Showing posts with label Kaherah. Show all posts
Showing posts with label Kaherah. Show all posts

Sunday, August 25, 2013

REVOLUSI 25 JANUARI DIHUMBAN HILANG PRINSIP

Revolusi 25 Januari (Rev25jan) sudah terhumban jauh akibat penghambaan diri kepada kepentingan yang tak menjanjikan ianya tercapai. Demokrasi yang dilaungkan telah dicabuli, landasan yang terbina teguh mereka sendiri mengoreknya dan melubangi dengan perangkap-perangkap maut. Maka wujudlah Barisan Penyelamat Tanahair (National Salvation Front) dan Gabungan Kebangkitan 30 Jun kerana tidak puas hati pada pro Islamis yang memerintah Mesir, pada waktu yang sama dari luar juga penuh dengan ancaman. Sepanjang Dr Mursi di jawatan Presiden, mereka juga kerap menimbulkan huru-hara. Rata-rata wajah yang muncul mahu menggulingkan Presiden Mursi adalah dari kalangan barisan pejuang Rev25jan tetapi mereka tak sedar mereka hanyalah suara-suara minoriti. Kejayaan 30 jun hanyalah disebabkan faktor campurtangan tentera, perancangan satu kerajaan dalam kerajaan dan kekeliruan media. Seandainya mereka sedar, pilihanraya Presiden pada peringkat penentuan tahun lepas merupakan saat-saat genting yang menentukan nasib Rev25jan. Jika tidak, tak mungkin bekas calon Presiden Dr Abdullah Al-Ash'al mengingatkan kepada rakyat Mesir bahawa Ikhwan Al-Muslimin barisan pertahanan terakhir Rev25jan. Mujur pungutan suara rakyat memihak kepada Dr Mursi.
Revolusi 25 Januari
Apa yang saya tulis bukan bermakna Ikhwan Al-Muslimin langsung tidak ada kesalahan tetapi saya lebih percaya Ikhwan lebih berprinsip dan menjaga landasan Rev25jan. Hasil yang sudah berlaku sekarang disebabkan rampasan penuh dari 'luar' dan kesemua pihak yang terlibat sama ada bekas rejim Mubarak(fulul), badan ketenteraan, kehakiman, juga teramat kesal dari mereka yang memperjuangan Rev25jan sendiri membuka jalan kepada fulul. Semalam saya menulis satu tajuk 'SEDAR ATAU TIDAK MEMANG BERLAKU', hari ini memang betul-betul berlaku. 

Kempen Tamarrud
Pimpinan Barisan Penyelamat Tanahair sudah berpecah dan Tamarrud (Gerakan Pemberontakan/Rebel) yang menyuntik kemarahan rakyat agar keluar pada 30 Jun menggulingkan Dr Mursi serta menyokong beri kuasa penuh pada tentera juga telah menerima ancaman dari KDN sendiri bahawa Tamarrud menggugat keamanan. Pemuda 6 April sudah hilang taring apabila pada mulanya menyeru demonstrasi bantahan pembebasan Mubarak tetapi telah dibatalkan.

Mungkin Barisan Penyelamat Tanahair, Gerakan Tamarrud, dan Pemuda 6 April boleh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana realiti sekarang fulul sudah kembali ke pentasnya. Anda juga menentang Presiden pertama pilihan rakyat dan anda juga yang menamatkan cuti panjang kepada fulul. Sewaktu penyokong Dr Mursi menempuh panas terik demi untuk mengembalikan semula apa yang telah dirampas dan pimpinan Islamiyyin ditangkap, apa lagi yang anda boleh buat? bergabung semula dengan mereka dan tunjukkan simpati?

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Turki, Mesir tidak perlukan sokongan daripada kerajaan-kerajaan dunia kerana penuh dengan birokrasi tetapi Mesir memerlukan mereka-mereka yang berprinsip dan bebas dari cengkaman sehinggalah kembali menang.

Monday, August 13, 2012

Mursi Presiden sebenar hari ini - Abul Futuh

Dr. Abdul Mun'im

KAHERAH, 12 Ogos - "Hari ini, kuasa pemerintah memang betul-betul berpindah kepada Presiden yang dipilih rakyat," demikian ulasan Dr. Abdul Mun'im Abul Futuh, bekas calon pemilihan Presiden Republik Arab Mesir. 

Tambah beliau lagi menerusi jaringan sosial 'TWITTER', "kehendak revolusi sentiasa dituruti..dan pertempuran kami akan datang adalah dengan perlembagaan yang menjamin hak-hak rakyat ini meskipun sesiapa sahaja yang memerintah."

Beliau mengulas sedemikian setelahmana Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursi menetapkan keputusan memindahkan (memecat) Panglima Tentera, Muhammad Hussien Tantawi kepada pesara dan melantiknya sebagai penasihat Presiden. Begitu juga Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir, Al-Fariq Sami Anan juga dipindahkan kepada pesara, kemudian dilantik sebagai penasihat.
SHOROUK: Menteri Pertahanan Mesir yang baru mengangkat sumpah
Memetik dari halaman facebook penulis, hakim Mahmoud Mahmoud Muhammad Makki telah mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mesir setelah ditabalkan sebagai Naib Presiden Republik Arab Mesir. Begitu juga, Al-Fariq Al-Awwal Abdul Fattah Khalil As-Sisi mengangkat sumpah sebagai Panglima Umum Angkatan Tentera Mesir dan selaku Menteri Pertahanan Mesir bagi menggantikan Panglima Tentera Mesir, Hussien At-Tantawi. Manakala, jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir digantikan Al-Fariq Sidqi Sobhi.




Tambahan dari berita lain, Presiden Republik Arab Mesir, Dr. Muhammad Mursi telah mengeluarkan satu ketetapan bagi membatalkan pengumuman 'Perlembagaan Lengkap' yang dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tertinggi Tentera menjelang pilihanraya (pemilihan) Presiden peringkat ulangan baru-baru ini.


Seperti yang dimaklumi, Dr. Abdul Mun'im adalah bekas pimpinan Ikhwan Muslimin dan bekas salah seorang anggota Maktab Irshad Ikhwan. Namun beliau digugurkan keanggotaannya disebabkan beliau membuat pengumunan akan sertai pemilihan Presiden Mesir. Pada ketika itu, Ikhwan Muslimin tidak berhasrat untuk mengintai jawatan Presiden dan memutuskan mana-mana anggotanya yang bertindak mencalonkan diri ke dalam pemilihan Presiden akan dipecat. Dari sudut lain kerana ia melanggar keputusan 'syura' Ikhwan. Pun begitu, pencalonan Dr. Mursi adalah disebabkan faktor pergolakan politik yang tidak stabil ekoran ancaman sengit dari saki-baki pemerintah yang lalu (fulul) dan kuasa mahkamah yang menghadang kenaikan As-Shattir. 

Sumber utama:
12/08/2012, web berita Paltimes, web berita Shorouk dan pesanan ringkas Rnn

Thursday, July 26, 2012

Al-Doustur siar lagi laporan fitnah Ikhwan


Suratkhabar Mesir 'Al-Doustur'(الدستور) edisi hari ini, 26/07/2012, Khamis menampilkan paparan utama di ruangan muka hadapan, RISALAH PENTING KEPADA RAKYAT MESIR.

Antara yang disebut:

- Tidak ada apa-apa yang penting kepada golongan Ikhwan melainkan hanya pemerintahan Negara .. selagi mereka terus memerintah ianya adalah bergantung kepada melaksanakan agenda Amerika-Israel untuk mengongkong tentera-tentera Mesir dan SCAF, demikian itu untuk menundukkan keseluruhan tanah Mesir di bawah cengkamannya.

- Amerika boleh sangat mengangkat Ikhwan ke pucuk pimpinan Negara dengan cara pemalsuan dan sogokan kewangan untuk melaksanakan perancangan-perancangan kotor Amerika-Zionis.

Al-Doustur memang tidak pernah serik meskipun paparannya yang lalu menyebarkan tentang perancangan dalaman Ikhwan dan parti Hurriyah Wal-Adalah serta mengaitkan Palestin(HAMAS) untuk menimbulkan huru-hara di Mesir telah pun dinafikan sekeras-kerasnya. Hurriyah Wal-Adalah telah memberi peringatan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghukum Al-Doustur, namun hari ini, Al-Doustur masih keras hati dan tidak mengambil sepenuhnya peluang bulan Ramadhan untuk menginsafi tulisan-tulisan berbaur fitnah malah menjijikkan.

Sepatutnya, Al-Doustur selaku pihak media cetak gunakan peluang yang baik di bulan mulia ini memaparkan kesengsaraan umat Islam di Burma dan menggodam(tulisan) pemerintah di sana yang jelas dan terang menjalankan dasar pembersihan etnik ke atas minoriti umat Islam Rohingya. Jika malas memikirkan hal umat Islam yang lain dan hanya mahu pentingkan rakyat Mesir, gunalah tulisan untuk mendidik rakyat Mesir, sekurang-kurangnya, rakyat Mesir pandai menjaga kebersihan.

Friday, June 29, 2012

Morsy di himpunan juta 'Penyerahan Kuasa'

Presiden Republik Arab Mesir, Dr Muhammad Morsy yang dipilih rakyat hadir ke himpunan juta di Dataran Tahrir(Tahrir Square) hari ini yang menuntut kuasa autoriti sepenuhnya kepada Presiden dan juga disebut 'Penyerahan Kuasa'.

Yaseer Ali, jurucakap Presiden mengumumkan, Presiden akan menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir. 

Kata Ali, sebagaimana yang dijangkakan, ucapan Presiden menyentuh usaha yang dikerahkan bagi memulakan agendanya demi membangunkan Mesir.

Dr. Morsy
Menukil dari halaman rasmi Hurriyah Wal-Adalah, Presiden menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar kemudian, selepas itu, Presiden akan bertandang ke Dataran Tahrir.

Mengenai angkat sumpah menerima kuasa 30 Jun ini, Mahkamah Tinggi Perlembagaan melalui hakim Maher Sami selaku Timbalan Ketua Mahkamah berkata, upacara mengangkat sumpah pertabalan kuasa Presiden seperti yang dipersetujui akan dilangsungkan di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah(General Assembly of the Court). Sehingga kini, waktu upacara belum ditentukan.

Menyentuh kepada tempat upacara, Perhimpunan Agung Mahkamah sebulat suara menolak cadangan yang dikemukakan yang meminta Presiden mengangkat sumpah di hadapan anggota Perhimpunan Agung Mahkamah di dewan persidangan, namun berpegang tempat mengangkat sumpah dalam bangunan mahkamah yang terletak di jalan Kornish Al-Nil.

Seperti yang disebutkan, upacara mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri dari 19 orang hakim besar diketuai hakim Farouq Sultan.

Tambah hakim Maher Sami, beliau belum mendapat maklum balas dari mahkamah atau permintaan mengenai kehadiran ahli-ahli parlimen semasa upacara ini dijalankan.


Sumber: 28/06/2012, web berita Shorouk, Youm7, halaman rasmi FJP dan pesanan ringkas Al-Masryoon