Tuesday, January 17, 2012

Shisha: Apa hukumnya?

Gambar betul sebagai hiasan

Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau  alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau.

Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu  bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.

Sedemikian itu, berhubung situasi di atas, saya memetik satu hukum mengenai penggunaan shisha dari sebuah laman rasmi mufti Brunei untuk tatapan pembaca. Tambahan pula, shisha tidak lagi menjadi sesuatu yang asing dalam masyarakat kita di Malaysia dan apatahlagi di Mesir.

Selanjutnya, para pembaca boleh melihat mengenai hukum tersebut di sini

Monday, January 16, 2012

[Gambar] Hotel sarang burung

    Ir.Bertil Harström
Hotel berupa sarang burung salah sebuah bilik hotel yang dikatakan terpelik di dunia. Ianya direka oleh Ir.Bertil Harström, seorang arkitek dan hotel ini terletak di utara Sweden.

Sekali diimbas, reka bentuk luar hotel ini mirip sarang burung yang berpaut pada dahan pokok-pokok di sekelilingnya. Dekorasi dalaman pula menempatkan sebuah katil utama serta dua katil bertingkat di salah satu hujung sudut bilik hotel ini.

Dari sudut ukuran, ia mempunyai ukur lilit 18 meter dan ketinggian dari tanah setinggi 4 meter.

Pastinya, ia memberi keselesaan kepada sebuah keluarga yang mempunyai dua orang anak.

Gambar hotel sarang burung



Pandangan luar


Pandangan dari dalam



Klip video Treehouse








Sumber utama:

Sunday, January 15, 2012

Sambutan penubuhan DPMT tahun ke-20

الاءنطلاقة للبيت الطلبة الماليزيين بطنطا
 ل 20 عام

      15 Januari 1992 merupakan detik sejarah bermulanya kesatuan mahasiswa Malaysia di Tanta. Mendasari kegemilangan khilafah islamiyah, Dpm Tanta menjadi sayap yang melebarkan perjuangan PMRAM.

[copy DPMT] Kami di Barisan Kepimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta(Dpm Tanta) ingin menjemput kepada seluruh warga Tanta(Ikhwah & Akhawat) untuk sama-sama menghadiri Solat Hajat Perdana sempena ulangtahun ke-20 DPMT yang telah ditubuhkan sejak 1992 lagi. Lestarikan Ukhuwwah kita.

Semoga Allah merahmati dan memberkati wadah ini, tidak lain dan tidak bukan demi untuk memperjuangkan kalimahNya serta menyatukan permata-permata Malaysia di Tanta secara khusus, dan umumnya di Mesir melalui persatuan induk, PMRAM. Moga abna' alharakah ini tetap tabah, utuh dan yang paling penting niat yang ikhlas sepanjang melewati jalan juang ini.

الله أكبر ولله الحمد..حسبي الله ونعم الوكيل
لا حرية فوق حرية الله

Samseng curi enam 'router' HUMMER

TANTA, 15 Disember - Syarikat pembekal internet 'HUMMER' tidak putus-putus menerima aduan dari pelanggannya disebabkan bekalan internet di lorong salam tergendala. 

Merujuk kepada daftar pelanggan HUMMER, mahasiswa-mahasiswi Malaysia antara pelanggan internet di lorong salam berada di bahagian deretan rumah-rumah yang menempatkan pejabat PCT dan restoran HAITA.

Kejadian terbabit, Mohamad As-Sokari, salah seorang rakan kongsi HUMMER berkata, bekalan internet yang terputus ini diketahui selepas para pelanggan tidak putus-putus menghubunginya.

Kata Mohamad yang ditemui wartawan DHH semalam(14/01/2012), "saya letihlah, samseng curi enam router HUMMER di lorong salam(أنا تعبان .. ده بلطجي يسرق ست روتر بتعنا من شارع السلام)".

Router, sekadar gambar hiasan.




*router: penghala

Mohamad dalam keadaan sugul menceritakan, kumpulan samseng mencuri enam router yang menghubungkan kabel-kabel internet milik syarikatnya yang dipasang pada setiap elektrik lorong salam. Jelas Mohamad, kejadian ini berlaku sekitar jam 8 - 9 malam pada 13 Januari.

"Baru sebentar tadi, jam 07:55 malam, saya jumpa dengan kumpulan samseng tu di lorong salam, memang mereka mengaku curi..mereka cakap akan pulangkan semula router kepada saya tetapi sampai sekarang pun belum bagi lagi," ujar Mohamad.

Sebelum ini, kumpulan samseng berkenaan telah memberi amaran kepada HUMMER agar tidak lagi membekalkan internet di lorong sebelah(Bait Izzah, Selera Tanta dan rumah-rumah siswa-siswi Malaysia) sehingga ke awal shouber tetapi di lorong salam, samseng telah memberitahu HUMMER bahawa mereka hanya mahu membekalkan internet di deretan rumah-rumah yang berjiranan dengan restoran U-Cafe di sepanjang lorong tanpa menyentuh deretan rumah yang berada di kedudukan setentang. HUMMER turut diancam jika samseng ternampak kabel internet HUMMER berada di deretan U-Cafe dan sepanjang lorong.

"Mereka ni pening kot ambil ubat apa-apa, dulu cakap lain, tak mau ganggu deretan sebelah ni(yang menempatkan pejabat PCT, HAITA dan rumah-rumah siswa siswi Malaysia) tapi sekarang ni lain pulak yang berlaku," getus Mohamad.

Saturday, January 14, 2012

Jenguk ketamadunan ilmu di Dar Al-Farouq

Kitab di sebelah kiri untuk mengetahui
sejarah pembinaan Masjid Nabawi.
DAR AL-FAROUQ(website)
"Ohh Malizi, saya Nadir, buatlah seperti pejabat kamu sendiri," sapa Encik Nadir selaku pengurus pemasaran dan jualan di peringkat antarabangsa Al-Farouq ketika melihat penulis berada dalam pejabatnya sewaktu berbicara dengan Encik Muhammad Morsey, timbalan kepada Encik Nadir.

Encik Morsey di sisi koleksi
pameran buku yang diedar
Pertama kali, penulis tiba di Syarikat Al-Farouq yang terletak hanya 300 meter dari tangga turun ke stesen keretapi ringan(METRO) bawah tanah di El-Dokki untuk mendapatkan sedikit sebanyak nilai ketamadunan ilmu masyarakat Mesir yang berada di situ. Saya memulakan bicara dengan Encik Morsey berhubung projek Al-Farouq khususnya untuk pengedaran buku-buku terbitan syarikatnya. Sebenarnya pada asal, keberadaan penulis di syarikat ini adalah berkaitan pameran buku antarabangsa di Kuala Lumpur pada masa akan datang. Topik ini disuarakan oleh Encik Morsey yang berhasrat menyertai pameran buku di Malaysia, lebih-lebih lagi, inilah bidang tugasnya untuk membawa nama syarikat dan mempromosikan nilai-nilai ketamadunan masyarakat Mesir ke serata ceruk tempat yang mampu pergi. Tidak dinafikan, sememangnya Mesir menjadi kiblat ilmu kepada mereka yang amat mendamba ilmu-ilmu agama, thurathi mahupun kontemporari. Di persada sejarah, nama Mesir terus unggul masakan Mesir merupakan destinasi tumpuan persinggahan para pelancong dari negara Arab, barat, asia dan seluruh dunia.
Sebahagian dari buku-buku yang diedar oleh Dar Al-Farouq
Encik Morsey memberitahu syarikat Al-Farouq banyak mengedarkan buku-buku agama, sejarah termasuk penulisan buku berbahasa english. Sehingga kini, aturan jadual pameran buku antarabangsa yang telah kemas tersusun meliputi Mesir sendiri pada 23 Januari ini, disusuli Maghribi, Yaman bergantung kepada keadaan, dan beberapa buah lagi negara Arab. Tidak ketinggalan, Dar Al-Farouq berhasrat untuk pergi ke Malaysia.

Sepanjang dialog bersama Encik Morsey di tingkat lima yang menempatkan Syarikat Al-Farouq, penulis juga menanyakan tentang penulis Mesir yang terkenal dari sudut sejarah dan isu seputar politik, juga yang mendalami peredaran masyarakat Mesir. Beliau hanya menyebut nama Mohamad Hasanein Haikal, seorang tokoh cendekiawan Mesir yang kerap muncul di stesen televisyen Al-JAZEERAH serta membuat ulasan dalam akhbar-akhbar harian Mesir.

Encik Morsey di ruang pejabatnya
Menyentuh kepada penubuhan syarikat, Encik Morsey yang baru sahaja tiga tahun bersama Al-Farouq menceritakan syarikat ini telah berdiri sejak 12 tahun yang lalu. Pada hari ini, syarikat Al-Farouq mampu mengukir senyuman yang ceria setelahmana mempunyai puluhan kakitangan dan infrastruktur ruang pejabat yang memuaskan, apatahlagi dengan kemampuan tersebut mampu menerbit dan mengedarkan ratusan jenis buku mengikut cita rasa pembaca.


Penulis turut mencelah mengenai keperibadian(شخصيات) orang Arab Mesir, seperti gelaran 'ibnu nuktah' dan 'pahlawi'. Beliau membalas dengan kuntuman senyum dan mengangguk tanda setuju.
Penulis bersama Encik Muhammad Morsey
di salah satu ruang syarikat Dar Al-Farouq
"Memang orang Mesir terkenal dengan sifat suka bergurau," ujar Encik Morsey berhubung gelaran ibnu nuktah. Seraya itu, beliau menunjukkan sebuah buku berkisar orang Arab Mesir semasa zaman Firaun dan mencadangkan beberapa buah lagi judul buku mengenai masyarakat Mesir.

Sengaja penulis membangkitkan sedemikian(keperibadian orang Mesir) kepada Encik Morsey tujuan untuk melihat responnya mengenai pembinaan persefahaman hal-ehwal dua buah masyarakat, Mesir dan Malaysia. Hal sedemikian mengingatkan penulis kepada seorang kawan berbangsa Arab keturunan Mesir yang kini sedang bekerja di Qatar. Impiannya amat tinggi iaitu mahu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat Mesir dan Malaysia. Mungkin inilah salah satu inisiatif agar kedua-dua masyarakat dapat memahami sosio-budaya antara satu sama lain. Seterusnya, menjadi pemudah untuk mengeratkan hubungan antara Arab dan Melayu. Di samping itu, ketamadunan ilmu yang diperolehi dapat membangunkan masyarakat sejajar dengan tuntutan agama Islam. Tambahan pula, ledakan revolusi 25 Januari telah membuka seluas-luasnya ruang kepada politik Islam menampilkan mekanisme dan mengaplikasikan saranan-saranan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat serta kenegaraan malahan tidak terkecuali setiap aspek kehidupan. Inipun setelah pemerintahan diktator berjaya ditumbangkan hasil kesedaran umat.


Ternyata, penulis berasa sangat gembira dapat menjenguk dan beramah mesra dengan pegawai pemasaran di Dar Al-Farouq.


'Sungguh merasai betapa diri ini teramat kerdil dan hanya mampu meniti di tepian pantai ketika air surut, seandainya air pasang atau ombak bergelora, pasti tidak mampu membentengi arus'.

Tuesday, January 3, 2012

[Kemaskini] Samseng sabotaj kabel internet HUMMER

TANTA, 03 Januari - Setelah kejadian mengugut HUMMER dari sebuah kumpulan samseng 'Arab' selepas Asar, 31/12/2011, kumpulan samseng berkenaan mensabotaj pula kabel internet HUMMER petang semalam, 02/01/2011 pada jam 03:47 petang(waktu Mesir).
Lagi berita:

Kerja sabotaj itu mengakibatkan bekalan internet kepada pengguna-pengguna HUMMER terputus buat sementara waktu. Tambahan pula, homepage HUMMER tertukar dengan sendirinya kepada homepage yang tertera nama Adil Mohamad Ad-Dasuqi berserta nombor telefon tangannya. Lihat paparan di bawah:

Homepage Adil Mohamad Ad-Dasuqi
Sebaik internet putus, wartawan DHH segera menghubungi Mohamad As-Sokari bagi mendapatkan penjelasan ekoran talian internet terputus. Diikuti seorang lagi dari pengguna internet turut mengadu internet tidak dapat diakses.

Ketika dihubungi, Mohamad menjelaskan bahawa internet yang terputus itu ada kaitan dengan kerja sabotaj dari kumpulan samseng yang mengugutnya beberapa hari yang lepas. 

Menjawab pertanyaan modus operandi samseng yang terbabit, Mohamad berkata, salah satu kabel utama(main switch) yang menghubungkan jaringan internet dari syarikat HUMMER kepada semua pengguna telah ditukar kepada jaringan internet milik syarikat yang lain, iaitu Adil Mohamad Ad-Dasuqi yang bekerja sebagai pengendali internet kepada kumpulan samseng.

Mangsa(Mohamad) terus bergegas ke lokasi tiang elektrik yang menempatkan sambungan kabel utama syarikat HUMMER. Ternyata, Adil berada di situ, lalu disergah dan menghujaninya dengan pertanyaan.

Lokasi kedudukan tiang itu tidaklah jauh dari syarikat HUMMER. Sebagaimana dimaklumkan, ianya terletak berhampiran jalan(awal lorong masuk ke Bait Izzah Tengah dan restoran selera Tanta serta beberapa buah rumah mahasiswa-mahasiswi jurusan perubatan) menembusi ke awal Shouber.


Selepas disergah dan Adil tidak mampu menepis pertanyaan, pekerja kepada kumpulan samseng itu hanya meminta maaf kepada Mohamad As-Sokari, rakan kongsi kepada Muktaz yang mengendalikan syarikat internet 'HUMMER'.

Pengguna-pengguna internet syarikat HUMMER  dinasihatkan tidak menghubungi nombor telefon tangan Adil Mohamad Ad-Dasuqi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Monday, January 2, 2012

[kemaskini] Kumpulan samseng ugut HUMMER

TANTA, 31 Disember - Kejadian yang tidak disangka-sangka telah berlaku pada waktu petang Sabtu hari ini(31/12/2011) selepas waktu Asar apabila sebuah kumpulan samseng 'Arab' masuk secara tiba-tiba ke dalam syarikat HUMMER yang membekal internet dari rumah ke rumah(pra bayar bulanan).
Syarikat terbabit terletak di penghujung simpang jalan Al-Azhar menembusi ke jalan utama. Dikalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia, sama ada pengajian Islam mahupun perubatan, kawasan ini lebih popular dengan julukan nama Ma'radh.
Berbalik kepada kejadian, "Kumpulan samseng(البلطجية) ni dalam lingkungan dari empat ke lima orang, semua bekas banduan yang pernah meringkuk dalam penjara dari tiga hingga lima tahun," Kata Mohamad As-Sokari, salah seorang rakan kongsi syarikat.
Sewaktu menemui Mohamad, dia(mangsa) menerangkan, kumpulan samseng tersebut ketika bercakap menggunakan nada bahasa yang kasar dan wajah mereka juga sedikit mengerikan, mana tidaknya, wajah mereka kelihatan bercoreng parut. Tambahan lagi, mereka mengugut supaya bayaran bulanan khidmat internet yang diterima dari pengguna dibahagi dua, sejumlah kepada syarikat HUMMER sendiri dan sejumlah lagi kepada mereka.
"Nak bayar Le1,500(RM788.40, xe) sebulan kepada kami atau internet kawasan ini putus?," ugut salah seorang samseng kepada Mohamad sambil mengacukan pisau.
Mohamad hanya menjawab, "Internet kawasan ni adalah kawasan kami dan kami hanya bekal internet dari jambatan Ma'radh sehingga menemui lorong Salam, kalau nak buat juga bisnes ni, ambillah kawasan lain, dari lorong Salam ke Kafral-Asom."
Sebagaimana yang diketahui, lorong Salam tempat terletaknya pejabat PCT(Perubatan Cawangan Tanta), restoran U-Cafe, restoran Haita, kilang roti 'Eish dan beberapa buah rumah mahasiswa-mahasiswi yang kebanyakannya mengambil jurusan bidang perubatan.
 

Begitulah penyelesaian dari Mohamad yang berakhir tanpa mengakibatkan kejadian yang lebih buruk berlaku. Mangsa ugutan hanya berkata, saya lebih rela rugi Le1,500 sebulan dari menyerahkan wang tersebut kepada kumpulan samseng. 
"Jika mereka nak duit, kerjalah sendiri, buat apa saya pula yang mesti beri duit kepada mereka yang tak kerja, ini titik-peluh saya," getus Mohamad.
Menjawab soalan berhubung aduan kepada polis, Mohamad berkata, "polis mana ada sekarang, jikalau ada dan saya hubungi, belum tentu lagi pihak polis datang."
Berhubung kejadian ini, mahasiswa-mahasiswi Malaysia khususnya di Tanta diingatkan berjaga-jaga dan mengambil serius mengenai keselamatan. Lebih-lebih lagi, indeks kadar jenayah yang tertinggi adalah di kawasan Ma'radh sebagaimana makluman dari pegawai polis kepada Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta cawangan PMRAM, Saudara Ilyas Yusof sewaktu pertemuan kedua-dua pihak pada Oktober 2011 di Balai Polis, Seksyen 1, Medan Sa'ah, Tanta.