Tuesday, January 1, 2008

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?.. Meskipun penduduk Palestin juga berbangsa arab, tetapi hakikatnya negara jiran yang berbangsa arab juga tidak mampu untuk memberikan pertolongan yang sewajarnya. Di manakah dasar kemanusiaan? Ke mana konsep demokrasi yang dilaungkan sebenarnya? Mana ungkapan bangsa arab yang diwar-warkan sebelum ini?

Mesir, negara arab yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, Palestin amat tidak bertanggungjawab apabila sebilangan besar jemaah haji yang mahu pulang ke Gaza tidak diberi hak yang sewajarnya. Al-Jazeerah, 28/12/07 melaporkan Mesir menghalang 1700-2400 orang jemaah haji Gaza yang mahu pulang ke Semenanjung Gaza. Bagaimanapun, jika mahu pulang mesti mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu memasuki Gaza melalui sempadan Karem Abu Salem yang dikawal ketat oleh tentera Israel. Syarat ini ternyata ditolak mentah oleh jemaah haji Gaza kerana apabila melalui sempadan tersebut, mereka akan berhadapan dengan keganasan rejim Israel. Sebaliknya mereka meminta agar dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Sangkaan jemaah haji Gaza tepat kerana memang berlaku keganasan. Palestin-info, 31/12/07 melaporkan kematian seorang wanita(hajjah) dan 4 orang bersamanya turut cedera apabila rejim Israel bertindak melepaskan tembakan setelah mereka melalui sempadan Irez, Beit Hanoun(dikawal Israel) untuk pulang ke Gaza kerana kerajaan Mesir tidak membuka sempadan Rafah. Dalam masa yang sama, kedapatan daripada jemaah haji Gaza melancarkan tunjuk perasaan untuk menuntut mereka dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Hormatilah para jemaah haji baitullah, inilah antara slogan ketika berlakunya tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh jemaah haji Gaza.

Siapa yang patut dipertanggungjawabkan? Kerajaan Mesir? Rejim Israel?, penulis berkeyakinan seandainya Mesir menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah untuk membawa para jemaah haji Gaza pulang dengan selamat ke Semenanjung Gaza, peristiwa ganas ini tidak akan berlaku. Tetapi, kerana desakan dan tekanan Israel yang sememangnya kejam..begitulah keadaannya. Dalam hal ini, Mesir sewajibnya melindungi dan menjaga nasib penduduk Palestin yang berbangsa arab bukannya membiarkan mereka tersembam di hadapan kasut but pengganas Israel.

Amat menyedihkan apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Penerangan Palestin, Riyadh Maliki amat menyentap perasaan dan jiwa ummah.

Al-Jazeerah 31/12/07, “Kerajaan akan membenarkan para jemaah haji Gaza pulang melalui sempadan Rafah setelah mendapat persetujuan daripada pemerintah Israel“, ujar menteri tersebut.

Ketika artikel ditulis, jemaah haji Gaza masih belum mendapat kebenaran untuk melalui sempadan Rafah.

Liga Arab, OIC dan semua umat Islam..tolonglah beri bantuan dengan penuh amanah kepada saudara seaqidah ini. Mereka juga perlukan perhatian bukannya kesengsaraan.

0 comments: