Showing posts with label Dr. Morsy. Show all posts
Showing posts with label Dr. Morsy. Show all posts

Saturday, March 14, 2015

HAMAS BUKAN PENGGANAS

"HAMAS (Gerakan Perjuangan Islam) bukan pengganas bahkan ia merupakan sebuah kelompok penentang yang melawan kejahatan, sememangnya HAMAS berhak dilindungi oleh dunia," Petikan kata-kata Father Manuel Musallam, bekas Paderi Gereja Katolik di Gaza yang mengulas tindakan Mahkamah Mesir menyifatkan HAMAS sebuah pertubuhan pengganas. 

Beliau merupakan salah seorang anggota Badan Pertubuhan Islam-Masehi Selamatkan Al-Quds dan Hak Suci.

Dalam wawancara tersebut beliau menyebutkan bahawa Negara-negara Arablah yang melakukan sekatan ke atas Semenanjung Gaza. Pemimpin-pemimpinnya mesti dibicarakan di atas jenayah yang dilakukan sebelum mengemukakan pemimpin Israel ke Mahkamah Antarabangsa.

Untuk lebih lanjut, ikuti wawancara beliau dengan AL-JAZEERAH.

Nota kaki:
1. Semasa pemerintahan Presiden Dr Muhammad Mursi, sempadan Rafah yang menghubungkan tanah Mesir dengan Palestin menjadi laluan penting kepada pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan dari seluruh dunia datang untuk membantu rakyat Gaza. Boleh dikatakan, hampir 30 buah pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan ke Gaza setiap bulan pada waktu itu.
2. Selepas PENGGULINGAN KUASA/RAMPASAN KUASA, hanya beberapa kali sahaja badan pertubuhan kemanusiaan dapat memasuki Gaza dalam tempoh masa satu bulan tetapi bergantung kepada pengoperasian di sempadan Rafah sama ada dibuka ataupun sebaliknya.
3. Satu-satunya laluan bagi rakyat Palestin di Gaza untuk bertemu dunia luar adalah melalui SEMPADAN RAFAH MESIR setelahmana laluan laut dan udara dikekang oleh rejim zionis. Manakala, perlintasan Erez di sebelah utara bergantung kepada budi bicara penjajah.

Monday, July 22, 2013

AKU SAYANG HAMPA SEMUA

Ketika waktu tengahari terik, saya menaiki teksi menuju ke Said Nawi. Apalah sangat kepanasan yang saya rasa jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong pemerintah yang sah, mereka sanggup meredah kepanasan di jalanan demi sebuah keadilan dan maruah diri rakyat Mesir yang telah di'cabul' oleh perampas; geng kereta kebal serta sekutunya. Bertambah lagi ujian apabila reaksi sebahagian besar media massa Mesir seperti pontianak lagaknya yang tidak henti-henti membuat fitnah penyokong pemerintah yang sah.

Berbalik kepada teksi yang saya naiki. Kebetulan di kerusi hadapan, seorang rakyat tempatan galak berbicara dengan pemanduk teksi. Tidak semena-mena dia mengipas kain pengelap kerana lalat banyak di bahagian depan sambil memandang ke belakang menjeling ke arah saya. Lalu, dia bertutur kepada orang Arab di sebelah, "laki belakang ni naik ja teksi terus lalat banyak". Sambil bergelak ketawa dengan Arab di sebelah, dia tanya kepada saya, "di Malaysia lalat banyak dak?."

"Lalat ada ja di Malaysia," balas saya. Dia ketawa lagi sambil mengipas kain. Saya sambung cakap, "3mmu (pakcik)..tapi tengok kepada tempat juga, kalau kotor..lalat memang banyak hurung."

Dia henti ketawa seakan-akan marah lalu membalas, "teksi aku kotor sangatka?." Saya cuma cakap, "tu lalat".

Tiba-tiba dia meninggikan suara, "enta bittahibuh Mursi wa la eh?(hang suka Mursi ka apa)".

"Siapa yang tak suka Presiden sendiri?," jawab saya.

Suaranya masih garang, "habis tuh apa dia..jawab elok-elok?". Saya jawab lagi, "aku sayang hampa semua".

Pemandu dan Arab di sebelahnya sama-sama membalas jawapan saya, "entum tayyibin".

Saya tidak dapat mengagak dengan baik tentang sikap pemandu ini dan orang sebelahnya terhadap Presiden pilihan rakyat Dr.Mursi tetapi inilah soalan yang kerap ditanya oleh rakyat tempatan kepada orang luar khususnya pelajar Malaysia. Apapun, lain orang lain bicara..silap orang mungkin binasa.

Tuesday, June 26, 2012

6 April tidak berganjak sehingga tuntutan dipenuhi

Sambutan kemenangan Dr.Morsy yang dipilih sebagai Presiden Republik Arab Mesir masih diteruskan, para demonstran di Dataran Tahrir juga tidak berganjak melainkan selepas tuntutan mereka dipenuhi.

Logo Pemuda 6 April 
Gerakan Pemuda 6 April (شباب 6 أبريل) mengumumkan bahawa mereka tetap meneruskan mogok (tunjuk perasaan/demontrasi) sehinggalah dibatalkan 'perlembagaan lengkap' (الدستوري المكمل) yang diumumkan sebelum ini dan kuasa pemerintahan diserahkan kepada Presiden, Dr. Muhammad Morsy.

Sedemikian itu, Engy Hamdy, anggota Biro Politik Gerakan Pemuda 6 April mendesak supaya Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) menyerahkan kuasa kepada Presiden, Dr. Muhammad Morsy seperti yang dijanjikan pada 30 Jun ini.

"Agar dapat kita mulakan pembinaan sebenar negara dan agensi kerajaan serta menyusun perlembagaan, inilah asas pertempuran kami untuk membina sebuah negara demokrasi yang terkehadapan malah menghormati hak asasi manusia," ujar Engy.

Gerakan Pemuda 6 April turut meminta kepada Presiden baru agar membebaskan 12 ribu orang rakyat Mesir yang dibicarakan Mahkamah Tentera, dan memberikan keampunan kepada anggota tentera 8 April (21 orang tentera dari Angkatan Tentera Mesir yang menyertai demontrasi pada 08 April 2011, kemudian ditangkap kerana menyalahi etika tentera. 13 orang dari kalangan mereka telah dikurangkan hukuman, sementara yang berbaki masih menanti perbicaraan). Selain itu, gerakan ini meminta Presiden membatalkan kuasa 'الضبطية القضائية' yang diberikan kepada tentera dan membatalkan Majlis Pertahanan Kebangsaan(National Defence Council) yang baru ditubuhkan oleh SCAF.

Sumber:
(Laporan jam 05:47 petang, waktu Kaherah)
25/06/2012, web berita rassd.com dan berita Al-Jazeerah