Thursday, March 27, 2008

Sehari selepas kesepakatan Yaman

Rundingan keamanan Palestin-Israel tetap berjalan dengan baik dan sempurna. Mungkin semua pihak tertanya-tanya, ketika rundingan ini berjalan..kenapa pengganas Israel (Israel) tetap memerangi penduduk Palestin sama ada yang berada di Tebing barat dan Semenanjung Gaza. Apakah yang diharapkan dalam rundingan tersebut sebenarnya? dan kenapa ia diteruskan meskipun penduduk Palestin diganyang Israel? Tidakkah mereka yang mengadakan rundingan dengan Israel masih buta?

Inilah persoalan yang timbul di sebalik rundingan Israel-Palestin, kononnya menitikberatkan perdamaian tetapi Palestin tidak pernah sunyi walaupun sesaat daripada kekejaman dan keganasan Israel.

Blockade, Holocaust Gaza(pengistiharan yang dibuat oleh timbalan Menteri Pertahanan Israel bulan lalu), dan pencerobohan membuktikan betapa pihak Israel tidak menginginkan perdamaian dengan Palestin. Bagaimanapun, tindakan ganas Israel mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat. Kerap kali, apabila ada serangan terbaru dari Israel..pasti Amerika akan mengatakan dalam sidang akhbar bahawa tindakan Israel adalah untuk 'mempertahankan diri'.

Konflik yang berlaku kini semakin sulit, bukan sahaja tekanan dan kekangan daripada pihak luar malah ia meresap dan menjadi pertentangan dalaman(Palestin-Palestin) yang amat dahsyat. Baru sehari persepakatan Yaman ditandatangani oleh kedua pihak (HAMAS dan FATAH) pada 24 Mac 2008 di Yaman, pihak FATAH(penasihat Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Amr) yang berada di Ramallah mengatakan persepakatan itu batal kerana tidak mendapat restu Mahmoud Abbas. Ketua delegasi Fatah, Azam Ahmad terpinga-pinga dan mengatakan bahawa Mahmoud Abbas telah dimaklumi perkara tersebut, malah persepakatan Yaman ini menjadi pertembungan hangat di kalangan FATAH kerana tidak mahu mengadakan perbincangan bersama HAMAS.

Bagaimana pula respon Israel? Amat menyedihkan, Israel sememangnya tidak suka apabila Palestin-Palestin berdamai atau lebih mudah bersatu. Israel dalam kenyataan akhbar memberi pilihan kepada Mahmoud Abbas sama ada untuk meneruskan rundingan dengan pihak Israel atau dengan HAMAS.

Sebelum ini, FATAH telah menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan HAMAS tetapi di dalam rundingan yang telah dimeterai dibatalkan pula persepakatan tersebut sambil di ungkit rampasan kuasa di Gaza tahun lalu. Fatah seakan-akan terlalu banyak berdalih dalam soal rundingan mahupun perbincangan dengan HAMAS tetapi dengan pihak Israel lebih mudah.

Tuesday, February 5, 2008

Amaran terhadap Abu Tarikah kerana Gaza

Krisis tekanan dan kepungan ke atas Gaza mendapat reputasi yang meluas akibat tindakan Israel yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Seminggu telah berlalu, namun keadaan penduduk Palestin Gaza dan Semenanjung Gaza masih dihimpit tekanan yang maha dahsyat. Sekali imbas, bukan sahaja aktivis politik, rakyat di kebanyakan Negara(demonstrasi aman dan tunjuk perasaan di jalanan) atau pemerintah terlibat membangkitkan kesedaran untuk Gaza, tetapi ahli sukan juga secara serius memberikan tumpuan terhadap Gaza meskipun lincah mengawal bola di padang.

Di benua Afrika, kini berlangsung Piala Afrika di Ghana. Apa yang menarik? Laporan yang bersumber dari akhbar harian Al-Ahram, 28/01/08 mengatakan bintang bola sepak Mesir dari Kelab Ahli, Abu Tarikah telah mendapat amaran keras kerana tindakannya dikatakan melanggar undang-undang Federation of International Football Associations (FIFA).

Perlawanan bola sepak yang berlangsung antara Mesir dan Sudan mendapat tumpuan umum, tambahan pula rakyat Mesir yang amat gemar dengan bola seiring temanya makan bola, tidur bola..minum coca-cola telah menjadi realiti bukan sahaja di kalangan dewasa malah kanak-kanak turut mengikutinya. Sebaik sahaja, Abu Tarikah menjaringkan gol pertama ketika Mesir menentang Sudan, beliau lantas berlari dan menyelak jersinya sambil menutup muka dan t-shirt dalamnya terpampang tulisan ’sympathize with Gaza’. Bagaimanapun, tindakannya yang disifatkan mulia kerana meraih simpati untuk menyedarkan para penyokong dan penonton telah mengundang kecaman dari pihak penganjur dan pengadil kerana hal tersebut bertentangan dengan undang-undang FIFA, tindakan tersebut boleh menyebabkan Abu Tarikah digantung permainan. Seperti yang termaktub undang-undang FIFA melarang unsur-unsur politik, keagamaan, dan seumpamanya sama ada peringkat dalam Negara dan peringkat antarabangsa. Tujuannya Undang-undang tersebut adalah untuk menjaga prinsip sukan agar tidak dicampuri permasalahan politik.

FIFA! ke mana tema Piala Dunia tahun sebelum ini yang memperjuangkan hak insani? Mungkin kerana melibatkan politik Israel dan Amerika, penduduk Palestin tidak mendapat hak sewajarnya? Dalam keadaan runcing yang melibatkan nyawa, apatahlagi cengkaman musim sejuk sebegini masih tidak memberikan hak-hak sewajarnya kepada penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza. Semasa artikel ini ditulis, penduduk Gaza masih berada di Rafah dan 'Arish bagi mendapatkan keperluan asasi. Sepatutnya nyawa manusia lebih diutamakan dari bola. Jangan kerana bola, manusia berpecah dan lupa tanggungjawab. Bagaimana dengan pembaca dan peminat setia bola sepak, anda sanggup mencintai bola dan menyisihkan mereka yang dizalimi?

Ingatlah, saat kita memberi tepukan dan bersorak bak guruh gempita kerana pemain yang kita minati menyepak bola dan menunjukkan skill yang kononnya ‘best’, kita juga mesti sedar bahawa saudara seagama kita di Palestin juga disepak, ditendang oleh rejim Israel malah hak-hak mereka juga dikoyak-rabak tanpa rasa belas.

Wednesday, January 23, 2008

Kerana Gaza, pemimpin mula membuka mata?

Cekikan Israel yang dirasai Gaza telah memuntahkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya tegar di dalam jiwa dan diri bagi pemimpin. Pemimpin bukanlah di kalangan pemimpin arab sahaja, malah pemimpin negara Islam dan mana-mana pemimpin yang ada rakyat dan negara. Tidak dinafikan, keadaan di Gaza adalah krisis paling sulit kerana puluhan tahun ia bersama Palestin telah mengharungi pelbagai desakan, ancaman dan berbagai-bagai keadaan. Tetapi, bagi mereka yang bernama pemimpin cubalah rasai Gaza itu juga sebahagian dari diri dan negaranya. Jadi, apa tindakan sekarang? Masih resah untuk mengeluarkan ketetapan, masih berat tangan untuk menghulurkan bantuan?

Semalam, bagaimana keadaan penduduk Gaza? Krisis yang menghujani mereka amat perit. Bukannya 2, 3 keluarga yang merasainya, bahkan lebih 800,000 penduduk Gaza yang dilaporkan akhbar menghadapi krisis kemanusiaan yang terburuk. Kehidupan mereka tanpa bekalan elektrik, air dan gas telah memberikan impak negatif yang amat membimbangkan.

Setakat ini, laporan berita dari Al-Jazeera telah memaparkan tentang 77 kematian di kalangan penduduk Palestin di Gaza. 77 bukanlah angka selama berbulan-bulan setelah berlakunya krisis, tetapi hanya dalam masa 3 hari semenjak rejim Israel mengawal dan memutuskan bekalan elektrik, gas dan air. Bagaimanapun, hospital-hospital di Gaza juga bimbang dengan krisis ini berlarutan kerana kebanyakan pesakit-pesakit buat masa ini amat memerlukan rawatan lengkap. Tetapi, bagaimana untuk memberikan rawatan sedangkan tiada bekalan elektrik, gas dan air. Malahan, tanaman-tanaman hasil tuai penduduk Palestin Gaza menghadapi masalah yang sama dan tugas seharian mereka selama 3 hari ini turut tergendala. Dalam siaran langsung Al-Jazeerah pada 22/010/08, di sempadan Rafah(Gaza-Mesir) dan Erez(Beit Hanoun-Israel) telah menunjukkan betapa krisis kemanusiaan di sana berada di tahap kemuncak.

Di sempadan Rafah 22/01/08, para penunjuk perasaan yang terdiri dari kalangan penduduk Palestin telah berjaya merempuh sempadan Rafah. Sebaik sahaja, pintu sempadan terbuka setelah dirempuh, beberapa pesakit yang memerlukan rawatan secepat mungkin dengan segera diusung melepasi sempadan Mesir.

Desakan dan ancaman krisis yang berlaku di Gaza telah menggerakkan masyarakat dunia agar merasai tanggungjawab bersama. Kedapatan tunjuk perasaan di beberapa buah negara turut mencetuskan persepsi negatif terhadap pemimpin. Bukan untuk memburukkan pemimpin, tetapi peranan dan tindakan segera dari pemimpinlah yang akan menyelamatkan keadaan Gaza. Namun, tidak dinafikan tekanan dari pihak lain akan menekan pemimpin dan negaranya.

Penulis merasa sangsi dengan kenyataan Mahmud Abbas 22/01/08, Al-Jazeerah yang mengatakan kerajaan Palestin boleh membantu Gaza, boleh membawa masuk keperluan-keperluan asasi ke Gaza..tetapi masyarakat perlu faham keadaan yang berlaku sekarang ini.

Kita kena memahami keadaan? Mungkin, jika kerajaan Palestin menolong penduduknya di Gaza pasti akan menerima tekanan yang akan membekukan segala bantuan sama ada tekanan pihak dari Israel atau kuasa lain. Memang bagus bila mendapat kerajaan seumpama ini, saat rakyatnya merasai derita..hati pemimpin masih ada rasa belas kasihan terhadap musuh yang selama ini bermain-main dengan rundingan damai, hakikatnya adalah jerat untuk memerangkap penduduk dan tanah Palestin. Bila pejuang HAMAS dan pejuang-pejuang yang lain bingkas bangkit melancarkan serangan roket, dia mencela tetapi dia tidak sedar selama rundingan damai berjalan, berapa nyawa penduduk Palestin menjadi taruhan.

Namun, akibat desakan dan hujuman rakyat-rakyat di beberapa buah negara telah mengubah pemimpinnya merasai bahang krisis kemanusiaan yang melanda Gaza.

Terima kasih kepada Presiden Mesir, Housni Mubarak dengan keprihatinannya membenarkan sempadan Rafah, Mesir dibuka kepada penduduk Palestin di Gaza untuk mendapatkan keperluan di Rafah. Tindakan tersebut adalah disebabkan rempuhan penduduk Gaza dan demonstrasi aman yang berlaku di Mesir bagi membantah kekejaman dan keganasan Israel yang mengepung dan mengawal hask asas penduduk Palestin di Gaza. Penulis tidak berhasrat membincangkan tindakan Presiden dari sudut politiknya. Namun, Israel juga membalas jasa presiden Mesir dengan menghentikan bekalas gas(bahan bakar)di Gaza dan meneruskan semula pembinaan 7300 perumahan yahudi-Israel di 5 buah penempatan selatan Al-Quds. Sungguh, sikap dan mental rejim Israel dari dahulu hingga sekarang masih dibelenggu kefanatikan yang melampau. Mereka beranggapan, krisis Gaza yang mereka sengaja kenakan layak sebab serangan roket pejuang Palestin. Padahal, tidak pula mereka sedar bahawa tindakan dan kekejaman mereka selama ini terhadap Palestin adalah perbuatan jenayah perang. Namun, tidak ada pula tindakan serius terhadap rejim Israel yang disifatkan bijak dalam politik.

Kebijakan mereka bukanlah kerana menguasai ketenteraan dan paling hebat teknologi perangnya, tetapi mereka berjaya menguasai kerajaan Amerika Syarikat. Bahkan, pendirian dan ketetapan kerajaan Amerika berkenaan rundingan keamanan menguntungkan Israel. Dan Amerika pula, menguasai Negara-negara di dunia di samping mengekang segala tindak-tanduk yang mengancam Israel.


Penulis ingin mempersoalkan pendirian Majlis Keamanan Bangsa Bersatu(PBB) kerana sehingga artikel ini ditulis seiring krisis berlaku tiada ketetapan segera diambil terhadap kekejaman Israel. Sepertimana yang dilaporkan Al-Jazeerah 23/01/08, PBB mengakhiri perjumpaan tergempar membincangkan keadaan di Gaza tanpa ada kesepakatan. Bagaimanapun di dalam web berita Berita Harian, perjumpaan tergempar PBB akan disambung semula pada hari rabu akan datang. Kenapa PBB mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan sebarang ketetapan. Di mana pendirian PBB? Seolah-olah PBB tidak ada peranan dan tidak berguna untuk membantu penduduk Palestin di Gaza. UNRWA yang berada di Palestin juga telah menghentikan bantuan makanan di Gaza. Bagaimana esok dan hari mendatang untukmu Gaza?

Kekuatan mana lagi yang diharapkan bagi membela Palestin. Tambahan pula, krisis Gaza saat ini membuatkan ia semakin dan bertambah derita. Seandainya, rakyat-rakyat (rakyat di semua negara) tidak bangun dan tidak berdemonstrasi di jalanan menuntut hak Gaza dan menekan kerajaan, maka sampai bila-bila pun pemimpinnya tidak akan buka mata. Mungkin, dengan tindakan Presiden Mesir ini akan membuka mata pemimpin-pemimpin yang lain.

Tuesday, January 22, 2008

Kerana Gaza rakyat bangkit, pemimpin lena?


GAZA KENA CEKIK, hanya menanti saat dan waktu untuk dikambus. Begitu sadis dan sedih apabila mengenangkan keadaan yang berlaku di Semenanjung Gaza. Saat dan masa ini adakah mereka telah ’bersarapan pagi?’, atau semalamnya mereka telah ’menikmati hidangan malam?’. Saat malam mereka gerhana, di pihak yang lain masihkah terjaga atau tidur lena atau turut merasai derita yang mereka alami?.

Timur Tengah kini dibungkam krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Bukannya berlaku secara kebetulan tetapi ia dirancang sebagai usaha untuk mengekang serangan roket kononnya menggugat kestabilan keamanan persempadanan. Krisis yang berlaku di Gaza bukanlah kali pertama, malahan operasi yang berkesinambungan dari semasa ke semasa. Hanya bentuk dan taktik perlaksanaannya yang membezakan krisis itu dianggap kecil atau berupa krisis yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ternyata, tindakan rejim Israel kali ini telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa apabila Gaza diperlakukan seumpama penduduknya tiada hak untuk hidup. Hanya penduduk Israel yang berhak dan menikmati keamanan sekitar. Dalam masa yang sama, pihak pentabiran Palestin di Ramallah mengatakan hanya dengan jalan rundingan, kesepakatan keamanan akan tercapai sambil disokong rejim Israel. Tetapi, hakikatnya tidak. Kesannya juga tidak seperti yang diwar-warkan. Hal inilah yang mendorong pejuang Palestin sama ada dari HAMAS mahupun barisan pejuang yang lain nekad dengan melancarkan serangan roket ke Israel, di samping tentangan bersenjata untuk menghalang kezaliman dan pencerobohan Israel.

Krisis yang berlaku di Gaza akibat kepungan dan kawalan Israel benar-benar melanggar dasar kemanusiaan.

Laporan berita Al-Jazeerah, 20/1/2008 ’penjana utama yang membekalkan elektrik di Gaza telah diberhentikan operasinya’.

Mengikut sumber berita, akibat penjana utama ini dihentikan telah memberi kesan 150 stesen yang lain juga terpaksa ditutup. Bahkan, penjana elektrik yang kedua juga ditutup selang beberapa jam selepas itu. Laporan berita menyatakan penduduk Palestin pada malamnya hidup dalam kegelapan, bukan sahaja rumah-rumah menghadapi masalah malahan hospital, kilang perindustrian dan tugas seharian juga tergendala.

Amat menyedihkan, Berita Al-Jazeerah melaporkan ketika meninjau ke sebuah hospital mendapati pesakit-pesakit kebanyakannya di tahap kronik dan memerlukan rawatan lengkap secepat mungkin kerana terputus bekalan elektrik. Bukan sahaja bekalan elektrik terputus, sempadan yang melingkungi Gaza juga ditutup.

Laporan Akhbar harian Al-Ahram juga menyebutkan bahawa Israel memang menutup kesemua persempadan yang menghubungkan Gaza. Lebih terkilan, sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir sampai sekarang tidak dibuka, meskipun didesak oleh Khalid Mash’al dan Ismail Haniah(HAMAS).


Dalam kenyataan akhbar, Ismail Haniah Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan yang dibubar menyatakan rasa bimbang dengan krisis kemanusiaan yang pasti meragut nyawa penduduk. Beliau mendesak kerajaan Mesir supaya membuka sempadan Rafah bagi tujuan bantuan rawatan dan makanan. Namun, jawapan rasmi selepas diadakan persidangan tergempar wakil-wakil Liga Arab yang dijadualkan pada hari ini, isnin 21/01/08.

Selain elektrik dan penutupan sempadan, bekalan bahan bakar, bekalan air dan gas juga terputus yang mengakibatkan segala faktor di Gaza terhenti. Lebih-lebih lagi sektor pertanian dan ekonomi yang berhadapan dengan kerugian besar. Namun, dalam masa yang sama, penduduk Palestin menghadapi tentangan dan serangan Israel yang berterusan.

Jurucakap HAMAS, dalam kenyataan akhbarnya seperti yang dilaporkan akhbar harian Misril Youm, isnin 21/01/08 membidas kenyataan Salam Fayadh (Perdana Menteri Kerajaan Tasyir A’mal Palestin) di Ramallah yang menghujum serangan roket pejuang adalah punca Israel mengenakan tekanan, kawalan dan pengepungan ke atas Gaza.

HAMAS menyifatkan kenyataan Salam Fayadh tidak kena dengan keadaan, bagaimanapun barisan pejuang yang lain turut mencemuh kenyataan Salam Fayadh. Pejuang-pejuang Palestin juga menghujum tindakan Salam Fayadh yang memilih jalan rundingan kerana dilihat sekarang ini hanyalah sia-sia kerana dalam rundingan berjalan Palestin-Israel pun, tentera Israel tetap mengganas membunuh, menyerang dan menangkap penduduk Palestin.

Badan Hak Asasi Manusia, Amerika Syarikat turut mempertikaikan tindakan Israel yang jelas melanggar hak-hak asasi manusia. Namun, di pihak pentabiran Washington pendirian yang berbeza kerana memang telah jelas mempertahankan tindakan Israel. Akhbar harian Al-Ahram, ahad 20/01/08 melaporkan pihak Washington, Kerajaan Amerika Syarikat membidas sebarang kritikan daripada mana-mana pihak terhadap Israel kerana serangan Israel pada masa ini, adalah tindakan untuk mempertahankan diri dari serangan roket pejuang Palestin. Begitu juga, kenyataan John Home selaku wakil pengerusi umum sumber kemanusiaan dan bantuan kecemasan, mengatakan ’memang hak Israel untuk mempertahankan diri’ tetapi beliau mencemuh tindakan Israel yang menghukum penduduk Gaza sedemikian rupa sungguh tidak munasabah.

John Home turut menyelar tindakan Israel yang menutup sempadan dari kemasukan sebarang bantuan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi. Beliau menyifatkan tindakan Israel ini tidak boleh diterima dari sudut insani.

Krisis tidak berperikemanusiaan ini telah menjangkau beberapa hari lamanya masih tidak mendapat reaksi dan respon dari mana-mana pemimpin arab secara serius. Apatah lagi, desakan berani yang mengancam tindakan Israel supaya menghentikan serangan.

Al-Jazeerah, ahad 20/01/08 dalam tinjauannya ke beberapa buah negara arab mendapat respon dan reaksi yang bersungguh terhadap krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Kedapatan rakyat-rakyat dan penduduk amat sensitif dengan tentangan Israel terhadap saudara mereka di Palestin. Gaza dan penduduknya seolah-olah terasing dan sengaja di asingkan, maka benar ungkapan Israel terhadap Gaza iaitu’wilayah musuh’.

Di jalanan negara Jordan, Lubnan, Sudan, Maghribi dan lain-lainnya(malam ahad, 20/01/08) memperlihatkan sensitiviti rakyat-rakyat yang turun di jalanan mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan terhadap kawalan dan kepungan Israel terhadap Gaza. Masing-masing berseloroh menyatakan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin di Gaza adalah tindakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan, perlunya kepada tindakan segera bagi menyelamatkan penduduk Palestin di Gaza. Tunjuk perasaan bukan sahaja di kalangan dewasa, malahan kanak-kanak juga bersama dan mereka telah mula memahami keadaan bagi menuntut keadilan dan keamanan.

Bangkitnya rakyat-rakyat di negara yang disebutkan bukanlah ketika rejim Israel mula memutuskan bekalan elektrik, air, gas dan menutup kesemua sempadan akan tetapi semenjak dikhabarkan berkenaan lawatan Bush (09/01/08, destinasi utama Israel) ke Timur Tengah dan Negara-negara Teluk. Bagaimanapun rakyat dan penduduk Negara tersebut telah memahami keadaan dan menghidu bau busuk keadaan yang bakal berlaku apabila Bush sampai dan setelah Bush pulang.

Desakan dan suara rakyat di negara tersebut menandakan rakyatnya peka dengan keadaan yang berlaku, tetapi ke manakah pula suara kerajaan dan pemimpin-pemimpin arab untuk membantu penduduk Palestin di Gaza. Ketika rakyat berdemonstari aman pada malam hari kerana tidak kesenangan mengetahui kesengsaraan saudara mereka di Gaza, bagaimana dengan pemimpin arab, bersama rakyatnya atau masih lena?

Thursday, January 17, 2008

Al-Qassam balas penyembelihan Israel

Maafkan Keganasan dan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin? Tidak mungkin, meskipun rundingan perdamaian yang diwar-warkan selama ini adalah untuk perdamaian dan keamanan tetapi hakikatnya adalah pencetus dan dorongan untuk mereka membunuh penduduk Palestin dan merampas segala hak-hak Palestin.

Sepertimana yang dikatakan oleh Jurucakap bagi Kementerian Luar Israel, Amirah Auron, "Kerajaan Israel berpendirian untuk proses perdamaian dan keamanan adalah dengan perbincangan, rundingan dan pengiktirafan Negara Israel dan menolak politik melampau seperti yang dibawa oleh HAMAS".

Jelas dengan ungkapan jurucakap ini hanyalah mementingkan kehendak Israel tanpa melihat kekejaman dan keganasan yang telah mereka lakukan terhadap penduduk Palestin.

Dalam masa 2 hari (15 dan 16 Januari 2008) belum sempat Bush pulang ke Amerika Syarikat, berpuluh nyawa penduduk Palestin telah terkorban akibat tindakan berupa penyembelihan kejam Israel yang terus-menerus menujah ke atas penduduk Palestin. Alasan yang rejim Israel kemukakan kerana pejuang Palestin bertindak menyerang mereka dengan serangan roket, namun hujah ini bukanlah sandaran yang kuat untuk membenarkan rejim Israel bertindak sedemikian rupa. Pejuang Palestin tidak buta untuk menilai tindakan Israel. Pejuang Palestin tidak akan menyerang jika Israel tidak melancarkan serangan terhadap mereka, tetapi akibat tindakan Israel yang sekian lama menyerang, membunuh dan melabelkan pejuang sebagai 'pengganas', maka pejuang Palestin berhak untuk mempertahankan maruah, tanah, darah dan wilayah mereka.

Kekejaman yang dilakukan Israel adalah restu dan redha US, dan juga dalam keadaan Negara-negara umat Islam diam. Walaubagaimanapun, terdapat segolongan dari umat Islam yang meyakini hanya dengan jalan rundingan, konflik ini akan selesai. Perlu diingat, konflik ini bukanlah berlaku kerana secara kebetulan tetapi telah dirancang sekian lama.

Berdasarkan hal yang disebutkan, laporan web berita dari Palestin-info, bertarikh 16 Januari 2008 memaparkan serang balas Kataib Izzuddin Al-Qassam(HAMAS) dengan 150 roketnya ke Sderot, Zakem dan pos-pos kawalan Israel. Hanya ini yang Al-Qassam mampu balas selain dari doa.

Tuesday, January 1, 2008

Giliran Haniah pula..

Serangan ganas terhadap penduduk Palestin, sama ada di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat terus berlanjutan tanpa henti. Keganasan rejim Israel bagaikan di’rasuk’ aura hitam menandakan mereka bukan mahukan keamanan sepertimana agenda mereka di dalam rundingan dan perjanjian damai.

Rundingan dan perjanjian damai hanyalah adaptasi daripada rancangan yang tidak berperikemanusiaan. Slogan damai dan aman yang mereka laungkan sebelum ini ternyata membuka pekung di dada, bukan damai dan aman tetapi ganas dan ancam itulah peribadi mereka.

Saban tahun, setiap pemimpin Palestin yang tidak tunduk atas kemahuan mereka pasti menjadi buruan. Kekacauan yang mereka lakukan bukan sahaja di sudut luaran dengan senjata tetapi juga merangkumi sudut dalaman dengan menggagalkan sesebuah kerajaan.

Ismail Haniah merupakan pemimpin tertinggi HAMAS, kini tiba gilirannya apabila Israel telah menyatakan ‘dialah sasaran kita sekarang’ setelah Syeikh Ahmad Yaasin, Dr. Abd Aziz Al-Rantisi dan pejuang yang lain telah menemui syahid.

Haniah yang terkenal dengan ketegasan dan merupakan pemimpin sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Peribadinya tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel melambangkan prinsip dan keteguhan jiwa seorang pejuang adalah antara penyebab timbulnya kegerunan di kalangan musuh terhadapnya.

Beliau(HAMAS) telah memenangi pilihanraya umum Palestin pada 2006 secara bersih dan menjadi tonggak utama dalam usaha memerdekakan Palestin dari cengkaman dan belenggu zionis Israel. Ketika HAMAS memenangi pilihanraya tersebut, prinsip demokrasi berjalan dengan baik sepertimana yang dituntut oleh barat. Tetapi sebaik sahaja kerajaan berpihak kepada HAMAS, keadaan berubah. HAMAS tidak diberi hak sepenuhnya mentadbir Palestin. Kekacauan dan pemboikotan sepenuhnya yang dilakukan Amerika Syarikat dan sekutunya telah merubah demokrasi kepada hipokrasi, semuanya menjadi ucapan retorik semata.

Saat dan masa ini, rejim Israel telah merancang pembunuhan ke atas Ismail Haniah.

Hal ini seperti yang dilaporkan dalam Palestin-info 29/12/07, dewan keamanan Israel telah meluluskan operasi pembunuhan Ismail Haniah secepat yang mungkin. Pastinya, Ehud Barak, menteri pertahanan Israel yang mendrafkan cadangan ini kerana beralasan Haniah mengarahkan serangan roket ke atas beberapa buah bandar Israel dan sepatutnya dibunuh demi keamanan penduduk Israel.

Draf tersebut telah dipersetujui Bush yang kelihatan bersungguh. Operasi tersebut telah bermula dari sekarang sama ada sebelum atau selepas lawatan Bush ke Israel. Jika Liga Arab, OIC dan kesemua pemimpin negara arab dan negara Islam diam serta kaku hanya menongkat dagu..siapakah yang akan membantu Ismail Haniah dan pejuang Palestin untuk mempertahankan tanah-tanah, dan maruah umat Islam di sana?
[May Allah Help Us On His Straight Path]

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?

Benarkah tiada lagi kasih untuk Palestin?.. Meskipun penduduk Palestin juga berbangsa arab, tetapi hakikatnya negara jiran yang berbangsa arab juga tidak mampu untuk memberikan pertolongan yang sewajarnya. Di manakah dasar kemanusiaan? Ke mana konsep demokrasi yang dilaungkan sebenarnya? Mana ungkapan bangsa arab yang diwar-warkan sebelum ini?

Mesir, negara arab yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, Palestin amat tidak bertanggungjawab apabila sebilangan besar jemaah haji yang mahu pulang ke Gaza tidak diberi hak yang sewajarnya. Al-Jazeerah, 28/12/07 melaporkan Mesir menghalang 1700-2400 orang jemaah haji Gaza yang mahu pulang ke Semenanjung Gaza. Bagaimanapun, jika mahu pulang mesti mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu memasuki Gaza melalui sempadan Karem Abu Salem yang dikawal ketat oleh tentera Israel. Syarat ini ternyata ditolak mentah oleh jemaah haji Gaza kerana apabila melalui sempadan tersebut, mereka akan berhadapan dengan keganasan rejim Israel. Sebaliknya mereka meminta agar dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Sangkaan jemaah haji Gaza tepat kerana memang berlaku keganasan. Palestin-info, 31/12/07 melaporkan kematian seorang wanita(hajjah) dan 4 orang bersamanya turut cedera apabila rejim Israel bertindak melepaskan tembakan setelah mereka melalui sempadan Irez, Beit Hanoun(dikawal Israel) untuk pulang ke Gaza kerana kerajaan Mesir tidak membuka sempadan Rafah. Dalam masa yang sama, kedapatan daripada jemaah haji Gaza melancarkan tunjuk perasaan untuk menuntut mereka dihantar ke sempadan Rafah-Mesir.

Hormatilah para jemaah haji baitullah, inilah antara slogan ketika berlakunya tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh jemaah haji Gaza.

Siapa yang patut dipertanggungjawabkan? Kerajaan Mesir? Rejim Israel?, penulis berkeyakinan seandainya Mesir menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah untuk membawa para jemaah haji Gaza pulang dengan selamat ke Semenanjung Gaza, peristiwa ganas ini tidak akan berlaku. Tetapi, kerana desakan dan tekanan Israel yang sememangnya kejam..begitulah keadaannya. Dalam hal ini, Mesir sewajibnya melindungi dan menjaga nasib penduduk Palestin yang berbangsa arab bukannya membiarkan mereka tersembam di hadapan kasut but pengganas Israel.

Amat menyedihkan apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Penerangan Palestin, Riyadh Maliki amat menyentap perasaan dan jiwa ummah.

Al-Jazeerah 31/12/07, “Kerajaan akan membenarkan para jemaah haji Gaza pulang melalui sempadan Rafah setelah mendapat persetujuan daripada pemerintah Israel“, ujar menteri tersebut.

Ketika artikel ditulis, jemaah haji Gaza masih belum mendapat kebenaran untuk melalui sempadan Rafah.

Liga Arab, OIC dan semua umat Islam..tolonglah beri bantuan dengan penuh amanah kepada saudara seaqidah ini. Mereka juga perlukan perhatian bukannya kesengsaraan.