Showing posts with label Rafah. Show all posts
Showing posts with label Rafah. Show all posts

Monday, May 18, 2015

PROVOKASI TENTERA LAUT MESIR

[Satu jam yang lalu] Menurut laporan terkini agensi berita SHEHAB melalui fan page Shehab News Agency, bot Angkatan Tentera Laut Mesir menceroboh sempadan laut Palestin di perairan laut bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Paparan laporan SHEHAB di laman fan page facebook

Angkatan Tentera Laut Mesir berusaha mengacah bot nelayan Gaza agar memasuki ke laut Mesir, namun telah gagal berbuat demikian. Lantas, secara rambang Angkatan Tentera Laut Mesir melepaskan tembakan senjata berat ke arah nelayan Palestin.

Agensi berita SHEHAB menjelaskan, bot tentera laut Mesir berundur dari lokasi kejadian sebaik sahaja Angkatan Tentera Laut Palestin menghampiri lokasi berkenaan.

Saturday, March 14, 2015

HAMAS BUKAN PENGGANAS

"HAMAS (Gerakan Perjuangan Islam) bukan pengganas bahkan ia merupakan sebuah kelompok penentang yang melawan kejahatan, sememangnya HAMAS berhak dilindungi oleh dunia," Petikan kata-kata Father Manuel Musallam, bekas Paderi Gereja Katolik di Gaza yang mengulas tindakan Mahkamah Mesir menyifatkan HAMAS sebuah pertubuhan pengganas. 

Beliau merupakan salah seorang anggota Badan Pertubuhan Islam-Masehi Selamatkan Al-Quds dan Hak Suci.

Dalam wawancara tersebut beliau menyebutkan bahawa Negara-negara Arablah yang melakukan sekatan ke atas Semenanjung Gaza. Pemimpin-pemimpinnya mesti dibicarakan di atas jenayah yang dilakukan sebelum mengemukakan pemimpin Israel ke Mahkamah Antarabangsa.

Untuk lebih lanjut, ikuti wawancara beliau dengan AL-JAZEERAH.

Nota kaki:
1. Semasa pemerintahan Presiden Dr Muhammad Mursi, sempadan Rafah yang menghubungkan tanah Mesir dengan Palestin menjadi laluan penting kepada pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan dari seluruh dunia datang untuk membantu rakyat Gaza. Boleh dikatakan, hampir 30 buah pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan ke Gaza setiap bulan pada waktu itu.
2. Selepas PENGGULINGAN KUASA/RAMPASAN KUASA, hanya beberapa kali sahaja badan pertubuhan kemanusiaan dapat memasuki Gaza dalam tempoh masa satu bulan tetapi bergantung kepada pengoperasian di sempadan Rafah sama ada dibuka ataupun sebaliknya.
3. Satu-satunya laluan bagi rakyat Palestin di Gaza untuk bertemu dunia luar adalah melalui SEMPADAN RAFAH MESIR setelahmana laluan laut dan udara dikekang oleh rejim zionis. Manakala, perlintasan Erez di sebelah utara bergantung kepada budi bicara penjajah.

Saturday, August 3, 2013

TENTERA MESIR TANGKAP ANGGOTA KEAMANAN PENGIKUT DAHLAN DI RAFAH MESIR

Sumber keamanan dan saksi kejadian hari ini (Khamis) menyatakan anggota tentera Mesir telah menangkap seorang individu yang dikenali Syeikh Fathi Al-Falastini di Hayyu As-Safa, bandar Rafah Mesir. Dia merupakan anggota keamanan negara dalam pemerintahan FATAH di Semenanjung Gaza (sebelum 2007).

Tentera Mesir menemui dalam rumahnya di Hayyu As-Safa:

> Dokumen-dokumen bahaya yang merangkumi operasi anasir-anasir yang diupah di Rafah dan Syeikh Zuweid.
> Ditemui fotokopi kem tentera As-Safa dan Al-Ahrash dan sebahagian checkpoint.
> Telefon satelit untuk panggilan antarabangsa.
> Bersamanya ditemui LE 40 ribu dan USD 5 ribu.

Kata saksi, Syeikh Fathi dikenali sebagai seorang pendakwah Islam. Dia telah membuang jambangnya dan menjalani kehidupan bersama rakyat Mesir di Hayyu As-Safa.

Sebagaimana yang disebutkan, seramai 200 anggota keamanan negara dalam pemerintahan FATAH yang sebahagian besarnya pengikut kepada Mohammad Dahlan telah lari keluar ke Sinai selepas HAMAS menguasai sepenuhnya Semenanjung Gaza tahun 2007. Pihak berkuasa Palestin(PA) memberi perlindungan kepada mereka di El-Arish, utara Sinai melalui autoriti Kedutaan Palestin Ke Kaherah. Gaji dan elaun juga diberikan serta kedudukan mereka dalam Mesir mengikut undang-undang ekoran ketetapan dari peringkat politik Mesir dari pemerintahan Mubarak waktu itu.

*Mohammad Dahlan kini menetap di Emirate (UAE).

Sumber:
[Laporan jam 11:48 malam]
Web berita Rassd, 01/08/2013

Monday, July 29, 2013

SERANGAN DI BALAI POLIS DAN KELAB POLIS EL-ARISH

Laporan biasa punyai rahsia.

Seorang pegawai polis dan seorang anggota polis mengalami kecederaan sebelum waktu berbuka puasa semalam ekoran serangan bersenjata ke atas balai polis El-Arish dan kelab polis El-Arish, utara Sinai, demikian laporan berita web berita SHOROUK, 28/07/2013.

Sumber dari wakil keamanan berkata, militia-militia pengganas menyerang kelab polis sebelum berbuka puasa lalu melepaskan tembakan. Lantas mengakibatkan seorang anggota polis cedera di bahagian kaki. Diikuti selepas berbuka puasa, balai polis El-Arish pula diserang. Kejadian itu mengakibatkan seorang pegawai polis cedera parah akibat terkena tembakan di bahagian dada.

Ulasan penulis [Di sebalik ketidakstabilan utara Sinai]

Keamanan di utara Sinai tidak stabil malah terus menjadi-jadi hingga ke hari ini selepas rampasan kuasa yang berlaku ke atas Presiden yang sah. Setiap hari pasti ada berita mengenai serangan-serangan ke atas checkpoint tentera, balai polis, dan milikan pihak keamanan. Demikian itu, sejak akhir-akhir ini polis dan tentera mengambil langkah mengetatkan kawalan di utara Sinai termasuk memusnahkan terowong-terowong bawah tanah yang menghubungkan antara tanah Mesir dengan Palestin di selatan Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, serangan-serangan yang dikatakan militia pengganas menimbulkan tanda tanya.

Menukil laporan dari agensi berita SINAI yang turut disiarkan dalam fan page WEKLAKS, kata seorang anggota tentera yang lari tugas di Syeikh Zuweid, "saya sumpah dengan nama Allah..anggota-anggota perisikan Mesir yang membuat serangan-serangan di Sinai, mereka paksa kami lepaskan tembakan membuta-tuli sepanjang malam, kawan-kawan saya rasa takut gentar kerana bila-bila masa mereka boleh mati."

Tentera terbabit yang melarikan diri dari tugas telah berlindung dalam sebuah keluarga di Syeikh Zuweid. Dia menerangkan bahawa salah seorang pegawai mengarahkan mereka meletupkan kereta perisai di checkpoint As-Safa pada malam yang lepas, kemudian diarah lepaskan tembakan membuta-tuli ke setiap arah.
Dia tidak boleh melakukan sedemikian, lalu mengambil tindakan lari tugas kerana tidak sanggup melepaskan tembakan ke atas rakyat Mesir sepertinya. Dia mengharap bila melarikan diri dari tugas dapat kembali ke pangkuan keluarga yang berada di salah sebuah negeri dalam kawasan delta(seperti Kaherah, Al-Buhairah, Al-Daqahliah, Al-Gharbiah, As-Sharqiyah, Al-Menoufiyah dan lain-lain lagi). Jelasnya, dia telah menghubungi keluarganya tetapi dia bimbang sekiranya ditangkap apabila melintasi Terusan Suez dengan menaiki feri Al-Qantarah. Tambahan pula, Jambatan As-Salam telah ditutup tidak lebih dari 10 hari kerana alasan berlaku tembakan di checkpoint pintu masuk ke jambatan yang merupakan laluan utama melintasi dari tanah Sinai ke Ismailiyah.

Sebelum ini, laporan berita FJP menyiarkan tentang penangkapan ke atas anggota perisikan yang menyerang balai polis di Syeikh Zuweid. Pengakuan seorang penduduk yang menangkap anggota perisikan tersebut seperti dalam klip di bawah.
Apakah pengumuman Jeneral Abdul Fattah As-Sisi yang menyeru rakyat Mesir keluar pada hari Jumaat baru-baru ini sebagai memberi mandat penuh kepadanya untuk memerangi anasir keganasan ada hubung kait dengan kejadian ini? Jika benar, siapakah sebenarnya pihak yang dikatakan pengganas? Penculikan 7 orang tentera pada beberapa bulan yang lalu dikaitkan dengan 'sentuhan' pihak tertentu dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertujuan melemparkan tohmahan kepada Presiden Muhammad Mursi yang disifatkan seolah-olah lemah menjaga keamanan. Begitu juga, pembunuhan belasan orang tentera Mesir pada Ramadhan tahun 2012 di checkpoint Al-Masurah tidak jauh dari sempadan Rafah. Hingga ke hari ini, kes seperti ini tidak didedahkan siapa dalang malah tidak ada tangkapan, padahal perisikan Mesir seperti dimaklumi amat tangkas dalam kerja-kerja siasatan.

Wednesday, August 8, 2012

Tentera Mesir lancar operasi ketenteraan di Sinai


Sumber-sumber khas menjelaskan kepada media elektronik IRARAB (Al-Arab Al-An) yang memaparkan pada jam 03:11 pagi, waktu Kaherah pagi ini bahawa Angkatan Tentera Mesir (tentera, polis dan pasukan pencegah keganasan) telah melancarkan operasi besar-besaran buat pertama kali sejak puluhan tahun yang lalu. Operasi ini bertujuan memburu kumpulan bersenjata ekoran serangan yang membunuh 16 orang tentera Mesir pada 05/08/2012.

Berita berkait:
16 tentera Mesir maut, 7 lagi parah diserang kumpulan tidak dikenali
Az-Zayyat tidak menolak Israel terjebak dalam serangan ganas di Sinai


Menurut sumber, buat pertama kali, tentera Mesir menyerang pusat-pusat perkumpulan dan individu bersenjata yang dikehendaki di Bukit Al-Hilal, utara Sinai. Selain itu, El-Arish juga menjadi sasaran tumpuan tentera Mesir.

Serangan kali ini, tentera menggunakan pesawat perang. 

Sejam yang lalu, satu laporan lain menyatakan helikopter tentera Mesir menurunkan anggota-anggota skuad khas 'helang' (قوات الصاعقة) di puncak Bukit Al-Hilal.

Menurut media IRARAB, sekurang-kurangnya 30 individu bersenjata telah terbunuh di Bukit Al-Hilal, manakala dalam serangan dan diserang hendap serta operasi yang lain dari beberapa kawasan yang berlainan di Sinai, 30 lagi terbunuh.

Dalam operasi ini, dua individu bersenjata yang memiliki kewarganegaraan Kanada telah ditangkap.

Seorang penduduk tempatan berkata, Bukit Al-Hilal tempat persembunyian kumpulan bersenjata mempunyai keluasan kira-kira 25 kilometer persegi dan terdapat terowong-terowong bawah tanah yang melintasi ke Israel. 

Laporan terkini di El-Arish yang disahkan sumber keamanan dan perubatan, seorang tentera mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan bersenjata yang cuba merempuh satu lokasi.

Kejadian lain, kedengaran letupan di bandar Rafah Mesir. 

Sebuah kawasan di Syeikh Zuweid pula dilaporkan kedengaran letupan hasil tembakan RPG dan peledak letupan, sambil itu, helikopter Apache tentera Mesir mengikuti rapat setiap pergerakan dan menjejaki buruan.

Sumber:
08/08/2012, web berita Irarab, pautan Ahram, dan halaman facebook Gaza Sekarang