Friday, June 29, 2012

Sekuriti Makanan Kerajaan Tidak Serius


Kenyataan media TERAS

28 Jun 2012

Apabila Timbalan Menteri Pertanian mendedahkan di Parlimen sebanyak RM 221.81 bilion dibelanja untuk mengimport makanan dalam tempuh 10 tahun yang lalu, bermakna Malaysia membayar purata RM 22 bilion setahun untuk membeli makanan dari luar dan menunjukkan Malaysia berada di kedudukan kebergantungan kepada bekalan makanan yang paling tidak mapan.

Bukan sahaja Malaysia rugi dari segi wang yang mengalir keluar malah rakyat terdedah kepada makanan luar yang tidak menentu bekalannya. Lebih malang Kerajaan yang pernah mengumumkan Dasar Pertanian Negara Baru 1992-2010 yang mencatat sekuriti makanan sebagai satu elemen yang penting, namun dari segi perlaksanaan ia tidak membawa kesan seperti yang diharapkan.

Ini membuktikan betapa kerajaan tidak serius melihat persoalan sekuriti makanan sebagai isu Negara yang besar. Isu tanah pertanian yang ditukar syarat kepada bangunan dan pengambilan tanah untuk kawasan perindustrian berleluasa tanpa penelitian dengan mendalam.

Walhal seluruh dunia kini mengangkat isu ini sebagai isu utama. Pelbagai persidangan dunia telah diadakan untuk membincangkan krisis yang bakal berlaku iaitu krisis makanan akibat dari pelbagai faktor.

Antaranya ialah perubahan cuaca, monopoli sumber makanan oleh syarikat multinasional, pengambilan tanah pertanian untuk projek perumahan, jalan raya, kawasan industri, pembinaan infrastruktur seperti lapangan terbang, pembesaran bandar, pembukaan ladang, kenaikan kos input pertanian yang membantutkan pengeluaran.

Kerajaan nampaknya mengenepikan isu yang amat asasi ini. Di pelbagai Negara yang lain krisis makanan boleh membawa kepada rusuhan. Malah telah pun berlaku di Filipina dan Indonesia serta Negara Latin Amerika.

Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) mendapati, nampaknya isu sekuriti makanan tidak dilihat serius kerana pihak kerajaan beranggapan ini tidak menjelaskan sokongan rakyat.

Kenapa kerajaan Malaysia tidak melihat isu ini sebagai isu yang relevan dan sangat genting. Sekuriti makanan adalah sebenarnya isu yang boleh menentukan keselamatan dan kestabilan negara. Ia meliputi isu bekalan, isu akses dan isu kegunaan makanan.

Jika semua isu ini gagal ditangani dengan baik, Malaysia bakal terdedah kepada risiko yang sangat bahaya jika tiba-tiba ketidakstabilan berlaku di rantau ini.

Kerajaan tidak sepatutnya memandang ringan isu ini hanya dengan anggapan bahawa bekalan makanan akan terus terjamin kerana mampu membeli bekalan makanan dari luar. Ini adalah pandangan strategi yang sangat dangkal dan sama sekali tidak cerdik.

Malaysia yang sebenarnya adalah Negara asal pertanian harus kembali memberi perhatian kepada menghasilkan makanan yang mencukupi untuk rakyat sepanjang masa.

Pertimbangan kononnya kos pengeluaran adalah tinggi, tidak dapat diterima kerana sepatutnya usaha mencari jalan mengurangkan kos input pertanian melalui pertanian organik boleh diperluaskan.

Negara jiran jauh lebih kukuh membangunkan sektor pengeluaran makanan secara sangat kreatif dengan menggabungkan pelbagai amalan pertanian tradisional dan pertanian moden. Pengeluaran makanannya mampu menghasilkan bekalan yang berlebihan untuk rakyat sehingga boleh mengeskport keluar Negara.

Teras menegaskan kerajaan perlu segera menggubal polisi mencapai tahap sara diri makanan Negara. Peruntukan khas untuk melancarkan gerakan "Makanan Rakyat di utamakan" perlu diwujudkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

0 comments: