RFC
:: giatkan penggunaan produk muslim ::

Tuesday, September 27, 2011

PMRAM, MPPMJ & PPMS Selar Tindakan Karikatur Utusan Yang Mempersendakan Hudud

Karikatur Utusan

KAHERAH, 27 Sept - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan(MPPMJ) dan Persatuan Pelajar Malaysia Syria(PPMS) menyelar tindakan karikatur Utusan Malaysia yang diterbitkan pada hari ini membawa unsur mempersendakan hudud.

Karikatur Utusan tersebut jelas mempersendakan hudud apabila menggambarkan seorang ustaz yang memakai serban sedan berbaring mendengar muzik yang mengeluarkan bunyi hudud dan terdapat di sisi ustaz yang digambarkan tersebut album lagu yang tertulis hudud.

PMRAM, MPPMJ dan PPMS menyatakan pendirian secara tegas bahawa karikatur tersebut merupakan satu unsur yang membawa kepada fitnah serta persendaan kepada hudud yang merupakan hukum daripada Allah.

Sepatutnya tidak timbul karikatur seperti berikut walaupun isu hudud di Malaysia sedang hangat di perkatakan.

Ia seolah-olah menggambarkan rosaknya etika bagi media di Malaysia apabila secara langsung menyentuh sensitivitiyang berkaitan dengan agama Islam bahkan memperlihatkan begitu mudah agama Islam diperlekehkan melalui media.

"PMRAM bersama-sama dengan mahasiswa di Jordan melalui MPPMJ dan Syria melalui PPMS menyelar tindakan karikatur Utusan yang tidak bermoral apabila mempersendakan hudud secara umum. PMRAM dan PPMS mengharapkan isu hangat mengenai hudud di kalangan masyarakat umat Islam Malaysia tidak dijadikan sebagai bahan lawak atau persendaan bagi mana-mana pihak kerana ia menyentuh sensitiviti agama Islam," ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman berhubung isu ini ketika dihubungi.

"PMRAM juga sedang menanti respon daripada rakan-rakan Solidariti Mahasiswa Timur Tengah (SMATT) yang lain berhubung isu ini. Insyaallah dalam masa terdekat SMATT akan mengadakan perbincangan secara conference di antara presiden-presiden persatuan induk di negara-negara Timur Tengah untuk membincangkan isu ini bersama," tambah beliau lagi.

Justeru, PMRAM , MPPMJ dan PPMS menuntut agar Utusan Malaysia dapat menjaga etika dan adab supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama sekaligus mengundang fitnah perpecahan di kalangan masyarakat di Malaysia.

Sumber: 27/09/2011, Web Rasmi PMRAM

0 comments: