Thursday, January 17, 2008

Al-Qassam balas penyembelihan Israel

Maafkan Keganasan dan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin? Tidak mungkin, meskipun rundingan perdamaian yang diwar-warkan selama ini adalah untuk perdamaian dan keamanan tetapi hakikatnya adalah pencetus dan dorongan untuk mereka membunuh penduduk Palestin dan merampas segala hak-hak Palestin.

Sepertimana yang dikatakan oleh Jurucakap bagi Kementerian Luar Israel, Amirah Auron, "Kerajaan Israel berpendirian untuk proses perdamaian dan keamanan adalah dengan perbincangan, rundingan dan pengiktirafan Negara Israel dan menolak politik melampau seperti yang dibawa oleh HAMAS".

Jelas dengan ungkapan jurucakap ini hanyalah mementingkan kehendak Israel tanpa melihat kekejaman dan keganasan yang telah mereka lakukan terhadap penduduk Palestin.

Dalam masa 2 hari (15 dan 16 Januari 2008) belum sempat Bush pulang ke Amerika Syarikat, berpuluh nyawa penduduk Palestin telah terkorban akibat tindakan berupa penyembelihan kejam Israel yang terus-menerus menujah ke atas penduduk Palestin. Alasan yang rejim Israel kemukakan kerana pejuang Palestin bertindak menyerang mereka dengan serangan roket, namun hujah ini bukanlah sandaran yang kuat untuk membenarkan rejim Israel bertindak sedemikian rupa. Pejuang Palestin tidak buta untuk menilai tindakan Israel. Pejuang Palestin tidak akan menyerang jika Israel tidak melancarkan serangan terhadap mereka, tetapi akibat tindakan Israel yang sekian lama menyerang, membunuh dan melabelkan pejuang sebagai 'pengganas', maka pejuang Palestin berhak untuk mempertahankan maruah, tanah, darah dan wilayah mereka.

Kekejaman yang dilakukan Israel adalah restu dan redha US, dan juga dalam keadaan Negara-negara umat Islam diam. Walaubagaimanapun, terdapat segolongan dari umat Islam yang meyakini hanya dengan jalan rundingan, konflik ini akan selesai. Perlu diingat, konflik ini bukanlah berlaku kerana secara kebetulan tetapi telah dirancang sekian lama.

Berdasarkan hal yang disebutkan, laporan web berita dari Palestin-info, bertarikh 16 Januari 2008 memaparkan serang balas Kataib Izzuddin Al-Qassam(HAMAS) dengan 150 roketnya ke Sderot, Zakem dan pos-pos kawalan Israel. Hanya ini yang Al-Qassam mampu balas selain dari doa.