Sunday, August 25, 2013

REVOLUSI 25 JANUARI DIHUMBAN HILANG PRINSIP

Revolusi 25 Januari (Rev25jan) sudah terhumban jauh akibat penghambaan diri kepada kepentingan yang tak menjanjikan ianya tercapai. Demokrasi yang dilaungkan telah dicabuli, landasan yang terbina teguh mereka sendiri mengoreknya dan melubangi dengan perangkap-perangkap maut. Maka wujudlah Barisan Penyelamat Tanahair (National Salvation Front) dan Gabungan Kebangkitan 30 Jun kerana tidak puas hati pada pro Islamis yang memerintah Mesir, pada waktu yang sama dari luar juga penuh dengan ancaman. Sepanjang Dr Mursi di jawatan Presiden, mereka juga kerap menimbulkan huru-hara. Rata-rata wajah yang muncul mahu menggulingkan Presiden Mursi adalah dari kalangan barisan pejuang Rev25jan tetapi mereka tak sedar mereka hanyalah suara-suara minoriti. Kejayaan 30 jun hanyalah disebabkan faktor campurtangan tentera, perancangan satu kerajaan dalam kerajaan dan kekeliruan media. Seandainya mereka sedar, pilihanraya Presiden pada peringkat penentuan tahun lepas merupakan saat-saat genting yang menentukan nasib Rev25jan. Jika tidak, tak mungkin bekas calon Presiden Dr Abdullah Al-Ash'al mengingatkan kepada rakyat Mesir bahawa Ikhwan Al-Muslimin barisan pertahanan terakhir Rev25jan. Mujur pungutan suara rakyat memihak kepada Dr Mursi.
Revolusi 25 Januari
Apa yang saya tulis bukan bermakna Ikhwan Al-Muslimin langsung tidak ada kesalahan tetapi saya lebih percaya Ikhwan lebih berprinsip dan menjaga landasan Rev25jan. Hasil yang sudah berlaku sekarang disebabkan rampasan penuh dari 'luar' dan kesemua pihak yang terlibat sama ada bekas rejim Mubarak(fulul), badan ketenteraan, kehakiman, juga teramat kesal dari mereka yang memperjuangan Rev25jan sendiri membuka jalan kepada fulul. Semalam saya menulis satu tajuk 'SEDAR ATAU TIDAK MEMANG BERLAKU', hari ini memang betul-betul berlaku. 

Kempen Tamarrud
Pimpinan Barisan Penyelamat Tanahair sudah berpecah dan Tamarrud (Gerakan Pemberontakan/Rebel) yang menyuntik kemarahan rakyat agar keluar pada 30 Jun menggulingkan Dr Mursi serta menyokong beri kuasa penuh pada tentera juga telah menerima ancaman dari KDN sendiri bahawa Tamarrud menggugat keamanan. Pemuda 6 April sudah hilang taring apabila pada mulanya menyeru demonstrasi bantahan pembebasan Mubarak tetapi telah dibatalkan.

Mungkin Barisan Penyelamat Tanahair, Gerakan Tamarrud, dan Pemuda 6 April boleh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana realiti sekarang fulul sudah kembali ke pentasnya. Anda juga menentang Presiden pertama pilihan rakyat dan anda juga yang menamatkan cuti panjang kepada fulul. Sewaktu penyokong Dr Mursi menempuh panas terik demi untuk mengembalikan semula apa yang telah dirampas dan pimpinan Islamiyyin ditangkap, apa lagi yang anda boleh buat? bergabung semula dengan mereka dan tunjukkan simpati?

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Turki, Mesir tidak perlukan sokongan daripada kerajaan-kerajaan dunia kerana penuh dengan birokrasi tetapi Mesir memerlukan mereka-mereka yang berprinsip dan bebas dari cengkaman sehinggalah kembali menang.

0 comments: