Showing posts with label cikgu Azmi. Show all posts
Showing posts with label cikgu Azmi. Show all posts

Sunday, September 23, 2012

TINDAKAN AMERIKA BIADAB


Kenyataa Media MAPIM
23 September 2012

Saya yang turut bersama untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika mengenai penghinaan keatas Nabi menegaskan bahawa tindakan Kedutaan yang hanya menghantar Ketua Keselamatan bernama Chris adalah suatu tindakan biadab.

Jelas Amerika tidak menghormati sentimen masyarakat Islam dan rakyat ini di seluruh negara kerana melihat reaksi yang sangat jelas pada demonstrasi yang ditunjukkan oleh ribuan rakyat Malaysia.

Amerika perlu diajar untuk menghormati perasaan rakyat dengan menerima memorandum ini oleh Duta Amerika sendiri. Isu yang sudah menjadi isu dunia akibat penerbitan filem yang menghina Nabi bukan isu kecil malah akan mempengaruhi hubungan dunia Barat dan Islam.

Saya menegaskan bahawa Kedutaan Amerika perlu ingat akibat dari keangkuhannya ia bakal mencetuskan kebencian umat Islam yang lebih meningkat lataran umat Islam sudah mempunyai persepsi buruk terhadap negara tersebut dalam banyak isu yang berkaitan dengan Islam.

Jika benar Amerika mahu menunjukkan sikap terbukanya, kami menegaskan mereka mesti menghormati tindakan rakyat untuk menghantar memorandum dan memberi respon yang sewajarnya terhadap tuntutan yang ada dalam memorandum tersebut.

Rakyat Malaysia tidak akan terperangkap dengan strategi dan gimik komunikasi diplomatik yang cuba ditunjukkan oleh pegawai keselamatan itu malah menuntut supaya mereka bertindak menyatakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya.

Sehingga ini jelas tidak ada maklumbalas dari pihak Amerika terhadap bantahan keras umat Islam. 

Kami menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berhenti dengan demonstrasi semata-mata. Malah tindakan memboikot semua perkhidmatan dan produk yang berkaitan dengan Amerika seharusnya cuba dilaksanakan. Boikot ekonomi dan budaya hendaklah menjadi senjata berkesan kepada Rakyat untuk menundukkan keangkuhan Amerika.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM

Tuesday, July 24, 2012

MAPIM MOHON KETUA BUDDHA HANTAR MESEJ KEPADA KERAJAAN MYANMAR

Cikgu Azmi bersongkok menyerahkan surat kepada Ketua Sami
KEDAH, 24 Julai - Kezaliman yang menimpa minoriti umat Islam di wilayah Arakan, Myanmar terus menjadi perhatian dalam negara dan antarabangsa. 

Demikian itu, salinan kenyataan media yang diterima dari Setiausaha Agung MAPIM(Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Mohd Azmi Abdul Hamid menyebut pihaknya telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha di Alor Setar, Kedah semalam, 23/07/2012. 

Pertemuan ini dalam rangka memohon pemimpin agama Buddha mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Azmi yang diringi oleh beberapa wakil NGO Islam lain iatu ABIM(Angkatan Belia Islam Malaysia), TERAS(Teras Pengupayaan Melayu), dan Persatuan Ulama Kedah telah diterima dengan baik di wad tersebut. 

Encik Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi telah menyerahkan sepucuk surat khas kepada Ketua Pemimpin Buddha itu untuk dibincangkan dengan Ketua Buddha Malaysia yang berada di wad  Padang Sera, Kedah.

Dalam perbincangan semalam, Cikgu Azmi telah menjelaskan kepada ketua sami tersebut bahawa pemimpin-pemimpin Buddha di negara ini perlu bersuara di atas keganasan yang dilakukan oleh penganut agama Buddha yang ekstremis di Arakan, Myanmar. 

Beliau menyatakan bahawa jika penganut Buddha di negara ini dapat hidup aman bersama dengan pelbagai penganut agama yang lain, kenapa kerajaan Buddha Myanmar memilih untuk melihat umat Islam Rohingya sebagai musuh untuk ditindas dan dizalimi.

Ai Lap bersetuju untuk mengangkat isu pembunuhan umat Islam di Myanmar dalam mesyuaratnya dengan ketua-ketua penganut Buddha di Malaysia. Beliau akan memohon agar dipertimbangkan mesej dari Malaysia dihantar kepada Ketua Buddha di Myanmar agar pembunuhan dan penindasan segera dihentikan.

Azmi juga menyatakan bahawa suatu pertemuan khas antara agama akan diadakan bagi menyatakan sikap mereka terhadap kezaliman kerajaan Myanmar ke atas Rohingya Muslim.

Dalam pertemuan itu Ai Lap juga bersetuju supaya isu ini perlu di ambil berat kerana agama Buddha tidak mengajar untuk menzalimi dan menindas orang lain.
Tunjuk perasaan di hadapan bangunan PBB
Rentetan dari pertemuan dengan Ketua Wad Nikhotaram, NGO Malaysia, antaranya MAPIM telah mengadakan tunjuk perasaan hari ini di hadapan bangunan PBB, Kuala Lumpur dan menyerahkan memorandum bantahan. 

Saturday, June 2, 2012

Perhimpunan Sejuta Belia Membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan


Kenyataan Media MAPIM

31 Mei 2012

Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini mengesahkan bahawa pihak PM dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri membakulsampahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Hiburan dengan wanita separuh bogel dalam acara perhimpunan tersebut adalah lambang kebudayaan di negara ini yang telah mengganti nilai agama dan moral yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Jelas yang berlaku adalah suatu penghinaan kepada kebudayaan negara dan PM  menjadi Ketua Liberalis Malaysia bila membenarkan budaya lucah dipentaskan bersama kehadiran beliau.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal dan mengutuk budaya liberal yang diterjemahkan dalam bentuk acara hiburan yang sangat anti akhlak  yang disahkan oleh PM bersama penari separuh bogel dalam perhimpunan tersebut.

Jika ada pihak yang mengangkat isu wujudnya gerakan liberal di Negara ini, maka kami berpendapat PM membayangkan bahawa beliau adalah ketua kepada budaya dan pemikiran liberal di Malaysia .

Dengan membenarkan wanita berpakaian tidak senonoh mengadakan pementasan yang direstu oleh PM dan Menteri yang berkenaan, manakala Menteri Agama di JPM serta para Mufti tidak pula bersuara, mengesahkan aliran liberalisme dan pluralisme sudahpun diabsahkan sebagai budaya dan aliran pemikiran yang dibenarkan oleh konsep wassatiyah yang ditaja oleh PM.

MAPIM mempersoalkan kemana pergi konsep akhlak dan jatidiri yang sering disuarakan oleh PM dalam ucapannya? Pada satu sisi beliau bercakap soal pemikran liberal dan plural mesti ditolak, beliau jugalah yang membenarkan hiburan lucah berpaksikan faham liberal ditonjolkan dalam acara perhimpunan belia.

Kebudayaan Kebangsaan yang beteraskan budaya Islam dan Melayu di Negara ini jelas tidak membawa sebarang erti kepada PM. Melihat belia berhimpun untuk menyaksikan pesta hiburan dengan penampilan wanita yang berpakaian lucah tidak menjadi masalah kepada PM dan Menteri Kebudayaan serta Menteri Agama Islam.

Asalkan dapat dihimpunkan belia dan mewujudkan suasana serba bebas dan tidak menghormati kebudayaan kebangsaan, PM sanggup menggadai akhlak generasi muda hanya untuk propaganda PRU 13.

MAPIM mendapati memperalatkan belia dengan memancing mereka berhimpun dengan acara hiburan liar adalah suatu fenomena yang sudah sedemikian lama diguna oleh pihak kerajaan.

Di satu hal budaya politik samseng dibiarkan berleluasa, ditambah lagi hiburan liar juga diguna untuk melekakan belia dari berfikir mengenai pelbagai isu negara yang akan menentukan nasib dan masa depan agama dan bangsa.

MAPIM tidak dapat menerima pendekatan yang diguna oleh kerajaan yang mengguna peruntukkan dari wang rakyat dengan memaparkan budaya liar dan tidak senonoh. Jika ini yang dibawa, apa guna peraturan dan garispanduan yang kononnya wujud untuk mengawal sebarang bentuk acara hiburan yang dipentaskan kepada umum?    

Mapim menuntut Kementerian Belia dan Sukan mendedahkan berapa jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut. Menteri berkenaan mesti bertanggungjawab terhadap semua acara yang membawa implikasi buruk kepada imej Negara dalam perhimpunan tersebut.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM

Wednesday, May 30, 2012

Kenyataan Media TERAS: Isu Tanah Melayu dalam Penyenaraian FGV



Berikutnya adalah kenyataan media dari sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan(NGO) TERAS berhubung isu tanah melayu dalam penyenaraian FGV(FELDA Global Ventures Sdn Bhd). Admin menerima salinan kenyataan ini pada  29 Mei 2012.

MEMPERTARUH TRM DALAM FGV SUATU PENGKHIANATAN

TERAS membantah dengan keras penyenaraian FGV yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam FELDA.

Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

TERAS melihat tindakan ini sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu. Penyenaraian hartanah dalam Bursa Saham  yang menjadi aset  penting kepada orang Melayu bakal melihat tanahmilik orang Melayu dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu dalam negara malah orang dari luar negara.

Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan. Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus diketengahkan oleh peneroka.

TRM yang sedia ada di negeri-negeri semakin mengecil akibat banyak tanah yang diwartakan sebagai TRM telah dikeluarkan dari warta tersebut tetapi tidak diganti.

Teras berpendirian kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan TRM dipertahankan dan sepatutnya menolak penyenaraian FGV yang melibatkan TRM di negeri masing-masing.

Sehingga ini, kerajaan masih tidak menjelaskan secara telus kedudukan TRM dalam penyenaraian FGV. Ini bermakna TRM akan terdedah kepada manipulasi harga dalam Bursa Saham tanpa dapat dijamin bahawa pindahmilik kepada orang bukan Melayu tidak berlaku.

TERAS meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan yang sedia ada jika TRM dalam Felda akhirnya lenyap. Kehilangan TRM sepanjang 54 tahun Negara ini merdeka adalah gara-gara kegelojohan kerajaan di bawah kepimpinan yang terlalu bernafsu untuk memanipulasi TRM untuk kepentingan segelintir konglomerat kapitalis yang tidak kisah dengan nasib masa depan orang Melayu.

Keluasan TRM dalam Felda bakal hilang tanpa disedari kerana pembelian saham dengan nilai yang tidak menentu dalam Bursa Saham boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mewujudkan Golden Share dalam sesuatu syarikat dalam Bursa Saham tidak menjamin aset TRM boleh kekal. Ini adalah kerana aset yang sudah dicairkan dalam bentuk saham boleh berpindah tangan mengikut aliran pasaran.

TERAS menuntut supaya kerajaan negeri menolak TRM dilibatkan dalam penyenaraian FGV. Kerajaan negeri tidak sepatutnya tunduk kepada kehendak pejabat PM dalam penyenaraian FGV terutama yang berkait dengan soal tanah. Kerajaan negeri berkuasa penuh ke atas tanah yang berada di negeri masing- masing.

TERAS menuntut supaya penyenaraian FGV dibatalkan terutama yang melibatkan TRM. Selagi kedudukan TRM tidak jelas dalam penyenaraian tersebut, peneroka Felda wajar menyuarakan bantahan demi masa depan hartanah orang Melayu.

TERAS menegaskan kehilangan TRM akibat tindakan gelojoh kerajaan BN adalah antara pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat. 

TRM yang dipertaruh kepada syarikat Perancis yang berkait dengan Yahudi adalah antara Dosa Besar Kerajaan BN yang tidak boleh dimaafkan samasekali.

Kami menuntut supaya sebuah fatwa dikeluarkan dalam isu ini. Kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku dinegara ini adalah mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang Yahudi. Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Kami mendapati kuasa yang dimandatkan kepada kerajaan sekarang untuk menjamin status TRM sudah lama disalahguna. Bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah didedahkan kepada awam.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS