Showing posts with label Ikhwan Muslimin. Show all posts
Showing posts with label Ikhwan Muslimin. Show all posts

Monday, June 1, 2015

ARAB SPIN MENGUJI HALUAN?

Angin-angin pertembungan antara 'team Shafiq' dengan 'team yang menyokong Jeneral Abdul Fattah As Sisi' sedang bertiup kencang. Sebelum berlaku tragedi rampasan kuasa, penulis hanya mengandaikan bahawa 'team Shafiq' iaitu saki-baki Mubarak bakal bangkit semula dalam arena politik Mesir 3-4 tahun selepas tercetusnya Revolusi 25 Januari 2011(Arab Spring) berdasarkan kenyataan-kenyataan bekas anggota Hizbul Watani dan pergerakan politik di Mesir.

Hizbul Watani(Al-Ḥizb Al-Waṭanī Ad-Dīmūqrāṭī) yang dipimpin oleh Hosni Mubarak terbubar, lalu berpecah kepada beberapa buah parti. Istilah-istilah seperti "satu kerajaan dalam kerajaan", "Arab Spin"(ثورة المضادة) telahpun muncul ketikamana Dr Muhammad Morsi berada di kerusi Presiden. Masakan tidak, puluhan tahun mereka berada di persada itu. Segala kemungkinan boleh berlaku dan terjadi tanpa disedari oleh rakyat marhaen mahupun ahli-ahli politik yang mendabik dada kononnya berasa lega ekoran Revolusi 25 Januari sudah tercapai. Pun begitu, Mesir dikejutkan dengan rampasan 3 Julai 2013. Sebahagian ahli politik yang lain pula mendakwa Dr Mursi diturunkan bertujuan memperbetulkan haluan Revolusi 25 Januari.

Revolusi 25 Januari tidak berlaku dengan hanya sekali laungan sahaja bahkan beberapa tahun sebelum itu sudah wujud usaha-usaha untuk memercikkan api agar berlaku kebangkitan rakyat. Jika ditanyakan kenapakah pihak tentera seakan-akan berpeluk tubuh tanpa bertindak terlalu kasar ke atas demonstran sewaktu ledakan Revolusi 25 Januari sebagaimana sekarang? Begitu mudah Mubarak diundurkan tanpa sokongan penuh dari pihak tentera?

Pertanyaan di atas ada kaitan dengan pertembungan dua "team" terbabit dan penulis merumuskan seperti di bawah:

1. Kemuncak ledakan di Mesir disebabkan tekanan yang dirasai oleh rakyat marhaen dalam setiap faktor dan aspek malah didorong kemunculan Arab Spring melibatkan beberapa buah negara Arab yang lain. Rata-rata masyarakat menyalahkan keperibadian pemimpin tertinggi dan pemimpin -pemimpin berkaitan penyelewengan serta korupsi. Dalam hal ini khususnya di Mesir, tentera tidak menunjukkan watak bengis. Sebaliknya, tenteralah bersama rakyat dan tentera jugalah melindungi rakyat.

2. Jika diamati, Ikhwan Muslimin mempunyai perimbangan kuasa politik dalam parlimen yang boleh menggugat Hizbul Watani ketika itu. Jika wujud kebebasan yang luas, sudah pasti Ikhwan akan lebih menonjol dan ianya telah terbukti dalam pilihanraya tahun 2005. Pilihan sama ada Ikhwan atau Hizbul Watani, di antara keduanya pula mana lebih nampak ke arah ketenteraan. Sudah pasti, Hizbul Watani kerana dipimpin oleh Mubarak yang merupakan Panglima Tentera Mesir. Mengikut adat setempat, tenteralah yang mesti dijadikan ketua. Pada masa yang sama, gelagat Ikhwan juga dikekang dan kemaraannya juga dihadang.

3. Mustahil waktu itu, Ikhwan boleh menduduki kerusi Presiden dengan selesa kerana Mubaraklah ketua tentera. Namun, timbul desas-desus Mubarak akan digantikan dengan anaknya Jamal Mubarak. Jamal bukan tokoh ketenteraan tetapi beliau boleh dijadikan ikon politik dan inspirasi anak muda. Walaubagaimanapun, ikon tersebut bertentangan dengan kehendak tentera. Sememangnya, individu yang boleh menggantikan Mubarak mestilah sepenuhnya berlatarbelakangkan ketenteraan. Inilah noktah rumusan yang menjawab pertanyaan di atas.

Jelasnya di sini, 'team Shafiq' penyokong kepada bekas calon Presiden Ahmad Shafiq tahun lalu muncul menuntut kembali keadaan sebelum Revolusi 25 Januari setelahmana karakter Ikhwan Muslimin berjaya dibunuh. Sekadar menguji ataupun sedang merancang agenda yang lain, hakikatnya, kedua-dua 'team' tersebut pernah berada dalam gerabak yang sama.

تحيا مصر
Abu Obaidah
Tanahair Malaysia 
31 Mei 2015

Tuesday, August 27, 2013

SEMUA TAHU KESILAPAN PRESIDEN MURSI

Ketika ramai pihak menghujum Ikhwan, penulis juga ingin menyentuh kesilapan Presiden Mursi pada waktu itu.

Semasa Dr Mursi memilih Jeneral As-Sisi menjadi Menteri Pertahanan mungkin beliau tidak menyedari siapa sebenar As-Sisi. Latar belakang pengajian As-Sisi, menurut Ahmad Mansour (media AL-JAZEERAH), As-Sisi pernah mengikuti pengajian Sains Perisikan di Fakulti Pertahanan Nasional Amerika dan tempat ini dikenali sebagai lubuk percaturan perisik merekrut tentera-tentera yang dihantar oleh Negara-negara bersekutu.

Selepas pemilihan As-Sisi, sebahagian media memperdayakan rakyat Mesir dengan mewar-warkan imej islamik As-Sisi. Tidak kurang juga, kedengaran selitan nakal dalam laporan berita menyebut seolah-olah As-Sisi sebahagian daripada Ikhwan Al-Muslimin. Inilah di antara faktor yang meniup kemarahan sebahagian kelompok masyarakat. Sememangnya mereka tidak mesra kepada Ikhwan, lantas ditimbulkan persepsi kononnya Mesir negara Ikhwan diperintah oleh Dr Badie. Pada waktu yang sama, tiada penafian keras daripada pihak berwajib berhubung laporan dangkal.

Seandainya diamati dari sudut lain, kesilapan Dr Mursi memilih As-Sisi merupakan 'hikmah' jikalau rakyat Mesir dapat memikirkan dengan baik. Selama ini, pihak tentera diyakini melindungi rakyat tetapi pegangan itu telah berubah memusuhi sebilangan rakyat yang bangkit menuntut keadilan, jika ia normal pasti tidak akan berlaku pembunuhan penunjuk perasaan di Al-Arish, HQ Pengawal Republik, Raba'ah dan An-Nahdhah dan tempat-tempat lain. Revolusi 25 Januari, tentera menjaga rakyat tanpa ada tindakan membabi-buta tetapi kali ini jelas sudah berubah. Jika masih ada tentera yang punyai rasa kemanusiaan, ini soal lain.

Semua yang berlaku sedang dipaksa berlalu, biarpun Dr Mursi digulingkan sedemikian rupa namun dalam ucapan-ucapan terakhir beliau berani mengakui kesilapan sepanjang pemerintahannya meskipun tidak mencapai satu tahun penuh berbeza dari pemerintahan yang diwarisi belasan tahun mahupun puluhan tahun. Apakah sewaktu beliau memerintah semuanya tenang dan stabil? Penulis ada catatkan di sini [facebook] @ dalam blog, entri bertajuk, ADILKAH PANDANGAN MEREKA?.

Kerajaan yang dibentuk bawah dekri Presiden Mursi juga memenuhi kemahuan malah penghormatan kepada pemuda-pemudi revolusi Mesir, rata-rata usia Menteri Kabinet dan Perdana Menteri bawah usia 60 tahun termasuk Jeneral As-Sisi dan Menteri Dalam Negeri. Sedang dihimpit tekanan, kerajaan mampu menghasilkan peningkatan dari sudut komoditi dalaman negara seperti gandum dan meningkatkan simpanan cemas (mungkin ada istilah lebih tepat) kepada 2-3 bilion pound Egypt diikuti beberapa lagi projek perancangan ekonomi. Jikalaulah ini menjadi kesilapan besar kepada Dr Mursi, hakikatnya rakyat-rakyat Mesir yang bangkit memberontak dan memberi kuasa kepada As-Sisi tidak sedar sebenarnya mereka mempunyai kerajaan yang kuat dan bertenaga memacu negara tetapi sayang mereka belum bebas dari igauan kerajaan Mubarak dan kerajaan sebelumnya. Satu tahun tidak menjamin semuanya boleh berubah dari pangsapuri usang kepada kondominium yang bersinar setiap masa sedangkan Turki pun mengambil masa lebih 8 tahun membuat transformasi ekonomi dan pentadbiran negara. Sekarang ini pun tetap wujud usaha untuk mengucar-ngacirkan politik Turki.

Dr Mursi digulingkan bukan disebabkan menyeleweng hak rakyat mahupun kezaliman membunuh rakyat, akan tetapi kerana kesilapan beliau membuat perubahan drastik yang tidak mampu diterima oleh saingan politik dalam mahupun luar. Pastinya tenaga utama yang menunjangi Dr Mursi itulah dari kalangan mereka yang dituduh pengganas.

Sunday, August 25, 2013

EVAKUASI DAN DEMONSTRASI MALAYSIA BERI TEKANAN KEPADA RAKYAT MESIR?

Pagi tadi saya berada di Dewan Pelajar Tanta (DPT) lokasi pengumpulan mahasiswa Malaysia. Semasa saya beredar, bas telah tiba untuk membawa mahasiswa-mahasiswi Malaysia ke Kaherah sebelum diterbangkan ke Malaysia pada hari berikut.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini, sebilangan rakyat tempatan melihat evakuasi dengan persepsi yang negatif. Tambahan lagi demonstrasi-demonstrasi di Malaysia kesemuanya menunjukkan simbol Rabiah, angka empat.

"Kamu tak balik Malaysia? ramai sangat balik kenapa? Kerajaan Malaysia mesti sokong Ikhwan kan?," tanya seorang 'ammu (tauke kedai) kepada saya sewaktu hendak membayar jumlah suratkhabar.

"Erm..saya ada exam lagi memang saya tak pulang, manalah saya tahu ramai yang balik tu..keputusan dari kerajaan, tak ada kaitan dengan Ikhwan pun," saya menjawab. Sambil itu, arab yang lain mencelah tanya kepada 'ammu tadi, kerajaan Mesirkah buat keputusan begitu?. Tanpa mempedulikan perbualan mereka, saya terus beredar risau jika kehabisan ikan di kedai yang lain.

Nasib tak selalunya manis, ikan kegemaran saya memang sudah habis. Tak mengapalah, saya 'usha' ikan yang lain pula. Secara tiba-tiba, pemuda dari kedai ayam sebelah menegur saya.

"Aku tengok dalam televisyen di Malaysia buat tunjuk perasaan mengangkat simbol Rabi'ah..mana boleh macam tu, tak boleh la campurtangan," kata pemuda itu.

Saya hanya mendengar tanpa membalas kerana emosi dia kurang baik berlainan dengan tuan rumah (baba). Beberapa hari yang lalu, saya bertemu dengan baba ketika dia duduk di tangga, saya duduk di sebelahnya bersembang-sembang tujuan menjernihkan kembali keadaan di antara kami, dia pernah menengking saya apabila saya mempertahankan Dr Mursi, dia pernah menghempas pintu rumahnya tanda marah kepada saya kerana saya juga meninggikan suara. 

Dia mengeluh kerana demonstrasi di Malaysia sokong Raba'ah Al-Adawiyah, lalu dia menyuarakan kebimbangan jika kerajaan Malaysia putuskan hubungan dengan Mesir.

Perbualan kami diselangi ketawa dan gurau senda, pada waktu itu ada pemungut sampah sedang cuci tangga. Kata baba, "pintu dekat sutuh dan ruang tangga banyak sangat debu..hampa tak cuci ka? aku sembelih hampa semua baru tau." Baba ketawa, saya pun ketawa..mood baba memang cukup baik. Lalu saya jawab, "baba tau kan Mesir ni camana, debu banyak sangat-sangat..kami pulak ramai dah yang balik cuti," sambil bergelak, saya ambil kesempatan dengan menampar-nampar belakang dan paha baba..inilah melawak cara arab, dia tak marah.

Lalu, pemungut sampah turun dari tanggas atas membawa sebekas debu. Dia merungut banyak sangat. Saya balas, "pakcik..ni baru pangsapuri kami banyak tu dah, kalau Tanta pulak banyak mana? kalau seluruh Mesir lagi banyak..biasalah tu pakcik."

Baba ternyata riang. Saya menambahkan lagi masa bersembang dengan baba dan cerita tentang politik di Malaysia serta pengurusan negara khususnya sikap tentang sampah dan pembangkang dalam kerajaan pusat kita. 

Saya harap baba faham maksud saya. Apa yang penting, walaupun ada khilaf dari segi pemikiran, kefahaman, dan kecenderungan politik ia bukannya penyebab saling bermusuh.

ADILKAH PANDANGAN MEREKA?

Sesiapapun yang memberi pandangan, menjatuhkan hukuman atau menuding perlu terlebih dahulu meneliti dengan baik. Di sini, saya bawakan pandangan-pandangan yang telah diolah berhubung tunjuk perasaan di Mesir iaitu selepas dan sebelum rampasan kuasa. Di samping itu, saya bawakan juga catatan yang agak ringkas sepanjang tempoh Mesir berada di bawah pentadbiran Presiden Mursi.

PANDANGAN dari kalangan 'agamawan' selepas rampasan kuasa 30 Jun 2013 - 03 Julai 2013:

1. Mana-mana rakyat Mesir yang keluar ke jalan tu balikla, tak payahla duk berdemo-demo bagi tenang sat keadaan.
2. Ikhwan nie 'khawarij' sebab keluar menentang pemerintah.
3. Sesiapa yang menentang pemerintah selepas rakyat keluar menyokong 30 Jun, maka bunuhlah mereka.
4. Sesiapa yang menentang tentera Mesir, maka imannya telah berkurang.

Renung dan fikir:

> Apakah dianggap 'penjenayah' bilamana menjadi pilihan rakyat melalui Parlimen, Shoura Council dan Presiden?
> Apakah mereka pengganas semata-mata kerana menuntut kembalikan keadilan yang dirampas?
> Betulkah mereka memiliki senjata? Banyak kejadian tembakan dari polis, tentera, dan samseng.
> Jangan terkeliru, penunjuk perasaan aman yang keluar ke jalan membantah Kudeta bukannya dari kalangan ikhwan sahaja bahkan meliputi segenap lapisan masyarakat.

PANDANGAN MENARIK dari kalangan 'agamawan, akademik & media' sebelum pemberontakan 30 Jun 2013 (rampasan kuasa):

1. Boleh keluar ke jalan untuk menyatakan bantahan atau teguran kepada pemerintah kerana ini adalah kebebasan bersuara.
2. Menyekat rakyat dari keluar demonstrasi jalanan seperti menyekat kebebasan.
3. Tidak membenarkan rakyat ke jalan seolah-olah telah kembali ke zaman Mubarak.

Catatan tarikh HIMPUNAN, PERARAKAN, MOGOK, dan BANTAHAN hingga mengakibatkan kerosakkan harta awam yang berlaku sebelum penggulingan kuasa, 30 Jun 2013:


-Tahun 2012-


PRESIDEN REPUBLIK ARAB MESIR DR. MUHAMMAD MURSI
MEMULAKAN TUGAS PADA 30 JUN 2012.

[Ogos]

24 Ogos
'HIMPUNAN JUTAAN JATUHKAN MURSI'


- Parti-parti pembangkang, gerakan revolusi, jurumedia Taufik Akashah, Abu Hamid, dan berbagai-bagai lagi kumpulan mendesak jatuhkan Mursi.

31 Ogos
'JUTAAN BANTAH اخونة الدولة'

[September]

21 September
'JUTAAN PERINGATAN DEDAHKAN KEPENTINGAN'


[Oktober]

DEMONSTRAN LIAR
12 Oktober
'JUTAAN HITUNG 100 HARI PEMERINTAHAN'
- Serangan ke atas penyokong Presiden di Jalan masuk Dataran Abdul Mun'im Riadh. 3 buah bas telah dibakar.


19 Oktober
' JUTAAN MESIR مش عزبة'


[November]

23 November
'JUTAAN KEBEBASAN'

27 November
'PERARAKAN RAKYAT MELINDUNGI REVOLUSI'


[Disember]

05 Disember
'KEJADIAN BERDARAH DI SEKITAR ISTANA ITHADIAH'

- 9 anggota Ikhwan Al-Musmin maut diserang samseng.
- Di Iskandariah pula bermula siri mengganggu Masjid-masjid.

07 Disember
'JUTAAN TAKNAK PUNGUTAN SUARA'

18 Disember
'BOIKOT UNDIAN PERLEMBAGAAN BARU'

- Barisan Penyelamat Tanahair mengajak boikot.


-Tahun 2013-


[Januari]

25 Januari
'MEMPERINGATI TAHUN KEDUA REVOLUSI 25 JANUARI'
'JUTAAN TIDAK KEPADA NEGARA IKHWAN'

- Pemuda BLACK-BLOC mula muncul.
BLACK-BLOC
26 Januari
'PERTEMPURAN DI SUEZ SELEPAS REMPUHAN KE ATAS BALAI POLIS'


[Februari]

01 Februari
'JUTAAN JUMAAT SELESAI'
- Pertempuran sengit antara penunjuk perasaan dari pembangkang dengan pihak ke amanan di hadapan Istana Ithadiah.
Sebilangan pimpinan Barisan Penyelamat Tanahair.
Tengah, ElBaradei, kanan, Amru Moussa, dan kiri, Hamdeen Sobahi

- Kejadian ini berlaku biarpun pembangkang (terutama Barisan Penyelamat Tanahair) menandatangani persefahaman bagi mengelakkan sebarang kekacauan dan pelampauan.
- Desak rombak perlembagaan
- Desak bubarkan kabinet menteri Dr. Hisham Qandil

08 Februari
'JUTAAN JUMAAT BERUNDUR @ KEMULIAAN'

11 Februari
'MEMPERINGATI PENGUNDURAN MUBARAK'

15 Februari
'JUTAAN كش ملك'

22 Februari
'JUTAAN MENGADILI PEMERINTAH MURSI'


[Mac]

01 Mac
'JUTAAN KEADILAN SOSIAL'

15 Mac
'JUTAAN PELUANG TERAKHIR'

17 Mac
'KEMBALI KE MEDAN'

22 Mac
'JUMAAT TEBUS MARUAH'

29 Mac
'JUTAAN ما بنتهددش'


[April]

19 April
'BUNUH MUBARAK JATUHKAN MURSI'

25 April
'BEBAS KEHAKIMAN JATUHKAN MURSI'


[Mei]

24 Mei
'HUKUM MURSI JATUHKAN MURSI'

[Jun]

27 Jun
- Gerakan Pemberontak dan sebahagian besar pihak media tidak henti-henti mengapi-apikan rakyat untuk menggulingkan Presiden Mursi.
- Pejabat, premis, rumah pro Islamiyyin menjadi sasaran serangan pemberontak dan samseng upahan.

28 Jun
- Pejabat, premis, rumah pro Islamiyyin menjadi sasaran serangan pemberontak dan samseng upahan.

29 Jun
- Pejabat, premis, rumah pro Islamiyyin menjadi sasaran serangan pemberontak dan samseng upahan.
Sidang media Tamarrud
30 Jun
'PEMBERONTAKAN/REBEL'


- Gerakan Pemberontak (Tamarrud) menyeru seluruh rakyat Mesir turun ke jalan dan dataran. Kempen memberontak telah diadakan beberapa minggu sebelum 30 Jun.

[Julai]

03 Julai
'GAME OVER/RAMPAS KUASA'
_____________________________________________


Sekian. Semoga Allah membimbingi kita menilai setiap sesuatu agar temui kebenarannya. Al-Fatihah..buat penunjuk perasaan aman yang menjadi mangsa pembunuhan hasil tindakan dan komplot zalim tanpa perikemanusiaan.

Thursday, July 26, 2012

Al-Doustur siar lagi laporan fitnah Ikhwan


Suratkhabar Mesir 'Al-Doustur'(الدستور) edisi hari ini, 26/07/2012, Khamis menampilkan paparan utama di ruangan muka hadapan, RISALAH PENTING KEPADA RAKYAT MESIR.

Antara yang disebut:

- Tidak ada apa-apa yang penting kepada golongan Ikhwan melainkan hanya pemerintahan Negara .. selagi mereka terus memerintah ianya adalah bergantung kepada melaksanakan agenda Amerika-Israel untuk mengongkong tentera-tentera Mesir dan SCAF, demikian itu untuk menundukkan keseluruhan tanah Mesir di bawah cengkamannya.

- Amerika boleh sangat mengangkat Ikhwan ke pucuk pimpinan Negara dengan cara pemalsuan dan sogokan kewangan untuk melaksanakan perancangan-perancangan kotor Amerika-Zionis.

Al-Doustur memang tidak pernah serik meskipun paparannya yang lalu menyebarkan tentang perancangan dalaman Ikhwan dan parti Hurriyah Wal-Adalah serta mengaitkan Palestin(HAMAS) untuk menimbulkan huru-hara di Mesir telah pun dinafikan sekeras-kerasnya. Hurriyah Wal-Adalah telah memberi peringatan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menghukum Al-Doustur, namun hari ini, Al-Doustur masih keras hati dan tidak mengambil sepenuhnya peluang bulan Ramadhan untuk menginsafi tulisan-tulisan berbaur fitnah malah menjijikkan.

Sepatutnya, Al-Doustur selaku pihak media cetak gunakan peluang yang baik di bulan mulia ini memaparkan kesengsaraan umat Islam di Burma dan menggodam(tulisan) pemerintah di sana yang jelas dan terang menjalankan dasar pembersihan etnik ke atas minoriti umat Islam Rohingya. Jika malas memikirkan hal umat Islam yang lain dan hanya mahu pentingkan rakyat Mesir, gunalah tulisan untuk mendidik rakyat Mesir, sekurang-kurangnya, rakyat Mesir pandai menjaga kebersihan.

Saturday, May 26, 2012

[Sehingga kini] Beza Morsy, Shafiq hanya 203040 undian

Berikut adalah keputusan undian pilihanraya Presiden Mesir dalam dan luar negara yang mengesahkan kedua-duanya layak ke peringkat pusingan ulangan pada bulan Jun akan datang. Keputusan yang terbaru ini diterbitkan pada jam 08:05 malam, waktu Mesir berdasarkan dari pungutan-pungutan undian dari saluran-saluruan undi. Bagaimanapun, keputusan rasmi akan akan diumumkan pada hari Selasa akan datang.

Admin menukil salinan prt + sc dari web rassd.com untuk tatapan pembaca. 
Laporan pada jam 08:05 malam
Laporan pada jam 05:07 petang

Sunday, April 22, 2012

[Ringkasan] Pemerintahan Mesir yang baru tidak akan membiarkan Palestin begitu sahaja

Calon dari Ikhwan Muslimin dan Parti Hurriyah Wal-Adalah, Muhammad Morsey menyatakan bahawa pemerintahan Mesir yang baru tidak akan membiarkan begitu sahaja Palestin yang dirundung sekatan zionis dan penjajahannya. Sebagai seorang Presiden Mesir, tidak boleh tunduk kepada dasar yang telah ditentukan oleh pihak luar.


Pendirian terhadap Tantawi

Muhammad Morsey
Presiden Parti Hurriyah Wal-Adalah
Berhubung pendiriannya terhadap Panglima Marshal Tantawi sama ada di pilih menjadi Menteri Pertahanan dalam kerajaan akan datang, kata beliau, "Sebaik sahaja terlantik menjadi Presiden Republik Arab yang dipilih oleh rakyat Mesir untuk membentuk kerajaan, jalan perbincangan merupakan satu mekanisme yang menjadi penyelarasan dan kerjasama bagi memilih Menteri-menteri dalam portfolio yang sesuai, dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera merupakan pihak yang layak untuk berbincang memilih Menteri Pertahanan, namun bukannya dengan cara penentuan."

Antara petikan ucapan beliau

Petikan dari kata-kata beliau,"wujudnya pemerintah adalah dari pilihan masyarakat dalam pilihanraya parlimen, shura dan begitu juga pilihanraya Presiden, juga dalam rombakan perlembagaan, semua ini adalah kali pertama dalam sejarah Mesir tanpa ditentukan oleh satu-satu pihak, " nyata beliau lagi, "Mesir akan membangun dengan kebangkitan yang besar malah kebangkitan ini turut seiring dengan kebangkitan saudara-saudaranya dari Negara-negara Arab yang lain."

Sumber:
21/04/2012, web berita Safa.ps

Monday, April 2, 2012

Sokongan kepada As-Shatir

Sebuah laman facebook sokongan kepada As-Shatir telah diwujudkan sekumpulan aktivis, dan laman ini mengkritik kempen serangan sengit media yang menghujum keputusan Majlis Shura Ikhwan Muslimin(مجلس الشورى اخوان المسلمين) .

Laman facebook itu yang diberi julukan 'jurutera kebangkitan' sebagai gelaran kepada As-Shatir, sementara kumpulan yang lain pula memberikan nama julukan 'Erdogan Arab' yang menunjukkan tanda kejayaan Receip Tayyip Erdogan membawa kebangkitan Negaranya, Turki.

Laman facebook rasmi sokongan kepada As-Shatir
Mereka melahirkan kepercayaan terhadap As-Shatir bilamana beliau memenangi pilihanraya Presiden, beliau mampu membawa kebangkitan di Mesir serta mengeluarkan Mesir dari kegelinciran yang berlaku sekarang.

Menukil dari web berita PALTIMES, laman-laman facebook yang menyokong As-Shatir diwujudkan selepas beberapa minit Majlis Shura Ikhwan Muslimin dan Jawatankuasa Tertinggi Parti Hurriyah Wal-Adalah(حزب الحرية والعدالة) membuat keputusan pencalonan As-Shatir.

Tidak kurang dalam masa 21 jam, laman facebook rasmi sokongan kepada As-Shatir telah ditandakan 'like' oleh 50 ribu orang pengunjung dalam halaman itu. 

Sumber:
02/04/2012, web berita Paltimes.net