Showing posts with label Presiden Mesir. Show all posts
Showing posts with label Presiden Mesir. Show all posts

Sunday, August 25, 2013

REVOLUSI 25 JANUARI DIHUMBAN HILANG PRINSIP

Revolusi 25 Januari (Rev25jan) sudah terhumban jauh akibat penghambaan diri kepada kepentingan yang tak menjanjikan ianya tercapai. Demokrasi yang dilaungkan telah dicabuli, landasan yang terbina teguh mereka sendiri mengoreknya dan melubangi dengan perangkap-perangkap maut. Maka wujudlah Barisan Penyelamat Tanahair (National Salvation Front) dan Gabungan Kebangkitan 30 Jun kerana tidak puas hati pada pro Islamis yang memerintah Mesir, pada waktu yang sama dari luar juga penuh dengan ancaman. Sepanjang Dr Mursi di jawatan Presiden, mereka juga kerap menimbulkan huru-hara. Rata-rata wajah yang muncul mahu menggulingkan Presiden Mursi adalah dari kalangan barisan pejuang Rev25jan tetapi mereka tak sedar mereka hanyalah suara-suara minoriti. Kejayaan 30 jun hanyalah disebabkan faktor campurtangan tentera, perancangan satu kerajaan dalam kerajaan dan kekeliruan media. Seandainya mereka sedar, pilihanraya Presiden pada peringkat penentuan tahun lepas merupakan saat-saat genting yang menentukan nasib Rev25jan. Jika tidak, tak mungkin bekas calon Presiden Dr Abdullah Al-Ash'al mengingatkan kepada rakyat Mesir bahawa Ikhwan Al-Muslimin barisan pertahanan terakhir Rev25jan. Mujur pungutan suara rakyat memihak kepada Dr Mursi.
Revolusi 25 Januari
Apa yang saya tulis bukan bermakna Ikhwan Al-Muslimin langsung tidak ada kesalahan tetapi saya lebih percaya Ikhwan lebih berprinsip dan menjaga landasan Rev25jan. Hasil yang sudah berlaku sekarang disebabkan rampasan penuh dari 'luar' dan kesemua pihak yang terlibat sama ada bekas rejim Mubarak(fulul), badan ketenteraan, kehakiman, juga teramat kesal dari mereka yang memperjuangan Rev25jan sendiri membuka jalan kepada fulul. Semalam saya menulis satu tajuk 'SEDAR ATAU TIDAK MEMANG BERLAKU', hari ini memang betul-betul berlaku. 

Kempen Tamarrud
Pimpinan Barisan Penyelamat Tanahair sudah berpecah dan Tamarrud (Gerakan Pemberontakan/Rebel) yang menyuntik kemarahan rakyat agar keluar pada 30 Jun menggulingkan Dr Mursi serta menyokong beri kuasa penuh pada tentera juga telah menerima ancaman dari KDN sendiri bahawa Tamarrud menggugat keamanan. Pemuda 6 April sudah hilang taring apabila pada mulanya menyeru demonstrasi bantahan pembebasan Mubarak tetapi telah dibatalkan.

Mungkin Barisan Penyelamat Tanahair, Gerakan Tamarrud, dan Pemuda 6 April boleh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana realiti sekarang fulul sudah kembali ke pentasnya. Anda juga menentang Presiden pertama pilihan rakyat dan anda juga yang menamatkan cuti panjang kepada fulul. Sewaktu penyokong Dr Mursi menempuh panas terik demi untuk mengembalikan semula apa yang telah dirampas dan pimpinan Islamiyyin ditangkap, apa lagi yang anda boleh buat? bergabung semula dengan mereka dan tunjukkan simpati?

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Turki, Mesir tidak perlukan sokongan daripada kerajaan-kerajaan dunia kerana penuh dengan birokrasi tetapi Mesir memerlukan mereka-mereka yang berprinsip dan bebas dari cengkaman sehinggalah kembali menang.

Monday, July 22, 2013

AKU SAYANG HAMPA SEMUA

Ketika waktu tengahari terik, saya menaiki teksi menuju ke Said Nawi. Apalah sangat kepanasan yang saya rasa jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong pemerintah yang sah, mereka sanggup meredah kepanasan di jalanan demi sebuah keadilan dan maruah diri rakyat Mesir yang telah di'cabul' oleh perampas; geng kereta kebal serta sekutunya. Bertambah lagi ujian apabila reaksi sebahagian besar media massa Mesir seperti pontianak lagaknya yang tidak henti-henti membuat fitnah penyokong pemerintah yang sah.

Berbalik kepada teksi yang saya naiki. Kebetulan di kerusi hadapan, seorang rakyat tempatan galak berbicara dengan pemanduk teksi. Tidak semena-mena dia mengipas kain pengelap kerana lalat banyak di bahagian depan sambil memandang ke belakang menjeling ke arah saya. Lalu, dia bertutur kepada orang Arab di sebelah, "laki belakang ni naik ja teksi terus lalat banyak". Sambil bergelak ketawa dengan Arab di sebelah, dia tanya kepada saya, "di Malaysia lalat banyak dak?."

"Lalat ada ja di Malaysia," balas saya. Dia ketawa lagi sambil mengipas kain. Saya sambung cakap, "3mmu (pakcik)..tapi tengok kepada tempat juga, kalau kotor..lalat memang banyak hurung."

Dia henti ketawa seakan-akan marah lalu membalas, "teksi aku kotor sangatka?." Saya cuma cakap, "tu lalat".

Tiba-tiba dia meninggikan suara, "enta bittahibuh Mursi wa la eh?(hang suka Mursi ka apa)".

"Siapa yang tak suka Presiden sendiri?," jawab saya.

Suaranya masih garang, "habis tuh apa dia..jawab elok-elok?". Saya jawab lagi, "aku sayang hampa semua".

Pemandu dan Arab di sebelahnya sama-sama membalas jawapan saya, "entum tayyibin".

Saya tidak dapat mengagak dengan baik tentang sikap pemandu ini dan orang sebelahnya terhadap Presiden pilihan rakyat Dr.Mursi tetapi inilah soalan yang kerap ditanya oleh rakyat tempatan kepada orang luar khususnya pelajar Malaysia. Apapun, lain orang lain bicara..silap orang mungkin binasa.

Monday, July 15, 2013

IKHWAN BARISAN PERTAHANAN TERAKHIR REVOLUSI?

Sebagaimana ungkapan kata-kata Dr.Abdullah Al-Ash'al bekas calon Presiden, "Ikhwan Muslimin adalah barisan pertahanan terakhir kepada survival Revolusi 25 Januari yang telah berjaya menggulingkan Mubarak."

Pada ketika itu, calon-calon Presiden paling menonjol adalah sekutu kepada El-Baradei iaitu Hamdain Sobahi dan Amru Moussa. Manakala wajah bekas pemerintahan Mubarak adalah Ahmad Shafiq.

Apabila dilihat situasi sekarang, ungkapan Dr.Abdullah itu seolah-olah tepat kerana:

1. ElBaradei, Amru Moussa, dan Hamdain Sobahi berada dalam sebuah kelompok ataupun 'team' yang turut dianggotai bekas-bekas pemerintahan Mubarak malah mereka seiringan bersama menghentam dan mencabuli demokrasi. Apa lagi boleh diharapkan jika beginilah sikap mereka?

2. Pemuda-pemuda yang kononnya ditonjolkan membawa watak 'revolusioner' juga seangkatan dengan 'team' ElBaradei. Pada ketika itu mereka bersabung nyawa mengerahkan kempen 'KAAZEBOON' sebagai menempelak tindakan tentera yang menyerang penunjuk perasaan. Namun hari ini, apabila timbulnya pembunuhan beramai-ramai di hadapan HQ Pengawal Republik, mereka diam membisu tanpa menentang. Begitukah prinsip 'revolusioner' jika dapat duduk di hadapan Presiden sementara yang dilantik secara merampas kuasa, mereka diam membisu?

Monday, August 13, 2012

Mursi Presiden sebenar hari ini - Abul Futuh

Dr. Abdul Mun'im

KAHERAH, 12 Ogos - "Hari ini, kuasa pemerintah memang betul-betul berpindah kepada Presiden yang dipilih rakyat," demikian ulasan Dr. Abdul Mun'im Abul Futuh, bekas calon pemilihan Presiden Republik Arab Mesir. 

Tambah beliau lagi menerusi jaringan sosial 'TWITTER', "kehendak revolusi sentiasa dituruti..dan pertempuran kami akan datang adalah dengan perlembagaan yang menjamin hak-hak rakyat ini meskipun sesiapa sahaja yang memerintah."

Beliau mengulas sedemikian setelahmana Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursi menetapkan keputusan memindahkan (memecat) Panglima Tentera, Muhammad Hussien Tantawi kepada pesara dan melantiknya sebagai penasihat Presiden. Begitu juga Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir, Al-Fariq Sami Anan juga dipindahkan kepada pesara, kemudian dilantik sebagai penasihat.
SHOROUK: Menteri Pertahanan Mesir yang baru mengangkat sumpah
Memetik dari halaman facebook penulis, hakim Mahmoud Mahmoud Muhammad Makki telah mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mesir setelah ditabalkan sebagai Naib Presiden Republik Arab Mesir. Begitu juga, Al-Fariq Al-Awwal Abdul Fattah Khalil As-Sisi mengangkat sumpah sebagai Panglima Umum Angkatan Tentera Mesir dan selaku Menteri Pertahanan Mesir bagi menggantikan Panglima Tentera Mesir, Hussien At-Tantawi. Manakala, jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir digantikan Al-Fariq Sidqi Sobhi.




Tambahan dari berita lain, Presiden Republik Arab Mesir, Dr. Muhammad Mursi telah mengeluarkan satu ketetapan bagi membatalkan pengumuman 'Perlembagaan Lengkap' yang dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tertinggi Tentera menjelang pilihanraya (pemilihan) Presiden peringkat ulangan baru-baru ini.


Seperti yang dimaklumi, Dr. Abdul Mun'im adalah bekas pimpinan Ikhwan Muslimin dan bekas salah seorang anggota Maktab Irshad Ikhwan. Namun beliau digugurkan keanggotaannya disebabkan beliau membuat pengumunan akan sertai pemilihan Presiden Mesir. Pada ketika itu, Ikhwan Muslimin tidak berhasrat untuk mengintai jawatan Presiden dan memutuskan mana-mana anggotanya yang bertindak mencalonkan diri ke dalam pemilihan Presiden akan dipecat. Dari sudut lain kerana ia melanggar keputusan 'syura' Ikhwan. Pun begitu, pencalonan Dr. Mursi adalah disebabkan faktor pergolakan politik yang tidak stabil ekoran ancaman sengit dari saki-baki pemerintah yang lalu (fulul) dan kuasa mahkamah yang menghadang kenaikan As-Shattir. 

Sumber utama:
12/08/2012, web berita Paltimes, web berita Shorouk dan pesanan ringkas Rnn

Thursday, July 12, 2012

Erdogan: Keputusan Tentera Tidak Hormati Kehendak Rakyat Mesir

Perdana Menteri Turki
ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan menyatakan bahawa 'perintah yang dikeluarkan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir (SCAF) dengan membubarkan parlimen di negara itu tidak menghormati kehendak rakyat'.


Menukil petikan dari agensi berita Turki الأناضول (ANADOLU AGENCY), kata beliau, 'ahli-ahli parlimen yang terpilih secara demokrasi tidak sesekali boleh menerima keputusan mahupun ketetapan seperti ini', demikian itu, beliau mengungkapkan bahawa SCAF menunjukkan sikap kurang menghormati kehendak rakyat melalui keputusan sedemikian rupa dan menganggap parlimen tidak lagi wujud.

Beliau berjanji Turki akan memberi sokongan berterusan kepada rakyat Mesir supaya pemerintahannya kukuh agar ketenteraman awam dan kemakmuran negara mereka tercapai.

Sumber:
11/07/2012, web berita Paltimes.net
Sumber asal:
11/07/2012, web berita Andolu

Monday, July 9, 2012

Pertembungan Presiden Dengan Tentera


Salah seorang anggota Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) berkata, keputusan Presiden telah menimbulkan pertembungan antara Presiden yang dipilih rakyat dengan tentera dan kehakiman.

Mamduh Shahin, anggota SCAF dalam perbualan telefon dengan salah sebuah stesen berita satelit menyebutkan bahawa ketetapan Presiden Muhammad Morsi telah menimbulkan pertembungan antara Presiden dengan tentera, kuasa perundangan dan kehakiman, tetapi hal ini(pertembungan) berlaku terlalu awal bahkan tidak dijangka, menurut petikan laporan PALTIMES.
Presiden Mesir, Dr. Muhammad Morsi
Sebaik sahaja Presiden mendekrikan(memerintahkan/ قرار جمهوري) penarikan ketetapan nombor 350 tahun 2012 yang menganggap parlimen telah bubar dengan mengembalikan semula fungsi parlimen yang dipilih rakyat untuk kembali bersidang dan menjalankan autoriti yang diperuntukkan kepadanya berdasarkan perkara 33 kanun perlembagaan yang dikeluarkan pada 30 Mac 2011, SCAF segera mengadakan perjumpaan tergempar semalam bagi membincangkan ligitasi dekri Presiden, namun kenyataan Shahin ini adalah ulasan awal dari anggota SCAF berhubung dekri mengembalikan fungsi parlimen.

Nas ketetapan Presiden juga menetapkan diadakan pilihanraya parlimen seawal dalam tempoh 60 hari selepas tarikh dari persetujuan perlembagaan baru dan berakhir dengan penetapan perlembagaan baru bagi parlimen.

Sumber:
09/07/2012, web berita Paltimes dan 08/07/2012 , web berita Al-Jazeerah

Glosari

*dekri: perintah(undang-undang dan lain-lain) yang dibuat oleh pihak berkuasa, raja, pemerintah dan lain-lain. Contoh, قرار تشريعي bermaksud dekri perundangan.
*ligitasi: proses pembicaraan undang-undang di mahkamah

Tuesday, July 3, 2012

[Wallpaper] The Road To Jerusalem


Mereka bertiga telah melalui zon yang begitu rumit dan penuh sengsara bukannya zon yang 'selesa'. 

Minda 'beku' mungkin melihat kekejaman Mustafa At-Tarturk takkan mampu lagi mewujudkan era pemerintahan khilafah, namun dari rakyat Turki sendiri telah membina kekuatan sehingga hari ini menampilkan beberapa pendirian teguh dan berpengaruh. Begitu juga, Ghazzah Al-Izzah(غزة العزة), 'firasat dangkal' berpesta apabila algojo zionis menghentam penjuru tanah Palestin kononnya pejuang-pejuang di situ bakal terkubur, namun mereka bangkit dengan kemenangan, ini pun selepas setahun lebih pejuang-pejuang membalun 'kaki dan tangan' makhluk durjana yang menjadi ejen setan zionis. Langkah seterusnya, kekebalan simbol 'piramid' selepas puluhan tahun mencengkam tanah-tanah dan isi Mesir turut terhumban atas katil meskipun kebangkitan rakyat tidak bermain dengan kereta kebal, cukup sekadar laungan 'الشعب يريد اسقاط النظام' dan melepak di Tahrir Square, akhirnya muncul seorang Presiden yang menjadi 'pilihan' rakyat tanpa bekal set kalis peluru ditubuhnya meletakkan janji kepada Allah dan berjanji kepada rakyatnya .. agar selepas ini, wujud lagi ketumbukan kekuatan yang akan membela Islam keseluruhannya. 

Selagi rumit, selagi sengsara .. jalan dan lorong ke Al-Quds semakin terbuka, maka pada hari itu takkan sesiapa mampu menentang ketentuan Allah. Doa serta 'amal yang bersungguh-sungguh moga jalan ini dihuni oleh para pemuda dan pemudi hari ini.

الله اكبر ولله الحمد

Moussa Terpegun Dengan Morsi, Wanita Tahrir Kagum Isteri Presiden

Amr Moussa
KAHERAH, 02 Julai - Amr Moussa, bekas Setiausaha Agung Liga Arab dan bekas calon Presiden semasa pemilihan peringkat pertama berkata, ucapan yang disampaikan oleh Presiden Dr. Muhammad Morsi Isa Al-Ayyat di Universiti Kaherah amat penting dan menunjukkan ia tersedia dengan baik.

Jelas Moussa, antara isi penting yang disebutkan dalam ucapan Presiden mengenai keamanan negara Arab yang mempunyai hubungan dengan keamanan dalam negara Mesir. Berikutan itu, Presiden telah menyatakan pegangannya terhadap kesemua isu Mesir yang diperucapkan beberapa kali. Lebih positif, ucapan beliau menyentuh masa depan Mesir bukannya Mesir yang dahulu malah ucapannya adalah mengenai keseluruhan Mesir dan bukannya Mesir yang berpuak-puak.

Kata Moussa lagi, Presiden dalam ucapannya membicarakan tentang kedudukan masyarakat, lelaki, wanita, umat Islam, dan pengikut masehi dan hal ini menenangkan semua orang.

Presiden Morsi
"Saya terpegun dengan kesungguhannya menuturkan bahasa Arab yang betul(الفصحى) dan beliau akan mengulangi semula ungkapan apabila tersalah dari sudut nahu(tatabahasa)," ujar Moussa.

Respon celaan terhadap penampilan isteri Presiden

Berhubung penampilan isteri Presiden, Najla Ali Mahmoud, sebilangan pihak mencela beliau disebabkan cara pemakaian kononnya kata mereka, Puan Najla tidak boleh menjadi contoh Mesir di mata dunia. Bagaimanapun, sebilangan dari wanita-wanita Mesir yang berada di Dataran Tahrir(Tahrir Square) telah membantah celaan tersebut.

Kata Dalia Muhammad, 34 seorang surirumah, penampilan Puan Najla ini normal sebagai isteri Presiden yang bertudung dalam keadaan sebahagian besar masyarakat dari kalangan wanita memakai tudung tanpa membezakan peringkat kerana kami ini masyarakat yang beragama sejak lahir. 

Puan Dalia mengungkapkan bahawa isteri Presiden telah menunjukkan contoh sebenar kepada masyarakat Mesir, sambil mengkritik apa yang digembar-gemburkan oleh media semasa sebelum revolusi contoh penampilan sebenar wanita Mesir adalah sebaliknya tidak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Puan Najla.
Puan Najla Ali Mahmoud
Manakala, Reham Ahmad berusia 22 tahun turut mengkritik tohmahan terhadap penampilan isteri Presiden. Kata Reham, "dia(Puan Najla) adalah contoh ibu kepada para wanita Mesir dan juga mewakili sebahagian besar wanita Mesir."

Seorang doktor farmasi, Marwah Abdul Rahman berkata, isteri Presiden sepertimana ibu-ibu kami, begitulah yang kami harapkan daripada isteri Presiden.

Marwah turut memuji kenyataan Puan Najla yamg menyebut bahawa beliau bukan 'wanita pertama Mesir' (FLOE), akan tetapi beliau adalah pembantu kepada rakyat Mesir, sambil itu, Marwah mengakui ini adalah perkembangan yang baik dan meminta agar Puan Najla jauh dari politik dan menjalankan kerja membantu rakyat Mesir melalui bidang dan kepakarannya sebagaimana wanita-wanita Mesir yang lain.

Sumber:
02/07/2012, suratkhabar Al-Masryoon




Friday, June 29, 2012

Morsy di himpunan juta 'Penyerahan Kuasa'

Presiden Republik Arab Mesir, Dr Muhammad Morsy yang dipilih rakyat hadir ke himpunan juta di Dataran Tahrir(Tahrir Square) hari ini yang menuntut kuasa autoriti sepenuhnya kepada Presiden dan juga disebut 'Penyerahan Kuasa'.

Yaseer Ali, jurucakap Presiden mengumumkan, Presiden akan menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir. 

Kata Ali, sebagaimana yang dijangkakan, ucapan Presiden menyentuh usaha yang dikerahkan bagi memulakan agendanya demi membangunkan Mesir.

Dr. Morsy
Menukil dari halaman rasmi Hurriyah Wal-Adalah, Presiden menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar kemudian, selepas itu, Presiden akan bertandang ke Dataran Tahrir.

Mengenai angkat sumpah menerima kuasa 30 Jun ini, Mahkamah Tinggi Perlembagaan melalui hakim Maher Sami selaku Timbalan Ketua Mahkamah berkata, upacara mengangkat sumpah pertabalan kuasa Presiden seperti yang dipersetujui akan dilangsungkan di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah(General Assembly of the Court). Sehingga kini, waktu upacara belum ditentukan.

Menyentuh kepada tempat upacara, Perhimpunan Agung Mahkamah sebulat suara menolak cadangan yang dikemukakan yang meminta Presiden mengangkat sumpah di hadapan anggota Perhimpunan Agung Mahkamah di dewan persidangan, namun berpegang tempat mengangkat sumpah dalam bangunan mahkamah yang terletak di jalan Kornish Al-Nil.

Seperti yang disebutkan, upacara mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri dari 19 orang hakim besar diketuai hakim Farouq Sultan.

Tambah hakim Maher Sami, beliau belum mendapat maklum balas dari mahkamah atau permintaan mengenai kehadiran ahli-ahli parlimen semasa upacara ini dijalankan.


Sumber: 28/06/2012, web berita Shorouk, Youm7, halaman rasmi FJP dan pesanan ringkas Al-Masryoon