aung Syu Kyi telah dihubungi oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan telefon sejurus selepas MAPIM mengutus surat untuk menggesa pemimpin itu bertindak atas isu 'genocide' ini.
__________________________________

Makluman terkini:


Memetik catatan dari halaman facebook MAPIM sebentar tadi, katanya, MAPIM berlepas hari ini ke Yangon, Myanmar. Misi kemanusiaan selama 3 hari di sana adalah untuk meninjau situasi terkini umat Islam Rohingya. 


Delegasi NGO Malaysia, MAPIM yang diketuai Cikgu Azmi akan berlepas dari LCCT pada jam 5 petang (waktu Malaysia). Sepanjang berada di Myanmar, MAPIM dan NGO negara asean yang lain akan bertemu dengan pemerintah Myanmar, pimpinan agama dan NGO tempat.

__________________________________

Sebelum itu, MAPIM telah menghantar surat kepada OIC, ASEAN, Setiausaha PBB, malah kepada Perdana Menteri Malaysia tetapi bagaikan anjing menyalak bukit...responnya tiada.

Malah yang menjadi kemarahan rakyat malaysia yang prihatin adalah apabila usul mengenai kezaliman ini dibawa oleh Dato’ Kamarudin Jaafar ke dalam parlimen ia ditolak mentah-mentah oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin bin Haji Mulia atas alasan tidak penting dan tdak relevan. Adakah nyawa umat Islam di luar sana tidak penting sehingga berdiskusi pun dianggap membuang masa oleh kerajaan yang mengaku hebat di mata dunia Islam? Lebih menyedihkan, saat usul itu ditolak, telah 29 000 nyawa Rohingya melayang di Myanmar sejak 3 Jun 2012 yang lalu.

Perhatikan isu ini secara teliti. Bayangkan jika Semenanjung Gaza dikepung dan dibedil, sekurangnya mereka memiliki roket dan kerajaan HAMAS yang tegar menyerang balas. Rohingya tiada senapang malah tiada pedang pun untuk mempertahankan nyawa mereka. Mereka disembelih hidup-hidup.

Mereka tiada doa daripada umat Islam selazim yang diterima oleh pejuang Chechnya, Afghanistan dan Palestin. Mereka tiada pengenalan diri, kad identiti sehingga mereka dianggap tidak wujud dalam sejarah bangsa. Sekalipun rakyat patani dihimpit, mereka masih boleh bersekolah dan bebas ke bumi Malaysia, sedangkan Rohingya bakal menerima maut jika menyeberangi sungai sempadan ke Bangladesh.

Bersama kita doakan misi MAPIM ke sana serta menantikan kejayaan kapal pertama yang bakal mengangkut bantuan ke Arakan melalui jalan laut, Insya Allah.

Muhammad Nuruddin Bashah
MEDIA TERAS PERAK