Wednesday, August 8, 2012

Tentera Mesir lancar operasi ketenteraan di Sinai


Sumber-sumber khas menjelaskan kepada media elektronik IRARAB (Al-Arab Al-An) yang memaparkan pada jam 03:11 pagi, waktu Kaherah pagi ini bahawa Angkatan Tentera Mesir (tentera, polis dan pasukan pencegah keganasan) telah melancarkan operasi besar-besaran buat pertama kali sejak puluhan tahun yang lalu. Operasi ini bertujuan memburu kumpulan bersenjata ekoran serangan yang membunuh 16 orang tentera Mesir pada 05/08/2012.

Berita berkait:
16 tentera Mesir maut, 7 lagi parah diserang kumpulan tidak dikenali
Az-Zayyat tidak menolak Israel terjebak dalam serangan ganas di Sinai


Menurut sumber, buat pertama kali, tentera Mesir menyerang pusat-pusat perkumpulan dan individu bersenjata yang dikehendaki di Bukit Al-Hilal, utara Sinai. Selain itu, El-Arish juga menjadi sasaran tumpuan tentera Mesir.

Serangan kali ini, tentera menggunakan pesawat perang. 

Sejam yang lalu, satu laporan lain menyatakan helikopter tentera Mesir menurunkan anggota-anggota skuad khas 'helang' (قوات الصاعقة) di puncak Bukit Al-Hilal.

Menurut media IRARAB, sekurang-kurangnya 30 individu bersenjata telah terbunuh di Bukit Al-Hilal, manakala dalam serangan dan diserang hendap serta operasi yang lain dari beberapa kawasan yang berlainan di Sinai, 30 lagi terbunuh.

Dalam operasi ini, dua individu bersenjata yang memiliki kewarganegaraan Kanada telah ditangkap.

Seorang penduduk tempatan berkata, Bukit Al-Hilal tempat persembunyian kumpulan bersenjata mempunyai keluasan kira-kira 25 kilometer persegi dan terdapat terowong-terowong bawah tanah yang melintasi ke Israel. 

Laporan terkini di El-Arish yang disahkan sumber keamanan dan perubatan, seorang tentera mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata yang cuba merempuh satu lokasi.

Kejadian lain, kedengaran letupan di bandar Rafah Mesir. 

Sebuah kawasan di Syeikh Zuweid pula dilaporkan kedengaran letupan hasil tembakan RPG dan peledak letupan, sambil itu, helikopter Apache tentera Mesir mengikuti rapat setiap pergerakan dan menjejaki buruan.

Sumber:
08/08/2012, web berita Irarab, pautan Ahram, dan halaman facebook Gaza Sekarang

0 comments: