Showing posts with label isu kezaliman Myanmar. Show all posts
Showing posts with label isu kezaliman Myanmar. Show all posts

Tuesday, July 31, 2012

KENYATAAN PERDANA MENTERI BANGLADESH AMAT DIKESALI

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang tidak mahu membantu pelarian Rohingya dari Arakan yang sedang ditindas dengan zalim oleh regim Myanmar.

Kenyataan beliau yang mengatakan Bangladesh tidak bertanggungjawab untuk membantu pelarian itu adalah kenyataan yang tidak layak keluar dari seorang pemimpin Islam dari sebuah negara umat Islam.

Sementara kita tidak menafikan bahawa Bangladesh memang sebuah negara yang miskin, itu tidak bermakna keadaan yang genting seperti yang dihadapi oleh etnik Rohingya untuk menyelamatkan nyawa tidak boleh dibantu, padahal mereka yang sedang dizalimi adalah saudara seagama.

Lebih parah lagi Bangladesh pula tidak mahu bekerjasama untuk menghulurkan bantuan  kemanusiaan kepada pelarian di sempadan yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang cedera. 

Pendirian yang diambil oleh beliau dalam isu yang sudah mendapat perhatian dunia sewajarnya dikutuk kerana tindakannya sama dengan bekas Presiden Mesir Husni Mubarak yang menutup sempadan Rafah yang telah menyekat sebarang bantuan untuk dihantar ke Gaza.

Kini, pelarian yang terputus bekalan makanan bakal menghadapi kebuluran jika bantuan tidak segera dihantar. Laporan yang diterima keganasan ke atas Rohingya Muslim masih berterusan ekoran operasi tentera Myanmar dan esktremis Rakhine yang telah membunuh ribuan etnik Rohingya.

Nyawa kanak-kanak dan kaum wanita berada dalam keadaan yang sangat genting kerana pembunuhan tidak mengira umur sedang berlakukan secara sangat ganas dan brutal.

Bangladesh bertanggungjawab ke atas kematian begitu ramai orang Rohingya kerana menutup sempadan dalam keadaan dharurat yang sepatutnya difahami oleh Perdana Menteri Bangladesh.

Kami menegaskan bahawa seluruh pemimpin Islam dalam OIC dan gerakan Islam perlu segera bertindak untuk membela nasib umat Islam Rohingya yang sedang ditindas.

Tekanan kepada Myanmar dan Bangladesh hendaklah dilakukan sama ada menerusi saluran diplomasi mahupun saluran ketenteraan.

Usaha untuk masuk ke Arakan bagi mengekang pembunuhan etnik Rohingya yang masih berterusan serta menghantar bantuan kemanusiaan perlu dilaksanakan tanpa lengah-lengah lagi.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agong MAPIM 

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA

Tuesday, July 24, 2012

MAPIM MOHON KETUA BUDDHA HANTAR MESEJ KEPADA KERAJAAN MYANMAR

Cikgu Azmi bersongkok menyerahkan surat kepada Ketua Sami
KEDAH, 24 Julai - Kezaliman yang menimpa minoriti umat Islam di wilayah Arakan, Myanmar terus menjadi perhatian dalam negara dan antarabangsa. 

Demikian itu, salinan kenyataan media yang diterima dari Setiausaha Agung MAPIM(Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Mohd Azmi Abdul Hamid menyebut pihaknya telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha di Alor Setar, Kedah semalam, 23/07/2012. 

Pertemuan ini dalam rangka memohon pemimpin agama Buddha mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Azmi yang diringi oleh beberapa wakil NGO Islam lain iatu ABIM(Angkatan Belia Islam Malaysia), TERAS(Teras Pengupayaan Melayu), dan Persatuan Ulama Kedah telah diterima dengan baik di wad tersebut. 

Encik Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi telah menyerahkan sepucuk surat khas kepada Ketua Pemimpin Buddha itu untuk dibincangkan dengan Ketua Buddha Malaysia yang berada di wad  Padang Sera, Kedah.

Dalam perbincangan semalam, Cikgu Azmi telah menjelaskan kepada ketua sami tersebut bahawa pemimpin-pemimpin Buddha di negara ini perlu bersuara di atas keganasan yang dilakukan oleh penganut agama Buddha yang ekstremis di Arakan, Myanmar. 

Beliau menyatakan bahawa jika penganut Buddha di negara ini dapat hidup aman bersama dengan pelbagai penganut agama yang lain, kenapa kerajaan Buddha Myanmar memilih untuk melihat umat Islam Rohingya sebagai musuh untuk ditindas dan dizalimi.

Ai Lap bersetuju untuk mengangkat isu pembunuhan umat Islam di Myanmar dalam mesyuaratnya dengan ketua-ketua penganut Buddha di Malaysia. Beliau akan memohon agar dipertimbangkan mesej dari Malaysia dihantar kepada Ketua Buddha di Myanmar agar pembunuhan dan penindasan segera dihentikan.

Azmi juga menyatakan bahawa suatu pertemuan khas antara agama akan diadakan bagi menyatakan sikap mereka terhadap kezaliman kerajaan Myanmar ke atas Rohingya Muslim.

Dalam pertemuan itu Ai Lap juga bersetuju supaya isu ini perlu di ambil berat kerana agama Buddha tidak mengajar untuk menzalimi dan menindas orang lain.
Tunjuk perasaan di hadapan bangunan PBB
Rentetan dari pertemuan dengan Ketua Wad Nikhotaram, NGO Malaysia, antaranya MAPIM telah mengadakan tunjuk perasaan hari ini di hadapan bangunan PBB, Kuala Lumpur dan menyerahkan memorandum bantahan.