Friday, June 19, 2009

Penempatan Israel tambah perselisihan Amerika-Israel

الخميس 25/6/1430 هـ - الموافق18/6/2009 م
___________________


Piket aman di sempadan Rafah

Sumber dari agensi berita Shehab.ps melaporkan 26 aktivis gabungan dari luar, sebahagian dari Mesir dan Palestin telah mengadakan piket aman di hadapan sempadan Rafah Mesir. Dinyatakan, piket yang diadakan semalam adalah hari ke empat bagi mendesak sempadan Rafah dibuka dalam tempoh yang lama dan berpanjangan.

Selain itu, aktivis-aktivis yang mengadakan piket juga mendesak agar bebas keluar-masuk barang dagangan, bahan binaan, makanan dan bantuan perubatan serta individu.

Menurut aktivis Mesir yang terlibat dalam piket, berkata seorang aktivis Amerika bertindak membuat mogok lapar di hadapan sempadan Mesir sebagai tanda bersimpati terhadap penduduk Gaza. Sumber 17/06/09, web berita Shehab.ps


Penempatan haram Yahudi menambahkan lagi perselisihan Amerika dan Israel

Isu penempatan Israel telah mewujudkan perselisihan antara Amerika dan Israel berikutan desakan kepada Israel supaya membekukan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. Bagaimanapun, pembinaan penempatan

Pertembungan tersebut berlaku ketika sesi sidang akhbar bagi dua Menteri Luar, dari pihak Amerika dan Israel semalam di Washington.

Hillary Clinton, Menteri Luar Amerika menyatakan bantahan bagi pembinaan penempatan yang baru di Tebing Barat. Beliau berkata, pandangan Presiden Amerika, Barrack Obama berhubung perdamaian di Timur Tengah yang menetapkan agar aktiviti pembinaan penempatan Yahudi dibekukan . Jelasnya lagi, masalah ini adalah terlalu penting dan mesti dihentikan.

Namun demikian, Clinton berkata, utusan Amerika Syarikat di Timur Tengah, George Mitchell akan menjalankan lagi perbincangan yang berkaitan isu penempatan dengan Israel.

Berkata Avigdor Lieberman, Menteri Luar Israel berkenaan pembinaan penempatan bahawa memang ada persetujuan dengan Pentadbiran Amerika sesi lepas yang juga tidak menerima pandangan Pentadbiran Amerika sekarang yang membekukan pembinaan, malah membenarkan pembinaan yang berkembang dengan normal.

Pun begitu, Lieberman turut mempamerkan sikap Perdana Menteri Israel yang bersedia mengadakan perbincangan secara langsung seberapa segera dengan Palestin.

Berikutan "wujudnya persetujuan dan persefahaman", Clinton berkata dalam sejarah Pentadbiran Amerika yang lalu tidak ada satu jaminan kepada mana-mana persepakatan yang tidak rasmi atau secara lisan yang mesti dilaksanakan.

Sebelum ini, wakil Israel telah menyatakan bahawa Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel akan bertemu dengan Mitchell di Eropah pada minggu akan datang. Dinyatakan lagi, pertemuan itu adalah usaha bagi mencapai persetujuan berhubung pembinaan penempatan Yahudi.

Mitchell ketika perjumpaan dengan wakil Israel pada selasa lepas menjelaskan adanya beberapa pengenalan bagi memahami maksud "pertumbuhan normal" yang selalu dibicarakan oleh Israel. Mitchell berkata, "kami sedang berusaha mencapai persetujuan dan persefahaman bagi membantu menggerakkan usaha perdamaian." Sumber 18/06/09, web berita Al-Jazeerah


Catatan yang dilampirkan di atas adalah catatan ringkas. Pihak MAP hanya mencatatkan apa yang termampu. Sumber utama berdasarkan berita al-Jazeerah. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila klik mana-mana rangkaian berita dalam kolum paparan berita.

Thursday, June 4, 2009

Mangsa selsema babi meningkat

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya melaporkan perkembangan Influenza A(H1N1) atau lebih dikenali selsema babi berhubung mangsa yang dijangkiti virus tersebut.

Terkini, jumlah mangsa yang mati akibat dijangkiti virus tersebut meningkat ke angka 117. Manakala hampir 19,000 mangsa telah dijangkiti virus selsema babi.

Dalam kenyataan WHO itu, pertubuhan tersebut hampir untuk mengumumkan bahawa selsema babi adalah satu wabak penyakit.

Sumber :
02 Jun 2009, berita Al-Jazeerah

Pautan :
World Health Organisation (WHO) (laman utama)
World Health Organisation (WHO) (wikipedia)

Friday, May 8, 2009

Agar tidak berulang lagi


A big man is not one who makes no mistakes, but one who is bigger than any mistakes he makes. When you make a mistake, there are only three things you should ever do about it:


1) Admit it

2) Learn from it

3) Dont' repeat it


"My Love commitment to my self, my family and my fellowmen
becomes a totalcommitment that gives me the courage and strength to face
the challenges of life
"


Sumber :

1) Nasihat kawan
2) Nak Ke Tak Nak, Dr. H.M Tuah Iskandar al-Haj




Thursday, May 7, 2009

Take time ..


Take time to work,
It is pride of success.

Take time to think,
It is the source of power.

Take time to play,
It is the secret of perpetual youth.

Take time to be friendly,
It is the road to happiness.

Take time to share,
Life is too short to be selfish.

Take time to laugh,
Laughter is the music of the soul.


Binalah hidup anda dengan suasana yang positif. Seandainya datang ujian yang begitu hebat, terimalah seadanya dan hadapilah dengan tenang..mungkin ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Sekiranya kita merungut disebabkan banyaknya masalah, sesungguhnya ke mana kita pergi dan berada..masalah tidak dapat dipisahkan. Hanya jiwa yang positif mampu menghadapinya. Sekiranya kita dihimpit berbagai-bagai kesedihan dan permasalahan yang memungkinkan kita hilang keyakinan dan rebah, pastikan ada di celah ruang itu untuk menggembirakan insan yang lain.

- Take timE -


Terima kasih PMRAM cakna kami!

Saturday, May 2, 2009

No 2 couple


Firman Allah Taa'la : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat(yang membawa kerosakan)."

Ayat 32, surah Al-Israa'

"Bestnya ada awek!".. "wei, awek hang comeii aa".."tu lahh, awek hang pun apa kurang..", "wei, klu ada awek ni, nak buat apa haa?", .. "alaa takkan buat tak tau".. "sekali-sekala bawa gi jalan-jalan, makan ka, minum ka, pi lah mana-mana pun" .. "tapi tak best aa".. "awat plak tak best, best pa ada awek" .. "setakat kuar makan-minum, mana mau" .. "ala kalau setakat ada pun tapi macam tak dak la".."tau takpa"..

Biasanya istilah couple adalah bagi mereka yang menjalinkan hubungan love(cinta) tanpa membabitkan perkahwinan. Meskipun mereka yang bercouple kerap kali mempertahankan bahawa hubungan mereka adalah untuk perkahwinan, namun secara sedar tegahan agama kerap mereka redah. Lebih sengsara lagi, akibat hubungan couple tanpa ikatan perkahwinan menyebabkan hadirnya anak-anak luar nikah. Walaupun ada mengatakan kami tidak melakukan perkara yang buruk, sekadar mengadakan hubungan cinta..ia tetap salah di sisi agama kerana ia menghampirkan diri kepada zina.

Di sini, penulis ingin menyampaikan pesanan kepada semua, termasuk diri penulis agar jauhkan diri daripada budaya ini, walaupun ia melambangkan kasih sayang tetapi hakikatnya ia adalah buruk. Jangan gunakan istilah kasih sayang dalam sesuatu yang memberikan keburukan.

Cubalah renung sedalam-dalamnya peringatan ayat di atas. Khususnya penuntut ilmu, sebelum tiba masa mengikat tali perkahwinan..masih terlalu banyak perkara dan kajian yang perlu diselesaikan. Bagaimana mahu membina rumahtangga yang hebat sekiranya, kita asyik memikirkan hendak berkahwin tanpa mendahului isi-isi(ilmu yang utama, termasuk pengamalan) yang akan menghiasi rumahtangga termasuklah diri kita sendiri.

Yakinlah bahawa, jika diri kita sibuk dengan ilmu dan memang itu tujuan kita menuntut ilmu, kita tidak akan mudah terpedaya dengan ikutan hati yang sentiasa terdorong untuk ber'couple'.


Mesej YM untuk mana-mana lelaki : "Lelaki Soleh bagaikan mutiara indah berkilau nan mempersona. Keperibadiannya dihiasi dengan ketulusan, keinsafan, dan kesabaran, kedudukanya juga dimuliakan oleh Allah sebagai Khalifah. Lantaran mereka mempunyai peranan dalam menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Mindanya yang kreatif, hati nuraninya yang suci bersih serta budi pekertinya yang luhur mampu menunduk serta menewaskan hasutan nafsu dan tipu daya syaitan yg sentiasa menghasut ke arah kehancuran dan kesesatan. Al-quran dan sunnah Rasul sentiasa tersemat dihatinya sebagai pelita kehidupan dan pegangan dalam mengharapkan keredhaan Allah SWT."


Thursday, April 30, 2009

Sajak : ANDAI KU TAK KEMBALI


ANDAI KU TAK KEMBALI…

andai hari ini..
ada 'sesuatu' antara kita..
lantas memori menyimpan tawa dan duka
di hatimu
di hatiku
sebagai zikrayat terindah
keserasian tak tersangka..
maafkanlah aku
kerna tak bisa
memanjangkan waktu..
hidup ini tak pernah jadi milikku
malah tak bisa juga jadi milikmu
percaturan makhluk bukan penentu
kerna hikmahnya
Hanya al-Khalik Maha Tahu

Lalu..
andai esok
aku tak kembali..
kuduskanlah Qadarku
di kalungan maaf dan doa..
iqra' fatihahmu
harumi semadi pusara

kerna..
di pertama kali
ku selalu ingin menghargai
dan mengasihi
meski tak pernah ku akui
namun,
takkan mampu untukku nafi

hadirmu di hujung hayat berbaki
adalah pelangi, bulan, jua mentari
menyeka tangis di pipi,
melupus sendu di qalbi
jua...
memulih ibtisamku tega menghitung hari

dan suatu hari
andai aku tak kembali..
teruskanlah misi pewaris para nabi
berjuanglah demi deen Ilahi
hingga
dalam jasad bidadari
kan ku setia menanti
kedatangan syahidmu
di pintu Syurga Firdausi...


Dikirim oleh : Chaq's
2 p.m 27Apr till 3 a.m 28 Apr 2009




Tuesday, April 28, 2009

Selsema Babi


Mungkin dapat cegah selsema babi?


Dalam beberapa hari dunia dikejutkan dengan selsema babi. Setakat ini, jumlah nyawa yang melayang akibat jangkitan selsema babi hampir kepada 103 nyawa di Mexico. Malah beratus-ratus lagi penduduk di beberapa buah Negara telah disyaki dijangkiti selsema babi.

Antara Negara yang dicengkam selsema babi adalah Spain, New Zealand, Australia dan Perancis. Bagaimanapun, di Mesir sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan..bahawa Mesir bebas dari selsema babi biarpun ada laporan media hari ini, melaporkan beberapa kawasan di Kaherah dikelilingi kawasan ternakan babi.

Terkini (28/04/09), laporan akhbar menyatakan jumlah nyawa yang melayang akibat selsema babi di Mexico meningkat ke angka 150. Malah selsema babi ini telah mengancam timur tengah apabila seorang daripada penduduk Israel dipercayai dijangkiti selsema babi. Semalam Mesir, Israel, Palestin dan Jordan telah bersepakat bagi menangani bersama selsema babi dari merebak dan menular ke seluruh Negara di timur tengah.

Sumber berita ringkas :

1) 27/04/09, berita Al-Jazeerah (isu), (isu 2)
2) 27/04/09, suratkhabar Misril-Youm


Sumber lain bagi mengetahui selsema babi :

1) Info Kesihatan Anda (halaman utama), khusus selsema babi (isu)

Monday, April 27, 2009

Digantung kerana tegur iktiraf Israel

KULIM, 24 April: Kerana menegur aktiviti pelajar yang mengiktiraf negara haram Israel dan menggayakan pakaian sami, tujuh pensyarah dan kakitangan UniKL cawangan Kulim telah digantung tugas mereka.

Menurut sumber, pergantungan mereka berkuatkuasa 21 April hingga 4 Mei dan besar kemungkinan tiga dari mereka akan dibuang kerja.

Teguran itu mereka buat terhadap pelajar yang menyertai program menggayakan tarian keagamaan 20 negara di bawah naungan PBB.

Di antara negara yang dipilih adalah Amerika syarikat, United Kingdom, Thailand, Cambodia dan ISRAEL.

Teguran itu dibuat berdasarkan Israel adalah negara haram dan tidak diiktiraf Malaysia.

Mereka juga menegur aktiviti memperagakan pakaian sami yang tidak sesuai dibuat oleh orang Islam.




Tuesday, April 21, 2009

PMRAM : Kronologi dan sejarah

KRONOLOGI DAN PERISTIWA BERSEJARAH DALAM PMRAM

1930
Penubuhan Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS)

1932
Berusaha mendapatkan tanah bagi pembinaan rumah Melayu di Abbasiah

1940
Bersama dalam penubuhan Persatuan Pelajar Indonesia. Menyokong pelajar-pelajar Indonesia bagi menuntut kemerdekaan.

1950
Mengadakan tunjuk perasaan menghalau inggeris keluar dari bumi Mesir sebagai rasa simpati terhadap rakyat Mesir.

1952
Menukar nama daripada PPS kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan terus memperjuangkan usaha mendapat tanah untuk pembinaan asrama Melayu dengan melancarkan derma kepada jemaah haji di Mekah.

1954
Menghadiri kongres Pemuda Islam di Karachi.

1955
Mengirim kawat kepada Persidangan Afro-Asia supaya menyokong kemerdekaan Malaysia. Selain itu, Menganggotai Persatuan Pelajar-pelajar Kongres Islam yang berpusat di Kaherah.

Mendapat bantuan khas daripada Kerajaan Malaya sebanyak Le25 sebulan.

Penubuhan Badan Siswi sebagai medium organisasi mahasiswi.

1956
Mendaftarkan 65 orang anak Melayu untuk menjadi askar sukarela menentang pencerobohan Inggeris, Perancis dan Israel sebagai sokongan padu terhadap Kerajaan Mesir. Manakala pelajar puteri menjahit pakaian-pakaian tentera.

Menerima dua telegram khas daripada Presiden Jamal Abdul Nasir yang mengucapkan terima kasih atas pengorbanan anak Melayu di Mesir.

Menghantar surat ucapan tahniah atas perlantikan Jamal Abdul Nasir sebagai Presiden Mesir.

Menghadiahkan sepasang pakaian kebangsaan Melayu dan sebilah keris kepada Presiden Jamal Abdul Nasir sebagai lambang perjuangan bangsa Melayu.

1957
Mengemukakan resolusi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Menyambut kemerdekaan Tanah Melayu dan membuat sambutan bagi memperkenalkan Tanah Melayu kepada semua bangsa dan peringkat.

Dijemput (mendapat jemputan) untuk memperkenalkan adat istiadat bangsa Melayu dan pakaian kebangsaan kepada pelajar Sudan.

1958
PMM menjadi tumpuan bagi memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu kepada wakil-wakil persatuan asing, akhbar dan kedutaan asing.

Mendesak pihak berkuasa di tanahair untuk mewujudkan kedutaan di Mesir.

1959
Memperjuangkan sekeping tanah yang dijanjikan oleh Kerajaan Mesir seluas 2212 meter persegi.

Menguruskan pertukaran passport British kepada passport Persekutuan Tanah Melayu.

1963
Asrama Melayu siap dibina.

*ARMA


1965
Memperbaharui pendaftaran dan menukar nama kepada "Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu" (PMRAB).

1967
√ Bekerjasama menubuhkan Gabungan Asia Tenggara di Mesir.

1969
√ Melancarkan Minggu Pengetahuan bagi menggalakkan pembelajaran ahli(sekarang Majlis Pengetahuan dan Silaturrahim).

1970
√ Mengadakan Kongres Mahasiswa Timur Tengah.

1971
√ Nama PMRAB ditukar kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM).

√ Melancarkan kursus dakwah dan berjaya melahirkan 64 kader dakwah.

√ Menerima kunjungan rombongan pengkaji ijazah Timur Tengah yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tun Dr.Ismail.

1972
√ Mengirim kawat takziah di atas kematian Tun Dr.Ismail.

1973
√ Menderma sebanyak 500 pound Mesir di atas kemenangan Mesir di dalam perang 6 Oktober 1973 dan diserahkan melalui Syiekh Al-Azhar, Syeikh Abd Halim Mahmud.

1980
√ Pemulihan pendaftaran PMRAM.

√ Usaha penghayatan Islam dijalankan.

1982
√ Jabatan Penuntut Malaysia(JPM) ditubuhkan.

√ Asrama Puteri dirasmikan oleh Datuk Musa Hitam.

1983
√ Permohonan pembelian sebuah bas diluluskan.

√ Turut serta menyambut Perayaan 1000 tahun Al-Azhar di Dewan Asrama Melayu.

1991
√ Menguruskan penghantaran pertama pelajar siswi Malaysia ke cawangan Al-Azhar di Iskandariah seramai 18 orang dari segi penempatan dan urusan kuliah.

1992
√ Menguruskan penghantaran pelajar ke cawangan baru Al-Azhar di Damanhur, Tanta, Syibin El-Kom dan Mansurah serta menubuhkan empat Dewan Perwakilan Mahasiswa(DPM) sebagai cawangan PMRAM di muhafazah.

√ Memperkenalkan sukan badminton kepada Majlis Sukan Mesir.

√ Menyewa khas kapal terbang Sudan bagi membawa jemaah haji PMRAM seramai 150 orang ke Tanah suci.

√ Mengadakan demontrasi yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir bagi menuntut semula hak-hak PMRAM di hadapan Datuk Dr.Abd Hamid Othman.

1993
√ Menghantar seramai 450 daripada 500 peserta bagi Kursus Kesedaran dan Kepimpinan Pelajar Malaysia anjuran Jabatan Perdana Menteri dan membuat resolusi agar kerajaan berlaku adil terhadap pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

√ Mengadakan pertunjukan dan latihan sepak takraw di Kelab Sukan, Zamalek, Kaherah.

√ Mengadakan hubungan dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa.

√ Menghantar wakil ke Kursus Pentadbiran anjuran Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

1994
√ Membantu Pusat Islam memberi penerangan mengenai Jamaah Al-Arqam.

√ Menguruskan penghantaran pelajar ke cawangan baru Al-Azhar di Dumyat dan Zagaziq.

√ Mengadakan Hari Pengetahuan dan Persaudaraan dengan kerjasama JPM sebelum Asrama Melayu dibaik pulih.

1995
√ Keluar dari Rumah Melayu sementara pembinaan dijalankan.

√ Mendapat kebenaran dari Kementerian Kemasyarakatan Mesir untuk membuka pejabat sementara di Madinah Nasr.

1998
√ Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Krisis Ekonomi(JBKE) untuk menangani masalah kewangan ahli yang meruncing ekoran kegawatan ekonomi Malaysia.

1999
√ PMRAM menguruskan penghantaran mahasiswa ke muhafazah baru cawangan Al-Azhar di Tafahhana Asyraf, Dussuq dan Itai Barut.

√ Ijtimak Tergempar PMRAM menjadi saksi komitmen ahli bagi mendapatkan persetujuan terhadap undang-undang baru Syuun Ijtima'iah.

*Syuuan Ijtima'iah : Kementerian Kemasyarakatan Mesir

2000
√ PMRAM mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu Israel dan melancarkan tabung bantuan kemanusiaan dan umat Islam Palestin.

√ Menghantar beberapa kotak pakaian kepada penduduk Chechen hasil sumbangan ahli PMRAM.

2001
√ Mengadakan sambutan ulangtahun ke-70 PMRAM dengan sambutan yang menggalakkan daripada seluruh bekas pimpinan PMRAM serta ahli.

√ Pelancaran PMRAM Multimedia Centre (PMC).

2003
√ Ijtimak Tergempar PMRAM sebanyak dua kali menjadi saksi dan bukti komitmen ahli yang padu bagi mendapatkan persetujuan terhadap undang-undang baru Syuun Ijtima'iah.


Sumber : PMRAM, wadah perjuangan mahasiswa bumi Kinanah
Terbitan : Badan Penerangan dan Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Pautan Laman web PMRAM (
halaman utama)
Pautan Blog HEWI PMRAM (halaman utama)


Paparan maklumat di atas bukanlah untuk tujuan perniagaan atau mencari populariti. Hanya melahirkan rasa bertanggungjawab seorang ahli terhadap sebuah persatuan induk yang telah lama memberikan jasa, didikan, kebajikan dan seumpamanya kepada anak-anak Melayu di Mesir.


Sunday, April 19, 2009

Istilah yang mesti dan perlu difahami

18 April 2009
Sumber : Harakahdaily.net (halaman utama)


Beberapa istilah yang sempat dicatat

1. 'Standing Orders' bermaksud peraturan dewan. Penjelasan tersebut, seperti petikan di bawah.

Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.

Pautan rujukan di sini


2. 'Ultra vires' bermaksud luar biasa. Penjelasan bagi maksud tersebut seperti yang diungkap dalam petikan di bawah.

"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.

Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Pautan rujukan di sini


Sekian.

Friday, April 10, 2009

Teori dan praktikal : Garis Panduan Dakwah

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


MEMBANGUN BERSAMA ISLAM


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

[ klik salinan asal di web tok guru ]

Thursday, April 9, 2009

Kesan perang Gaza

Mampu bersama

Thursday, March 27, 2008

Sehari selepas kesepakatan Yaman

Rundingan keamanan Palestin-Israel tetap berjalan dengan baik dan sempurna. Mungkin semua pihak tertanya-tanya, ketika rundingan ini berjalan..kenapa pengganas Israel (Israel) tetap memerangi penduduk Palestin sama ada yang berada di Tebing barat dan Semenanjung Gaza. Apakah yang diharapkan dalam rundingan tersebut sebenarnya? dan kenapa ia diteruskan meskipun penduduk Palestin diganyang Israel? Tidakkah mereka yang mengadakan rundingan dengan Israel masih buta?

Inilah persoalan yang timbul di sebalik rundingan Israel-Palestin, kononnya menitikberatkan perdamaian tetapi Palestin tidak pernah sunyi walaupun sesaat daripada kekejaman dan keganasan Israel.

Blockade, Holocaust Gaza(pengistiharan yang dibuat oleh timbalan Menteri Pertahanan Israel bulan lalu), dan pencerobohan membuktikan betapa pihak Israel tidak menginginkan perdamaian dengan Palestin. Bagaimanapun, tindakan ganas Israel mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat. Kerap kali, apabila ada serangan terbaru dari Israel..pasti Amerika akan mengatakan dalam sidang akhbar bahawa tindakan Israel adalah untuk 'mempertahankan diri'.

Konflik yang berlaku kini semakin sulit, bukan sahaja tekanan dan kekangan daripada pihak luar malah ia meresap dan menjadi pertentangan dalaman(Palestin-Palestin) yang amat dahsyat. Baru sehari persepakatan Yaman ditandatangani oleh kedua pihak (HAMAS dan FATAH) pada 24 Mac 2008 di Yaman, pihak FATAH(penasihat Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Amr) yang berada di Ramallah mengatakan persepakatan itu batal kerana tidak mendapat restu Mahmoud Abbas. Ketua delegasi Fatah, Azam Ahmad terpinga-pinga dan mengatakan bahawa Mahmoud Abbas telah dimaklumi perkara tersebut, malah persepakatan Yaman ini menjadi pertembungan hangat di kalangan FATAH kerana tidak mahu mengadakan perbincangan bersama HAMAS.

Bagaimana pula respon Israel? Amat menyedihkan, Israel sememangnya tidak suka apabila Palestin-Palestin berdamai atau lebih mudah bersatu. Israel dalam kenyataan akhbar memberi pilihan kepada Mahmoud Abbas sama ada untuk meneruskan rundingan dengan pihak Israel atau dengan HAMAS.

Sebelum ini, FATAH telah menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan HAMAS tetapi di dalam rundingan yang telah dimeterai dibatalkan pula persepakatan tersebut sambil di ungkit rampasan kuasa di Gaza tahun lalu. Fatah seakan-akan terlalu banyak berdalih dalam soal rundingan mahupun perbincangan dengan HAMAS tetapi dengan pihak Israel lebih mudah.

Tuesday, February 5, 2008

Amaran terhadap Abu Tarikah kerana Gaza

Krisis tekanan dan kepungan ke atas Gaza mendapat reputasi yang meluas akibat tindakan Israel yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Seminggu telah berlalu, namun keadaan penduduk Palestin Gaza dan Semenanjung Gaza masih dihimpit tekanan yang maha dahsyat. Sekali imbas, bukan sahaja aktivis politik, rakyat di kebanyakan Negara(demonstrasi aman dan tunjuk perasaan di jalanan) atau pemerintah terlibat membangkitkan kesedaran untuk Gaza, tetapi ahli sukan juga secara serius memberikan tumpuan terhadap Gaza meskipun lincah mengawal bola di padang.

Di benua Afrika, kini berlangsung Piala Afrika di Ghana. Apa yang menarik? Laporan yang bersumber dari akhbar harian Al-Ahram, 28/01/08 mengatakan bintang bola sepak Mesir dari Kelab Ahli, Abu Tarikah telah mendapat amaran keras kerana tindakannya dikatakan melanggar undang-undang Federation of International Football Associations (FIFA).

Perlawanan bola sepak yang berlangsung antara Mesir dan Sudan mendapat tumpuan umum, tambahan pula rakyat Mesir yang amat gemar dengan bola seiring temanya makan bola, tidur bola..minum coca-cola telah menjadi realiti bukan sahaja di kalangan dewasa malah kanak-kanak turut mengikutinya. Sebaik sahaja, Abu Tarikah menjaringkan gol pertama ketika Mesir menentang Sudan, beliau lantas berlari dan menyelak jersinya sambil menutup muka dan t-shirt dalamnya terpampang tulisan ’sympathize with Gaza’. Bagaimanapun, tindakannya yang disifatkan mulia kerana meraih simpati untuk menyedarkan para penyokong dan penonton telah mengundang kecaman dari pihak penganjur dan pengadil kerana hal tersebut bertentangan dengan undang-undang FIFA, tindakan tersebut boleh menyebabkan Abu Tarikah digantung permainan. Seperti yang termaktub undang-undang FIFA melarang unsur-unsur politik, keagamaan, dan seumpamanya sama ada peringkat dalam Negara dan peringkat antarabangsa. Tujuannya Undang-undang tersebut adalah untuk menjaga prinsip sukan agar tidak dicampuri permasalahan politik.

FIFA! ke mana tema Piala Dunia tahun sebelum ini yang memperjuangkan hak insani? Mungkin kerana melibatkan politik Israel dan Amerika, penduduk Palestin tidak mendapat hak sewajarnya? Dalam keadaan runcing yang melibatkan nyawa, apatahlagi cengkaman musim sejuk sebegini masih tidak memberikan hak-hak sewajarnya kepada penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza. Semasa artikel ini ditulis, penduduk Gaza masih berada di Rafah dan 'Arish bagi mendapatkan keperluan asasi. Sepatutnya nyawa manusia lebih diutamakan dari bola. Jangan kerana bola, manusia berpecah dan lupa tanggungjawab. Bagaimana dengan pembaca dan peminat setia bola sepak, anda sanggup mencintai bola dan menyisihkan mereka yang dizalimi?

Ingatlah, saat kita memberi tepukan dan bersorak bak guruh gempita kerana pemain yang kita minati menyepak bola dan menunjukkan skill yang kononnya ‘best’, kita juga mesti sedar bahawa saudara seagama kita di Palestin juga disepak, ditendang oleh rejim Israel malah hak-hak mereka juga dikoyak-rabak tanpa rasa belas.

Wednesday, January 23, 2008

Kerana Gaza, pemimpin mula membuka mata?

Cekikan Israel yang dirasai Gaza telah memuntahkan sikap-sikap yang tidak sepatutnya tegar di dalam jiwa dan diri bagi pemimpin. Pemimpin bukanlah di kalangan pemimpin arab sahaja, malah pemimpin negara Islam dan mana-mana pemimpin yang ada rakyat dan negara. Tidak dinafikan, keadaan di Gaza adalah krisis paling sulit kerana puluhan tahun ia bersama Palestin telah mengharungi pelbagai desakan, ancaman dan berbagai-bagai keadaan. Tetapi, bagi mereka yang bernama pemimpin cubalah rasai Gaza itu juga sebahagian dari diri dan negaranya. Jadi, apa tindakan sekarang? Masih resah untuk mengeluarkan ketetapan, masih berat tangan untuk menghulurkan bantuan?

Semalam, bagaimana keadaan penduduk Gaza? Krisis yang menghujani mereka amat perit. Bukannya 2, 3 keluarga yang merasainya, bahkan lebih 800,000 penduduk Gaza yang dilaporkan akhbar menghadapi krisis kemanusiaan yang terburuk. Kehidupan mereka tanpa bekalan elektrik, air dan gas telah memberikan impak negatif yang amat membimbangkan.

Setakat ini, laporan berita dari Al-Jazeera telah memaparkan tentang 77 kematian di kalangan penduduk Palestin di Gaza. 77 bukanlah angka selama berbulan-bulan setelah berlakunya krisis, tetapi hanya dalam masa 3 hari semenjak rejim Israel mengawal dan memutuskan bekalan elektrik, gas dan air. Bagaimanapun, hospital-hospital di Gaza juga bimbang dengan krisis ini berlarutan kerana kebanyakan pesakit-pesakit buat masa ini amat memerlukan rawatan lengkap. Tetapi, bagaimana untuk memberikan rawatan sedangkan tiada bekalan elektrik, gas dan air. Malahan, tanaman-tanaman hasil tuai penduduk Palestin Gaza menghadapi masalah yang sama dan tugas seharian mereka selama 3 hari ini turut tergendala. Dalam siaran langsung Al-Jazeerah pada 22/010/08, di sempadan Rafah(Gaza-Mesir) dan Erez(Beit Hanoun-Israel) telah menunjukkan betapa krisis kemanusiaan di sana berada di tahap kemuncak.

Di sempadan Rafah 22/01/08, para penunjuk perasaan yang terdiri dari kalangan penduduk Palestin telah berjaya merempuh sempadan Rafah. Sebaik sahaja, pintu sempadan terbuka setelah dirempuh, beberapa pesakit yang memerlukan rawatan secepat mungkin dengan segera diusung melepasi sempadan Mesir.

Desakan dan ancaman krisis yang berlaku di Gaza telah menggerakkan masyarakat dunia agar merasai tanggungjawab bersama. Kedapatan tunjuk perasaan di beberapa buah negara turut mencetuskan persepsi negatif terhadap pemimpin. Bukan untuk memburukkan pemimpin, tetapi peranan dan tindakan segera dari pemimpinlah yang akan menyelamatkan keadaan Gaza. Namun, tidak dinafikan tekanan dari pihak lain akan menekan pemimpin dan negaranya.

Penulis merasa sangsi dengan kenyataan Mahmud Abbas 22/01/08, Al-Jazeerah yang mengatakan kerajaan Palestin boleh membantu Gaza, boleh membawa masuk keperluan-keperluan asasi ke Gaza..tetapi masyarakat perlu faham keadaan yang berlaku sekarang ini.

Kita kena memahami keadaan? Mungkin, jika kerajaan Palestin menolong penduduknya di Gaza pasti akan menerima tekanan yang akan membekukan segala bantuan sama ada tekanan pihak dari Israel atau kuasa lain. Memang bagus bila mendapat kerajaan seumpama ini, saat rakyatnya merasai derita..hati pemimpin masih ada rasa belas kasihan terhadap musuh yang selama ini bermain-main dengan rundingan damai, hakikatnya adalah jerat untuk memerangkap penduduk dan tanah Palestin. Bila pejuang HAMAS dan pejuang-pejuang yang lain bingkas bangkit melancarkan serangan roket, dia mencela tetapi dia tidak sedar selama rundingan damai berjalan, berapa nyawa penduduk Palestin menjadi taruhan.

Namun, akibat desakan dan hujuman rakyat-rakyat di beberapa buah negara telah mengubah pemimpinnya merasai bahang krisis kemanusiaan yang melanda Gaza.

Terima kasih kepada Presiden Mesir, Housni Mubarak dengan keprihatinannya membenarkan sempadan Rafah, Mesir dibuka kepada penduduk Palestin di Gaza untuk mendapatkan keperluan di Rafah. Tindakan tersebut adalah disebabkan rempuhan penduduk Gaza dan demonstrasi aman yang berlaku di Mesir bagi membantah kekejaman dan keganasan Israel yang mengepung dan mengawal hask asas penduduk Palestin di Gaza. Penulis tidak berhasrat membincangkan tindakan Presiden dari sudut politiknya. Namun, Israel juga membalas jasa presiden Mesir dengan menghentikan bekalas gas(bahan bakar)di Gaza dan meneruskan semula pembinaan 7300 perumahan yahudi-Israel di 5 buah penempatan selatan Al-Quds. Sungguh, sikap dan mental rejim Israel dari dahulu hingga sekarang masih dibelenggu kefanatikan yang melampau. Mereka beranggapan, krisis Gaza yang mereka sengaja kenakan layak sebab serangan roket pejuang Palestin. Padahal, tidak pula mereka sedar bahawa tindakan dan kekejaman mereka selama ini terhadap Palestin adalah perbuatan jenayah perang. Namun, tidak ada pula tindakan serius terhadap rejim Israel yang disifatkan bijak dalam politik.

Kebijakan mereka bukanlah kerana menguasai ketenteraan dan paling hebat teknologi perangnya, tetapi mereka berjaya menguasai kerajaan Amerika Syarikat. Bahkan, pendirian dan ketetapan kerajaan Amerika berkenaan rundingan keamanan menguntungkan Israel. Dan Amerika pula, menguasai Negara-negara di dunia di samping mengekang segala tindak-tanduk yang mengancam Israel.


Penulis ingin mempersoalkan pendirian Majlis Keamanan Bangsa Bersatu(PBB) kerana sehingga artikel ini ditulis seiring krisis berlaku tiada ketetapan segera diambil terhadap kekejaman Israel. Sepertimana yang dilaporkan Al-Jazeerah 23/01/08, PBB mengakhiri perjumpaan tergempar membincangkan keadaan di Gaza tanpa ada kesepakatan. Bagaimanapun di dalam web berita Berita Harian, perjumpaan tergempar PBB akan disambung semula pada hari rabu akan datang. Kenapa PBB mengambil masa terlalu lama untuk memutuskan sebarang ketetapan. Di mana pendirian PBB? Seolah-olah PBB tidak ada peranan dan tidak berguna untuk membantu penduduk Palestin di Gaza. UNRWA yang berada di Palestin juga telah menghentikan bantuan makanan di Gaza. Bagaimana esok dan hari mendatang untukmu Gaza?

Kekuatan mana lagi yang diharapkan bagi membela Palestin. Tambahan pula, krisis Gaza saat ini membuatkan ia semakin dan bertambah derita. Seandainya, rakyat-rakyat (rakyat di semua negara) tidak bangun dan tidak berdemonstrasi di jalanan menuntut hak Gaza dan menekan kerajaan, maka sampai bila-bila pun pemimpinnya tidak akan buka mata. Mungkin, dengan tindakan Presiden Mesir ini akan membuka mata pemimpin-pemimpin yang lain.

Tuesday, January 22, 2008

Kerana Gaza rakyat bangkit, pemimpin lena?


GAZA KENA CEKIK, hanya menanti saat dan waktu untuk dikambus. Begitu sadis dan sedih apabila mengenangkan keadaan yang berlaku di Semenanjung Gaza. Saat dan masa ini adakah mereka telah ’bersarapan pagi?’, atau semalamnya mereka telah ’menikmati hidangan malam?’. Saat malam mereka gerhana, di pihak yang lain masihkah terjaga atau tidur lena atau turut merasai derita yang mereka alami?.

Timur Tengah kini dibungkam krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Bukannya berlaku secara kebetulan tetapi ia dirancang sebagai usaha untuk mengekang serangan roket kononnya menggugat kestabilan keamanan persempadanan. Krisis yang berlaku di Gaza bukanlah kali pertama, malahan operasi yang berkesinambungan dari semasa ke semasa. Hanya bentuk dan taktik perlaksanaannya yang membezakan krisis itu dianggap kecil atau berupa krisis yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ternyata, tindakan rejim Israel kali ini telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa apabila Gaza diperlakukan seumpama penduduknya tiada hak untuk hidup. Hanya penduduk Israel yang berhak dan menikmati keamanan sekitar. Dalam masa yang sama, pihak pentabiran Palestin di Ramallah mengatakan hanya dengan jalan rundingan, kesepakatan keamanan akan tercapai sambil disokong rejim Israel. Tetapi, hakikatnya tidak. Kesannya juga tidak seperti yang diwar-warkan. Hal inilah yang mendorong pejuang Palestin sama ada dari HAMAS mahupun barisan pejuang yang lain nekad dengan melancarkan serangan roket ke Israel, di samping tentangan bersenjata untuk menghalang kezaliman dan pencerobohan Israel.

Krisis yang berlaku di Gaza akibat kepungan dan kawalan Israel benar-benar melanggar dasar kemanusiaan.

Laporan berita Al-Jazeerah, 20/1/2008 ’penjana utama yang membekalkan elektrik di Gaza telah diberhentikan operasinya’.

Mengikut sumber berita, akibat penjana utama ini dihentikan telah memberi kesan 150 stesen yang lain juga terpaksa ditutup. Bahkan, penjana elektrik yang kedua juga ditutup selang beberapa jam selepas itu. Laporan berita menyatakan penduduk Palestin pada malamnya hidup dalam kegelapan, bukan sahaja rumah-rumah menghadapi masalah malahan hospital, kilang perindustrian dan tugas seharian juga tergendala.

Amat menyedihkan, Berita Al-Jazeerah melaporkan ketika meninjau ke sebuah hospital mendapati pesakit-pesakit kebanyakannya di tahap kronik dan memerlukan rawatan lengkap secepat mungkin kerana terputus bekalan elektrik. Bukan sahaja bekalan elektrik terputus, sempadan yang melingkungi Gaza juga ditutup.

Laporan Akhbar harian Al-Ahram juga menyebutkan bahawa Israel memang menutup kesemua persempadan yang menghubungkan Gaza. Lebih terkilan, sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir sampai sekarang tidak dibuka, meskipun didesak oleh Khalid Mash’al dan Ismail Haniah(HAMAS).


Dalam kenyataan akhbar, Ismail Haniah Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan yang dibubar menyatakan rasa bimbang dengan krisis kemanusiaan yang pasti meragut nyawa penduduk. Beliau mendesak kerajaan Mesir supaya membuka sempadan Rafah bagi tujuan bantuan rawatan dan makanan. Namun, jawapan rasmi selepas diadakan persidangan tergempar wakil-wakil Liga Arab yang dijadualkan pada hari ini, isnin 21/01/08.

Selain elektrik dan penutupan sempadan, bekalan bahan bakar, bekalan air dan gas juga terputus yang mengakibatkan segala faktor di Gaza terhenti. Lebih-lebih lagi sektor pertanian dan ekonomi yang berhadapan dengan kerugian besar. Namun, dalam masa yang sama, penduduk Palestin menghadapi tentangan dan serangan Israel yang berterusan.

Jurucakap HAMAS, dalam kenyataan akhbarnya seperti yang dilaporkan akhbar harian Misril Youm, isnin 21/01/08 membidas kenyataan Salam Fayadh (Perdana Menteri Kerajaan Tasyir A’mal Palestin) di Ramallah yang menghujum serangan roket pejuang adalah punca Israel mengenakan tekanan, kawalan dan pengepungan ke atas Gaza.

HAMAS menyifatkan kenyataan Salam Fayadh tidak kena dengan keadaan, bagaimanapun barisan pejuang yang lain turut mencemuh kenyataan Salam Fayadh. Pejuang-pejuang Palestin juga menghujum tindakan Salam Fayadh yang memilih jalan rundingan kerana dilihat sekarang ini hanyalah sia-sia kerana dalam rundingan berjalan Palestin-Israel pun, tentera Israel tetap mengganas membunuh, menyerang dan menangkap penduduk Palestin.

Badan Hak Asasi Manusia, Amerika Syarikat turut mempertikaikan tindakan Israel yang jelas melanggar hak-hak asasi manusia. Namun, di pihak pentabiran Washington pendirian yang berbeza kerana memang telah jelas mempertahankan tindakan Israel. Akhbar harian Al-Ahram, ahad 20/01/08 melaporkan pihak Washington, Kerajaan Amerika Syarikat membidas sebarang kritikan daripada mana-mana pihak terhadap Israel kerana serangan Israel pada masa ini, adalah tindakan untuk mempertahankan diri dari serangan roket pejuang Palestin. Begitu juga, kenyataan John Home selaku wakil pengerusi umum sumber kemanusiaan dan bantuan kecemasan, mengatakan ’memang hak Israel untuk mempertahankan diri’ tetapi beliau mencemuh tindakan Israel yang menghukum penduduk Gaza sedemikian rupa sungguh tidak munasabah.

John Home turut menyelar tindakan Israel yang menutup sempadan dari kemasukan sebarang bantuan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi. Beliau menyifatkan tindakan Israel ini tidak boleh diterima dari sudut insani.

Krisis tidak berperikemanusiaan ini telah menjangkau beberapa hari lamanya masih tidak mendapat reaksi dan respon dari mana-mana pemimpin arab secara serius. Apatah lagi, desakan berani yang mengancam tindakan Israel supaya menghentikan serangan.

Al-Jazeerah, ahad 20/01/08 dalam tinjauannya ke beberapa buah negara arab mendapat respon dan reaksi yang bersungguh terhadap krisis yang berlaku di Semenanjung Gaza. Kedapatan rakyat-rakyat dan penduduk amat sensitif dengan tentangan Israel terhadap saudara mereka di Palestin. Gaza dan penduduknya seolah-olah terasing dan sengaja di asingkan, maka benar ungkapan Israel terhadap Gaza iaitu’wilayah musuh’.

Di jalanan negara Jordan, Lubnan, Sudan, Maghribi dan lain-lainnya(malam ahad, 20/01/08) memperlihatkan sensitiviti rakyat-rakyat yang turun di jalanan mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan terhadap kawalan dan kepungan Israel terhadap Gaza. Masing-masing berseloroh menyatakan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin di Gaza adalah tindakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan, perlunya kepada tindakan segera bagi menyelamatkan penduduk Palestin di Gaza. Tunjuk perasaan bukan sahaja di kalangan dewasa, malahan kanak-kanak juga bersama dan mereka telah mula memahami keadaan bagi menuntut keadilan dan keamanan.

Bangkitnya rakyat-rakyat di negara yang disebutkan bukanlah ketika rejim Israel mula memutuskan bekalan elektrik, air, gas dan menutup kesemua sempadan akan tetapi semenjak dikhabarkan berkenaan lawatan Bush (09/01/08, destinasi utama Israel) ke Timur Tengah dan Negara-negara Teluk. Bagaimanapun rakyat dan penduduk Negara tersebut telah memahami keadaan dan menghidu bau busuk keadaan yang bakal berlaku apabila Bush sampai dan setelah Bush pulang.

Desakan dan suara rakyat di negara tersebut menandakan rakyatnya peka dengan keadaan yang berlaku, tetapi ke manakah pula suara kerajaan dan pemimpin-pemimpin arab untuk membantu penduduk Palestin di Gaza. Ketika rakyat berdemonstari aman pada malam hari kerana tidak kesenangan mengetahui kesengsaraan saudara mereka di Gaza, bagaimana dengan pemimpin arab, bersama rakyatnya atau masih lena?

Thursday, January 17, 2008

Al-Qassam balas penyembelihan Israel

Maafkan Keganasan dan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin? Tidak mungkin, meskipun rundingan perdamaian yang diwar-warkan selama ini adalah untuk perdamaian dan keamanan tetapi hakikatnya adalah pencetus dan dorongan untuk mereka membunuh penduduk Palestin dan merampas segala hak-hak Palestin.

Sepertimana yang dikatakan oleh Jurucakap bagi Kementerian Luar Israel, Amirah Auron, "Kerajaan Israel berpendirian untuk proses perdamaian dan keamanan adalah dengan perbincangan, rundingan dan pengiktirafan Negara Israel dan menolak politik melampau seperti yang dibawa oleh HAMAS".

Jelas dengan ungkapan jurucakap ini hanyalah mementingkan kehendak Israel tanpa melihat kekejaman dan keganasan yang telah mereka lakukan terhadap penduduk Palestin.

Dalam masa 2 hari (15 dan 16 Januari 2008) belum sempat Bush pulang ke Amerika Syarikat, berpuluh nyawa penduduk Palestin telah terkorban akibat tindakan berupa penyembelihan kejam Israel yang terus-menerus menujah ke atas penduduk Palestin. Alasan yang rejim Israel kemukakan kerana pejuang Palestin bertindak menyerang mereka dengan serangan roket, namun hujah ini bukanlah sandaran yang kuat untuk membenarkan rejim Israel bertindak sedemikian rupa. Pejuang Palestin tidak buta untuk menilai tindakan Israel. Pejuang Palestin tidak akan menyerang jika Israel tidak melancarkan serangan terhadap mereka, tetapi akibat tindakan Israel yang sekian lama menyerang, membunuh dan melabelkan pejuang sebagai 'pengganas', maka pejuang Palestin berhak untuk mempertahankan maruah, tanah, darah dan wilayah mereka.

Kekejaman yang dilakukan Israel adalah restu dan redha US, dan juga dalam keadaan Negara-negara umat Islam diam. Walaubagaimanapun, terdapat segolongan dari umat Islam yang meyakini hanya dengan jalan rundingan, konflik ini akan selesai. Perlu diingat, konflik ini bukanlah berlaku kerana secara kebetulan tetapi telah dirancang sekian lama.

Berdasarkan hal yang disebutkan, laporan web berita dari Palestin-info, bertarikh 16 Januari 2008 memaparkan serang balas Kataib Izzuddin Al-Qassam(HAMAS) dengan 150 roketnya ke Sderot, Zakem dan pos-pos kawalan Israel. Hanya ini yang Al-Qassam mampu balas selain dari doa.

Tuesday, January 1, 2008

Giliran Haniah pula..

Serangan ganas terhadap penduduk Palestin, sama ada di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat terus berlanjutan tanpa henti. Keganasan rejim Israel bagaikan di’rasuk’ aura hitam menandakan mereka bukan mahukan keamanan sepertimana agenda mereka di dalam rundingan dan perjanjian damai.

Rundingan dan perjanjian damai hanyalah adaptasi daripada rancangan yang tidak berperikemanusiaan. Slogan damai dan aman yang mereka laungkan sebelum ini ternyata membuka pekung di dada, bukan damai dan aman tetapi ganas dan ancam itulah peribadi mereka.

Saban tahun, setiap pemimpin Palestin yang tidak tunduk atas kemahuan mereka pasti menjadi buruan. Kekacauan yang mereka lakukan bukan sahaja di sudut luaran dengan senjata tetapi juga merangkumi sudut dalaman dengan menggagalkan sesebuah kerajaan.

Ismail Haniah merupakan pemimpin tertinggi HAMAS, kini tiba gilirannya apabila Israel telah menyatakan ‘dialah sasaran kita sekarang’ setelah Syeikh Ahmad Yaasin, Dr. Abd Aziz Al-Rantisi dan pejuang yang lain telah menemui syahid.

Haniah yang terkenal dengan ketegasan dan merupakan pemimpin sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Peribadinya tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel melambangkan prinsip dan keteguhan jiwa seorang pejuang adalah antara penyebab timbulnya kegerunan di kalangan musuh terhadapnya.

Beliau(HAMAS) telah memenangi pilihanraya umum Palestin pada 2006 secara bersih dan menjadi tonggak utama dalam usaha memerdekakan Palestin dari cengkaman dan belenggu zionis Israel. Ketika HAMAS memenangi pilihanraya tersebut, prinsip demokrasi berjalan dengan baik sepertimana yang dituntut oleh barat. Tetapi sebaik sahaja kerajaan berpihak kepada HAMAS, keadaan berubah. HAMAS tidak diberi hak sepenuhnya mentadbir Palestin. Kekacauan dan pemboikotan sepenuhnya yang dilakukan Amerika Syarikat dan sekutunya telah merubah demokrasi kepada hipokrasi, semuanya menjadi ucapan retorik semata.

Saat dan masa ini, rejim Israel telah merancang pembunuhan ke atas Ismail Haniah.

Hal ini seperti yang dilaporkan dalam Palestin-info 29/12/07, dewan keamanan Israel telah meluluskan operasi pembunuhan Ismail Haniah secepat yang mungkin. Pastinya, Ehud Barak, menteri pertahanan Israel yang mendrafkan cadangan ini kerana beralasan Haniah mengarahkan serangan roket ke atas beberapa buah bandar Israel dan sepatutnya dibunuh demi keamanan penduduk Israel.

Draf tersebut telah dipersetujui Bush yang kelihatan bersungguh. Operasi tersebut telah bermula dari sekarang sama ada sebelum atau selepas lawatan Bush ke Israel. Jika Liga Arab, OIC dan kesemua pemimpin negara arab dan negara Islam diam serta kaku hanya menongkat dagu..siapakah yang akan membantu Ismail Haniah dan pejuang Palestin untuk mempertahankan tanah-tanah, dan maruah umat Islam di sana?
[May Allah Help Us On His Straight Path]