Melafazkan janji tidak semudah menunaikannya tetapi tidaklah sukar untuk melangsaikan janji asalkan dasar perjanjian itu ke arah yang betul dan tindakannya perlu betul-betul jujur. Kenapa kita tidak mampu menunaikan janji? Mungkin boleh melihat kepada faktor ketika perjanjian itu dibuat, adakah benar-benar jujur atau sekadar main-main? Atau hanya janji-janji manis?
Kisah yang penulis rakamkan di sini adalah kisah yang benar. Ianya berlaku antara penulis dengan dua orang adik lelaki yang digelar De Mok dan De King pada tahun lepas ketika penulis pulang bercuti. Gelaran ini adalah gelaran orang kampung untuk memupuk kemesraan sesama adik-beradik. De Mok nisbah kepada Hakim yang tubuhnya agak berisi dan De King nisbah kepada adik bongsu, iaitu adik kerana bertubuh kecil.
Ceritanya ia mengisarkan tentang 'perjanjian' atau 'satu janji' untuk mendapatkan sesuatu, maka kena lakukan sesuatu. Penulis cuba berkomunikasi dengan De Mok dan De King menggunakan bahasa rundingan meskipun masing-masing berumur yang mencecah 9 tahun dan 11 tahun.
Gambar: Masa lapang menemani arnab-arnab
Pada asalnya, De Mok dan De King amat menginginkan sesuatu iaitu kereta mainan kawalan jauh sebagaimana kanak-kanak lain ada yang menggilainya sehinggakan sanggup berbelanja besar. Jika hendak digambarkan kelakuan De Mok dan De King yang mahukan kereta mainan ini memang susah untuk dipujuk selagimana kemahuan mereka tidak dipenuhi. Yang menariknya, kedua-dua mereka berpakat..ada masanya si De Mok akan merayu pada penulis dan bersilih ganti dengan De King yang juga merayu-rayu..fuhh pujuk rayu bebbb. Boleh dikatakan, asyik-asyik sebut tentang kereta kawalan jauh. Penulis pun ada silap juga sebab suka sangat bawa mereka ke kawasan 'port' mainan di shopping complex. Penulis pun pernah lalui waktu sebegini semasa kecil dahulu, tanyalah abah dan emak yang lebih tahu. Penulis juga yakin pembaca-pembaca pun sebegitu. Tetapi bagi penulis, ini adalah peluang untuk mendidik De Mok dan De King. Maka, terlintaslah satu janji, iaitu De Mok dan De King kena ikut syarat, iaitu jadual pembelajaran yang telah disusun khas mesti dipatuhi selama seminggu berturut-turut.
Apa yang dilalui ini memang tidak dapat dilupakan. Rasa sayang yang tidak berbelah bahagi kepada dua orang ini yang baru bertemu selepas empat tahun menambahkan lagi rasa sayang. Sebolehnya, setiap perjalanan masa mahu dihabiskan dengan melayan karenah mereka.
Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tercapai, De Mok dan De King berjaya menuruti syarat-syarat yang dikemukakan. Walaupun dalam lingkungan umur yang sebegitu, mereka cukup patuh pada janji.
Seingat penulis, hari Jumaat mendebarkan De Mok dan De king kerana mereka akan memperolehi kereta kawalan jauh. Pada waktu yang ditetapkan, penulis dengan adik-adik pergi ke shopping complex. De Mok dan De King ternyata riang gembira setelah mendapat apa yang diinginkan.
Kereta kawalan jauh yang telah dimiliki menjadi eksperimen menguji kekuatan fizikal dan mental. De Mok dan De king berentap menguji kelajuan kereta serta skill kawalan, drift..drag dan pecut long distance. Untuk sokongan logistik, penulis membuat race curcuit untuk mereka tetapi bukanlah bermakna penulis juga menceburi permainan itu sepanjang masa.
Walaupun De Mok dan De King telah merasai keseronokan memiliki kereta kawalan jauh, namun janji tetap janji. Sekurang-kurangnya mereka tidak boleh terpisah dari syarat dan janji kerana ia tetap berterusan.
Setelah berminggu-minggu bermain kereta kawalan jauh, rupanya De Mok dan De King memasang niat untuk memiliki kereta kawalan jauh yang lebih besar dari yang sedia ada. Pernah De Mok dan De King mengeluh kerana kereta yang ada tidak laju, tak power, drift slow dan bermacam-macam aduan yang mereka kemukakan. Dalam benak fikiran penulis...sudahh, depa nak yang best lagi rupanya. Kebetulan setiap kali berulang alik dari sekolah mengambil dan menghantar mereka berdua, pasti akan singgah di stesen minyak petronas Guar Chempedak. Lalu, mereka akan memasang mata melihat ke kedai mesra petronas yang terpampang kereta mainan kawalan jauh yang lebih besar dan laju. Nampaknya, episod baru telah bermula. De Mok dan De King teruji dan penulis turut sedemikian kerana janji yang baru pula akan dibuat.
Janji tetap janji
De Mok dan De King tanpa putus asa merayu lagi mahukan kereta kawalan jauh yang dijual di kedai mesra petronas itu. Setiap kali mengisi minyak, kedua-duanya kerap hilang dari kereta. Rupa-rupanya mereka lebih awal menyusup masuk ke kedai mesra hanya untuk melihat kereta yang mereka idamkan. Dalam hati penulis, kasihan juga pada mereka..rasa mahu beli tetapi jika sampai di rumah pasti abah akan persoalkan, gerun juga rasa bila berhadapan dengan abah. Tanpa berfikir panjang, janji yang baru pula dimeterai.
De Mok dan De King akan memperolehi kereta mainan kawalan jauh yang lebih besar dan laju setelahmana kedua-duanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, inilah janjinya. Mereka setuju dengan nada yang tidak seberapa ceria, mungkin mereka dapat menjangkakan sukar untuk memperolehinya kali ini. Pun begitu, mereka tetap cuba meskipun kadang-kadang merungut kerana syarat itu terlalu berat bagi mereka. Penulis yang juga termakan dengan rungutan itu rasa terlalu kasihan dan memikirkan penulis pun tidak pernah mendapat pelajar terbaik semasa di sekolah rendah dan menengah, apatahlagi di bangku universiti. Namun, demi untuk yang terbaik buat mereka, janji tidak akan sekali-kali diketepikan begitu sahaja kerana didikan sebegini amat penting pada ketika umur mereka yang teramat mentah dan perlu diambil berat dari saat ke saat. Penulis teguhkan hati, mereka tidak akan mendapat kereta itu selagimana tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Musim peperiksaan tiba dan usaha mereka membaca buku dan membuat latihan dapat dilihat dengan jelas. Penulis pernah melihat mereka yang berada di sudut ruang rumah mentelaah pelajaran sambil berbicara kalimah 'kereta'. Sesekali mengerling, kami hanya berbalas senyuman yang terukir 'janji tetap janji'.
Peperiksaan telah selesai tetapi rayuan ingin memiliki kereta kawalan jauh sentiasa kedengaran.
Saat yang dinantikan telah menambahkan lagi kelajuan degupan jantung De Mok dan De King(gambar). Pada hari itu, mereka hanya diam mencuka, tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mimik wajah mereka menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku. Mereka sedih kerana kereta yang diimpikan tidak berjaya dimiliki. Selaku along, penulis tidak sanggup melihat wajah masam mencuka adik-adik yang sebegitu. Membuat mereka gembira adalah tanggunjawab penulis, jika mereka sedih, penulis yang bersalah kerana tidak mampu membuatkan mereka gembira.
Setibanya kami di stesen minyak petronas untuk mengisi minyak, De Mok dan De King hanya melihat dari jauh kereta mainan itu. Terpacul juga dari mulut mereka, kami mahukan kereta itu. Tetapi penulis katakan kepada dua adik tersayang, "takpalah..lambaikan tangan kepada kereta mainan tu..jumpa lagi". Dan sesekali memandang kepada De Mok dan De King yang muram durja, penulis hanya mampu lafazkan, 'janji tetap janji'.
Janji yang dibuat tidak bermakna selesai begitu sahaja tetapi ia tetap berjalan. De Mok dan De King akan dapat kereta mainan kawalan jauh apabila janji ini ditunaikan. Jika, mereka telah menunaikan janji mereka, maka along juga akan tunaikan janji along pada mereka. Semoga Hakim dan Adik tidak mudah berputus asa dan sentiasalah berusaha dengan lebih gigih dalam pelajaran. Sekian.